Sastera rakyat

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Sastera rakyat ialah kesusasteraan yang lahir di kalangan rakyat. Pada lazimnya, sastera rakyat merujuk kepada kesusasteraan rakyat daripada masa lampau, yang telah menjadi warisan kepada sesuatu masyarakat. Sastera rakyat adalah sebahagian daripada kehidupan budaya bagi masyarakat lama. Misalnya dalam masyarakat Melayu lama cerita rakyat merupakan satu bentuk hiburan yang penting untuk orang kampung.

Sebuah buku pengkajian sastera rakyat melayu

Sifat Sastera Rakyat[sunting | sunting sumber]

  • Disampaikan secara lisan
    Salah satu sifat sastera rakyat yang utama terletak pada cara penyampaiannya. Pada lazimnya sastera rakyat disampaikan melalui pertuturan. Ia dituturkan secara individu kepada seorang indivdu yang lain atau sekumpulan individu yang lain. Misalnya seorang datuk akan menuturkan suatu cerita kepada seorang bapa, seterusnya dari seorang bapa dituturkan kepada seorang cucu. Selain itu, ia juga disampaikan oleh seorang yang profesional, yang kerjanya "bercerita" kepada anggota masyarakat yang lain. Dalam masyarakat melayu, profesion ini dikenali sebagi "tok cerita" ataupun "pawang", yang telah menghafal cerita-cerita tertentu daripada seorang guru, untuk menyampaikan cerita dengan cara yang menarik kepada orang kampung, bagi menghiburkan orang kampung yang berkenaan.
  • Seringkali kali mengalami perubahan
    Sastera rakyat merupakan suatu yang dinamik, dimana ia akan mengalami tokok tambah ataupun pengurangan, menurut peredaran zaman. Daripada itu, kita boleh menjumpai pelbagai variasi untuk suatu cerita rakyat di tempat yang berlain. Malahan, bagi seorang tok cerita, beliau mungkin akan melakukan perbuahan ke atas ceritanya secara spontan, semasa menyampaikan cerita kepada khalayak.
  • Merupakan kepunyaan bersama
    Soal hak cipta tidak wujud pada sastera rakyat. Tiada siapa-siapa yang akan mengaku bahawa dialah pengarang bagi cerita rakyat yang tertentu. Bagi tok cerita ataupun penglipur lara yang kerjanya bercerira, beliau juga tidak mengakui dirinya sebagai pengarang cerita berkenaan, melainkan meletakkan kepengarangan cerita berkenaan kepada seorang individu yang anonmious, yakni Yang Empunya Cerita.
  • Sering memiliki unsur irama
    Cerita penglipur lara yang disampaikan oleh pawang ataupun tok cerita sentiasa mengandungi unsur irama yang menarik. Pengaturan ini adalah supaya cerita itu lebih menghibur bersamping untuk memudahkan tok cerita berhafal.

Jenis-jenis Sastera Rakyat[sunting | sunting sumber]

Sastera rakyat merupakan satu dunia yang luas, ia merangkumi segala pengucapan indah-indah yang lahir di kalangan, dan tidak saja merujuk kepada cerita rakyat. Secara kasarnya sastera rakyat boleh dibahagi kepada 2 kategori yang besar, iaitu sastera rakyat naratif dan sastera rakyat bukan naratif.

Sastera rakyat naratif[sunting | sunting sumber]

Sastera rakyat naratif merujuk kepada sastera rakyat yang menghuraikan suatu peristiwa. Sub-genre sastera naratif termasuklah mitos, legenda, dan juga cerita rakyat

Mitos[sunting | sunting sumber]

Mitos merupakan cerita yang bersifat dongeng yang berfungsi untuk menerangkan asal usul kejadian tertentu, termasuklah kejadian alam, manusia, binatang, dan petempatan. Pada mulanya, mitos merupakan satu bentuk kepercayaan yang memenuhi keinginan manusia untuk mengetahui asal usul sesuatu kejadian.

Legenda[sunting | sunting sumber]

Legenda pula ialah cerita yang mengisahkan sejarah satu-satu tempat atau peristiwa zaman zilam. Ia mungkin berkisah tentang seorang tokoh, keramat dan sebagainya. Setiap penempatan yang bersejarah lama mempunyai legendanya sendiri. Misalnya di Langkawi, kita akan menjumpai legenda Mahsuri dan di Melaka kita dapat menjumpai legenda Hang Tuah.

Cerita Rakyat[sunting | sunting sumber]

Cerita rakyat merupakan satu bentuk cerita yang popular dalam kalangan rakyat, yang menjadi hiburan penting di masyarakat berkenaan.Dalam masyarakat Melayu, terdapat pelbagi jenis cerita rakyat seperti cerita binatang, cerita jenaka, cerita penglipur lara dan cerita pengalaman.Cerita rakyat juga sebagai ekspresi budaya suatu masyarakat melalui bahasa tutur yang berhubung langsung dengan berbagai-bagai aspek budaya, seperti agama dan kepercayaan, undang-undang, kegiatan ekonomi, sistem kekeluargaan, dan susunan nilai sosial masyarakat tersebut.

Sastera rakyat bukan naratif[sunting | sunting sumber]

Sastera rakyat bukan naratif merujuk kepada pengucapan yang indah-indah yang tidak mengandungi penceritaan suatu peristiwa. Bentuk sastera ini sebenarnya wujud di sekeliling kita, tetapi umumnya orang ramai tidak menyedari kewujudannya.

Peribahasa[sunting | sunting sumber]

Peribahasa adalah bahasa kias yang digunakan untuk mengindahkan penuturan di kehidupan seharian. Perkara yang termasuk dalam peribahasa termasuk perumpamaan, simpulan bahasa, pepatah, perbilangan dan kiasan.

Teka-teki[sunting | sunting sumber]

Teka-teki adalah sastera lisan yang popular di kanak-kanak. Ia adalah soalan yang disampaikan dengan berirama dan penuh kiasan. Fungsinya adalah untuk permainan.

Puisi rakyat[sunting | sunting sumber]

Puisi rakyat adalah jenis puisi yang merangkumi pantun, jampi dan mantera.

Tujuan Sastera Rakyat[sunting | sunting sumber]

Secara ringkasnya, sastera rakyat mempunyai kegunaan seperi berikut:

  • Sebagai alat hiburan
  • Sebagai alat pengajaran
  • Membiasakan masyarakat menggunakan kata-kata yang indah.
  • Menumbuhkan di kalangan masyarakat keupayaan mengenal dan seterusnya mengapresiasi sastera.
  • Menjadi dasar penciptaan karya sastera baru.

Sumber Rujukan[sunting | sunting sumber]

  • Hashim Awang. 1985. Sastera Rakyat Malaysia. (kertas kerja.butiran lain samar-samar).