Pergi ke kandungan

Kokerspaniel

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Cocker Spaniel)
Seekor kokerspaniel Inggeris jingga kemerah-merahan dengan ekor terpotong dalam sebuah pertunjukan pengakuran

Kokerspaniel atau cocker spaniel[a] ialah anjing yang tergolong dalam dua baka jenis anjing spaniel: kokerspaniel Amerika dan kokerspaniel Inggeris, yang kedua-duanya lazimnya hanya dipanggil cocker spaniel di negara asal masing-masing. Pada awal abad ke-20, kokerspaniel juga termasuk spaniel pemburu kecil.

Kokerspaniel pada asalnya dibiakbakakan sebagai anjing pemburu di United Kingdom, dengan istilah "koker-" atau "cocker" yang diterbitkan daripada penggunaannya untuk memburu woodcock Eurasia. Apabila baka ini dibawa ke Amerika Syarikat, ia dibiakbakakan mengikut piawaian berbeza, yang membolehkannya mengkhusus dalam pemburuan woodcock Amerika. Perubahan fizikal lanjut dibiakbakakan ke dalam baka kokerspaniel di Amerika Syarikat semasa bahagian awal abad ke-20.

Spaniel pertama kali disebut pada abad ke-14 oleh Gaston III, Count Foix dalam karya beliau Livre de Chasse ("Buku Perburuan"). "Cocking spaniel" atau "cocker spaniel" ialah sejenis spaniel padang atau spaniel darat pada abad ke-19. Sebelum tahun 1901, kokerspaniel hanya terpisah daripada spaniel padang dan springerspaniel mengikut berat. Dua ekor anjing dianggap sebagai induk asasi bagi kedua-dua baka moden, keragaman Inggeris diturunkan daripada Ch. Obo, sementara baka Amerika diturunkan daripada anak jantan kepada Obo, iaitu Ch. Obo II. Di Amerika Syarikat, kokerspaniel Inggeris diiktiraf sebagai baka terpisah daripada baka tempatan pada tahun 1946; di United Kingdom, jenis Amerika diiktiraf sebagai baka terpisah pada tahun 1970. Sebagai tambahan, strain kedua bagi kokerspaniel Inggeris, iaitu strain pekerja, tidak dibiakbakakan mengikut piawaian, tetapi mengikut keupayaan kerja. Kedua-dua baka mengongsi warna lapis bulu dan isu kesihatan serupa dengan segelintir pengecualian.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Sebuah lukisan tentang dua ekor berskala kelabu, yang lagi seekor berwarna cerah dengan tompok-tompok gelap
Sebuah lukisan tentang cocker Inggeris dan cocker Wales, daripada karya John Henry Walsh (atas nama samaran "Stonehenge") tahun 1859, The Dog in Health and Disease ("Kesihatan dan Penyakit Anjing")

Walaupun asal usulnya tidak diketahui, "spaynels" disebut dalam tulisan-tulisan abad ke-14.[1] Ia lazimnya diandaikan berasal dari Sepanyol dan Edward, Duke York ke-2 dalam karya abad ke-15 beliau The Master of Game memperkenalkannya sebagai "Satu lagi jenis anjing yang ada yang dipanggil anjing untuk helang sawah dan spaniel, kerana jenisnya datang dari Sepanyol, walaupun terdapat banyak di negara lain."[2] The Master of Game kebanyakannya merupakan terjemahan bahasa Inggeris bagi sebuah karya berbahasa Perancis Kuno abad ke-14 karya Gaston III dari Foix-Béarn yang bertajuk Livre de Chasse.[3]

Pada tahun 1801, Sydenham Edwards menulis dalam Cynographia Britannica bahawa "spaniel darat" terbahagi kepada dua jenis: hawking, springing/springer, dan cocking/cocker spaniel.[4] Istilah "cocker" berasal daripada penggunaan anjing ini dalam pemburuan woodcock.[5] Semasa abad ke-19, "cocker spaniel" ialah sejenis spaniel padang kecil; pada masa itu, istilah ini merujuk sebilangan baka pemburu spaniel berlainan, termasuk spaniel Norfolk, spaniel Sussex, dan spaniel Clumber. Walaupun tiada cocker Sussex atau cocker Clumber yang wujud, sesetengah anjing dikenali sebagai cocker Wales dan cocker Devonshire.[6] Anjing Wales atau anjing Devonshire dianggap sebagai cocker sehingga tahun 1903, apabila kedua-duanya diiktiraf oleh The Kennel Club sebagai springerspaniel Wales.[7]

Sebuah lukisan tentang seekor kokerspaniel berwarna gelap, dari pandangan sisi, menghadap ke kiri
Juara kokerspaniel Amerika Ch. Obo II

Sebelum tahun 1870-an, satu-satunya syarat untuk seseekor anjing dikelaskan sebagai kokerspaniel ialah bahawa ia perlu berukuran lebih ringan daripada 25 paun (11 kg), walaupun pembiak baka memisahkan cocker daripada King Charles spaniel, yang kekal sebagai baka spaniel lebih kecil.[8] Batas berat maksimum ini kekal untuk kokerspaniel sehingga tahun 1900, dengan anjing lebih besar yang dikelaskan sebagai springerSspaniel.[9] Warna-warna cocker Devonshire dan cocker Wales diperihalkan oleh John Henry Walsh atas nama samaran Stonehenge dalam buku beliau The Dog in Health and Disease sebagai anjing dengan cahaya warna hati lebih pekat berbanding dengan cahaya warna spaniel Sussex.[10] Ikutan pembentukan The Kennel Club di United Kingdom pada tahun 1873, usaha dilakukan oleh para pembiak baka untuk merekodkan pedigri cocker dan springer. Pada tahun 1892, kokerspaniel Inggeris dan springerspaniel Inggeris diiktiraf sebagai baka berasingan oleh The Kennel Club.[11]

Dua ekor anjing dianggap sebagai induk asasi bagi kedua-dua baka moden kokerspaniel. Ch. Obo dianggap oleh para penggemar baka sebagai bapa kepada kokerspaniel Inggeris moden, sementara anak jantannya, Ch. Obo II, dianggap sebagai leluhur kepada kokerspaniel Amerika.[12] Obo lahir pada tahun 1879, apabila pendaftaran sebagai cocker masih hanya mengikut saiz dan bukan keleluhuran. Ia merupakan anak jantan kepada seekor spaniel Sussex dan seekor spaniel padang.[7] Walaupun Obo ialah anjing Inggeris, Obo II lahir di dalam wilayah Amerika – ibunya dikirimkan ke Amerika Syarikat semasa bunting.[12] Semasa hayatnya, Obo II didakwa dalam iklan sebagai bapa atau datuk kepada hampir setiap cocker pemenang hadiah di Amerika.[13]

Baka moden[sunting | sunting sumber]

Sebuah lukisan yang menunjukkan perbezaan ketinggian dan rupa bentuk tubuh bagi dua ekor anjing
Sebuah graf yang menunjukkan perbezaan ketinggian dan rupa bentuk antara kokerspaniel Amerika dengan kokerspaniel Inggeris

Dua baka kokerspaniel merupakan kokerspaniel Inggeris dan kokerspaniel Amerika.[14] Kedua-duanya dibiakbakakan sebagai gundog, untuk menggunakan deria bau, untuk meredah kawasan rendah dekat dengan pengendali untuk menggarah burung ke udara untuk ditembak, dan menggunakan mata dan hidung untuk mengesan burung itu sebaik dijatuhkan, dan kemudian mengutip burung itu dengan mulut lembut. Perbezaan utama antara keragaman Inggeris dengan keragaman Amerika ialah bahawa keragaman Amerika adalah lebih kecil dengan belakang lebih pendek, kepala berkubah, dan muncung lebih pendek, sementara keragaman Inggeris adalah lebih tinggi dengan kepala dan dada lebih sempit.[14]

Lapis bulu kokerspaniel terdapat dengan pelbagai warna, termasuk hitam, hati, merah, dan keemasan berwarna padu. Selain itu, hitam dan sawo matang, dan kadang-kadang hati dan sawo matang diketahui, serta pelbagai campuran warna bagi warna-warna padu tersebut termasuk kemerah-merahan, kemerah-merahan dan sawo matang, triwarna, dan warna-warna padu tersebut dengan tanda-tanda putih tambahan.

Warna-warna jarang dapat muncul secara tidak terjangka dalam susur galur tertentu, contohnya walaupun kokerspaniel putih menyeluruh biasanya dibiakbakakan dengan pembiakbakaan terpilih bagi strain keemasan sangat cerah, ia masih dapat lahir dengan sangat jarang daripada induk yang berwarna gelap. Kejadian ketara seperti ini berlaku pada tahun 1943, apabila seekor cucu kepada My Own Brucie, Best in Show dalam Pertunjukan Anjing Westminster Kennel Club pada tahun 1940 dan tahun 1941, lahir dengan warna putih menyeluruh.[15]

Di tanah airnya Amerika Syarikat, kokerspaniel Amerika ditempatkan sebagai baka ke-23 paling popular menurut statistik pendaftaran AKC pada tahun 2009, iaitu penurunan kepopularan sejak tahun 1999, semasa ditempatkan di kedudukan ke-13.[16] Selama 25 tahun, kokerspaniel Amerika ialah anjing paling popular di Amerika. Ia menduduki tempat pertama mula-mula pada tahun 1936 sebelum kokerspaniel Inggeris diiktiraf sebagai baka terpisah, dan kekal di keduduakn itu sehingga tahun 1952, apabila beagle menjadi anjing paling popular. Ia mendapat kedudukan itu semula pada tahun 1983 dan bertahan di nombor satu sehingga tahun 1990.[17] Di United Kingdom, kokerspaniel Amerika adalah jauh kurang popular berbanding dengan kokerspaniel Inggeris, dengan 322 pendaftaran berbanding dengan 22,211 pendaftaran kokerspaniel Inggeris pada tahun 2009.[18]

Kokerspaniel Inggeris[sunting | sunting sumber]

Seekor anjing berwarna kuning dengan telinga terkelepai yang berdiri dalam pandangan sisi: Lidahnya terjelir.
Seekor kokerspaniel Inggeris keemasan daripada strain pertunjukan

Baka ini, yang hanya dipanggil cocker spaniel di United Kingdom,[19] ialah baka yang pada asalnya diiktiraf oleh The Kennel Club (KC) pada tahun 1892. American Kennel Club (AKC) mengiktiraf kokerspaniel Inggeris sebagai baka terpisah pada tahun 1946.[14]

Saiz kokerspaniel Inggeris menurut KC ialah 15.5–16.0 inci (39–41 cm) pada paras kelasa untuk jantan dan 15.0–15.5 inci (38–39 cm) untuk betina. Berat anjing pertunjukan patut dalam lingkungan 28–32 paun (13–15 kg).[19]

Kokerspaniel Inggeris ialah baka paling berjaya dalam pertunjukan anjing paling popular di United Kingdom, Crufts, dengan tujuh kemenangan best-in-show sejak hadiah itu pertama kali dianugerahkan pada tahun 1928.[20] Ini kebanyakannya disebabkan oleh kejayaan Ware Kennel milik pembiak baka anjing H.S. Lloyd, anjing yang dari sana memenangi best-in-show dalam enam acara pada antara tahun 1930–1950.[21] Ia merupakan baka anjing kedua paling popular di United Kingdom menurut statistik yang dikeluarkan oleh KC dengan 22,211 pendaftaran pada tahun 2009, yang hanya dikalahkan oleh anjing pengutip Labrador dengan 40,943 pendaftaran. Yang di tempat ketiga ialah springerspaniel Inggeris dengan 12,700 pendaftaran.[22] Kepopularan kokerspaniel Inggeris telah meningkat dengan mantap sejak tahun 1999 di Amerika Syarikat apabila ditempatkan di kedudukan ke-76 dari segi pendaftaran oleh AKC, hingga tahun 2009 apabila ditempatkan di kedudukan ke-66.[16]

Perbezaan fizikal wujud antara strain pertunjukan dengan strain pekerja di United Kingdom. Walaupun strain pertunjukan dibiakbakakan mengikut piawaian pengakuran, strain pekerja dibiakbakakan untuk keupayaan kerja dan, oleh itu, beberapa perbezaan fizikal telah muncul. Anjing jenis pekerja cenderung lebih besar dengan kepala lebih rata dan telinga lebih pendek. Lapis bulunya juga cenderung lebih pendek dan lebih halus daripada keragaman pertunjukan dan mempunyai kurang jumbai. Strain pekerja kelihatannya lebih bertenaga daripada strain pertunjukan.

Kokerspaniel Amerika[sunting | sunting sumber]

Sebuah anjing berwarna kuning yang menghala sedikit ke arah kamera sambil berdiri di atas meja di salon pendandanan
Seekor kokerspaniel Amerika yang baru didandan

Kokerspaniel Amerika diiktiraf oleh AKC pada tahun 1878. Dengan saiz yang pada umumnya lebih kecil daripada kokerspaniel Inggeris, kelas berasingan diwujudkan untuk kedua-dua jenis di Amerika pada tahun 1935 dan Cocker Spaniel Club of America tidak menggalakkan pembiakbakaan antara kedua-dua jenis pada tahun 1938.[14] Kokerspaniel Amerika diiktiraf sebagai baka terpisah oleh KC di United Kingdom pada tahun 1970. Kokerspaniel Amerika dirujuk sebagai cocker spaniel di Amerika Syarikat.[14]

Kokerspaniel Amerika dibiakbakakan dengan saiz lebih kecil, kerana woodcock Amerika adalah lebih kecil daripada woodcock Eropah dan penampilan baka ini berubah sedikit semasa bahagian pertama abad ke-20, kerana keutamaan oleh para pembiak baka Amerika adalah untuk penampilan lebih bergaya.[7] Saiz piawai menurut AKC ialah 14.5–15.5 inci (37–39 cm) pada paras kelasa untuk jantan dan 13.5–14.5 inci (34–37 cm) untuk betina.[23] Berat baka ini biasanya dalam lingkungan 24–30 paun (11–14 kg).[24]

Dalam Pertunjukan Anjing Westminster Kennel Club, pertunjukan anjing paling berprestij di Amerika Syarikat,[25] kokerspaniel Amerika telah memenangi Best in Show sebanyak empat kali sejak anugerah pertamanya pada tahun 1907. Baka paling berjaya ialah terier rubah dawai dengan 13 kemenangan.[26] Kokerspaniel Amerika dihakimi dalam tiga kelas baka berasingan di bawah peraturan AKC; "hitam", "warna-warni", dan "sebarang warna padu selain hitam..." (ASCOB).[27]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Catatan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Jawi: کوکرسڤانيئل; کوکر سڤانيئل; bahasa Inggeris: cocker spaniel

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Kutipan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Sucher (1999): hlm. 7
  2. ^ York (1909): hlm. 119
  3. ^ York (1909): hlm. xii
  4. ^ Smith, A.C. (1932). Gun Dogs - Their Training, Working and Management (dalam bahasa Inggeris). London, United Kingdom: Seeley, Service & Co. m/s. 89.
  5. ^ Case, Linda P. (2005). The Dog: Its Behavior, Nutrition, and Health (dalam bahasa Inggeris) (ed. ke-2). Ames, Iowa, Amerika Syarikat: Wiley-Blackwell. m/s. 32. ISBN 978-0-8138-1254-0.
  6. ^ Walsh, John Henry (1906). The Dogs Of Great Britain, America, And Other Countries. Their Breeding, Training, and Management in Health and Disease (dalam bahasa Inggeris). New York, Amerika Syarikat: Orange Judd Company.
  7. ^ a b c "The Cocker Spaniel: Fine Feathered Friend" (dalam bahasa Inggeris). Dog & Kennel. 1999. Diarkibkan daripada yang asal pada 10 Ogos 2009.
  8. ^ Sucher (1999): hlm. 8
  9. ^ Kolehouse, Bobbie. "Dusting Off History to Look at Cocker Hunting Tradition" (dalam bahasa Inggeris). Spaniel Journal. Diarkibkan daripada yang asal pada 15 Februari 2010. Dicapai pada 8 Jun 2024.
  10. ^ Walsh (1887): hlm. 109
  11. ^ Palika (2009): hlm. 19
  12. ^ a b Palika (2009): hlm. 21
  13. ^ "Obo II Stud Card" (PDF) (dalam bahasa Inggeris). American Spaniel Club. Dicapai pada 8 Jun 2024.
  14. ^ a b c d e Riggsbee, Nikki (2008). Training Your Cocker Spaniel (dalam bahasa Inggeris). Hauppauge, New York, Amerika Syarikat: Barron's Educational Series. m/s. 3. ISBN 978-0-7641-4035-8. cocker spaniel 1946.
  15. ^ "White Cocker: "Brucie" grandson is rare color" (dalam bahasa Inggeris). Life. 13 Disember 1943. m/s. 40. Dicapai pada 8 Jun 2024.
  16. ^ a b "AKC Dog Registration Statistics" (dalam bahasa Inggeris). American Kennel Club. Dicapai pada 8 Jun 2024.
  17. ^ "AKC Registration Statistics Fact Sheet" (dalam bahasa Inggeris). American Kennel Club. Dicapai pada 8 Jun 2024.
  18. ^ "Quarterly Registration Statistics for the Gundog Group" (PDF) (dalam bahasa Inggeris). The Kennel Club. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 2 Disember 2008. Dicapai pada 8 Jun 2024.
  19. ^ a b "Spaniel (Cocker) Breed Standard" (dalam bahasa Inggeris). The Kennel Club. Disember 2008. Diarkibkan daripada yang asal pada 2 April 2010. Dicapai pada 8 Jun 2024.
  20. ^ Hogan, Michael (7 Mac 2019). "10 things you didn't know about Crufts". The Telegraph (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 12 Januari 2022.
  21. ^ Jackson, Frank (1990). Crufts: The Official History (dalam bahasa Inggeris). London, United Kingdom: Pelham Books. m/s. 198–200. ISBN 0-7207-1889-9.
  22. ^ "Top Twenty Breeds in Registration Order for the Years 2008 and 2009" (PDF) (dalam bahasa Inggeris). The Kennel Club. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 16 Mei 2011. Dicapai pada 8 Jun 2024.
  23. ^ "AKC Meet the Breeds: Cocker Spaniel" (dalam bahasa Inggeris). American Kennel Club. Diarkibkan daripada yang asal pada 25 Februari 2010. Dicapai pada 8 Jun 2024.
  24. ^ Palika, Liz (31 Ogos 2007). The Howell Book of Dogs: The Definitive Reference to 300 Breeds and Varieties (dalam bahasa Inggeris). Hoboken, New Jersey, Amerika Syarikat: John Wiley & Sons. m/s. 206. ISBN 978-0-470-00921-5. Dicapai pada 8 Jun 2024.
  25. ^ Del Rosario, Ron (17 Februari 2010). "Westminster Dog Show 2010 Results : Best in Show Results" (dalam bahasa Inggeris). The Daily Inquirer. Diarkibkan daripada yang asal pada 20 Februari 2010. Dicapai pada 8 Jun 2024.
  26. ^ "Best-in-show Winners" (dalam bahasa Inggeris). Westminster Kennel Club. Diarkibkan daripada yang asal pada 25 Disember 2007. Dicapai pada 8 Jun 2024.
  27. ^ "2010 Breed Judging Results" (dalam bahasa Inggeris). Westminster Kennel Club. 16 Februari 2010. Diarkibkan daripada yang asal pada 19 April 2010. Dicapai pada 8 Jun 2024.

Bibliografi[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]