Übermensch

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Friedrich Nietzsche pada 1869

Übermensch (bahasa Jerman bagi "melampaui manusia" atau "manusia atasan", daripada über "atas" + Mensch "manusia"; Sebutan bahasa Jerman: [ˈʔyːbɐmɛnʃ]) merupakan satu konsep dalam falsafah Friedrich Nietzsche. Dalam bukunya Also sprach Zarathustra dari tahun 1883, Nietzsche menggambarkan wataknya Zarathustra sebagai menganjurkan Übermensch sebagai matlamat segala manusia. Ia merupakan karya alegori falsafah yang serupa strukturnya dengan Gathas oleh Zoroaster/Zarathustra.

"Kedunia-inian"[sunting | sunting sumber]

Nietzsche memperkenalkan konsep Übermensch sebagai kontras kepada pemahaman beliau terhadap 'kedunialainan' agama Kristian, di mana watak Zarathustra jelas mengumumkan kehendak sang Übermensch untuk memberikan makna kehidupan di bumi, serta memperingatkan para pengikutnya untuk tidak mengendahkan sesiapa yang menjanjikan kepuasan di dunia lain untuk mengalihkan mereka dari hal-hal duniawi.[1][2] Katanya, manusia dihindarkan dari duniawi oleh rasa tidak puas hati dengan kehidupan yang menyebabkan diri yang sengsara itu membayangkan satu lagi dunia yang akan memuaskan rasa dendamnya. Sang Übermensch merebut dunia fana dengan nikmat dan kesyukuran.

Zarathustra juga berhujah bahawa perpisahan dari dunia dalam ajaran Kristian juga memerlukan penciptaan roh yang kekal abadi, yang berasingan daripada jasad fana, sekali gus menjurus kepada sikap mengetepikan dan memperendahkan jasad, atau asetisisme. Zarathustra juga mengaitkan Übermensch dengan jasad serta mentafsirkan roh sebagai sekadar satu segi dalam badan.[3]

Sebagai matlamat[sunting | sunting sumber]

Zarathustra mula-mula mengisytiharkan Übermensch sebagai matlamat yang boleh ditentukan oleh manusia itu sendiri. Segala kehidupan manusia akan mendapat erti daripada caranya memajukan generasi manusia yang baharu. Misalnya, kaum wanita akan bercita-cita untuk melahirkan seorang Übermensch, dan cita-cita inilah yang akan menjadi kayu ukur hubungan wanita dengan kaum lelaki.[4]

Zarathustra memperbandingkan Übermensch dengan manusia terakhir yang terhina dari kemodenan egalitarian, iaitu satu matlamat alternatif yang boleh disasarkan oleh manusia. Manusia terakhir itu hanya terdapat dalam Also sprach Zarathustra dan disampaikan sebagai penghapusan aspirasi yang berlawanan dengan erti makna Übermensch.

Menurut Rüdiger Safranski, sesetengah pengulas mengaitkan konsep Übermensch dengan program eugenik,[5] lebih-lebih lagi jika dipertimbangkan dari segi matlamat yang ingin ditentukan oleh kaum manusia. Ada di antara mereka yang beranggapan bahawa pemecahan segala psikologi kepada fisiologi itu membayangkan bahawa manusia boleh dibiakkan untuk mencapai ciri-ciri kebudayaan. Tafsiran ini lebih bertumpukan masa depan manusia daripada seorang individu yang membawa bencana. Tiadanya kata sepakat yang mengenai cara-cara konsep Übermensch berhubung kait dengan penciptaan nilai-nilai baharu.

Nazisme[sunting | sunting sumber]

Istilah Übermensch sering diperalatkan oleh Hitler dan rejim Nazi untuk menggambarkan gagasan mereka tentang sebuah ras pertuanan Aryan atau Jermanik yang terunggul dari segi ciri-ciri biologi;[6] satu versi Übermensch yang berbaur rasis telah menjadi dasar falsafah untuk idea-idea Sosialis Nasional.[7][8] Gagasan bangsa pertuanan Nazi ini juga mencetuskan idea bahawa adanya "manusia bawahan" (Untermenschen) yang harus ditakluki dan diperhambakan; istilah ini sudah tentu tidak didatangkan oleh Nietzsche yang pernah mengutuk sentimen antisemitik dan nasionalisme Jerman. Nietzsche di akhir hayatnya percaya bahawa beliau sebenarnya berketurunan bukan Jerman tetapi Poland dengan kata-kata berikut, "Saya ialah bangsawan berdarah jadi Poland tanpa setitis pun darah campur, apatah lagi darah Jerman".[9] Dalam menentang doktrin nasionalis, beliau mendakwa bahawa dirinya dan negara Jerman unggul hanya kerana terdapat "darah Poland yang mengalir dalam jasad mereka",[10] malah beliau mengehendaki agar "semus antisemit (pembenci Yahudi) ditembak". Nietzsche sudah lama meninggal sebelum pemerintahan Hitler, dan kata-kata beliau itu diperalatkan oleh adik beliau iaitu Elisabeth Förster-Nietzsche supaya serasi dengan pandangan dunia dirinya dan juga suaminya, seorang nasionalis dan antisemit terkenal yang bernama Bernhard Förster.[11] Förster menubuhkan Deutscher Volksverein (Liga Rakyat Jerman) bersama Max Liebermann von Sonnenberg pada tahun 1881.[12]

Anarkisme[sunting | sunting sumber]

Fahaman Nietzsche amat mempengaruhi penganut fahaman anarkisme. Tulis Spencer Sunshine: "Ada banyak perkara yang mengiblatkan para anarkis ke arah Nietzsche, iaitu bahawa beliau:

  • benci kepada daulat negeri
  • kesal dengan perilaku sosial 'kawanan' (masyarakat kolektif) yang tidak berakal
  • menentang agama Kristian; sangsi terhadap kesan pasaran dan daulat negeri terhadap penghasilan budaya
  • berhasrat akan seorang 'adimanusia', iaitu manusia baharu yang bukanlah tuan mahupun hamba
  • memuji diri-diri yang gembira dan berdaya cipta (ecstatic and creative) dengan seniman selaku prototaip beliau yang boleh mengiyakan pembentukan sendiri sebuah dunia baharu yang tidak berasaskan apa-apa pun
  • dan mengemukakan 'pemindahan nilai-nilai' (transvaluation of values) sebagai punca perubahan sebagai ganti kepada konsepsi perjuangan kelas dari Marxisme serta dialektik tentang sejarah linear."[13]

Anarkis Amerika berpengaruh Emma Goldman dalam mukadimah koleksi tersohor Anarchism and Other Essays membela Nietzsche dan Max Stirner dari kecaman daripada rakan-rakan seperjuangan dengan kata-kata berikut: "Kecenderungan umum yang paling dikesali di kalangan pembaca adalah mengerat sepatah ayat dari satu karya sebagai kriteria bagi gagasan atau personaliti si pengarangnya. Sebagai contoh, Friedrich Nietzsche dikecam sebagai pembenci orang lemah semata-mata kerana beliau percaya akan Übermensch. Tidaklah disedari oleh para pentafsir cetek akan sang akal gergasi itu bahawa wawasan Übermensch ini juga menyeru akan sebuah tata masyarakat yang tidak akan melahirkan kaum orang lemah dan hamba."[14]

Sunshine mengulas bahawa "golongan anarkis Sepanyol juga mencampuradukkan politik kelas dengan inspirasi gagasan Nietzsche." Murray Bookchin dalam The Spanish Anarchists menggambarkan seorang anarkis Sepanyol bernama Salvador Seguí sebagai "mengagumi individualisme dalam gagasan Nietzsche, mengenai superhombre yang 'diperbolehkan segala-galanya'." Bookchin, dalam pendahuluan kepadaThe Anarchist Collectives oleh Sam Dolgoff (1973), turut menghuraikan pembentukan semula masyarakat oleh kaum buruh sebagai sebuah projek berasaskan gagasan Nietzsche. Kata Bookchin, "kaum pekerja harus melihat diri mereka sebagai manusia dan bukannya ahli sesebuah darjat; sebagai personaliti yang kreatif dan bukannya sebagai murba; sebagai individu yang tegas dengan diri sendiri dan bukannya sebagai orang keramaian ... komponen ekonomi itu mesti diberi sentuhan insani dengan mendatangkan semangat setiakawan (affinity of friendship) ke dalam proses kerja dengan mengurangkan peranan kerja kasar dalam kehidupan para pengeluar, sesungguhnya menerusi pemindahan nilai-nilai sepenuhnya (memetikm kata-kata Nietzsche) seperti yang diterapkan dalam pengeluaran dan penggunaan di samping juga kehidupan sosial dan peribadi."[13]

Dalam budaya popular[sunting | sunting sumber]

Adiwira Superman, ketika dicipta oleh Jerome "Jerry" Siegel, pada asalnya merupakan penjahat yang terbentuk berdasarkan gagasan Nietzsche (rujuk "The Reign of the Superman"). Watak tersebut diolah semula menjadi wira oleh pelukisnya Joseph "Joe" Shuster, sehinggalah rupanya jauh berbeza daripada yang asal. Namun demikian, Superman menemui musuh ketat yang dikatakan lebih mendekati konsep Übermensch ala Nietzsche berbanding watak Superman itu sendiri, iaitu Lex Luthor. Sebelum Luthor lagi adalah seorang penjahat yang menyerupai konsep asal Superman oleh Siegel yang memakai nama yang sinonim iaitu 'Ultra-Humanite'. Istilah Übermensch disebut terang-terang dalam episod "Double Trouble" dalam siri TV Adventures of Superman, di mana seorang watak berbahasa Jerman memaki Superman dengan ungkapan "verfluchter Übermensch" ("Superman terkutuk").[15] Dalam musim ke-10 siri drama Smallville, seorang watak Lionel Luthor yang alternate menggelar sebagai "Übermensch". Overman merupakan satu versi alternatif Superman dari dunia Earth-10, di mana pihak Paksi (Axis) memenangi Perang Dunia Kedua.[16]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Hollingdale, R. J. (1961), page 44 - English translation of Zarathustra's prologue; "I love those who do not first seek beyond the stars for reasons to go down and to be sacrifices: but who sacrifice themselves to the earth, that the earth may one day belong to the Superman"
  2. ^ Nietzsche, F. (1885) - p. 4, Original publication - "Ich liebe die, welche nicht erst hinter den Sternen einen Grund suchen, unterzugehen und Opfer zu sein: sondern die sich der Erde opfern, dass die Erde einst des Übermenschen werde."
  3. ^ Nietzsche, Friedrich (2003). Thus Spoke Zarathustra. London: Penguin Books. m/s. 61. ISBN 978-0-140-44118-5.
  4. ^ Thus Spoke Zarathustra, I.18; Lampert, Nietzsche's; Rosen, Mask of Enlightenment, 118.
  5. ^ Safranski, Nietzsche, 262-64, 266-68.
  6. ^ Alexander, Jeffrey (2011). A Contemporary Introduction to Sociology (ed. 2nd). Paradigm. ISBN 978-1-61205-029-4.
  7. ^ "Nietzsche inspired Hitler and other killers - Page 7", Court TV Crime Library
  8. ^ "Archived copy". Diarkibkan daripada yang asal pada 2012-03-13. Dicapai pada 2010-04-19.CS1 maint: archived copy as title (link)
  9. ^ Friedrich Nietzsche, "Ecce Homo: How One Becomes What One Is" [1]
  10. ^ Henry Louis Mencken, "The Philosophy of Friedrich Nietzsche", T. Fisher Unwin, 1908, reprinted by University of Michigan 2006, pg. 6, [2]
  11. ^ Hannu Salmi (1994). "Die Sucht nach dem germanischen Ideal" (dalam bahasa Jerman). Also published in Zeitschrift für Geschichtswissenschaft 6/1994, pp. 485-496
  12. ^ Karl Dietrich Bracher, The German Dictatorship, 1970, pp. 59-60
  13. ^ a b "Spencer Sunshine: "Nietzsche and the Anarchists" (2005)". 18 May 2010.
  14. ^ "Anarchism and Other Essays" – melalui theanarchistlibrary.org.
  15. ^ Grossman, Gary (1976). Superman: Serial to Cereal. New York: Popular Library. m/s. 67. ISBN 0445040548.
  16. ^ Grant Morrison (penulis), Doug Mahnke (pelakar), Christian Alamy, Rodney Ramos, Tom Nguyen, Walden Wong (pendakwat). Final Crisis: Superman Beyond 1 (October 2008), DC Comics