Pergi ke kandungan

Ōkubo Toshimichi

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Ōkubo Toshimichi
大久保 利通
Ōkubo pada 1872
Tuan Dalam Negeri
Dalam jawatan
28 November 1874 – 15 Mei 1878
RajaMeiji
Didahului olehItō Hirobumi
Digantikan olehItō Hirobumi
Dalam jawatan
27 April 1874 – 2 Ogos 1874
RajaMeiji
Didahului olehKido Takayoshi
Digantikan olehItō Hirobumi
Dalam jawatan
29 November 1873 – 14 Februari 1874
RajaMeiji
Didahului olehJawatan diperkenalkan
Digantikan olehKido Takayoshi
Menteri Kewangan
Dalam jawatan
27 Jun 1871 – 12 Oktober 1873
RajaMeiji
Didahului olehŌki Takatō
Digantikan olehŌkuma Shigenobu
Maklumat peribadi
Lahir(1830-09-26)26 September 1830
Kagoshima, Satsuma, Jepun
Meninggal dunia14 Mei 1878(1878-05-14) (umur 47)
Kioichō, Tokyo, Jepun
Cause of deathPembunuhan
Tempat semadiPerkuburan Aoyama
PasanganHayasaki Masako (k. 1858)
Anak9, termasuk Makino Nobuaki
PekerjaanSamurai, ahli politik
Dikenali dengan

Ōkubo Toshimichi (Jepun: 大久保 利通; 26 September 1830 – 14 Mei 1878) merupakan seorang negarawan Jepun dan samurai dari Domain Satsuma. Dianggap sebagai salah seorang pengasas utama Jepun moden, beliau merupakan salah seorang daripada "Tiga Bangsawan Agung Pemulihan" yang memimpin Pemulihan Meiji pada tahun 1868, bersama Kido Takayoshi dan Saigō Takamori. Dasar-dasarnya yang sering dicirikan oleh sikap realistik dan penekanan terhadap kekuatan negara (fukoku kyōhei), telah mendorong sesetengah sejarawan membandingkan peranannya di Jepun dengan peranan Otto von Bismarck di Prusia.

Memulakan kerjayanya sebagai pengikut berpangkat rendah di Satsuma, Ōkubo muncul sebagai tokoh utama dalam gerakan untuk menggulingkan Keshogunan Tokugawa. Selepas pemulihan pemerintahan maharaja, beliau menjadi pemimpin penting dalam kerajaan Meiji yang baharu. Sebagai ahli majlis junior dan kemudiannya memegang jawatan menteri utama, beliau merupakan arkitek utama pembentukan negara baharu, memacu pembaharuan yang membongkar struktur feudal lama. Pencapaian terpenting beliau dalam tempoh ini ialah pemansuhan sistem han pada tahun 1871, yang memusatkan pentadbiran negara di bawah kerajaan Tokyo.

Ōkubo berkhidmat sebagai naib duta dalam Misi Iwakura (1871–1873), mengembara ke Amerika Syarikat dan Eropah. Pengalaman tersebut mengukuhkan keyakinannya bahawa Jepun perlu mengutamakan pemodenan dalaman sebelum melibatkan diri dalam usaha luar negara. Selepas kembali ke Jepun, beliau berjaya menentang cadangan untuk menyerang Korea (Seikanron) pada Oktober 1873, yang seterusnya membawa kepada perpecahan politik dengan bekas sekutunya, Takamori. Setelah dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri pada November 1873, Ōkubo mengukuhkan kuasanya dan menjadi tokoh dominan dalam oligarki Meiji. Beliau kemudian menumpukan perhatian kepada usaha perindustrian yang dipimpin oleh negara serta menindas beberapa pemberontakan samurai yang mencabar kerajaan pusat, termasuk Pemberontakan Saga dan Pemberontakan Satsuma.

Pada tahun 1878, Ōkubo telah dibunuh oleh sekumpulan samurai yang tidak berpuas hati dan menuduhnya bersikap zalim. Walaupun kontroversi kerana kaedah pemerintahannya yang autoritarian, Ōkubo dikenang atas kebijaksanaan politiknya dan visinya yang teguh. Kepimpinannya semasa tempoh awal Meiji yang bergolak memainkan peranan penting dalam mengubah Jepun daripada sebuah negara feudal kepada sebuah negara bangsa moden dan berperindustrian.

Kehidupan awal dan pendidikan

[sunting | sunting sumber]

Ōkubo Toshimichi dilahirkan pada 26 September 1830 di Kajiyamachi, sebuah kawasan bandar istana Kagoshima dalam Domain Satsuma, Jepun. Beliau berasal daripada keluarga samurai berpangkat rendah. Bapanya, Ōkubo Jūemon menerima pendapatan yang kecil dan keluarga mereka hidup dalam keadaan serba kekurangan sehingga Jūemon memperoleh jawatan kecil dalam pentadbiran domain. Jūemon dikenali sebagai seorang yang berfikiran terbuka dan bergaul dengan pelbagai lapisan masyarakat, serta mendalami falsafah Ōyōmei dan Zen Buddhisme. Datuk sebelah ibu Ōkubo pula ialah seorang tabib terkenal yang mempelajari sains dan teknologi Barat serta menyedari kelemahan Jepun dari segi ketenteraan maritim.

Sebagai anak lelaki tunggal dalam keluarga besar, Ōkubo dibesarkan mengikut tradisi samurai Satsuma yang ketat. Sejak kecil, beliau mendapat pendidikan di institusi tempatan khas di Kagoshima yang melatih kanak-kanak lelaki dalam disiplin ketenteraan, pembelajaran akademik dan pembentukan watak. Pendidikan ini menekankan keberanian ketenteraan dan penguasaan ilmu, termasuk seni mempertahankan diri serta pengajian teks klasik Konfusius dan sejarah Jepun. Sebagai anak kepada seorang samurai, beliau juga berpeluang mengikuti pendidikan di institusi rasmi domain. Walaupun menerima latihan ketenteraan, kesihatan fizikalnya yang lemah menyebabkan beliau tidak menonjol dalam bidang tersebut.

Keterbatasan fizikal mendorong Ōkubo menumpukan perhatian kepada bidang intelektual. Beliau menjadi seorang pembaca yang tekun dan mendalami falsafah Zen serta aliran Ōyōmei bersama sahabatnya pada usia kanak-kanak, Saigō Takamori. Ajaran-ajaran ini yang menekankan disiplin diri, renungan dalaman dan pemahaman intuitif, memberi pengaruh besar terhadap pemikirannya. Keupayaan akademiknya yang tinggi membolehkan beliau dilantik sebagai pembantu arkib dalam pentadbiran Domain Satsuma ketika berusia enam belas tahun.

Bagaimanapun, kehidupan awal Ōkubo turut dicemari kesukaran besar. Pada tahun 1849, bapanya terlibat dalam konflik politik dalaman Satsuma yang bertujuan menyingkirkan penasihat konservatif dan menyokong pewaris yang sah. Konflik ini berakhir dengan kegagalan, menyebabkan ramai reformis ditangkap dan dihukum. Jūemon dibuang negeri, manakala Ōkubo sendiri dituduh terlibat secara tidak langsung, dilucutkan jawatan dan dikenakan tahanan rumah selama enam bulan. Tempoh antara 1849 hingga 1853 menjadi zaman yang amat sukar dan penuh kemiskinan bagi keluarga Ōkubo, namun pengalaman inilah yang membentuk ketabahan dan keteguhan peribadi beliau pada masa hadapan.

Kebangkitan di Satsuma

[sunting | sunting sumber]

Nasib keluarga Ōkubo dan golongan progresif di Satsuma bertambah baik apabila Shimazu Nariakira dilantik sebagai pemimpin baharu Domain Satsuma pada tahun 1851. Nariakira merupakan seorang reformis yang berminat terhadap ilmu Barat dan melaksanakan pembaharuan menyeluruh untuk memperkukuh pentadbiran serta pertahanan ketenteraan domain, termasuk penubuhan gudang senjata dan limbungan kapal. Dasarnya menekankan pembukaan negara demi memperkukuh kekuatan, sejajar dengan matlamat fukoku kyōhei di peringkat tempatan.

Nariakira mengenal pasti kebolehan Ōkubo dan memulihkan kedudukannya pada tahun 1853 dengan mengampunkannya serta mengembalikannya ke jabatan arkib, manakala bapanya dibenarkan pulang daripada buangan pada tahun 1855. Pada tahun 1858, Ōkubo dan Saigō Takamori dinaikkan pangkat sebagai pegawai pemeriksa, dan Ōkubo kemudiannya dilantik mengurus beras ufti, satu jawatan yang membantu memperbaiki keadaan kewangan keluarganya. Walaupun berterima kasih kepada Nariakira, Ōkubo dan golongan muda radikal tidak berpuas hati dengan keengganan beliau menyingkirkan penasihat konservatif. Namun demikian, Ōkubo tetap menghormati Nariakira dan menyokong pandangannya yang menekankan kesetiaan kepada maharaja serta kerjasama antara istana dan keshogunan.

Kematian Nariakira pada Ogos 1858 menjadi tamparan hebat kepada golongan progresif. Ōkubo dan Saigō kehilangan jawatan dan berdepan kesukaran besar. Saigō mengalami kemurungan yang mendalam, namun Ōkubo berjaya menenangkan dan menghalangnya daripada bertindak lebih jauh. Pengalaman pahit ini dikatakan membentuk Ōkubo menjadi seorang reformis yang lebih serius, tabah, bertekad dan berfikiran strategik.

Peranan dalam Pemulihan Meiji

[sunting | sunting sumber]
Ōkubo Toshimichi memakai seragam ketenteraan.

Selepas kematian Nariakira, Ōkubo dan beberapa samurai Satsuma bertekad bertindak sendiri dengan merancang tindakan radikal terhadap kerajaan Bakufu, termasuk pembunuhan tokoh-tokoh utama bagi memaksa pembaharuan menyeluruh. Namun demikian, rancangan ini ditangguhkan apabila daimyo Satsuma, Shimazu Tadayoshi dan bapanya Shimazu Hisamitsu menasihatkan supaya bersabar. Dalam tempoh ini, pandangan politik Ōkubo menjadi lebih sederhana. Beliau cenderung kepada pendekatan kerjasama antara istana maharaja dan Bakufu, dengan peranan maharaja diperkukuh, serta berusaha mendapatkan sokongan Hisamitsu melalui cara diplomatik dan berhati-hati.

Pembunuhan Ii Naosuke pada tahun 1860 meningkatkan ketegangan politik negara. Ōkubo yang semakin berpengaruh dalam pentadbiran Satsuma, menggunakan kedudukannya untuk melaksanakan pembaharuan dalaman domain dan menyokong usaha Hisamitsu mendapatkan mandat maharaja bagi menyusun semula Bakufu. Dalam tempoh ini juga, perbezaan pandangan antara Ōkubo dan Saigō Takamori semakin ketara, dengan Ōkubo memilih pendekatan sederhana berbanding sikap Saigō yang lebih ekstrem. Misi Hisamitsu ke Kyoto membawa kepada penindasan golongan radikal Satsuma sendiri, namun seterusnya membolehkan Satsuma menekan Bakufu sehingga tercapai pelantikan semula tokoh-tokoh reformis dalam kerajaan pusat.

Insiden Richardson dan pengeboman British ke atas Kagoshima pada tahun 1863 memberi kesan besar kepada pemikiran Ōkubo. Beliau menyedari keunggulan ketenteraan Barat dan keperluan mendesak untuk Jepun memodenkan negara sendiri. Kesedaran ini mendorong perubahan dasar beliau daripada kerjasama dengan Bakufu kepada penentangan terbuka, dan akhirnya menyokong usaha menggulingkan keshogunan sepenuhnya.

Ōkubo kemudian bekerjasama rapat dengan bangsawan istana Iwakura Tomomi untuk mendapatkan perkenan maharaja bagi menamatkan pemerintahan Tokugawa. Beliau memainkan peranan utama dalam rampasan kuasa pada 3 Januari 1868 yang mengisytiharkan pemulihan pemerintahan maharaja. Dalam kerajaan baharu Meiji, Ōkubo sebagai ahli majlis junior memegang kuasa besar dan menjadi tokoh penting dalam Perang Boshin. Selepas kemenangan pihak kerajaan di Pertempuran Toba–Fushimi, beliau turut mempengaruhi keputusan untuk menyelamatkan nyawa Tokugawa Keiki, satu langkah kompromi yang membantu menstabilkan peralihan kuasa.

Kerjaya di kerajaan Meiji

[sunting | sunting sumber]

Ōkubo Toshimichi merupakan arkitek utama pembentukan negara Meiji yang baharu dan memainkan peranan yang amat penting antara tahun 1868 hingga 1871 dalam usaha menstabilkan serta mengukuhkan kerajaan pusat. Falsafah politiknya bersifat pragmatik dan berfokus kepada pengukuhan negara Jepun. Beliau percaya bahawa Jepun belum bersedia untuk demokrasi penuh, sebaliknya menyokong sistem monarki berperlembagaan secara berperingkat, di mana kuasa dikongsi antara pemerintah dan rakyat, namun maharaja tetap memegang peranan utama. Walaupun sering menggunakan pendekatan autoritarian, matlamat utamanya ialah kelangsungan negara dan pemodenan, menjadikannya tokoh penting dalam pembinaan Jepun moden yang berpusat dan berdaulat. Dalam bidang ekonomi, beliau menekankan dasar fukoku kyōhei, dengan sokongan kuat kerajaan terhadap pembangunan perindustrian bagi menjamin kekuatan negara.

Pada peringkat awal pemerintahan Meiji, Ōkubo melaksanakan beberapa langkah penting untuk menanam keyakinan terhadap kerajaan baharu. Beliau menganjurkan perarakan ketenteraan gabungan tentera domain di Kyoto pada Januari 1868 dan memegang jawatan dalam Jabatan Hal Ehwal Dalam Negeri dalam struktur pentadbiran baharu. Ōkubo juga menjadi penyokong kuat pemindahan ibu kota maharaja dari Kyoto ke bekas ibu kota shogun, Edo yang akhirnya dinamakan Tokyo. Pemindahan ini dibuat atas pertimbangan strategik, infrastruktur yang sedia ada dan sumber manusia, serta bertujuan memperkukuh kawalan kerajaan pusat. Walaupun peranannya dalam penggubalan Sumpah Piagam 1868 terhad, Ōkubo menyokong dokumen tersebut sebagai alat untuk menyatukan negara dan mendapatkan sokongan kewangan bagi kerajaan Meiji.

Pemansuhan feudalisme

[sunting | sunting sumber]

Langkah penting ke arah pemusatan kuasa ialah pelaksanaan hanseki hōkan, iaitu penyerahan tanah dan daftar penduduk oleh para daimyō kepada Maharaja Jepun. Walaupun idea ini dicetuskan oleh Kido Takayoshi dan pada awalnya Ōkubo ragu tentang masa pelaksanaannya, beliau akhirnya menyokong langkah tersebut kerana kepentingannya untuk mengukuhkan pemerintahan empayar. Pada tahun 1869, domain-domain utama menyerahkan wilayah mereka, dan para daimyō dilantik semula sebagai gabenor empayar.

Selepas itu, Ōkubo menumpukan perhatian kepada peningkatan kualiti pentadbiran kerajaan dengan menghantar bangsawan dan samurai berbakat ke luar negara serta menyelaraskan pentadbiran domain dengan kerajaan pusat. Usaha ini mencapai kemuncaknya dengan haihan chiken pada Ogos 1871, iaitu pemansuhan sistem domain dan penubuhan wilayah pentadbiran moden. Pembaharuan besar ini membongkar sistem feudal dan meletakkan Jepun sepenuhnya di bawah kawalan kerajaan pusat, hasil perancangan tegas Ōkubo bersama Kido dan Saigō.

Misi Iwakura dan dasar domestik

[sunting | sunting sumber]
Ōkubo di San Francisco, Amerika Syarikat

Ōkubo merupakan tokoh penting dalam Misi Iwakura (1871–1873) sebagai naib duta, yang mengunjungi Amerika Syarikat dan Eropah. Walaupun misi ini gagal mencapai matlamat utama untuk menyemak semula perjanjian berat sebelah, ia memberi peluang kepada Ōkubo meneliti kemajuan institusi dan budaya Barat. Beliau sangat terkesan dengan kemajuan perindustrian Britain dan pertemuannya dengan Otto von Bismarck di Prusia, yang mengukuhkan keyakinannya terhadap kepentingan kekuatan negara dan pendekatan realistik dalam politik. Sepanjang misi ini, beliau turut menghantar anak-anaknya belajar di sekolah Barat. Usaha menyemak perjanjian yang belum matang memaksa beliau pulang sementara ke Jepun untuk mendapatkan mandat rasmi, sekali gus melewatkan perjalanan misi tersebut.

Sekembalinya Ōkubo ke Jepun pada tahun 1873, beliau mendapati kerajaan sementara cenderung kepada rancangan menyerang Korea di bawah pengaruh Saigō Takamori. Ōkubo, bersama Kido Takayoshi, menentang keras rancangan tersebut, dengan menegaskan bahawa keutamaan Jepun ialah pemodenan dan pembangunan dalaman sebelum melibatkan diri dalam peperangan luar. Pertentangan ini mencerminkan konflik antara golongan peluasan ketenteraan dan golongan birokrat yang berusaha membina negara. Hujah Ōkubo mengenai risiko besar peperangan membawa kepada krisis politik pada Oktober 1873, yang berakhir dengan peletakan jawatan Saigō dan penyokongnya. Perpecahan ini turut mencetuskan gerakan menuntut perwakilan rakyat, dan mendorong Ōkubo mula memikirkan keperluan sebuah perlembagaan bagi mengekang pemerintahan sewenang-wenangnya.

Menteri Dalam Negeri

[sunting | sunting sumber]

Pada 29 November 1873, Ōkubo dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri Jepun, sebuah kementerian baharu yang menjadi pusat pentadbiran domestik Jepun. Dari jawatan ini, beliau muncul sebagai tokoh dominan dalam rejim Meiji.[1][2] Kementerian ini mempunyai dua biro utama: keihōryō (biro polis untuk kawalan awam) dan kangyōryō (biro promosi perindustrian). Sebelum misi Iwakura, beliau melantik Matsukata Masayoshi untuk mengetuai Biro Pengeluaran Perindustrian. Sebagai Menteri, Ōkubo mempromosi perindustrian yang diketuai kerajaan (shokusan kōgyō) dengan mencontohi model perdagangan England, menubuhkan sekolah pertanian, stesen percubaan pertanian dan pusat penternakan, memajukan industri tekstil, serta menyokong industri perkapalan seperti Mitsubishi Kaisha.

Selain itu, beliau bertanggungjawab mengekang pemberontakan. Selepas Pemberontakan Saga (Januari–Mac 1874) yang dipimpin Etō Shinpei, Ōkubo sendiri mengarahkan penindasannya, menunjukkan kesediaannya menggunakan kuasa untuk mengekalkan ketenteraman dan kestabilan kerajaan.

Ekspedisi Formosa

[sunting | sunting sumber]

Ekspedisi Formosa 1874 menimbulkan krisis besar apabila pelayar Ryukyu dibunuh oleh penduduk asli Taiwan pada 1871. Walaupun pada awalnya Ōkubo menumpukan perhatian kepada hal dalaman, beliau terpaksa menyokong ekspedisi pembalasan sebagai cara menenangkan samurai yang tidak puas hati. Ekspedisi diketuai Saigō Tsugumichi pada Mei 1874, dan selepas protes dari China, Ōkubo ke Peking pada Ogos 1874 sebagai wakil penuh kerajaan. Melalui rundingan yang tegas dan menggunakan diplomat asing sebagai perantara, beliau berjaya mencapai penyelesaian pada Oktober 1874: China mengiktiraf tindakan Jepun sebagai wajar, membayar pampasan, dan secara tidak langsung mengiktiraf kedaulatan Jepun ke atas Kepulauan Ryukyu.

Cabaran akhir kerjaya

[sunting | sunting sumber]

Persidangan Osaka 1875 dianjurkan oleh Ōkubo dan Itō Hirobumi untuk mengembalikan Kido dan Itagaki Taisuke ke kerajaan, menghasilkan kompromi penubuhan Genrōin (Senat), Daishin-in (Mahkamah Agung), dan Persidangan Gabenor Wilayah sebagai langkah ke arah pemerintahan lebih representatif, tetapi kuasa sebenar tetap di tangan Dajōkan. Ōkubo juga menggubal undang-undang media dan fitnah yang ketat untuk mengehadkan kritikan terhadap kerajaan.

Ketidakpuasan samurai berterusan memuncak dalam Pemberontakan Satsuma 1877, dipimpin Saigō Takamori. Ōkubo sebagai tokoh utama kerajaan, mengarahkan penindasan pemberontakan tersebut. Walaupun kosnya tinggi, pemberontakan itu berjaya dihancurkan, menamatkan tentangan feudal terakhir terhadap rejim Meiji.

Pembunuhan

[sunting | sunting sumber]

Pada 14 Mei 1878, Ōkubo Toshimichi dibunuh di Tokyo oleh Shimada Ichirō dan lima samurai dari Ishikawa dan Shimane ketika dalam perjalanan ke Mesyuarat Kabinet. Pembunuh memberi alasan bahawa Ōkubo menindas hak rakyat, memonopoli pentadbiran, menggubal undang-undang sesuka hati, menghabiskan perbendaharaan negara, menimbulkan huru-hara, dan menjejaskan hak Jepun dalam hubungan luar. Walaupun dakwaan ini mencerminkan rasa tidak puas hati pelbagai pihak, motivasi utama dipercayai sebagai pembalasan kematian Saigō Takamori. Pembunuhan ini menjadi contoh bagi pembunuhan politik pegawai kerajaan tertinggi kemudian.

Kehidupan peribadi

[sunting | sunting sumber]

Ōkubo berkahwin dengan Masuko dan juga mempunyai gundik, Oyu, seperti kebiasaan bagi lelaki pada kedudukannya. Anak-anaknya termasuk Yoshiko (anak perempuan sulung) dan beberapa anak lelaki, antaranya Hikonoshin, Nobukuma (kemudiannya menjadi negarawan Makino Nobuaki), Toshitake, dan lain-lain. Beliau mengambil berat tentang pendidikan mereka, termasuk menghantar dua anak lelakinya ke sekolah Amerika. Dalam kehidupan peribadi, beliau gemar bermain shogi, merokok, berburu, dan menonton sumo. Di khalayak ramai, beliau sering dianggap tegas dan dingin, tetapi di rumah, sikapnya lebih lembut bersama keluarga.

Monumen Ōkubo di Perkuburan Aoyama, Tokyo, Jepun.

Ōkubo Toshimichi dianggap sebagai tokoh utama dalam Pemulihan Meiji dan pembentukan Jepun moden. Dedikasinya untuk menyatukan dan mengukuhkan negara, kebolehan pentadbiran, dan dasar berpandangan jauh meletakkan asas bagi pemodenan Jepun yang pesat. Beliau mahir dalam Realpolitik, menyesuaikan kaedah dan ideologi demi mewujudkan negara pusat yang kuat. Walaupun sikap autoritarian dan pemusatan kuasa dalam keputusannya dikritik, kepimpinannya pada zaman kacau-bilau itu penting untuk kelangsungan dan pembangunan Jepun.

Kematian Ōkubo pada 1878, bersama-sama dengan Kido dan Saigō yang meninggal hampir serentak, menandakan peralihan kuasa kepada generasi kedua oligarki Meiji seperti Itō Hirobumi dan Ōkuma Shigenobu. Kehilangannya dianggap sebagai kemalangan besar bagi Jepun, kerana negara kehilangan seorang negarawan bijak dan realis yang berjaya mengubah Jepun dari sistem feudal menjadi negara moden.

  1. ^ Key-Hiuk., Kim (1980). The last phase of the East Asian world order : Korea, Japan, and the Chinese Empire, 1860-1882. Berkeley: University of California Press. m/s. 187–188. ISBN 0520035569. OCLC 6114963.
  2. ^ Sims, Richard (1980). Japanese Political History Since the Meiji Renovation. New York: Palgrave. m/s. 35. ISBN 978-0-312-23915-2.

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]