Sri Vaishnavisme

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Śri Vaiṣṇava)
Lompat ke: pandu arah, cari
Maha Vishnu di Narayana Tirumala

Śri Vaiṣṇavisme ialah agama yang melahirkan falsafah Viśiṣṭādvaita Vedānta dan suatu sub-mazhab dalam Vaishnavisme. Menurut tradisi, agama ini telah diajar oleh Maha Vishnu kepada Devi Lakshmi. Devi kemudiannya, mengajar ilmu ini kepada Viṣvaksena. Ilmu ini kemudiannya diturunkan daripada guru ke guru bermula daripada Śațhagopa (Nammāḷvār).

Dalam pengenalan kepada Śri Bhāṣya (ulasan Brahma Sūtra), Śri Rāmānujacharya menyusur-galur falsafah Viśiṣṭādvaita dalam Upaniṣad-Upaniṣad.

Śri Vaiṣṇavisme juga merupakan salah satu agama Bhāgavata (Bhagavatamata) yang berasaskan kepada kitab-kitab seperti Nārāyaṇīya dalam Mahābhārata, Viṣnu Purāṇa, Bhāgavata dan Pāñcarātra.

Tiga Āḷvār pertama Poygai, Pūdam dan Pey Āḷvār hidup pada zaman yang sama. Ketiga-tiga Āḷvār ini sering menghabiskan masa dengan bergelak ketawa, menangis, menyanyi dan menari. Oleh itu, masyarakat setempat menganggap mereka sebagai orang gila atau hantu. Karya Tiruvandādi yang mengandungi 300 ayat-ayat suci, dikatakan telah dihasilkan oleh mereka.

Gerakan Āḷvār lebih bersifat emosional dan mistikal. Para Āḷvār percaya bahawa nikmat duniawi adalah fana dan mengidamkan kebebasan melalui kesatuan dengan Maha Vishnu. Meskipun lagu-lagu suci mereka penuh dengan falsafah, mereka lebih banyak mengajar melalui teladan. Maka tugas meletakkan agama ini atas dasar falsafah yang kukuh menurut kitab-kitab suci dimulakan oleh golongan Ācārya selepas zaman Āḷvār.

Falsafah Viśiṣṭādvaita Vedānta[sunting | sunting sumber]

(Artikel utama : Falsafah Vedanta)

Falsafah Viśiṣṭādvaita ini telah wujud sebelum kedatangan Rāmānuja yang menyusunnya secara sistematik. Namun, disebabkan peranan penting Rāmānuja dalam perkembangannya, falsafah Viśiṣṭādvaita juga dikenali sebagai Rāmānuja Darśana. Sebenarnya Viśiṣṭādvaita ialah suatu falsafah agama. Kepercayaan dan penaakulan bergabung dalam falsafah ini untuk menjadi 'kepercayaan yang logikal'. Falsafah ini juga sering dibandingkan dengan Seśvara Mīmāmsā lama. Viśiṣṭādvaita juga dikenali sebagai Ubhaya Vedānta kerana menerima pakai Prasthānatraya dalam bahasa Sanskrit dan Divya Prabandham dalam bahasa Tamil. Selain itu, Pāñcarātra juga diberikan status yang sama seperti Veda.[1]

Falsafah ini sesungguhnya telah memberikan sumbangan besar kepada perkembangan rohani manusia. Penekanan kepada bhakti dan prapatti telah memberikan satu kaedah yang mudah untuk evolusi rohani manusia biasa. Falsafah ini juga telah menyumbangkan kepada keharmonian sosial, sekurang-kurangnya dalam kalangan penganut-penganut Śri Vaiṣṇavisme.

Amalan agama[sunting | sunting sumber]

Setiap orang yang lahir dalam sebuah keluarga Śri Vaiṣṇava, mesti melalui upacara pañcasamskāra daripada seorang guru. Tanpa melalui upacara ini, seseorang tidak akan dianggap sebagai seorang Śri Vaiṣṇava yang sejati. Pañcasamskāra (lima ritual) ini ialah :

  • tapas - guru menyelar pengikutnya dengan simbol-simbol Visnu
  • pundra - pengikut memulakan pemakaian tanda suci di dahi, suatu simbol tapak kaki Visnu
  • pengikut mendapat nama baru seperti Narayanadasa atau Govindadasa
  • pengikut menerima tiga mantra utama, iaitu, aṣṭākṣari, dvaya dan caramaśloka
  • pengikut mendapat sebuah batu śālagrāma atau objek-objek lain untuk pemujaan harian.

Meskipun lima ritual ini cukup untuk memberikan seseorang hak untuk memasuki alam Maha Visnu, secara praktikal, seseorang akan mendapati bahawa karma-karma lamanya dan juga kelemahannya sendiri akan menjadi batu penghalang untuk perkembangan rohaninya. Oleh itu, seseorang perlu sedar bahawa rahmat Tuhan amat penting dan dengan kepercayaan ini dia harus berserah sepenuhnya kepada Tuhan. Secara teknikal, ini dinamakan sebagai 'prapatti' atau 'śaraṇāgati,' dan seorang penganut yang melakukannya dinamakan sebagai 'prapanna'.

Prapanna juga akan memerlukan seorang orang tengah, kerana dia tidak dapat berhubung terus dengan Tuhan. Oleh itu, dia akan mendekati seorang guru dan merayu untuk menghubungi Tuhan dan mengabdikan dirinya kepada Tuhan. Tugas seorang guru yang melakukan ini dinamakan sebagai 'bhāranyāsa'.

Āḷvār[sunting | sunting sumber]

Pelopor-pelopor tradisi Śri Vaiṣṇava dikenali sebagai Āḷvār. Perkataan 'Āḷvār' secara literal bermaksud seorang yang asyik dengan cinta ketuhanan. Terdapat dua belas orang Āḷvār iaitu: Poygai, Pūdam, Pey, Tirumoḷiśai, Nammāḷvār, Kulaśekhara, Periyāḷvār, Toņḍaraḍippoḍi, Tirumańgai, Tiruppān, Madhurakavi, dan Ānḍāḷ. Semua Āḷvār berasal dari negeri Tamil Nadu, India dan hidup pada zaman Pallava (kurun ke-6 hingga 9 Masihi). Cinta kepada Tuhan ialah asas agama ini. Oleh itu, sebarang sekatan seperti jantina atau kasta tidak menjadi halangan untuk mengamalkan agama ini.

Para Āḷvār juga merupakan pelopor-pelopor agama dan falsafah Śri Vaiṣṇavisme melalui lagu-lagu suci mereka. Lagu-lagu suci ini dikenali sebagai Nālāyira Prabandham, yang menggabungkan keindahan puisi yang unik dan rukun-rukun falsafah yang tinggi dalam bahasa yang mudah difahami.

Ajaran Para Āḷvār[sunting | sunting sumber]

Ajaran para Āḷvār boleh diringkaskan begini[2]:

  • Narayana ialah Tuhan Maha Esa.
  • Narayana merangkumi dan menjangkaui segala-galanya.
  • Tuhan ialah penjelmaan segala kesempurnaan.
  • Selain menjelma sebagai Rama dan Krishna, Tuhan juga menjelma dalam arca-arcanya yang disembah dengan penuh Bhakti sebagai Arcavatara.
  • Jalan untuk mencapai-Nya ialah dengan memupuk Bhakti untuk-Nya, melakukan pelbagai perkhidmatan kepada-Nya dan dengan berserah penuh kepada-Nya (ini dikenali sebagai prapatti).

Poygai Āḷvār[sunting | sunting sumber]

Bagi menghapuskan kejahatan, Bhagavan Visnu memegang cakera dan belantan. Bagi meningkatkan kebahagiaan para pemuja-Nya, dan mematahkan semangat orang-orang yang membenci lembu, Veda dan orang-orang alim, Visnu juga memegang sekuntum bunga teratai dan sebiji cangkerang. Empat objek ini yang menunjukkan kesaktian Visnu, juga dianggap sebagai jelmaan Visnu. Di mana sahaja kesaktian Visnu wujud, di situ Visnu menjelma.

Demikian, cangkerang Visnu yang bernama Panchajanya, dipercayai telah menjelma sebagai Poygai Āḷvār. Selepas menghapuskan Asura Panchajanya dengan cakeranya, Visnu membuat sebiji cangkerang dengan menggunakan tulang Panchajanya. Oleh itu, cangkerang itu mendapat nama ‘Panchajanya’. Bunyi Panchajanya amat ditakuti oleh musuh-musuh Visnu. Sebaliknya, golongan pemuja yang mempunyai hati yang suci dan mulia, akan  berasa tenang mendengar bunyinya. Poygai amat ditakuti oleh golongan kafir dan orang-orang jahat. Sebaliknya, orang-orang baik amat tertarik dengan keenakan bunyinya. Oleh itu, Poygai dipercayai sebagai memilik ciri-ciri Panchajanya.

Di Kanchipuram masih terdapat sebuah kuil di lantai tasik Deva Sarovara. Dalam kuil itu terdapat sebuah patung Poygai dalam keadaan meditasi.  

Godadevi di Kuil Narayana Tirumala

Pūdam (Bhūta) Āḷvār[sunting | sunting sumber]

Dia telah dilahirkan dalam bulan Aswina (Oktober-November) di Mallapuri (Mahabalipuram, Tamil Nadu). Menurut kepercayaan, Āḷvār ini ialah penjelmaan belantan Maha Visnu yang bernama Kaumodaki kerana dia sering mengalahkan golongan kafir dan membuat mereka mencium bumi.

Pey Āḷvār[sunting | sunting sumber]

Dia telah dilahirkan dalam bulan Aswina (Oktober-November) di Mylapore (atau Mayurapura) di selatan Chennai, Tamil Nadu. Menurut kepercayaan, Pey Āḷvār telah lahir dalam sebuah perigi yang masih wujud lagi. Āḷvār ini disembah sebagai penjelmaan pedang Visnu yang digunakan untuk memotong ikatan delusi yang mengikat jiwa-jiwa. 'Pey' bermaksud hantu. Oleh kerana Āḷvār ini sering merayau ke sana sini asyik memikirkan Tuhan dan tanpa mengendahkan persekitarannya, dia kelihatan seperti hantu.

TirumaỊiśai Āḷvār[sunting | sunting sumber]

Āḷvār keempat ini ialah seorang anak yang telah dibuang dan ditemui oleh sepasangan pemburu. Dia lahir di kampung TirumaỊiśai , dua batu di barat Poonamallee (dahulunya dikenali sebagai Mahisarapura). Menurut kepercayaan, TirumaỊiśai ialah penjelmaan cakera Sudarsana. Visnu menggunakan cakera ini untuk menghapuskan musuh-musuhnya. Dengan kuasa diskriminasinya yang amat tajam, Āḷvār ini menyingkirkan delusi dari akar umbinya. Dia menghabiskan masanya dengan memetik bunga dan daun Tulasi untuk mengikat kalungan untuk Sri Govinda.

Karyanya Nānmukhan Tiruvandādi dan Tiruccandaviruttam merupakan karya-karya keimanan dan cinta ketuhanan yang unggul.

Nammāḷvār[sunting | sunting sumber]

Golongan Vaiṣṇava menyembah Viṣvaksena menggantikan Sri Ganesha dan Sri Subrahmanya. Viṣvaksena menjadi ketua panglima angkatan tentera Visnu. Viṣvaksena ialah dewa yang menghapuskan segala masalah. Viṣvaksena dikatakan telah lahir sebagai Satharipu pada tahun 3102 S.M. di Kurukapuri (Kurukur atau Āḷvār Tirunagari) di tebing sungai Tamraparani. Kurukur terletak berdekatan pecan Tinnevelly. Bapanya, Mahatma Kari ialah seorang tuan tanah yang kaya. Mahatma Kari dan isterinya telah berdoa kepada Narayana untuk cahaya mata. Dengan rahmat Narayana, mereka mendapat seorang anak yang menjadi kesayangan Tuhan sendiri. Pada suatu ketika, Narayana sendiri memanggilnya sebagai 'Nammāḷvār' (bermaksud Ālvār Kami). Sejak itu, Satharipu dikenali sebagai Nammāḷvār. Dia juga dikenali sebagai Sathari, Śațhagopa dan Parankusa.

Nammāḷvār juga dikenali sebagai Kūṭastha oleh para Ācārya Śri Vaiṣṇava selepasnya. Ini sebagai menyanjung sumbangan Nammāḷvār yang mengajar doktrin utama agama ini yang masih diikuti kini.

Nammāḷvār telah menghasilkan empat karya dalam bahasa Tamil iaitu: Tiruviruttam, Tiruvāśiriyam, Periya Tiruvandādi dan TiruvāimoỊi. TiruvāimoỊi yang mengandungi 1102 ayat dianggap sebagai karya terulung agama ini.

Madhurakavi Āḷvār[sunting | sunting sumber]

Nammāḷvār mempunyai seorang pengikut setia bernama Madhurakavi. Dia seorang penyanyi dengan suara yang merdu. Madhurakavi dipercayai telah lahir pada 3224 S.M. berdekatan tempat lahir Nammāḷvār.

Kulaśekhara[sunting | sunting sumber]

Āḷvār ini ialah seorang raja yang hidup tanpa mengendahkan kekayaan, kekuasaan dan sebarang nikmat duniawi. Asyik dengan cinta ketuhanan, dia hidup sebagai seorang hamba Tuhan. Karya Sanskritnya, Mukundamālā dianggap sebagai suatu karya ulung yang menggabungkan iman dan keindahan puisi. Satu lagi karyanya dalam bahasa Tamil ialah Perumāḷ Tirumoḷi.

Kulaśekhara lahir pada tahun 3102 S.M. di Cholapattana (Tiruvanjikkolam) di Kerala. Menurut tradisi, Kulaśekhara ialah penjelmaan Kausthubha (permata yang menghiasi Viṣṇu).

Periyāḷvār[sunting | sunting sumber]

Periyāḷvār atau nama asalnya Viṣṇuchitta (bermaksud 'seorang yang mindanya penuh dengan kesedaran Viṣṇu') telah lahir pada tahun 3056 S.M. di Dhanvinahpura (Srivilliputtur). Menurut tradisi, Periyāḷvār ialah penjelmaan kereta pedati Viṣṇu. Selepas anak perempuannya Ānḍāḷ berkahwin' dengan Śri Ranganatha (Viṣṇu), Viṣṇuchitta mendapat nama Periyāḷvār (bermaksud 'Āḷvār yang Hebat').

Ānḍāḷ[sunting | sunting sumber]

(Artikel Utama: Andal)

Ānḍāḷ (Tamil: ஆண்டாள்) ialah satu-satunya wali wanita dalam tradisi Śri Vaiṣṇavisme. Ānḍāḷ amat popular sebagai penulis karya Thiruppāvai dan Nācciyār Tirumoḷi yang masih dinyanyikan ketika musim sejuk dalam bulan Margazhi (atau Dhanus).

Śri Laksmi menjelma dalam tiga keadaan. Jelmaan pertama-Nya ialah sebagai Śri Devi. Sebagai Isteri Vishnu, Śri Devi berada dalam hati Vishnu. Jelmaan kedua-Nya ialah sebagai Bhudevi, yang menjadi menjadi kegembiraan Vishnu. Niladevi ialah jelmaan ketiga Sri Laksmi. Dengan menyanyikan keagungan dan kehebatan Narayana, Niladevi berada dalam keasyikan cinta-Nya. Bhudevi menjelma di bumi sebagai Ānḍāḷ pada tahun 3025 S.M. Kuil Srivilliputhur di Tamil Nadu didedikasikan sebagai tempat lahir Ānḍāḷ .

Nama lainnya ialah Kodhai atau Godādevi. Dalam bahasa Sanskrit, ‘Goda’ bermaksud pemberi ayat-ayat suci yang indah; pemberian bumi; atau pemberi kalungan bunga. Semua maksud-maksud ini amat tepat untuk Ānḍāḷ. Oleh kerana, Ānḍāḷ dikatakan telah berkahwin dengan Śri Ranganatha (Viṣṇu), dia juga dikenali sebagai Ranganayaki.

Ānḍāḷ mencipta seratus tujuh puluh tiga ayat-ayat suci dalam bahasa Tamil. Karyanya yang bernama Tiruppāvai dengan 30 ayat-ayat suci amat popular dalam kalangan Śri Vaiṣṇava. Karya ini dinyanyikan dalam bulan Margazhi (Sanskrit : Dhanus iaitu apabila matahari berada dalam zodiak Sagittarius). Satu lagi karya popularnya ialah Nācciyār Tirumoḷi.

Toṇḍaraḍippoḍi Āḷvār[sunting | sunting sumber]

Vanamala atau kalungan Śri Maha Viṣṇu dipercayai telah menjelma sebagai Tondaradippodi Āḷvār pada tahun 2814 S.M. di Mandangudipura (berdekatan Tiruchirapalli). Oleh kerana Āḷvār ini sentiasa mengikat kalungan bunga untuk Śri Viṣṇu, dia dipercayai sebagai penjelmaan Vanamala. Nama asalnya ialah Vipranarayana.

Riwayat hidup Āḷvār ini merupakan suatu contoh hebat bagaimana seseorang yang berdosa boleh menjadi alim dengan menyesali perbuatannya dan berkhidmat kepada orang-orang alim. Meskipun, beliau lahir dalam keluarga Brahmin, beliau telah terjebak ke dalam kehidupan maksiat akibat pengaruh seorang wanita. Apabila wanita itu meninggalkannya, Vipranarayan menyedari dan menyesali perbuatan terkejinya. Bagi menyucikan dirinya daripada dosa, beliau melakukan perkhidmatan kepada golongan beriman dan pemuja-pemuja Tuhan dengan menganggap dirinya sebagai debu. Demikian, beliau mendapat nama Toṇḍaraḍippoḍi (debu kaki orang beriman). Perkhidmatan tanpa mengharap balasan menyucikan dirinya dan menjadikannya seorang yang mulia.

Toṇḍaraḍippoḍi Āḷvār telah menghasilkan karya Tirupalliyelucci dan Tirumalai.

Tiruppanāḷvār[sunting | sunting sumber]

Tiruppanāḷvār atau nama asalnya Śripana telah lahir di Nichulapura. Menurut tradisi, Tiruppanāḷvār ialah jelmaan Śrivatsa (simbol pada dada Śri Viṣṇu). Berasal daripada kasta rendah, Tiruppanāḷvār disanjung sebagai seorang Bhakta yang hebat kerana dia sentiasa menyanyikan lagu-lagu suci dengan memainkan Vina. Menurut tradisi, Sri Ranganatha telah mengarahkan ketua sami kuilnya untuk mengangkut Tiruppanāḷvār di atas bahunya dan membawanya ke dalam kuil. Demikian, Tiruppanāḷvār mendapat nama Munivahana. Beliau telah menghasilkan karya Amalanādippirān.

Tirumangai Āḷvār[sunting | sunting sumber]

Busur Śri Viṣṇu bernama Saranga dipercayai telah menjelma sebagai Tirumangai Āḷvār. Nama asal Tirumangai Āḷvār ialah Kaliyam. Dia lahir pada kurun ke-8 Masihi. Semasa merantau, Āḷvār ini telah menemui sebuah kuil kecil Sri Ranganatha di tebing sungai Kaveri. Melihat keadaan terbiar kuil itu, dia ingin mendirikan sebuah kuil baru. Namun, tiada sesiapa pun yang sanggup menderma untuk tujuan mendirikan sebuah kuil. Akhirnya, Tirumangai Āḷvār dibantu dengan empat orang pengikutnya, mula merompak orang-orang kaya untuk mendapatkan wang bagi membina kuil. Dengan usaha mereka, akhirnya, Tirumangai Āḷvār berjaya membina sebuah kuil Sri Ranganatha.

Tirumangai Āḷvār dikatakan telah menghasilkan enam Prabandhas yang dikenali sebagai 'Tirumolhi'.

Ācārya atau Guru[sunting | sunting sumber]

Gerakan Āḷvār lebih bersifat emosional dan mistikal. Para Āḷvār percaya bahawa nikmat duniawi adalah fana dan mengidamkan kebebasan melalui kesatuan dengan Maha Vishnu. Meskipun lagu-lagu suci mereka penuh dengan falsafah, mereka lebih banyak mengajar melalui teladan. Maka tugas meletakkan agama ini atas dasar falsafah yang kukuh menurut kitab-kitab suci di ambil oleh golongan Ācārya selepas zaman Āḷvār. Pelopor perkembangan falsafah Śri Vaiṣṇavisme ini bermula dengan Nāthamuni. Para Ācārya ini ialah orang-orang Brahmin orthodoks, fasih dalam bahasa Sanskrit dan Tamil, dan kehidupan mereka sendiri menjadi teladan kepada pengikut-pengikut mereka. Selain membangunkan falsafah Viśiṣṭādvaita Vedānta mereka juga menetapkan aturan-aturan berkenaan upacara berpuasa, perayaan agama, ikrar dan tradisi agama. Maka, guru-guru ini juga menjadi pelopor Śri Vaiṣṇavisme moden. Dengan peredaran zaman, para Ācārya ini juga disembah seperti mana mereka menyembah para Āḷvār.

Nāthamuni[sunting | sunting sumber]

Nāthamuni atau nama penuhnya Ranganāthamuni (824-924 Masihi) ialah guru pertama tradisi Śri Vaiṣṇava. Beliau ialah seorang ilmiahwan, yogi, dan seorang bhakta. Beliau mengumpul semua Prabandham, menyuntingnya dengan pengenalan yang sesuai, menjadikannya popular dengan muzik, dan memulakan tradisi nyanyian Prabandham di kuil. Beliau juga memberikan Prabandham status yang sama seperti mantera-mantera Veda dalam perayaan di kuil. Pembaharuan yang diperkenalkan oleh Nāthamuni membawa keperluan untuk melantik seorang Ācārya sebagai pemimpin kuil dan masyarakat Śri Vaiṣṇava. Oleh itu, Nāthamuni sendiri dilantik sebagai Ācārya. Memandangkan seorang Ācārya juga bertanggungjawab untuk menguruskan pentadbiran kuil Sri Rangam, tugas membawa pembaharuan dalam masyarakat menjadi mudah. Pembaharuan dimulakan dengan kuil Sri Rangam yang menjadi salah satu kuil Visnu yang utama dan pusat gerakan Śri Vaiṣṇava.

Yamunacharya[sunting | sunting sumber]

Selepas kematian Nāthamuni, Pundarikaksa dan Ramamisra menjadi Ācārya untuk beberapa lama. Selepas itu, Yamunacharya (918-1038 Masihi) menjadi ketua masyarakat Śri Vaiṣṇava. Beliau ialah cucu Nāthamuni. Beliau merupakan orang pertama yang mencuba untuk mengukuhkan falsafah Viśiṣṭādvaita. Beliau menulis karya-karya hebat dalam bahasa Sanskrit mempertahankan falsafah ini dan membuktikan mazhab Pāñcarātra. Golongan Viśiṣṭādvaita menerima Pāñcarātra sebagai sama taraf dengan Śruti Veda. Antara karyanya yang hebat ialah Siddhitraya, Āgamaprāmāṇya dan juga Gītārthasaṅgraha. Impian utamanya ialah untuk menulis ulasan Brahmasūtras menurut mazhab Viśiṣṭādvaita. Namun, impiannya menjadi kenyataan, Yamunacharya meninggal dunia.

Ramanujacharya[sunting | sunting sumber]

(Artikel Utama: Ramanujacharya)

Nama Ramanujacharya tidak boleh dipisahkan daripada falsafah Viśiṣṭādvaita, sama seperti nama Sankaracharya dengan Advaita. Selepas kematian Yamunacharya, untuk sementara waktu, Mahapurna menjadi pengantinya. Namun, Yamunacharya telah menyerahkan tiga tugas utama yang tidak dapat disempurnakannya kepada Ramanuja. Selepas menjadi ketua biara Sri Rangam, Ramanuja memenuhi tiga tugas itu.

Tiga impian Yamunacharya yang dipenuhi oleh Ramanuja ialah:

  • Menulis ulasan Brahmasutra yang popular bernama Sri Bhasya
  • Menamakan Bhatta (anak Kuresa) sebagai Parasara dan memintanya menulis ulasan Vishnu Sahasranama.
  • Mengarahkan Kurukesa (anak Sri Sailapurna) untuk menulis ulasan Tiruvaimoli oleh Nammalvar.

Ramanuja bukan sahaja seorang pemikir yang hebat tetapi juga pengurus yang handal. Beliau membahagikan masyarakat Śri Vaiṣṇava kepada tujuh puluh empat kawasan uskup. Setiap uskup diketuai oleh seorang alim yang berumahtangga atau dikenali sebagai 'simhasanadhipati'. Ketua-ketua ini mengambil tugas penyebaran ajaran Viśiṣṭādvaita ke semua kampung dan rumah-rumah dalam kawasan uskupnya.

Perpecahan dalam Śri Vaiṣṇavisme[sunting | sunting sumber]

Selepas kematian Ramanuja, masyarakat Śri Vaiṣṇava berpecah kepada mazhab-mazhab Vadagalai dan Tengalai. Vadagalai bermaksud mazhab utara dan Tengalai ialah mazhab selatan. Kedua-dua mazhab ini menghasilkan penulisan-penulisan berasingan, keturunan guru berasingan, dan tradisi-tradisi berasingan dalam banyak aspek amalan agama. Vadagalai memberikan keutamaan kepada kitab-kitab Sanskrit dan jalan Bhakti dan lebih orthodoks terhadap kasta-kasta bawahan. Vadagalai juga mengehendaki pengikut-pengikutnya untuk berusaha sendiri untuk mendapatkan prapatti. Tengalai pula, sebaliknya memberikan keutamaan kepada kitab-kitab Tamil dan menekankan kepada prapatti berdasarkan kepada maksim marjalakisoranyaya (maksim bahawa seekor kucing bergantung sepenuhnya kepada ibu kucing) berbanding markatakisoranyaya (maksim bahawa seekor anak monyet berpaut pada ibunya).

Dua mazhab ini mempunyai keturunan guru (guru parampara) yang berlainan meskipun asalnya ialah Ramanuja. Vadagalai bermula dengan Kurukesa, dan diikuti oleh Visnucitta (penulis Sararthacatustaya and Vishnucittiyam). Guru berikutnya ialah Varadarya atau Varadacharya (juga dikenali sebagai Nadadur Ammal). Ceramah-ceramah dan ajaran Varadacharya mengenai Sri Bhasya telah direkodkan sebagai Srutaprakasika oleh seorang pengikutnya bernama Sudarsanasuri.

Vedānta Deśika[sunting | sunting sumber]

Selepas zaman Ramanuja, Vedānta Deśika (1268-1370 Masihi) dianggap sebagai seorang Ācārya yang terhebat. Beliau hidup sezaman dengan Vidyāraṇya. Terdapat lebih seratus hasil penulisannya yang memperkayakan tradisi Śri Vaiṣṇava. Beliau merupakan seorang penyair, ahli falsafah, ahli polemik dan rishi. Antara penulisannya yang penting ialah Gitabhasya Tatparyacandrika, ulasan Isavasyopanishad, Tattvatika, Adhikaranasaravali, Nyayasiddhanjana, Saccaritraraksa, Rahasyatrayasara, dan Hamsasandesa.

Salah satu sumbangan utama Vedānta Deśika ialah menyelamatkan Srutaprakasika daripada kekecohan yang berlaku apabila Sri Rangam diserang oleh orang Islam. Inilah sebabnya seluruh masyarakat Śri Vaiṣṇava menyanjungnya sebagai Vedāntācārya sebelum memulakan pengajian Sri Bhasya.

PiỊỊai Lokācārya[sunting | sunting sumber]

Selepas zaman Ramanuja, masyarakat Śri Vaiṣṇava berpecah kepada dua kumpulan, Tengalai dan Vadakalai. Tengalai bermula dengan Embar, Parasara Bhatta, Nanjiyar (pengulas Prabandham yang terkenal), Nampillai, Krishnapada, PiỊỊai Lokācārya, Tirumalai Alvar, dan Manavala Mamuni (Varavaramuni). PiỊỊai Lokācārya (1264-1327 Masihi) hidup sezaman dengan Vedānta Deśika dan dianggap sebagai pengasas Tengalai yang memberikannya status yang berasingan daripada Vadagalai. Beliau menghasilkan beberapa penulisan untuk membuktikan pendirian dan falsafahnya. Penulisannya, Vacanabhusana membincangkan doktrin prapatti dengan terperinci. Beliau juga menghasilkan penulisan yang mudah difahami oleh masyarakat umum seperti Nigamanappadi, Mumukshuppadi, Tattvatraya, Arthapancaka, dan sebagainya. Penulisan-penulisan ini adalah mudah dan ringkas. Namun pengikut-pengikut Tengalai menganggapnya sebagai satu-satunya interpretasi mazhab Ramanuja dan para Alvar.

Manavala Mamuni[sunting | sunting sumber]

PiỊỊai Lokācārya diwarisi oleh Sri Sailesa dan kemudiannya diikuti oleh Manavala Mamuni (juga dikenali sebagai Alagiya Manavala atau Varavaramuni). Manavala Mamuni (1264-1327 Masihi) seorang pendeta Tamil Veda. Walaupun beliau menerima latihan daripada guru-guru Vadagalai, beliau mengumumkan bahawa karya Idu (ulasan Krishnapada mengenai Tamil Veda) adalah setaraf dengan Sri Bhasya. Beliau juga menghasilkan beberapa penulisan menjelaskan penulisan PiỊỊai Lokācārya. Meskipun penulisannya terhad, beliau memberikan bentuk yang tetap untuk Tengalaisme. Tertarik dengan personalitinya yang menakjubkan, pengikut-pengikutnya melihatnya sebagai jelmaan Ramanuja.

Biara-biara[sunting | sunting sumber]

Evolusi dan pengukuhan mazhab Śri Vaiṣṇavisme berkait rapat dengan permulaan dan perkembangan biara-biara Śri Vaiṣṇava. Sejak zaman purba lagi, biara-biara dan asrama-asrama di India telah menjadi wadah agama. Ketua-ketua biara, sama ada rahib atau orang yang berumah tangga, bertanggungjawab untuk memastikan dharma tidak pudar dan untuk mengajar agama yang sebenar, selain membimbing masyarakat dalam hal-hal sekular.

Terdapat beberapa buah biara Śri Vaiṣṇava yang penting seperti: Ahobila Maṭha, Parakāla Maṭha, Yadugiri Yatirāja Maṭha, Āṇḍavan Maṭha dan Vānamāmalai Maṭha.

  • Ahobila Maṭha telah ditubuhkan pada tahun. 1398 Masihi, di Ahobila Kshetra, Andhra Pradesh. Pengasasnya, Śrīnivāsācārya menjadi seorang rahib dengan nama Ādi Vaṇa Śaṭhagopa Swamin. Beliau seorang cendikiawan yang hebat dan menjalani kehidupan rahib selama enam puluh tahun. Jeer atau ketua-ketua biara selepasnya masih meneruskan dengan tradisi ilmiahwan dan merantau untuk menyebarkan agama.
  • Parakāla Maṭha di Mysore, Karnataka pula diasaskan oleh Vedanta Desika. Pengikutnya, Periya Brahmatantra Svatantra Swamin, menjadi ketua biara pada tahun 1360 Masihi. Setakat ini, seramai 33 Jeer (ketua biara) telah menduduki pentadbiran tertinggi biara ini. Dewa utama yang dipuja di biara ini ialah Hayagrīva, yang telah diberikan oleh Vedanta Desika.
  • Yadugiri Yatirāja Maṭha terletak di Yadugiri, sebuah bukit kecil, lebih kurang 48 kilometer di timur Mysore. Menurut tradisi, biara ini ditubuhkan oleh Ramanuja pada 1103 Masihi. Biara ini juga mempunyai sebuah cawangan di Rewa (di Madhya Pradesh) yang kini berfungsi secara bebas. Beberapa orang Jeer biara ini juga mempunyai hubungan dengan India Utara.
  • Āṇḍavan Maṭha atau lebih dikenali sebagai Śrīrangam Āṇḍavan Āśrama mempunyai pusatnya di Sri Rangam, Tamil Nadu. Pengasasnya ialah Vedanta Ramanuja Desika. Ini ialah biara Śri Vaiṣṇava yang paling muda, bermula pada awal kurun ke-19.
  • Vānamāmalai Maṭha berada di Nangunderi, daerah Tirunelveli, Tamil Nadu. Biara ini ditubuhkan oleh Manavala Mamuni pada kurun ke-14.

Sumber-Sumber Utama[sunting | sunting sumber]

Divya Prabandham[sunting | sunting sumber]

Seluruh karya para Āḷvār dikenali sebagai Nalayira Divya Prabandham (bermaksud 4000 Divya Prabandham). Karya ini dianggap setaraf dengan Veda dan oleh itu, dikenali sebagai 'Dravida Veda'.

Pāñcarātra[sunting | sunting sumber]

Dalam tradisi Sri Vaishnava, Pāñcarātra juga diberikan status yang sama seperti Veda.

  1. ^ Swami Harshananda, A Concise Encyclopaedia of Hinduism (Ramakrishna Math, Bangalore: 2008) page 325-330
  2. ^ Swami Harshananda, A Concise Encyclopaedia of Hinduism, Vol.1 ms.94