1515 (novel)

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
1515
1515 novel.png
Pengarang Faisal Tehrani
Bahasa Bahasa Melayu
Genre novel remaja
Penerbit Utusan Publications & Distributors
Tarikh terbitan 2003
Bil. muka surat 312
ISBN ISBN 967-61-1460-X

1515 merupakan sebuah novel hasil karya Faisal Tehrani. Novel ini diterbitkan oleh Utusan Publications & Distributors pada tahun 2003. Ia mengandungi 312 halaman dengan kod ISBN 967-61-1460-X.

Novel 1515 merupakan pemenang pertama bagi kategori novel remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan pada tahun 2002.[1] Tahun 1515 ada kaitan dengan tahun 1511 Kerajaan Melayu Melaka jatuh ke tangan penjajah Portugal / Portugis. Plot novel ini cukup kompleks untuk dimengerti secara bersahaja namun ia amat menarik bagi golongan yang meminati sejarah walau gaya penulisannya dan plot penceritaanya adakalanya mengelirukan pembaca.

1515 terbahagi kepada 6 bab, memisahkan di antara watak realiti dan pengkisahan mengenai srikandi Melaka pada tahun 1511. Watak realitinya ialah Dr Adi Famiyun. Sementara watak khayalannya ialah Tun Nyemah Mulya.

Sinopsis[sunting | sunting sumber]

Watak Dr. Adi Famiyun merupakan sejarawan Melayu yang kebaratan. Anehnya beliau sering saja dihantui oleh 'roh-roh masa lampau' yang tidak tenang dan tidak dapat bersemadi dengan aman kerana sejarah Melaka yang menguris perasaan mereka, terasa dikhianati dengan cacatan sejarah oleh mereka yang tidak menempuhnya. Famiyun berusaha mendapatkan tajaan untuk meneruskan pengkajian sejarahnya mengenai Melaka dan tarikh 1511.

Tun Nyemah Mulya merupakan perujuk terbaik Famiyun dan membantu Famiyun melaksanakan pengkajiannya mengenai Melaka. Ketika itu Melaka begitu tersohor dengan kekayaan dan kekuasannya, namun sayang Melaka turut tersohor dengan sikap sultan yang hanya tahu berfoya-foya dan mengabaikan tanggungjawabnya. Srikandi Nyemah Mulya dilahirkan pada malam lailatulqadar 1946, Nyemah merupakan cucu kepada guru al-Quran Sultan Ahmad Syah manakala ibunya merupakan dayang kepada Puteri Onang Kening dari Kelantan. Srikandi Nyemah Mulya dilahirkan sebagai pahlawan, dididik dengan segala ilmu dunia dan persilatan termasuk ilmu ghaib.

Nama Alfonso de Albuquerque turut diperkenalkan seawalnya, kerana nama itulah sejarah Melaka menguris perasaan Famiyun. Alfonso de Albuquerque menyerang Melaka namun ia bukan sekadar ingin merampas kekayaan Melaka, malah berniat untuk menyebarkan agama Kristian dengan mengkafirkan orang-orang Islam di Melaka.

Flor de la Mar kapal tua yang bertanggungjawab membawa Alfonso menuju ke Melaka dengan bantuan Nina Chattu dan Kitul Keling yang merupakan pembelot paling khianat, bangsa yang tidak pernah mengenang jasa bumi Melaka. Saat ini Nyemah Mulya mula berbakti dengan Melaka sepenuh hatinya. Nyemah mempertahankan bumi Melaka walaupun Sultan Mahmud Syah telah terlebih dahulu luntur semangatnya. Kekejaman soldadu pimpinan Alfonso cukup meyakitkan hati, istana sultan dibakar, kaum lelaki dijadikan hamba, kaum wanita dijadikan bahan pesta benggali putih dan golongan yang setia pada agamanya diseksa hingga ada yang mengkhianati kalimah suci.

Melaka tewas malah semangat rakyat kian luntur, agama ditukar kerana rasa kecewa pada pemerintah yang hanya mengambil jalan mudah dengan melarikan diri ke Pahang, amanat dilupakan dan rakyat digadaikan. Saat ini Alfonso membina A Famosa, lambang Melaka sudah dicemar.Semangat negeri jajahan Melaka merampas kembali Melaka dari Feringgi hanya sia-sia. Nyemah Mulya memohon jasa Tun Fatimah untuk mencari Jalan agar A Famosa tidak terbina, agar sultan berusaha merampas kembali tanah Melaka. Keadaan sultan dan anakandanya yang tidak sepakat untuk mempertahankan bumi Melaka terus memberi peluang kepada Feringgi menguasai Melaka sepenuhnya. Peperangan berlaku di Batu Hampar dan Muar, terus membawa baginda jauh dari Melaka dan bersemadi dengan kekalahan di Pahang. Pembinaan kota A Famosa membimbangkan hati orang Melaka yang berniat untuk menakluki Melaka semula, semakin teguh A Famosa semakin luntur semangat orang Melaka. Nyemah Mulya terpaksa memencilkan diri agar tidak ditangkap dan dibawa ke Lisbon, baginya tiada ertinya hidup sekiranya bumi Melaka tidak lagi ditatapinya. Portugal ditakluk.

Kesungguhan dan kehebatan Nyemah Mulya sewaktu bertempur dengan Feringgi, menarik perhatian baginda sultan lalu baginda memerintahkan Nyemah Mulya mengetuai angkatan Melaka menyerang Portugal. Perkenan sultan, Nyemah diangkat menjadi Tun, seraya menjadikan Tun Nyemah Mulya seumpama anakanda baginda sultan. Nyemah memohon perkenan sultan untuk meyerang Portugal sebagai tanda bangsa Melaka bukan bangsa yang kecil dan lemah. Walaupun tewas menakluki Portugal, Nyemah Mulya tetap mengharumkan nama Melaka, menjadikan dirinya terbilang.

1512,tenggelamnya bahtera Flor de la Mar, walaupun Alfonso berjaya membina kota A Famosa dan menawan Melaka namun dalam perjalanan pulang ke Portugal bahtera tuanya tenggelam, kerana keangkuhan paderi yang mencabar kebenaran kata-kata Tun Nyemah Mulya. Alfanso hanya berjaya menyelamatkan beberapa barangan lambang kemegahan Melaka dan Tun Nyemah Mulya. Tun Nyehmah Mulya di bawa pulang dan di jadikan hamba di istana Raja Manuel, riwayat dan sejarahnya terus bersemadi di Lisbon.

Kesimpulannya 1515 mempunyai kekuatan yang tersendiri, penuh dengan sindiran dan kekuatan penggunaan bahasa yang seolah dapat memberi gambaran yang sejelasnya pada sesuatu keadaan, terutamanya ketika Tun Nyemah Mulya menawan Portugal dan sewaktu Tun bermain senjata dengan Alfonso.

Faisal Tehrani turut menimbulkan persoalan adakah kewujudan Tun Nyemah Mulya sengaja dipadamkan dari sejarah atau sememangnya ia dogengan semata-mata. Sekiranya srikandi ini dipersoalkan akan jasa dan sejarahnya, mana bukti yang mengatakan Hang Tuah cukup berjasa kepada bumi Melaka. Namun persoalan yang cukup penting dalam novel ini, mengapa Melaka begitu mudah dijajah, adakah kerana adanya kebenaran yang mengatakan bahawa bangsa Melayu itu adalah bangsa yang paling alpa di dunia, hanya bangsa itu sendiri yang mampu menilai kebenarannya.

Sinisnya novel ini tetap tidak lari dari realiti sesuatu bangsa, sindirannya menyeluruh dan tidak berpihak kepada mana-mana golongan, alpanya rakyat Melaka hingga Melaka dijajah, alpanya Dr.Adi Famiyun mengesan sejarah Melaka hingga zuriatnya tenggelam dalam dunia kebaratan yang terus meminggirkan budaya dan sejarah bangsanya sendiri. Dr. Adi Famiyun berjaya membuka minda bangsanya namun tewas dalam mendidik pewarisnya.

Novel 1515 membawa mesej yang cukup positif untuk golongan remaja menyintai sejarah bangsanya sendiri.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "1515:Faisal Tehrani". AbeBooks. Dicapai pada 2008-09-28. Prize winning novel in the 2002 novel writing contest of Kumpulan Utusan... 

Pautan luar[sunting | sunting sumber]