Padi

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Semakan 4620838 pada 17:15, 11 Ogos 2019 oleh Ercé (bincang | sumb.) (→‎Galeri)

Padi
Pengelasan saintifik
Alam:
(tanpa pangkat):
(tanpa pangkat):
(tanpa pangkat):
Order:
Keluarga:
Genus:
Spesies:
O. sativa
Nama binomial
Oryza sativa

Padi (Oryza sativa) merupakan satu daripada tanaman bijirin dan merupakan makanan ruji bagi ramai penduduk dunia termasuk di Asia, Amerika Latin dan Caribbean. Di Malaysia, padi yang ditanam terbahagi kepada dua jenis iaitu padi sawah yang juga dikenali sebagai padi bendang, dan padi huma atau padi bukit. Padi sawah atau padi bendang adalah jenis padi yang paling banyak di tanam kerana dapat mengeluarkan hasil yang tinggi. Padi sawah memerlukan penggunaan air dan baja yang banyak serta perlu ditanam dengan cara yang teratur.

Ciri botani

Anatomi beras.

Keperluan asas

Tanaman padi memerlukan sinaran matahari, suhu dan jumlah hujan (18-40 °C dan 1240 mm/tahun) yang cukup dan memerlukan keadaan air bertakung.[1] Oleh itu, tanah-tanah berstruktur halus seperti lempung, lempung berkelodak, lom lempung atau lempung berpasir adalah sesuai. Sifat kimia tanah sawah yang subur ialah pH (5.0-6.0), nitrogen (2-3%), fosforus (>40 ppm), kalium (>0.1 meq/100g), CEC (>20 meq/100g) dan karbon organik (2-3%).

Kawasan tanaman

Padi sawah banyak di tanam di Semenanjung Malaysia iaitu di Pantai Barat terutamanya di bahagian Utara.[2] Keadaan ini berlaku kerana terdapat kawasan berpaya yang datar dan terdapat satu musim lembap yang ketara dengan purata hujan tahunan melebihi 3500 mm. Kesesuaian ini di tambah lagi dengan adanya musim panas yang berpanjangan.

Bukti padi di Semenanjung Malaysia didapati di Gua Cha dan Gua Harimau dari Zaman Neolitik antara 6,000 hingga 4,000 tahun dahulu. Bagaimanapun ia belum dapat ditentukan samaada padi tersebut ditanam, spesies liar atau diimport. [3]

Padi huma merupakan padi asal yang ditanam di Malaysia sebelum padi sawah diperkenalkan. Padi huma mempunyai hasil yang rendah dan kurang bermutu. Ini disebabkan padi huma di tanam dengan cara lama dan kurang menggunakan baja serta daripada benih yang kurang baik. Padi juga tidak di jaga dengan baik dan selalu pula dirosakkan oleh serangga. Padi jenis ini banyak di tanam di Sabah dan Sarawak yang kebiasaannya ditanam oleh orang asli seperti orang Iban dan Murut. Kelebihan padi huma adalah padi huma tidak memerlukan jumlah air yang banyak dan dapat ditanam di kawasan di mana air tidak bertakung.

Pandangan sawah padi

Batas ialah pemisah antara tanah pesawah-pesawah padi. Biasanya batas ini dibuat daripada tanah sebagai benteng penahan air agar paras air dalam sawah tidak terlalu banyak. Jika paras air di dalam sawah lebih daripada sejengkal, padi agak susah ditanam . Anak padi akan tenggelam, terutama jika selepas hujan lebat. Batas air di dalam sawah perlu dikawal sepanjang masa. Kepala batas bermaksud bahagian depan sawah padi dan juga merupakan asal nama bandar Kepala Batas.

Tanaman moden

Padi sawah yang ditanam di Malaysia sekarang merupakan hasil kacukan dan penyelidikan yang mengambil masa bertahun-tahun untuk menghasilkan benih padi yang bermutu. Penyelidikan oleh pihak MARDI membantu pembangunan jenis padi yang mampu mengeluarkan hasil yang lebih banyak, dan mempunyai daya tahan penyakit yang lebih tinggi.

Padi yang telah diproses dan dibuang kulit dikenali sebagai beras. Pada zaman dahulu, pada akhir musim menuai padi, padi yang ditanam khas akan dijadikan emping padi sebagai hidangan istimewa, bagi menandakan tamatnya musim emnanam padi. Pada suatu masa dahulu, di kawasan pantai timur, upacara puja pantai akan di akan pada akhir musim menanam padi sebagai satu cara melepaskan penat lelah sepanjang musim menanam padi yang lalu. Selain itu para petani akan bertukar-tukar masalah, teknik dan pengetahuan mengenai penanaman padi yang baru dituai, sama seperti pesta pertanian di masa kini.

Terdapat dua kaedah penanaman padi yang digunakan iaitu kaedah menanam (transplanting) dan tabur terus (direct seeding).

Emping beras

Umur padi

Umur padi dikira dari mula ditabur hingga mengerat, umumnya terbahagi kepada dua peringkat. Dua peringkat itulah peringkat umur padi yang menjadi pokok perbicaraan apabila soal itu diperbincangkan. Padi yang berumur kira-kira. tujuh bulan ke atas dipanggil 'padi berat' dan padi yang berumur antara empat hingga enam bulan pula dipanggil 'padi ringan'.

Yang lebih mustahak diketahui lagi ialah bagaimana pengiraan orang-orang bendang tentang cukup atau tidak cukup umur padi yang ditanamnya itu dan peringkat-peringkat membesarnya. Mengikut pengiraan orang tua-tua, padi menempuh lima peringkat umur.

Peringkat pertama ialah dari mula menabur hingga menjadi semai yang cukup umur. Peringkat yang kedua dari cukup umur hingga pokok padi yang ditaman itu beranak Peringkat yang ketiga pula ialah dari beranak hingga bunting. Yang keempat dari bunting hingga mula berbuah. Peringkat yang terakhirnya ialah dari mula berbuah hingga padi itu masak Tiap-tiap satu peringkat itu mengikut perkiraan kasar memakan masa selama 44 hari.[4]

Menjemur padi
Umur padi 25 hari

Jadual umur menggunakan teknik tabur terus Varieti MR219 dan peringkat pertumbuhan

Bilangan hari selepas tabur biji benih Peringkat pertumbuhan
16 hari Mula beranak
35 hari Beranak aktif
50 hari Pembentukan tangkai
70 hari Pengisian susu
110 hari Penuaian

Varieti[1]

Terdapat dua jenis padi iaitu padi tradisional (>140 hari peringkat matang) dan padi varieti baru (<135 hari peringkat matang). Pada tahun 1972-1998 terdapat 25 varieti padi baharu yang telah diperkenalkan untuk penanaman dua kali setahun di Malaysia. Padi varieti baharu mempunyai potensi penghasilan yang tinggi tetapi bermasalah daripada segi mutu dan kurang ketahanan terhadap perosak dan penyakit manakala varieti padi tradisional pula amat peka terhadap fotokala, bertempoh matang panjang, pokok tinggi serta mudah rebah dan kurang gerakbalas terhadap baja. Walau bagaimanapun, varieti ini mempunyai keistimewaan dari segi cita rasanya yang sedap.

Ciri-ciri utama varieti padi yang disyorkan pada masa kini ialah MR 84, MR 167, MR 185, MR 159 dan lain-lain varieti yang telah diisytiharkan serta masih ditanam. Varieti-varieti yang sesuai mempunyai ciri-ciri berikut:

  • Tahan penyakit karah
  • Tahan gangguan di peringkat anak semai
  • Sederhana tinggi dan pokok tumbuh tegak
  • Tidak mudah rebah
  • Masak serentak
  • Tidak mudah relai supaya sesuai untuk penuaian menggunakan jentera.

Penggunaan biji benih yang berkualiti merupakan satu langkah penting dalam pakej penanaman padi kerana ia dapat menjamin pengeluaran hasil yang tinggi. Disyorkan menggunakan biji benih berkualiti dalam kategori biji benih padi sah kerana telah menepati Malaysian Standard MS 469-1993.[1]

Sistem Menanam[1]

Padi dalam longkang di Perak

Sistem Mengubah

  • Menanam secara manual

Dalam sistem mengubah memerlukan penyediaan tapak semaian yang dipilih di kawasan yang agak tinggi dari keadaan sekeliling. Lebar tapak biasanya 1-2 meter dan panjangnya pula bergantung kepada kemudahan untuk mengurus air. Tanah dibajak 2 kali iaitu pertama untuk mendapatkan keadaan permukaan tanah yang baik. Seterusnya tapak ditambak setinggi kira-kira 5-10 cm dari paras biasa dan diratakan.

Anak padi ditanam mengikut barisan untuk menyenangkan kerja-kerja pengurusan kelak. Tiap-tiap lubang ditanam sebanyak 2-3 pokok. Anak padi ditanam tegak dan tidak terlalu dalam supaya pengeluaran tunas tidak terganggu. Jarak tanaman tidak melebihi 25 cm x 25 cm untuk hasil optimum.

  • Menanam menggunakan jentera penanam

Boleh diamalkan terutama di kawasan di mana tabur terus tidak boleh diamalkan serta bagi kawasan yang mengalami masalah padi angin (klik lihat ulasan mengenai padi angin) dan juga sesuai bagi kawasan yang kekurangan tenaga kerja. Mengubah dengan menggunakan jentera penanam memerlukan anak semai dalam kotak khas. Kadar benih yang disyorkan ialah 50 kg/hektar.

Media semaian disediakan dengan campuran 50% sekam padi terbakar dan tebal media ialah 2-2.5 cm dipadatkan. Benih terpilih direndam selama 24 jam dan ditoskan selama 48 jam untuk memudahkan percambahan. Benih pracambah ditabur dalam kotak semai khas dengan kadar 200 g/kotak. Semaian dibiar bercambah 2-3 hari dan kemudian dipindah ke rak takungan untuk direndam. Semaian dijaga sehingga 15 hari atau tinggi semaian diantara 15-20 cm sebelum diubah dengan jentera penanam.

Sistem Tabur Terus

Sistem tabur terus iaitu serak basah dan serak kering. Tabur terus serak basah diamalkan secara meluas sekarang. Benih yang telah bercambah ditabur terus ke kawasan sawah dalam keadaan tepu. Bagi serak kering pula, biji benih pracambah ditabur ke kawasan sawah kering selepas penyediaan tanah. Tanah kemudiannya akan dipadatkan selepas benih ditabur. Bagi kedua-dua sistem ini kadar biji benih yang disyorkan ialah 60 kg/hektar.

Sistem Keamatan Padi (SRI)

Maklumat lanjut: Sistem Keamatan Padi

Sistem tanaman padi secara SRI mula diperkenalkan di negara ini pada tahun 2009. Kaedah sistem ini berbeza dengan amalan tanaman secara konvensional. Anak benih padi dipindahkan dan ditanam dalam usia kurang 15 hari dan dijarakkan diantara satu sama lain. Tanah sawah hanya dibiarkan lembab. Kadar benih yang digunakan hanya 5 kg/hektar. Sistem ini dapat menjimatkan penggunaan air sehingga 50% dan meningkatkan hasil padi.

Pembajaan[1]

Di antara perkara penting yang perlu diberi perhatian di dalam pembajaan tanaman padi ialah kadar dan masa pembajaan dilakukan. Bagi tanaman secara tabur terus, kadar baja yang digunakan ialah 100 N : 40 P2O5 : 30 K2O bagi semua kawasan. Bagi tanaman secara mengubah, kadar 80 N : 30 P2O5: 20 K2O telah disyorkan bagi kawasan pantai barat dan kadar 80 N : 40 P2O5 : 20 K2O bagi kawasan di pantai timur. Bagi kaedah mengubah, baja urea digunakan pada peringkat semaian iaitu sebanyak 45-50 g/meter persegi pada 15 hari selepas benih ditabur. Baja yang digunakan di dalam skim baja subsidi ialah baja campuran dan baja urea.

Pengambilan baja oleh tanaman juga bergantung kepada tahap kesuburan tanah termasuk faktor fizikal dan kimia tanah bagi sesuatu kawasan. Masa membaja bergantung kepada varieti padi, cara menanam dan musim penanaman. Pada kebiasaannya, pembajaan tanaman padi dilakukan secara menabur secara manual dan jarak taburan setiap lemparan ialah tiga meter. Pembajaan di sawah dilakukan sebanyak 3 kali untuk cara mengubah dan tabur terus. Untuk kedua-dua kaedah tanaman ini, pembajaan pertama terdiri dari baja campuran NPK manakala baja kedua dan ketiga ialah baja N sahaja.

Pemilihan benih tanaman

Disyorkan menggunakan biji benih sah keluaran Jabatan Pertanian.[1] Manakala bagi biji benih yang dikeluarkan oleh petani, ianya perlu dipilih melalui tapisan dengan menggunakan bancuhan air garam yang boleh menimbulkan sebiji telur ayam yang nilai ketumpatan bandingannya 1.08. Hanya biji benih yang tenggelam sahaja yang digunakan sebagai biji benih. Biji benih pracambah hendaklah ditabur sejurus selepas selesai kerja-kerja penyediaan tapak. Penggunaan baja foliar amatlah digalakkan sebelum padi berbunga.[5]

Pengurusan air[1]

Sistem pengairan terkawal di kawasan jelapang padi, di mana air dibekal dari tali air, ditakung dalam lot sawah dan disalir keluar ke dalam parit pada masa tertentu. Sistem ini memerlukan batas ladang untuk menakung air di dalam lot sawah dan parit ladang untuk menyalirkan air keluar aras tanah yang rata.

Bekalan air ke sawah adalah terhad. Pengurusan air yang berkesan mengambilkira keperluan air di sawah mengikut peringkat penyediaan tanah, peringkat pertumbuhan padi dan sistem tanaman yang diamalkan. Antara faedah-faedah pengurusan air yang sempurna adalah seperti berikut:-

  • Menjamin bekalan air yang cukup mengikut jadual persawahan.
  • Dapat mengelakkan pembaziran air.
  • Membantu pertumbuhan pokok melalui keberkesanan pembajaan, kawalan rumpai dan kawalan perosak, iaitu meningkatkan kecekapan dan hasil.
  • Memudahkan mekanisasi ladang.

Bagi kebanyakan kawasan padi, keperluan pengiaran pada puratanya ialah satu cusec/30ha. Kawalan paras air di sawah adalah kritikal bagi sistem penanaman padi. Berikut menunjukkan paras air 10 cm adalah kritikal bagi memenuhi keperluan preingkat pertumbuhan iaitu seleaps mengubah dan tabur terus, beranak aktif, pembentukan bulir, bunting dan terbit. Manakala pembuangan air juga kritikal pada tempoh 20 hari sebelum menuai, tetapi bekalan air diteruskan dari hari ke-40 ke 115.

Teknik pengurusan air

Hari Selepas Tabur Peringkat Tumbesaran Padi Tahap Keperluan Air Kawasan Paras Air (cm)
30 Selepas mengubah/tabur Amat mustahak 10
40 terus Mustahak 10
60 Beranak aktif Mustahak 10
70 Beranak tidak aktif Mustahak 10
80 Pembetukan butir Amat mustahak 10
100 Bunting Amat mustahak 80
115 Terbit dan bersusu Tidak mustahak 0
130 Membeku dan matang

Penuaian

Tidak mustahak 0

Teknik pengurusan air bagi sistem mengubah

Bagi penjimatan air, jangka masa pratepu padi peringkat permulaan musim hendaklah dikurangkan sehingga 3-4 hari iaitu setakat cukup untuk tanah menjadi tepu. Paras air kemudian dibiarkan di paras minimum (3-5 cm) bagi memudahkan pergerakan jentera. Paras air semasa mengubah adalah di antara 5-10 cm dan dibiarkan pada paras tersebut sehingga peringkat membeku dan matang di mana semua air disalir keluar. Sekiranya boleh, tanaman hendaklah dijadualkan supaya peringkat pembiakan pokok tidak bertepatan dengan musim kemarau dan tanah asid sulfat hendaklah sentiasa ditenggelami air sepanjang masa pertumbuhan sehingga selepas peringkat membeku dan matang.

Pengurusan air bagi sistem tabur terus

Pengurusan air perlu dilaksanakan dengan rapi bagi mendapatkan kesan yang baik untuk persediaan tanah, peratus pertumbuhan padi, keseragaman pertumbuhan padi dan kawalan rumpai. Keadaan tanah yang sesuai untuk ditabur biji benih adalah tanah yang rata, lembab dan paras air pula boleh diturunnaikkan mengikut pertumbuhan pokok. Bekalan air yang berterusan adalah perlu sekiranya biji benih kering ditabur di atas tanah kering untuk mendapatkan percambahan dan seterusnya pertumbuhan pokok yang memuaskan. Air pada mulanya dimasukkan ke sawah dan dibiarkan pada ketinggian 10 cm semasa pemutaran basah. Air disalir keluar 1-2 hari sebelum menabur benih dan sekiranya terpaksa menabur di dalam sawah yang sudah dimasuki air, air yang berlebihan hendaklah disalirkan keluar. Kurangkan gangguan yang mengocak air kerana ini akan memberi kesan buruk pada percambahan dan pertumbuhan pokok. Paras air sentiasa ditakung pada ketinggian 5-10 cm dan dibuang 15-20 hari sebelum menuai bergantung kepada jenis tanah dan kecekapan saliran.

Memungut hasil[1]

Pokok padi masak

Padi mesti dituai seelok padi masak. Kelewatan menuai boleh menyebabkan kekurangan hasil kerana pokok-pokok padi akan rebah, biji-biji padi lerai dan juga kerosakan oleh musuh-musuh dan penyakit-penyakit. Biasanya padi elok dituai dalam masa 35 hari selepas 50% dari pokok-pokok mengeluarkan tangkai-tangkai padi.

Biasanya padi dituai dengan jentuai (combine harvester). Kemudian biji-biji padi dileraikan dengan cara membanting tangkai-tangkainya ke dalam tong pembanting. Hanya di kawasan yang menanam padi secara kecil-kecilan padi dituai dengan 'ketam' padi. Terdapat juga mesin-mesin penuai lengkap yang kecil dan ringan iaitu mini combine yang juga boleh menuai, membanting dan membersihkan hasil padi sekaligus, tetapi ia hanya boleh menuai seluas 0.1 ha (1/3 ekar) sejam.

Pengurusan perosak[1]

Satu pendekatan pengurusan kawalan perosak yang menggabungkan aktiviti pertanian, kawalan biologi dan penggunaan kimia secara bijaksana dan terhad, iaitu:

  • Penggunaan Varieti Rintang

Penggunaan biji benih tulen yang menepati Standard Minimum Biji Benih, di mana ia tulen dan tidak berpenyakit akan dapat mencegah kejadian rumpai dan serangan penyakit bawaan biji benih.

  • Amalan Kultura

Penyediaan tanah yang sempurna termasuk meratakan tanah dan pengurusan air yang berkesan.

  • Penggunaan Musuh Semulajadi

Musuh semulajadi membantu membunuh perosak-perosak tanaman adalah labah-labah, pepatong dan kumbang-kumbang seperti Casnoide interstitialis, Coccinella arcuta dan lain-lain. Kumbang Coccinella arcuta makan serangga perosak khususnya anak dan ibu bena perang sementara kumbang Pyrtorhinus lividipennis memusnahkan telur bena perang manakala labah-labah memerangkap serangga perosak.

  • Kawalan Perosak Secara Biologi

Ternakan ikan seperti ikan keli, sepat dan lampan jawa secara intergrasi di dalam sawah dapat mengawal serangan serangga, moluska dan rumpai serta mengurangkan penggunaan racun. Dengan mengambil faktor-faktor ekosistem sawah, satu hektar sawah boleh menampung diantara 3000-4000 ekor anak ikan. Ikan boleh dituai selepas berumur 60 hari.

  • Penternakan Itik Muscovy Secara Intergrasi

Dapat mengawal masalah rumpai sawah, padi tumpah dan juga merupakan sumber protin dalam kehidupan harian pesawah.

  • Penggunaan Racun Perosak Secara Betul

Penggunaan racun perosak adalah dibenarkan jika ia melebihi tahap tindakan kawalan, sekiranya populasi perosak atau kejadian penyakit melebihi paras tersebut.

Penyakit utama tanaman padi

  1. Karah Padi (Pyricularia oryzae)
  2. Hawar Seludang (Thanatephorus cucumeris = Rhizoctonia solani)
  3. Hawar Daun Bakteria (Xanthomonas oryzae)
  4. Bulir Hitam (Ustilagioide virens)
  5. Penyakit Bintik Perang (Drechslera oryzae)
  6. Hawar Anak Benih
  7. Penyakit Merah Virus
  8. Jalur Daun Bakteria (Zanthomonas oryzicola)
  9. Bakanae (Gibberella fujikuroi = Fusarium moniliforme)
  10. Lelompat Padi Bena Berang dan Bena Putih
Penyakit Karah (Reput Tangkai) Disebabkan Kulat Pyricularia oryzae

Galeri

Lihat juga

Rujukan

  1. ^ a b c d e f g h i Admin, Editor2 (Mac 24, 2010). "PENANAMAN PADI DI MALAYSIA". Jabatan Pertanian Negeri Perak(Perak State Agriculture Department). Dicapai pada August 17, 2011.CS1 maint: extra text: authors list (link)
  2. ^ We’re in need of a padi cure. The Star. Capaian 30 Mac 2012.
  3. ^ Austronesian Diaspora and the Ethnogeneses of People in Indonesian ... edited by Truman Simanjuntak, Ingrid Harriet Eileen Pojoh, Muhamad Hisyam
  4. ^ "Adat Persawahan Di Negeri Kedah". Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah. 2002. Dicapai pada August 17, 2011.
  5. ^ Produk Baru UPM Mampu Hasilkan Padi Bermutu Tinggi. BERNAMA. Capaian 2 April 2012.

Pautan luar