A. Ramlie

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari A. Ramlee)
A. Ramlie
Kulit album "Hanya Bagimu"
Kelahiran
Ramlie bin Ahmad

(1946-08-25)25 Ogos 1946
Jalan Tengas, Kampung Batak, Kaki Bukit, Singapura
Meninggal dunia10 Mei 2001(2001-05-10) (umur 54)
Kerjaya muzik
PekerjaanPenyanyi
InstrumenPop
Tahun aktif1960–2001
Pengkarya berkait
Sanisah Huri

Ramlie bin Ahmad atau lebih dikenali umum sebagai A. Ramlie merupakan seorang penyanyi Melayu era 60-an / 70-an yang sering mendendangkan lagu-lagu di radio Malaysia.

A. Ramlie telah dilahirkan pada 25 Ogos 1946 di Jalan Tegas, Kampung Batak, daerah Kaki Bukit, Singapura. Beliau merupakan anak kepada almarhum Ahmad Masid dan Asmah Raden Ismail, dan merupakan anak kelima dari 19 beradek.

A Ramlie pernah bertanding dalam pertandingan kugiran seluruh Singapura 1954 dan mendapat nombor dua sementara kumpulan pertama dimenangi oleh kumpulan yang disertai oleh Jefrydin.

Pada mulanya beliau menyertai kumpulan The Siglap Five, sebelum bertukar menyertai kumpulan The Rythmn Boys, seterusnya menjuarai Pertandiran Kugiran Seluruh Singapura 1965.

Beliau juga pernah merakamkan lagu bersama kumpulan The Click Four. Kugiran terakhir yang mengiringi arwah di tahun 60-an ialah kumpulan The Times Orchestra. A. Ramlie juga pernah merakam dengan kumpulan The Clans. Pada tahun 1966 A. Ramlie & The Rythmn Boys dijemput mempersembahkan sebuah lagu ciptaan Salamah Basiron (Hanimasra) berjudul Kenangan Mengusik Jiwa secara langsung dalam rancangan terbitan Asmah Laili bertajuk Lagu Popular Minggu Ini di Radio Singapura.

Dalam persembahan tersebut yang dipersembahkan oleh A. Ramlie sebagai penyanyi dengan iringan muzik oleh Mohamed Ayob Taib (lead guitar), Mohamed Osman Said (rythmn guitar), Mohamed Ali Taib (bass guitar) dan Mohamed Noor Ahmad (drum) mendapat sambutan yang menggalakkan, dan selama lima tahun berturut-turut lagu tersebut tersenarai di dalam carta. A. Ramlie & The Rythmn Boys kemudiannya merakamkan lagu Kenangan Mengusik Jiwa dan tiga lagu lain - Oh Fatimah, Ingat Padaku dan Seruanku, di bawah label Eagle Record sebagai EP pertama mereka. EP ini mendapat sambutan hangat. Susulan dari kejayaan ini, A. Ramlie & The Rythmn Boys kemudiannya turut menghasilkan dua lagi EP dengan lagu-lagu popular, di antaranya, Salam Muhibbah, Paduan Kasih dan Hidup Bersama.

Pada tahun-tahun 1967 hingga 1969, vokalis dan kugiran popular ini membawa haluan berasingan selepas kejayaan tersebut. The Rythmn Boys terus menjadi pemuzik latar untuk rakaman penyanyi-penyanyi seangkatan mereka seperti Ramlah Aziz, S. Mariam, Novell, Adnan Othman, S. Ahmad dan M. Amin, selain muncul sebagai artis undangan dalam filem A-Go-Go ‘67 dan Dosa Wanita. Sementara A. Ramlie terus mencipta nama melalui beberapa siri rakamannya dengan kugiran-kugiran lain seperti The Clans, The Click IV, Times Orchestra dan Pancharagam A. Ramlie yang ditubuhkannya sendiri. Di antara lagu-lagunya yang menjadi popular pada masa ini dan menjadi siulan ramai termasuklah Ole Ole Temasek, Dendang Anak Tani, Lambaian Desa dan Sejambak Budi Setangkai Hati. Pada tahun 1968, A. Ramlie telah menyertai beberapa artis Melayu lain seperti Rafeah Buang, Ahmad Jais, dan kugiran The Sandblues ke Brunei untuk membuat persembahan dalam satu keramaian istana.

Pada tahun 1971, A. Ramlie telah berganding dengan penyanyi wanita Maria Bachok buat pertama kali dalam rancangan hiburan TV Singapura iaitu Istana Pesta. Dari situ mereka bersama dalam beberapa rakaman EP di bawah label Panda - kali ini diiringi oleh sebuah kugiran dari Johor Bahru iaitu The Nite Walkers. Di antara rakaman duet mereka di waktu itu ialah Patah Tumbuh Hilang Berganti, Itulah Sayang, Tari Selendang, Ingin Berkawan Saja, Antara Sehati Sejiwa dan Setangkai Kembang Melati. Hubungan cinta yang terjalin telah membawa pasangan duet ini ke jinjang pelamin pada tahun 1972. Hasil perkahwinan ini, mereka dikurniakan seorang puteri tunggal yang diberi nama Marliana, setahun kemudian, dan menetap di Marine Terrace, Singapura.

A. Ramlie juga pernah merakamkan lagu bersama kumpulan The Click Four. Kugiran terakhir yang mengiringi arwah di tahun 60-an ialah kumpulan The Times Orchestra. A. Ramlie juga pernah merakam dengan kumpulan The Clans.

Tragedi perkauman 13 Mei 1969 di Malaysia dan kemudiannya turut merebak ke Singapura merupakan permulaan pudarnya kegilaan terhadap muzik Pop Yeh Yeh secara beransur-ansur. Mulai saat itu, artis-artis seangkatan A. Ramlie mula menyepi seorang demi seorang. Namun begitu, A. Ramlie masih berkecimpung dalam bidang seni suara dengan penyertaannya dengan Hoover Records di bawah label Panda mulai tahun 1970. Untuk projek seterusnya, A. Ramlie digandingkan dengan sebuah kugiran dari Indonesia bernama The Commandos. Tidak seperti tahun tahun 1960an dahulu, irama pada lagu-lagunya pada dekad ini lebih dipelbagaikan, daripada irama rancak kepada joget, asli dan sentimental. Rakaman demi rakaman terus dibuat, dengan lagu-lagu seperti Gadis Jururawat, Kau Ingkari Janji, Kasih Jauh Di Mata, Segantang Lada, Ku Tunaikan Janji, Di Suatu Senja dan Nyawa Dan Badan Kalangan Diri. Ketika ini, beberapa komposer baru seperti Yusnor Ef, pasangan adik-beradik Ghaus & Rosnah Ghaffar dan komposer Indonesia seperti Yusaini Amir, Dondo dan M.D. Lingga turut memberi sumbangan ilham masing-masing kepada A. Ramlie yang turut mencipta lagu-lagunya sendiri dalam rakamannya.

Penutupan syarikat Hoover Records pada tahun 1974 tidak sekali-kali menutup rezeki A. Ramlie dan Maria Bachok, kerana mereka kemudiannya ditawarkan menjadi artis rakaman oleh Senada Records milik komposer Kassim Masdor, yang turut mengundang beberapa artis lain seperti Rafeah Buang dan Sanisah Huri (dahulunya dari EMI), Rahimah Rahim (dari Hoover) selain mencungkil bakat-bakat baru seperti Adam & Ben dan A. Razak. A Ramlie memulakan rakaman di Senada dengan EP pertamanya Ku Nantikan Kau Pulang (1974) dan diikuti dengan EP duet dengan Maria Bachok berjudul Cahaya Bulan Di Air Tenang (1975). Beberapa EP lain yang dirakam termasuklah Intanku Liana (1975), Lumrah Dunia (1976), Ramalan Bintangku (1976), selain LP misalnya Hanya Bagimu, Kasih Tak Terlerai, Kasih Berbunga Sepanjang Musim dan Kisah Hidup Ini. Pasangan suami isteri ini juga turut merakam sebuah lagu hari raya bertajuk Malam Tujuh Likur.

Mulai tahun 1980an, A. Ramlie mula menebarkan sayapnya ke Kuala Lumpur dengan album-album baru seperti Hancurnya Istana Cinta (IMI - 1982), Kisah Lukisan Sepuluh Tahun (IMI - 1984) dan Harapan (Gazco). Pada tahun 1983, A. Ramlie diundang oleh IMI untuk merakamkan kembali lagu-lagu ciptaan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee sempena 10 tahun kematian beliau (1973 – 1983). Kebangkitan semula irama Pop Yeh Yeh pada tahun 1985 berikutan satu konsert perdana di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur di atas usaha Allahyarham M. Shariff & The Zurah II telah merancakkan kembali kegiatan beliau apabila dipanggil untuk merakamkan kembali lagu-lagu popularnya di bawah label Warnada, dengan iringan semula kugiran ini.

Berikutan kebangkitan semula irama Pop Yeh Yeh pada tahun 1985 berikutan satu konsert perdana di Stadium Merdeka, A. Ramlie dan Maria Bachok sanggup mengambil risiko berhijrah ke Johor Bahru sebagai penduduk tetap Malaysia. Mereka turut menyanyi di Juwita Longe milik penyanyi seangkatan mereka, Hasnah Harun. A. Ramlie juga pernah merakamkan sebuah album tribute untuk Allahyarham Hamzah Dolmat pada tahun 1987 dengan judul Untukmu Penggesek Biola. A. Ramlie dan Maria Bachok kemudiannya bercerai pada tahun 1988. Penceraian itu diabadikan oleh beliau dalam lagunya Takdir pada tahun 1991 keluaran Mutiara Records.

Semenjak itu, beliau kian menyepi dari persada muzik Melayu hinggalah pada tahun 1995 apabila berita mengenai penyakit Parkison yang dideritainya disiarkan dalam akhbar Berita Harian. Menyedari penderitaan itu, sekali lagi, atas usaha M. Shariff dan kugirannya The Zurah II, satu lagi konsert perdana dipanggil Masih Ada Yang Sayang telah diadakan di Kuala Lumpur pada tahun 1996 bagi mengutip derma untuk membiayai belanja perubatan A. Ramlie. Seperti tahun 1985 dahulu, sejumlah besar penyanyi angkatan Pop Yeh Yeh dikumpulkan semula bagi menjayakan konsert tersebut, di mana A. Ramlie sendiri bersama kugiran The Rythmn Boys mempersembahkan tiga lagu hit mereka. Dalam konsert yang sama, Maria Bachok muncul dengan menyanyikan semula lagu Itulah Sayang secara duet dengan M. Shariff. Sebuah album dengan judul Masih Ada Yang Sayang juga turut dirakam dengan menjemput wartawan-wartawan akhbar yang berkaliber untuk merakam semula lagu-lagu popular A. Ramlie, di mana A. Ramlie sendiri merakam semula lagu Ku Tetap Menunggu. Pada tahun 1996 itu juga, A. Ramlie sempat merakam semula lagu-lagu lama beliau dengan iringan The Rythmn Boys, selain mendendangkan sebuah album baru diberi judul Fatimah II, sempena 30 tahun penglibatan mereka dalam seni muzik (1966 – 1996). Malah, A. Ramlie juga sempat merakam album kompilasi dengan bekas isterinya Maria Bachok, lapan tahun selepas penceraian mereka. Kali terakhir A. Ramlie merakam album ialah pada tahun 1998 dengan tajuk Secawan Kopi terbitan Musicland.

Pada 1996, beliau telah lama menderita penyakit Parkinson dan satu persembahan artis-artis 60-an di bawah konsert Masih Ada Yang Sayang diadakan di Stadium Merdeka yang diusahakan oleh M. Shariff telah diadakan bagi membantu menampung perbelanjaan perubatan.

Kesihatan A. Ramlie tidak mengizinkan beliau untuk kembali aktif untuk menyara kehidupannya. Namun beliau terus tabah mengharungi sisa-sisa usia senjanya bersendirian. Mujurlah adik-beradiknya berpakat menanggung bersama kos perubatannya. Sementara itu, seorang doktor dari Terengganu yang juga peminat setia A. Ramlie ketika di usia remajanya turut menawarkan bekalan ubat secara percuma. Tanggal 10 Mei 2001, pada usia 53 tahun, A. Ramlie menghembuskan nafas terakhir di rumah ibunya di Tampines, Singapura. Lebih seribu orang mengiringi jenazahnya untuk dikebumikan di Pusara Abadi.

Album[sunting | sunting sumber]

Nota: Senarai ini tidak lengkap. Sila membuat penambahan jika perlu.

20 Hits Nostalgia
LP Kau Harapanku

Album Studio[sunting | sunting sumber]

Album Kompilasi[sunting | sunting sumber]

  • A. Ramlie - 20 Hits Nostalgia (2005)

Lagu-lagu[sunting | sunting sumber]

  • Buah Hatiku Sayang
  • Hidup bersama
  • Jangan Di Tanya
  • Kasih Tak Sudah
  • Kenangan Mengusik Jiwa (A. Ramlie & Jeffrydin)
  • Ku Pergi Dulu
  • Ku Tunaikan Janji
  • Lambaian Desa
  • Oh Fatimah
  • ole ole Temasik
  • Rambut - A. Ramlie & Maria Bacuk
  • Menanti Harapan
  • Ingat Padaku
  • Paduan Kasih
  • Kunanti Kau Pulang
  • Lumrah Dunia
  • Nelayan
  • Tunang Tujuh Purnama
  • Rindu Kaseh
  • Lambang Ikatan Dua Remaja
  • Pepatah Pujangga
  • Seruanku
  • Harapan menanti
  • Mencari bahagia
  • Salam muhibbah
  • Hari berganti hari

A.Ramlie