Achik Spin

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Abdillah Murad bin Md. Shari)
Achik Spin
Kelahiran
Abdillah Murad bin Md. Shari

(1983-07-01)1 Julai 1983
Meninggal dunia17 April 2010(2010-04-17) (umur 26)
Sebab kematianKemalangan jalan raya
DikebumikanTanah Perkuburan Islam Makam Tuan Haji Said, Seremban, Negeri Sembilan
PendidikanSijil Pelajaran Malaysia (SPM)
Pekerjaan
  • Penyanyi
  • Pelakon
  • Ahli Perniagaan
Tahun aktif1998–2010
PasanganH.M. Rose Zaitul Wati Maarof (k. 2005–2010)
Anak-anak3 (1 meninggal dunia)
Saudara
  • 𝖠𝗐𝗂𝗌 𝖲𝗉𝗂𝗇 (𝖺𝖽𝗂𝗄)
  • Khalis 𝖱𝖾𝖺𝗅 𝖲𝗉𝗂𝗇 (adik)
  • Tajul Ariff (adik)
  • Beby Acha (𝖺𝖽𝗂𝗄)
Kerjaya muzik
Genre
InstrumenVokal
Syarikat rakaman
Fantasia Music City (FMC)
Pengkarya berkait
Spin, Achik & Nana, Siti Nordiana

Abdillah Murad Md. Shari atau lebih terkenal sebagai Achik Spin (1 Julai 1983 – 17 April 2010)[1] merupakan seorang penyanyi dan pelakon lelaki Malaysia. Sepanjang kerjaya muzik beliau, Achik telah menerbitkan 4 album studio bersama kumpulan Spin selaku vokalis utama yang diketuai oleh beliau, bahkan telah mencipta 2 album kompilasi duet dan telah mengeluarkan 40 single.

Di awal kemunculannya, Achik membawakan lagu berentak pop, R&B, dan seterusnya beralih kepada balada serta pop rock. Penglibatan Achik dalam bidang hiburan telah memberi inspirasi kepada bakat penyanyi yang lain malah menjadikan salah satu pengaruh beliau dalam industri muzik selain penyanyi berbakat seperti Syura, Elyana, Siti Nordiana, Siti Nurhaliza, Tomok dan Naqiu sebagai teraju utama dalam dunia nyanyian.

Kehidupan awal[sunting | sunting sumber]

Abdillah Murad Md. Shari dilahirkan pada 1 Julai 1983 di Felda Sendayan, Seremban, Negeri Sembilan[2] dan beliau merupakan anak kelima daripada sepuluh adik-beradik secara keseluruhan. Achik memiliki kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Kerjaya[sunting | sunting sumber]

Muzik[sunting | sunting sumber]

Pada awal tahun 1998, Achik memulakan kerjaya awal seni muzik dengan menceburi dunia nyanyian ketika beliau berusia 15 tahun serta membentuk kumpulan muzik yang dinamakan sebagai Spin. Beliau juga mengetuai kumpulan ini selaku vokalis utama pada tahun 90-an malah lagu yang popular pada masa itu ialah single pertama bersama Spin berjudul "Dekat Disayang Jauh Dikenang", manakala single kedua ialah "Mengusung Rindu", dan single ketiga yang dimuatkan dalam album Roda Roda Rindu iaitu "Insan Ku Sayang Kini Menghilang". Selain itu, Achik pernah melancarkan empat album kompilasi bersama Spin malah mula beralih sebagai penyanyi duet bersama rakan duetnya, Siti Nordiana. Achik juga dikenali sebagai seorang penyanyi lagu pop Melayu, balada, pop rock serta irama tradisional Melayu pada awal 1998 sehingga 2010 dalam usia beliau yang muda.

Selain berkecimpung selaku vokalis utama Spin, Achik juga terdahulu dikenali menerusi pasangan duet bersama penyanyi Siti Nordiana, yang merupakan rakan akrab dan teman duet beliau. Mereka juga pernah mengenali sesama sendiri ketika zaman remaja di Negeri Sembilan sebelum sama-sama menyertai studio rakaman muzik yang berada di bawah naungan FMC pada peringkat awal. Pasangan duet Achik & Nana ini telah memikat hati pendengar muzik dan pernah berada di puncak populariti pada tahun 2000 sehingga 2005 dengan membariskan dua buah album kompilasi mereka, malah single mereka yang popular pada masa itu adalah lagu yang berjudul "Paling Comel", hasil ciptaan komposer Aidit Alfian.[3] Di samping itu, single tersebut ketika itu menjadi hit paling popular yang telah menarik perhatian peminat muzik sehingga kini. Selepas kejayaan single pertama mereka pada 2003, Achik & Nana muncul dengan single kedua iaitu "Setia Menanti" dan juga terkenal dengan lagu tradisional Irama Malaysia, iaitu "Benang Emas" yang dkeluarkan pada 2005 malah ia pernah dicalonkan dalam program rancangan TV3, Muzik Muzik 18. Pada masa yang sama, duo Achik & Nana muncul pada akhir tahun 2009 dengan mengeluarkan single terakhir mereka iaitu "Cari Ketenangan", yang merupakan sebagai rakaman terakhir bagi pasangan duet ini.

Lakonan[sunting | sunting sumber]

Selain kerjaya muzik, Achik juga pernah diundang untuk berlakon bersama pelakon-pelakon terkenal di Malaysia malah beliau memainkan peranan sebagai watak utama menerusi drama telefilem pada peringkat permulaan. Lakonan pertama Achik yang muncul pada tahun 2002 ialah drama telefilem yang berjudul Demi arahan pengarah Zalie Salim terbitan FMC. Achik memegang watak utama sebagai pelajar kolej yang sering bersosial dengan rakan, malah berjumpa seorang gadis yang lama-lama menyukai satu sama lain sehingga pada suatu malam berlaku kejadian aneh apabila beliau terpalit dengan pembunuhan yang tidak dilakukannya. Telefilem tersebut membariskan beberapa pelakon drama yang sedang meningkat naik ketika itu seperti Bell Ngasri, Anne Ngasri, Darling Ngasri, serta membariskan kumpulan Spin sebagai tetamu jemputan bagi menjayakan telefilem tersebut.

Selain itu, Achik pernah membintangi filem pertama pada tahun 2003 iaitu Diari Romeo dengan membawa watak sebagai Dani, seorang lelaki yang tidak berkeyakinan dan selalu mengikut kehendak ibunya sehingga mula mengikut jejak ayahnya bagi mencari teman wanita idaman sebagai pilihan utama. Achik bergandingan bersama dengan pelakon Zachery Francis dari X-Factor, Sharifah Nadia, serta dibantu oleh Aida Khalida, Rosnah Johari, di samping gabungan bersama pelakon veteran M. Rajoli, Zami Ismail dan Datuk Jalaluddin Hassan sebagai watak sampingan bagi filem itu. Achik dipilih sebagai Pelakon Harapan Lelaki menerusi filem ini.[4]

Pada masa yang sama, Achik serta penyanyi Syura, Siti Nordiana, dan juga hasil kerjasama bersama pelakon popular iaitu Ezany Nizariff pernah membintangi telefilem berjudul Helah pada tahun 2002 yang membawa watak sebagai Remy, pemuda remaja yang sering dikelilingi konflik antara percintaan dan cabaran demi bersama kekasih. Achik juga bergandingan bersama Nana buat kali kedua dalam telefilem romantik yang berjudul Prahara pada tahun 2003 yang membawa watak sebagai pemuda yang berjaya menambat hati pasangan hidup.

Seterusnya, Achik ditampilkan selaku penampilan undangan khas bersama Syura yang membawa watak sebagai Azman menerusi telefilem Pelakon Popular bersama pelawak veteran iaitu Sathiya, Zaibo, Abon dan Radhi Khalid serta pelawak yang merupakan bekas ahli kumpulan Senario, Saiful Apek juga terlibat dalam drama ini pada tahun 2003. Namun, lakonan terakhir yang beliau muncul di kaca TV pada tahun 2005 sebagai pelakon utama ialah drama telefilem yang berjudul Sifu terbitan ASTRO.

Achik telah menerima pengiktirafan sebagai Bintang Harapan Lelaki dalam Festival Filem Malaysia ke-17 kerana bakat beliau yang terserlah dalam lakonan filem Diari Romeo buat kali pertama. Penglibatan Achik dalam lakonan juga telah memberi inspirasi buat dunia seni dan diiktiraf sebagai artis terbaik sehingga 2006.

Kehidupan peribadi[sunting | sunting sumber]

Achik Spin berkahwin pada tahun 2005 bersama wanita pilihan beliau, iaitu H. M. Rose Zaitul Suriani Wati Maarof[5][6] dan mempunyai tiga anak perempuan iaitu Puteri Sumayya, Puteri Saffiya, dan anak sulungnya Puteri Rania yang meninggal dunia pada tahun 2007 hasil daripada perkahwinan Achik dan isterinya selama 5 tahun.[7]

Cabang lain[sunting | sunting sumber]

Bermula pada 2001 selepas kejayaan beliau bersama Spin, beliau telah mengusahakan perniagaan bersama abangnya dalam bidang penerbitan di bawah syarikat yang dinamakan sebagai Spire Spin Sdn. Bhd.

Pada masa yang sama, syarikat yang menjalankan pelbagai urusniaga penerbitan buku itu mempunyai cawangan di Seremban dan Johor Bahru. Selain itu, beliau juga menguruskan perniagaan kedua iaitu produk yang berasaskan perubatan iaitu herba dan ubat-ubat tradisional yang beroperasi sejak akhir 2007 sehingga kini telah diambil alih oleh isterinya dan diuruskan sepenuhnya selepas kematiannya. Walaupun beliau sering sibuk dengan perniagaan, namun beliau juga tidak pernah mengabaikan bidang nyanyian yang merupakan sebahagian daripada dirinya.

Kematian dan legasi[sunting | sunting sumber]

Pada 17 April 2010, Achik telah terlibat dalam satu kemalangan jalan raya yang meragut nyawanya. Kereta yang dinaiki oleh Achik bersama rakannya, Salihin Md. Noor, iaitu Toyota Estima XR40 (MPV) juga telah berlanggar dengan papan tanda jalan di KM 14.7 Lebuhraya Kajang–Seremban (Lekas) susur keluar dari Pajam lebih kurang jam 6:00 petang dan ia telah meletup dan hangus terbakar.[8] Bagaimanapun, Achik telah meninggal dunia di tempat kejadian itu akibat mengalami pendarahan di kepala dan beberapa kecederaan anggota badan yang mengakibatkan beliau telah tercampak keluar dari kereta selepas ia meletup, manakala rakannya terselamat dan mengalami cedera ringan di bahagian tangan kanannya.[9]

Kemalangan itu dipercayai berlaku sewaktu Achik dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Seremban setelah selesai menjalani satu program hiburan yang menjemput beliau sebagai artis jemputan, iaitu Rancangan Gah 1 di RTM, Angkasapuri, bersama dengan rakan duetnya Siti Nordiana (Nana),[2] yang ketika itu muncul dengan mempromosikan single terbaru mereka yang berjudul "Cari Ketenangan" hasil ciptaan sepenuhnya oleh komposer terkenal Ajai, iaitu rakaman yang terakhir bagi pasangan duet ini dan ia pernah dibawakan oleh Achik & Nana dalam temubual mereka pada tahun 2010 menerusi rancangan Jangan Tidur Lagi terbitan TV3, dan single baru yang dicipta oleh Achik, iaitu "Engkau Yang Ku Cinta" pada awal petang itu sebelum berlakunya kejadian yang telah menimpa Achik.[2][10]

Jenazah Achik telah dibawa ke kediaman rumahnya di Taman Desa Rose, Ampangan, untuk dimandikan dan dikafankan serta upacara memberi penghormatan terakhir diadakan. Jenazah beliau telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Makam Tuan Haji Said, Seremban, Negeri Sembilan pada jam 1:00 petang selepas solat Zohor.[2]

Kematian beliau juga turut dirasai malah dihadiri oleh beberapa rakan artis yang terlibat dalam upacara pengebumian Achik Spin seperti penyanyi Tomok, Hafiz Hamidun, Dato' Hattan, Lan Yusof yang merupakan bekas vokalis Kristal, termasuklah rakan duet yang merupakan teman rapat beliau iaitu Nana, dan anggota kumpulan Spin (Ayie, Tal dan Raymie) juga turut hadir dalam upacara tersebut. Mereka telah merakamkan ucapan takziah buat keluarga beliau atas pemergian Achik.[2]

Meskipun pemergiannya merupakan kehilangan terbesar buat industri muzik, lagu-lagu dan lirik dendangan beliau akan sentiasa menjadi siulan dan menjadi pengubat rindu buat para peminat bagi penyanyi kumpulan Spin ini dan juga khususnya pada semua pelapis untuk dunia seni hiburan tanah air.[2]

Beliau sebelum ini pernah berhasrat untuk kumpulan Spin bergiat aktif semula dan juga ingin mencipta nama di persada dunia industri hiburan muzik selepas kumpulan ini telah menyepi dari dunia seni tetapi hajat terakhir Achik untuk mengembalikan semula kegemilangan Spin tidak kesampaian sejak kematiannya. Bahkan, kumpulan tersebut juga tiada perancangan bagi menggantikan beliau selaku vokalis untuk menyambung legasi tersebut dan mereka hampir putus asa selepas kehilangan beliau yang tiada galang gantinya malah rindu dengan kelunakan suara beliau. Kini, adik-beradiknya juga telah mengikut jejak langkah beliau untuk meneruskan semula legasi beliau yang ditinggalkan dan diwarisi oleh beliau dalam industri muzik tempatan. Atas permintaan ramai tentang kelibat Spin, kumpulan tersebut telah memutuskan bahawa adik kepada Achik, iaitu Arwis Qarani Md Shari (Awis), menjadi teraju utama kumpulan tersebut bagi menggantikan Achik sebagai vokalis asal yang mengetuai Spin. Selain itu, kumpulan itu telah menampilkan single terbaru iaitu "Sakit Terpanah" ciptaan sepenuhnya daripada komposer Zul 2 By 2 pada akhir 2015. Mereka mengambil masa sebulan untuk menyiapkannya sebelum diterbitkan dua bulan kemudian. Selepas single baru pada 2015 dihasilkan, Fidaz dan Shah serta bekas gitaris kedua asal Spin, Ayie, mengundurkan diri dari kumpulan tersebut kerana perselisihan faham antara mereka.

Selain itu, adik kedua kepada Allahyarham iaitu Khalis Md. Shari (Khalis) juga telah mengendalikan kumpulan yang dinamakan sebagai Real Spin bersama dengan dua ahli yang merupakan bekas ahli kumpulan Spin yang asal selepas pengunduran mereka pada 2001, iaitu pemain gitar Aidelah Ahmad (Aidel), manakala Norazren Kamil (Azren) yang merupakan pemain gitar bes kumpulan tersebut dan kemasukan anggota baru iaitu pemain dram Real Spin, Aiman, juga menerajui kumpulan itu untuk menyambung semula perjuangan Spin. Malah, mereka telah menerbitkan single pertama Real Spin yang berjudul "Halusinasi Diri" pada akhir tahun lalu. Kini, mereka akhirnya muncul dengan single baru yang berjudul "Semakin Rindu" pada pertengahan tahun 2017 hasil kerjasama bersama komposer Cuna Alfian dan Atan Alfian.

Manakala, adik bongsu kepada Achik iaitu Tajul Ariff Noor Md Shari (Tajul), juga telah berhasrat untuk meneruskan semula legasi nyanyian yang diamanahkan oleh Achik serta adik-beradiknya. Tajul sebelum ini pernah menganggotai kumpulan nasyid yang berada di bawah bimbingan Munif Hijjaz yang merupakan anggota nasyid daripada kumpulan Hijjaz, iaitu Akhdan, yang ketika itu kumpulan nasyid yang menyanyikan berkonsep kerohanian, tetapi beliau membuat keputusan dengan mencuba nasibnya untuk bergerak sebagai penyanyi solo. Pada masa yang sama, beliau mempunyai single terbaru yang berjudul "Sedalam-Dalam Rindu" ciptaan sepenuhnya komposer Alam terbitan FMC Music. Lagu itu telah diterbitkan pada akhir 2016 dan telah mencapai lebih daripada 11 juta tontonan menerusi laman YouTube sehingga kini. Ia merupakan lagu dedikasi khas bagi mengenang jasa Allahyarham Achik sepanjang penglibatan beliau dalam industri muzik tanah air.

Filemografi[sunting | sunting sumber]

Filem[sunting | sunting sumber]

Tahun Tajuk Peranan Catatan
2003 Diari Romeo Dani Filem pertama dan terakhir

Telefilem[sunting | sunting sumber]

Tahun Tajuk Peranan Saluran TV
2002 Demi Achik VCD
2003 Helah Remy
Prahara Achik
Pelakon Popular Azman
2004 Wad 04 Dr. Riezman
2005 Sifu Alif Astro Ria

Diskografi[sunting | sunting sumber]

Spin[sunting | sunting sumber]

Achik & Nana[sunting | sunting sumber]

Konsert[sunting | sunting sumber]

  • Festival EFest Asia Kuala Lumpur - Achik Spin & Nana (2000)
  • Festival Nescafe Open Up Karaoke Contest Finals Johor Bahru - Achik Spin & Nana (2000)
  • Rancangan Muzik Muzik - Achik Spin & Nana di Singapura (2000)
  • Rancangan RTM1 Tahun Baru - Achik Spin & Nana (2001)
  • Konsert Live Achik Spin & Nana di Singapura (2001)
  • Konsert Singapore Expo (2001)
  • Konsert Muzik Muzik Separuh Akhir di AJL 18 TV3 - Achik Spin & Nana (2002)
  • Konsert Anugerah Era Showcase - Achik Spin & Nana (2003)
  • Rancangan HMI RTM2 - Achik Spin & Nana (2003)
  • Konsert Singapore Expo (2004)
  • Konsert Solo Singapore - Achik Spin & Nana (2006)
  • Konsert Zoom In RTM2 bersama penyanyi, Mamat Exists serta Siti Nurhaliza (2007)
  • Konsert Hitz 1 RTM2 (2008)
  • Rancangan Sehati Sejiwa RTM1 - Temu bual Achik & Tasha (2009)
  • Rancangan 180 Muzik Aktif terbitan ASTRO - Temu bual Achik Spin (2009)
  • Rancangan Jangan Tidur Lagi terbitan TV3 - Temu bual Achik & Nana (2009)
  • Rancangan Gah 1 RTM (2010)

Anugerah dan pencalonan[sunting | sunting sumber]

Tahun Anugerah Kategori Penerima/Karya tercalon Keputusan
2004 Festival Filem Malaysia ke-17 Pelakon Lelaki Harapan Dirinya sendiri Menang

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Syed Mussaddad Syed Mahdi (27 Julai 2014). "Achik Spin terus dirindui". Utusan Malaysia. Diarkibkan daripada yang asal pada 4 Januari 2017. Dicapai pada 20 April 2015.
  2. ^ a b c d e f Faizal Saharuni (20 April 2010). "Hilang teman duet". Kosmo!. Diarkibkan daripada yang asal pada 31 Disember 2017. Dicapai pada 20 April 2010.
  3. ^ Norliza Mohamed Zakaria (12 Disember 2008). "Tragedi Cinta Acik dan Nana". Utusan Malaysia. Diarkibkan daripada yang asal pada 31 Disember 2017. Dicapai pada 20 April 2009.
  4. ^ Khadijah Ibrahim (12 Julai 2004). "Achik Spin - Pinang Nana". Utusan Malaysia. Diarkibkan daripada yang asal pada 31 Disember 2017. Dicapai pada 20 April 2010.
  5. ^ "Achik, Tasha naik pelamin Syawal". Metro Ahad. 6 November 2005. Dicapai pada 20 April 2020.
  6. ^ "Selepas tujuh tahun, Tasha masih rindu". Utusan Malaysia. 12 September 2016. Diarkibkan daripada yang asal pada 26 Disember 2017. Dicapai pada 20 April 2017.
  7. ^ "Achik Spin maut dalam kemalangan". Malaysiakini. 18 April 2010. Dicapai pada 20 April 2010.
  8. ^ "Achik Spin maut kemalangan di Lebuh Raya Lekas". Utusan Malaysia. 18 April 2010. Diarkibkan daripada yang asal pada 31 Disember 2017. Dicapai pada 20 April 2010.
  9. ^ Kemalia Othman (29 Disember 2010). "SOROTAN 2010: Pergi Tinggalkan Nama, Jasa Tidak Dilupa". mStar. Diarkibkan daripada yang asal pada 2014-07-14. Dicapai pada 22 Februari 2014.
  10. ^ "Achik pergi ketika ligat promosi kerjaya seni". Berita Harian. 19 April 2010. Dicapai pada 20 April 2020.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]