Abdul Aziz Tapa

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Fail:Abdul Aziz Tapa.jpg
Abdul Aziz Tapa

Tan Sri Abdul Aziz Tapa merupakan ahli politik UMNO di Malaysia. Beliau dilahirkan di Kampung Rim, Jasin, Melaka pada 13 Jun 1928, pada malam Hari Raya Haji.[1]

Pendidikan[sunting | sunting sumber]

Beliau bersekolah di Sekolah Melayu Jasin ketika berumur 7 tahun dan pada tahun 1938, beliau telah lulus peperiksaan darjah 6 dan seterusnya menjadi guru pelatih. Beliau sambung belajar di Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) di Tanjung Malim, Perak tetapi sekerat jalan kerana Perang Dunia Kedua meletus. Aziz Tapa dihantar ke Port Dickson untuk menjalani latihan ketenteraan sebagai ‘Federated Malay State Volunteer Force’. Setelah tamat lathan di Kem Port Dickson, Aziz Tapa diserapkan menjadi Rejimen Polis (RP). Sebagai anggota sukarelawan, beliau tidak terikat dengan undang-undang tentera dan memilih untuk meninggalkan perkhidmatan tentera apabila tentera Jepun menguasai sepenuhnya Tanah Melayu dan Singapura. Beliau turut belajar di Sekolah Jepun dan mendalami Bahasa Jepun selama 3 bulan untuk menjadi seorang guru sains.

Beliau meneruskan semula pengajiannya di MPSI (1945-1947). Seterusnya belajar di Maktab Perguruan Ilmu Khas di Cheras, Kuala Lumpur jurusan seni lukis dan pertukangan tangan serta mengajar di beberapa buah sekolah rendah dan menengah di Melaka sebagai Guru Penolong Kanan dan Pengetua. Pada tahun 1974 beliau telah bersara dan menumpukan segala kegiatannya dalam bidang politik secara aktif.

Politik UMNO[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 1946 Aziz Tapa menyertai Persatuan Melayu Johor Cawangan Melaka pimpinan Dato’ Onn Jaafar. Sekiranya Malayan Union ditubuhkan, raja-raja Melayu tidak ada kuasa lagi.[2] .Dalam Kongres Melayu Ketiga pada 11 Mei 1946, UMNO telah ditubuhkan dengan rasminya. Dengan penubuhan UMNO, Persatuan Melayu Semenanjung Johor dengan sendirinya terbubar dan ahli-ahlinya termasuk Abdul Aziz menjadi ahli UMNO. Beliau bergerak cergas dalam kegiatan Pemuda UMNO Melaka sehingga tahun 1957. [3]

Pada tahun 1972 apabila berlaku pemecahan bahagian, di mana Jasin menjadi bahagian yang tersendiri, beliau aktif semula di dalam politik selaku Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Jasin. Pada tahun 1974, Abdul Aziz dipilih menjadi Timbalan Ketua Bahagian Jasin dan pada tahun 1978 beliau dilantik menjadi Naib Ketua Bahagian. Beliau telah menjadi Bendahari UMNO Perhubungan Negeri Melaka selama 9 tahun berturut-turut (1978-1986).

Senator dan wakil rakyat[sunting | sunting sumber]

Abdul Aziz Tapa dilantik sebagai Senator dari Jun 1975 - November 1977 . Dalam Pilihan raya umum Malaysia 1978 Abdul Aziz menang bertanding atas tiket BN/UMNO di DUN Nyalas, Melaka dan dilantik sebagai Speaker DUN Melaka. Dalam Pilihan raya umum Malaysia 1982 Abdul Aziz menang lagi di Nyalas dan dilantik sebagai Exco Pengerusi Portfolio Pelajaran, Kebudayaan, Belia dan Sukan . Beliau menjadi Bendahari Barisan Nasional Negeri Melaka sejak tahun 1986.

Budayawan[sunting | sunting sumber]

Pada 1957, Kongres Kebudayaan Melayu yang pertama diadakan di Melaka. Selaku Bendahari Kongres, Abdul Aziz bekerja keras untuk mendapatkan sumber kewangan bagi membiayai perjalanan kongres. Sejak itu, beliau terus menumpukan kegiatan untuk mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan melalui Persatuan Persuratan dan Kebudayaan khususnya Ikatan Persuratan Melayu yang telah dianggotainya sejak tahun 1952 lagi.

Beliau menempoh tiga zaman penjajahan iaitu zaman Jepun, zaman Bintang Tiga/komunis dan zaman Inggeris. Semasa Jepun, beliau bekerja membuat batas keledek dengan gaji seminggu empat sen. Apabila British kembali semula, beliau mengajar bahasa Melayu kepada isteri seorang pegawai daerah British, Puan Pauwell dengan bayaran RM150.

Aziz Tapa merupakan seorang yang kreatif.Beliau berbakat dalam seni lukis, seni bina dan reka, seni tari, seni dalam penulisan budaya sastera dan sebagainya.

Beliau dilantik sebagai Ahli Majlis Penasihat Kebudayaan Kebangsaan (1972-1996), Ahli Lembaga Amanah Balai Seni Lukis Negara (1976-1988), Pengerusi Persatuan Peladang Malaysia (1979-1986) dan Ahli Lembaga Pengarah MARA (1975-1977).

Beliau meninggal pada 4 Oktober.[4] Sekolah Menengah Jasin telah ditukar menjadi Sekolah Menengah Kebangsaan Tan Sri Haji Abdul Aziz Tapa sempena memperingati jasa-jasa beliau.

Anugerah[sunting | sunting sumber]

Beliau dianugerah Tokoh Guru Kebangsaan 1986. [5]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "Abdul Aziz bin Tapa-Arkib negara". Diarkibkan daripada yang asal pada 2017-08-02. Dicapai pada 2017-08-02.
  2. ^ Taat Setia Pesaka UMNO Terus Di Hati Rakyat[pautan mati kekal]
  3. ^ Veteran UMNO Abdul Aziz Tapa meninggal dunia
  4. ^ The legacy of Abdul Aziz Tapa
  5. ^ Abdul Aziz Bin Tapa[pautan mati kekal]