Abdul Gani Patail

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Abdul Ghani Patail)

Abdul Gani Patail

PMN, PSM; SJMK (Kel); SSAP (Phg); SPDK (Sbh); SSIS (Sel); DGSM (Mel); PGDK (Sbh); KMN
Peguam Negara Malaysia
Dalam jawatan
1 Januari 2002 – 1 Julai 2015
Didahului olehAinum Mohd Saaid
Digantikan olehMohamed Apandi Ali
Butiran peribadi
Lahir (1955-10-06) 6 Oktober 1955 (umur 68)
Lahad Datu, Borneo Utara
PasanganPuan Sri Maimon Ariff
Alma materUniversiti Malaya
ProfesionPendakwaraya

Tan Sri Abdul Gani Patail, PMN, (lahir 6 Oktober 1955) ialah bekas Peguam Negara Malaysia. Beliau pernah mengetuai pasukan petugas khas menyiasat wang berbilion ringgit dalam akaun peribadi Perdana Menteri Najib Razak.

Pada 27 Julai 2015, Ketua Setiausaha Negara, Ali Hamsa mengumumkan perkhidmatan Abdul Gani ditamatkan dan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Mohamed Apandi Ali dilantik menggantikannya.[1] Kerajaan bertegas khidmat Abdul Gani tidak disambung atas faktor kesihatan namun spekulasi mengatakan ia ekoran beliau telah hampir selesai menyiasat skandal 1MDB dan 'derma' RM2.6 bilion.[2]

Pada 15 Mei 2018, Perdana Menteri Mahathir bin Mohamad mengadakan perbincangan dengan Ketua Hakim Negara Tun Md Raus Sharif dan Abdul Gani di bangunan Yayasan Perdana di Putrajaya.[3]

Latar belakang[sunting | sunting sumber]

Abdul Gani Patail lulusan Sarjana Muda Undang Undang dari Universiti Malaya 1979. Kerjaya beliau bermula sebagai Timbalan Pendakwa Raya di Kota Kinabalu, Sabah. Pada tahun 1985, beliau telah dinaikkan pangkat kepada Peguam Kanan Persekutuan di Sabah.

Pada Januari 1994, Abdul Gani berpindah ke Jabatan Peguam Negara di Kuala Lumpur. Di sana, beliau telah dilantik sebagai Ketua Bahagian Pendakwaan (1994 dan sekali lagi pada tahun 2000), Ketua Bahagian Penasihat dan Antarabangsa (1995) dan Pesuruhjaya Penyemak Undang-Undang (1997). Pada 1 Januari 2002, beliau dilantik sebagai Peguam Negara Malaysia.

Menyiasat skandal 1MDB[sunting | sunting sumber]

Pada 2 Julai 2015, The Wall Street Journal menerbitkan laporan mendakwa dana 1MDB dipindahkan ke akaun peribadi Perdana Menteri Najib Razak.[4]

Pada 4 Julai 2015, Abdul Gani berkata pihak berkuasa pada 3 Julai menyiasat pejabat tiga buah syarikat yang dikaitkan dengan dakwaan pemindahan sejumlah dana yang besar ke akaun Perdana Menteri dan memperoleh sejumlah dokumen yang berkaitan. Serbuan ke atas SRC International Sdn Bhd, Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Ihsan Perdana Sdn Bhd itu dilakukan oleh sebuah kumpulan penyiasat pasukan petugas khas yang turut dianggotai oleh SPRM, PDRM dan Bank Negara Malaysia (BNM). Abdul Gani juga mengesahkan bahawa pasukan khas itu telah memulakan siasatan berhubung isu 1MDB dan menyerahkan kepada beliau beberapa dokumen untuk disemak termasuk dokumen yang berkaitan dengan dakwaan penyaluran dana ke akaun Perdana Menteri.[5][6]

Pada 28 Julai 2015, Abdul Gani sebagai Peguam Negara ditamatkan mulai 27 Julai 2015 atas sebab-sebab kesihatan. Laporan dikeluarkan agensi berita kebangsaan Bernama memetik kenyataan daripada Ketua Setiausaha Negara Ali Hamsa.[7][8] Sementara itu, Abdul Gani memberitahu Malaysiakini bahawa beliau tidak tahu mengenai keputusan penamatan khidmatnya sebagai Peguam Negara. Ditanya sama ada ia ada kena mengena dengan siasatan isu 1MDB, Abdul Gani juga enggan mengulas.[9]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]