Abdul Hamid Mydin

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Hamid Maidin,Pencipta Dan Pengasas Permainan Sepak Takraw Moden(1916-1991)

Abdul Hamid bin Mydin @ Hamid Maidin merupakan orang yang diiktiraf sebagai pencipta dan pengasas kepada Sepakraga Takraw oleh Persatuan Sepak Raga Jaring Malaysia. Beliau turut menerima Pingat emas Khir Johari dari Yang Di Pertua Persatuan Sepak Raga Jaring Malaysia iaitu Encik Mohamed Khir Johari dalam satu majlis yang berlangsung pada 7 Ogos 1977 di Dewan Sekolah Tinggi Han Chiang, Pulau Pinang.[1]

Pada mulanya, sukan yang dicipta oleh Hamid Mydin dikenali sebagai "bola sepak jaring", sebelum ditukar kepada "bolasepak jala" dan akhirnya kepada sepak takraw. Corak permainan sepaktakraw dibangunkan oleh Abdul Hamid Mydin bersama-sama Encik Yusoff Latiff yang menjawat Setiausaha Agung Persatuan Sepaktakraw Malaysia. Beliau kemudian bersama Syed Abbas Al-Habshee telah mengemukakan corak permainan yang dikembangkan itu kepada Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan Malaysia dan diterima sebagai sukan yang dikembangkan pada peringkat kebangsaan.

Biografi[sunting | sunting sumber]

Permainan Sepak Takraw pada permulaanya dikenali dengan nama Sepakbola Jaring kemudian kepada Sepakraga Jala atau Jaring dan atas permintaan negara Laos, Kemboja dan Thailand, ianya dinamakan SEPAK TAKRAW. Permainan ini sekarang telah popular di seluruh dunia tetapi siapakah PENCIPTA dan PENGASASNYA. Hamid Mydin dilahirkan pada tahun 1916 dan ketika itu tinggal di Kampung Rawa, Jalan Patani, Pulau Pinang. Pada ketika itu, permainan Sepakraga Bulatan di main di merata tempat terutama di kampung-kampung terdiri daripada kalangan orang tua sahaja.

Anak-anak muda mula menjauhkan diri dari permainan ini dan Sepakraga Bulatan sudah hilang daya penariknya. Penonton yang menyaksikan pertandingan pun boleh dihitung dengan jari walaupun pihak penganjur menyediakan hadiah-hadiah.Di atas sebab-sebab inilah mendorong Hamid Mydin untuk mengubah dan memodenkan permainan Sepakraga. Tergambar di fikirannya bagaimana permainan ini menggunakan jaring dan gelanggang badminton. Sejarahnya bermula apabila pada suatu petang Februari 1946, diusia 29 tahun, Hamid Mydin telah menemui sahabat bernama Mohamad Abdul Rahman, anak tempatan Jalan Hatin, Pulau Pinang yang terkenal sebagai pemain Sepakraga Bulatan yang handal dan menceritakan hasratnya untuk mengubah atau memodenkan permainan Sepakraga ini dengan menggunakan jaring dan gelanggang seperti permainan badminton.

Bertempat di suatu kawasan atas lapisan bertar, tapak bekas Hospital Haiwan di Jalan Patani Pulau Pinang Hamid Mydin menggaris dengan menggunakan kapur tulis, garisan panjangnya 44 kaki dan lebar 22 kaki. Beliau kemudian meregang tali rami di tiang yang sedia ada tingginya 5 kaki 3 inci. Dengan menggunakan bolaraga buruk dan menyuruh Mohamad Abdul Rahman berdiri di sebelah sana dan beliau sendiri di sebelah sini. Mereka menendang bolaraga pergi balik cara satu lawan satu. Itulah kali pertama Hamid Mydin mencuba ciptaan barunya.

Pada petang hari berikutnya di tempat yang sama, beliau mencuba membaiki ideanya dengan penambahan 2 orang menjadikan 4 orang dan bermain secara 2 pemain sebelah. Tidak berpuas hati, pada petang ketiganya 6 orang pemain pula digunakan. Beliau sendiri di tempat tekong dan dua pemain lagi di hadapannya. Begitu juga di sebelah sana Mohamad Abdul Rahman di posisi hadapan (apit) dan 2 pemain lagi iaitu 1 orang sebagai tekong dan 1 orang lagi sebagai apit Mohamad Abdul Rahman.

Cubaan yang dilakukan berjaya.Permainan baru ini sejak itu mendapat perhatian ramai. Pemain-pemain muda mula meninggalkan permainan bulatan dan berpindah kepada permainan yang lebih menarik ini menggunakan 3 pemain sebelah dan berjaring yang kemudiannya dinamakan Sepakraga Jaring.Selepas itu pihaknya juga membuat beberapa perubahan bermain dan mendapat sambutan orang ramai termasuk dari Thailand. Corak permainan sekarang adalah hasil beberapa perubahan yang dibuat bersama Yusof Latif yang pernah menjawat jawatan Setiausaha Agung Persatuan Sepakraga Malaysia.

Anugerah[sunting | sunting sumber]

Berkat hasil usahanya berterusan bersama Syed Abbas Al-Habshee. Corak permainan baru ini diperkenalkan kepada penduduk Kuala Lumpur. Ianya mendapat galakan dan sokongan dari Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan Malaysia.Persekutuan Sepakraga jaring Malaysia tanpa ragu-ragu telah mengiktiraf dan mengisytiharkan bahawa HAMID MYDIN sebagai PENCIPTA DAN PENGASAS, PERMAINAN SEPAKRAGA JARING.YB Encik Mohd Khir Johari selaku Yang Dipertua Perseketuan Sepakraga Jaring Malaysia telah menganugerahkan Pingat Emas Khir Johari kepada Hamid Mydin dalam satu majlis yang berlangsung pada 7 Ogos 1977 di dewan Sekolah Tinggi Han Chiang, Pulau Pinang.Beliau juga kemudian dianugerah Pingat Jasa Masyarakat oleh T.Y.T Datuk Haji Sardon Bin Haji Zubir, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang bersempena harijadi T.Y.T yang ke-62. Penganugerahan seterusnya beliau terima daripada DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong ke-8 Almarhum Sultan Mahmud Iskandar Al-Haj bertempat di Istana Negara Kuala Lumpur.Satu pameran mengenai beliau telah berlangsung di Muzium Negara dari 25 Mei 1979 hingga 17 Jun 1979 sempena Pameran Minggu Sukan Malaysia anjuran Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan Malaysia. Hamid Mydin yang berkecimpung di arena Sepak Takraw lebih 30 tahun telah diberi gelaran Pencipta dan Pengasas permainan Sepak Takraw oleh Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan. Itulah Hamid Mydin yang telah membuktikan kepada dunia bahawa anak melayu juga boleh mencipta permainan sukan khususnya Sepakraga Jaring yang boleh diterima semua bangsa. Sewajarnya nama Hamid Mydin dicatatkan di Tinta Emas sebagai Pencipta Sejarah permainan Sepakraga Moden atau Sepak Takraw.

Kembali ke Rahmatullah[sunting | sunting sumber]

Hamid Mydin telah kembali ke Rahmatullah pada 18 Disember 1991 di usia 75 tahun dan jenazahnya di kebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Perak, Pulau Pinang.Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan ditempatkan bersama dengan orang-orang yang Soleh.

Galeri[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "Pencipta dan Pengasas permainan sepak --~~~~takraw". Bintang Timur. 15 September 2011. Cite has empty unknown parameter: |coauthors= (bantuan); |access-date= requires |url= (bantuan)