Abdul Kadir bin Shamsuddin

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search

Tan Sri Abdul Kadir bin Shamsuddin (lahir 3 November 1920 di Kajang, Selangor Darul Ehsan) merupakan Ketua Setiausaha Negara Malaysia yang keempat.

Kerjaya[sunting | sunting sumber]

Setelah tamat persekolahan pada tahun 1939 beliau telah dilantik sebagai Penolong Pengawal Pos sebelum mendapat biasiswa untuk mengikuti pengajian ekonomi di Raffles College, Singapura. Kecerdasan beliau terserlah ketika masih menuntut lagi. Ini dapat dilihat apabila beliau dianugerahkan dengan "Queen's Scholarship" untuk melanjutkan pelajarannya di bidang undang-undang di Bristol University, England pada tahun 1947. Dalam tahun 1954, beliau telah berjaya pula mendapatkan "Fulbright Exchange Fellowship" untuk melanjutkan pelajarannya di Yale University, Amerika Syarikat.

Beliau telah memasuki Perkhidmatan Pentadbiran Melayu (Malay Administrative Service/MAS)pada tahun 1948 dan seterusnya di dalam Perkhidmatan MCS (Malayan Civil Service) dalam tahun 1952 dan bertugas sebagai Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang. Pada tahun 1955 beliau telah dilantik sebagai Penolong Setiausaha di Kementerian Pertahanan (sekarang Kementerian Pertahanan Malaysia) dan pada tahun 1956 sebagai Pemangku Ketua Penolong Setiausaha di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (sekarang Kementerian Dalam Negeri Malaysia). Dalam tahun 1957 beliau telah dilantik sebagai Ketua Penolong Setiausaha di Kementerian Pertahanan.

Sebagai seorang nasionalis beliau turut bertungkus lumus mencurah tenaga dan fikiran untuk memerdekakan negara dari penjajah. Dalam rundingan-rundingan ke arah kemerdekaan yang dijalankan beliau turut serta dalam perbincangan mengenai perkara-perkara pokok saperti kawalan keatas kewangan negara, perlantikan warganegara-warganegara Tanah Melayu bagi mengetuai Jabatan-Jabatan Kerajaan, keselamatan dalam negeri dan pemulihan perlembagaan, malah beliau telah turut diberi kepercayaan untuk menyertai rombongan "Kemerdekaan" tersebut. Tan Sri Abdul Kadir telah menjadi Setiausaha Bersama (bersama Tan Sri T.H. Tan). Dengan slogan "Berjuang atau Mati" Tan Sri Abdul Kadir bekerja siang dan malam bersama-sama anggota rombongan yang lain. Ketekunan dan kegigihan beliau diakui sendiri oleh Almarhum Y.T.M. Tunku Abdul Rahman di mana katanya "kedua-dua orang Setiausaha kami, Encik Abdul Kadir dan T.H. Tan bekerja melebihi tugasnya yang biasa."

Pada tahun 1961 beliau telah dinaikkan pangkat menjadi Setiausaha Tetap Kementerian Pertahanan. Sebelum itu beliau telah menghadiri kursus di British Imperial Defence College (sekarang Royal College of Defence Studies) selama setahun. Beliau terus diberi kepercayaan mengenai hal ehwal negara di mana beliau dilibatkan dalam soal-soal pembentukan Malaysia dan juga perbincangan keamanan dengan Sokarno di Manila, Tokyo dan Bangkok. Selepas 13 Mei 1969 beliau telah dilantik sebagai Ketua Pentadbir, Urusetia Hal Ehwal Awam Malaysia dalam Majlis Gerakan Negara (MAGERAN).

Dalam menjalankan tugas, Tan Sri Abdul Kadir terkenal dengan ketegasan, kebijaksanaan dan mempunyai wawasan tertentu. Beliaulah orang yang bertanggungjawab mengubah "Federal Establishment Office" kepada Jabatan Perkhidmatan Awam. Tujuan perubahan ialah untuk menyusan semula Pejabat Perjawatan Persekutuan.

Semasa menjadi Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri telah juga melakukan banyak perubahan. Beliau telah cuba menghindarkan peraturan-peraturan yang berbau birokratik, mengadakan sistem "feedback" dan "monitoring", mengadakan kajian terhadap tanggagaji dan lain-lain perubahan dalam sistem pentadbiran. Sebagai seorang nasionalis tulen, beliau tidak pernah melupakan bangsanya di luar bandar yang sentiasa terhimpit kemiskinan. Beliau banyak melakukan tindakan-tindakan untuk memajukan kawasan tersebut dan menyediakan rancangan-rancangan pembangunan luar bandar. Tan Sri sendiri menjadi Pengerusi Bahagian Pembangunan Negara yang menetapkan dasar-dasar ekonomi baru.

Setelah enam tahun memegang jawatan sebagai Ketua Setiausaha Negara beliau bersara pada tahun 1976. Setelah bersara beliau dilantik sebagai Pengerusi dan Ketua Eksekutif Petronas. Semasa di Petronas beliau telah berjaya menghadapi berbagai keruncingan dengan syarikat-syarikat minyak yang lain. Di antara kejayaannya yang terbesar ialah apabila termaktubnya Perjanjian Perkongsian dan Penghasilan serta Pembentukan Malaysia LNG Sdn Bhd Selain itu beliau pernah menjadi Pengerusi Majlis Pentadbir Universiti Pertanian Malaysia (sekarang Universiti Putra Malaysia), Pengerusi MASPA (Persatuan Pengurusan untuk Pentadbir-Pentadbir), Ahli Jawatankuasa Kebangsaan Mengenai Tadbir Pembangunan dan Pengerusi Lembaga Letrik Negara (sekarang Tenaga Nasional Berhad/TNB).

Dalam kegiatan sukarela, Tan Sri Kadir Shamsuddin juga tidak ketinggalan melibatkan diri. Beliau pernah manjadi Pengerusi Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia dan Pengerusi Lembaga Penasihat Perpustakaan Negara.[1]

Kematian[sunting | sunting sumber]

Tan Sri Abdul Kadir Shamsuddin telah pulang ke rahmatullah pada 8 November 1978 dalam usia 58 tahun meninggalkan isteri dan lima orang anak. Beliau juga pernah menjadi wakil Raja-Raja melayu untuk rombongan kemerdekaan 1956.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  • Buku Kenangan Malam Perkhidmatan Kerajaan, 2 November 1991.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]