Abdul Latip bin Talib

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search
Abdul Latip bin Talib
Abdul Latip Talib selama pelancaran bukunya pada 11.11.2014
Info kelahiran (1954-06-02) 2 Jun 1954 (umur 64)
Kampung Ulu Seperi, Rembau, Negeri Sembilan
Nama pena Abdul Latip Talib
Pekerjaan Penulis
Bahasa Bahasa Melayu
Warganegara Malaysia Malaysia
Genre Cereka sejarah
Subjek Sejarah Islam

abdullatip.blogspot.com

Abdul Latip bin Talib adalah seorang penulis yang aktif dan terkenal di Malaysia. Beliau mula menceburkan diri di dalam bidang penulisan sastera bermula pada tahun 1999. Beliau terkenal sebagai penulis prolifik melalui novel-novel sejarah Islam yang ditulis beliau yang dikenali sebagai siri Novel Sejarah Islam.

Biografi[sunting | sunting sumber]

Abdul Latip Talib yang juga sinonim dengan panggilan Pak Latip dilahirkan di Kampung Ulu Seperi, Rembau, Negeri Sembilan pada 2 Jun 1954.

Anugerah dan pencapaian[sunting | sunting sumber]

Pencapaian dan sumbangan terbesar beliau mungkin sekali adalah dalam menarik minat golongan remaja untuk membaca bahan sejarah melalui penulisan siri Novel Sejarah Islam yang diterbitkan oleh PTS Fortuna. Berdasarkan laman web universitipts.com, karya-karya beliau telah berjaya membantu pelajar-pelajar sekolah memperbaiki markah pencapaian ujian sejarah Islam.[1]

Novel karangan beliau iaitu Randau Ruai dan Beraraklah Awan Pilu masing-masing telah memenangi tempat pertama dalam Peraduan Menulis Sastera dan Budaya Sarawak dan Hadiah Sastera Utusan pada tahun 2005.Ketika penyampaian Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-ExxonMobil 2005 bagi kategori Novel Remaja, beliau memenangi tempat ketiga dengan novel Beraraklah Awan Pilu. Pak Latip meraih hadiah RM3,000 dan sijil. Hadiah disampaikan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Syed Jaafar Albar di Hotel Renaissance, Kuala Lumpur pada 19 Julai 2006.[2]

Pada tahun 2007, beliau telah dikurniakan Pingat Khidmat Cemerlang Masyarakat (PMC) oleh Kerajaan Negeri Sembilan. Selain itu, novel beliau 'Perang Jementah' dan 'Datuk Moyang Saleh telh merangkul hadiah Sayembara Menulis Novel Sejarah Johor 2007.

Dalam senarai 'Top 100 Penerima Royalti Tertinggi Bagi Jualan 2011 PTS', beliau menduduki tempat pertama dalam senarai tersebut. Pada tahun yang sama, jualan buku-buku beliau yang mengkompilasikan beberapa novel yang telah diterbitkan iaitu Imam-imam yang Benar, Khalifah-khalifah yang Benar dan Perang-perang yang Benar telah mencecah lebih sejuta ringgit.[petikan diperlukan] Dua yang pertama daripada tiga kompilasi novel itu pula tersenarai dalam 'Top 10 Judul Buku Paling Tinggi Sepanjang Tahun 2011 Berdasarkan Perolehan Ringgit'.[3]

Novel Umar Al-Khattab - Reformis Dunia Islam sedang dalam proses diterjemah ke dalam bahasa Inggeris.

Pada Mac 2013, buku-buku beliau sudah diluluskan oleh Jabatan Mufti Brunei untuk dipasarkan di negara tersebut.[perlu rujukan] Brunei merupakan sebuah negara yang menggariskan syarat yang ketat tentang bahan bacaan yang boleh dibawa masuk terutamanya yang berunsurkan agama. Di Pesta Buku Brunei yang diadakan antara 28 Februari sehingga 10 Mac, buku-buku beliau telah mendapat sambutan yang menggalakkan sehingga terdapat beberapa judul yang kehabisan stok, antaranya buku Umar Abdul Aziz - Bayangan khalifah al-Rasyidin.[perlu rujukan]

Aktiviti dan kebajikan[sunting | sunting sumber]

Selain terlibat dalam bidang penulisan, Pak Latip juga aktif dalam kerja-kerja kebajikan dan kemanusiaan. Beliau gigih dalam kempen membantu masyarakat Islam Kemboja yang daif. Melalui laman Facebook beliau, Pak Latip berusaha meminta masyarakat dan peminat beliau untuk menyumbangkan wang bagi membantu minoriti Muslim Kemboja. Antara bantuan yang dihulurkan melalui dana yang dikumpul adalah bantuan persekolahan, elaun kepada guru-guru, menderma naskhah-naskhah Al-Quran serta membina perigi di kampung Trapiang Bralit dan Ratanatkiri.

Kampung Trapiang Bralit yang terletak jauh dari sungai dan tiada kemudahan paip air menyukarkan 150 buah keluarga yang tinggal di situ. Melalui program 'Wakaf Perigi Kemboja' di mana Pak Latip terlibat secara aktif, 10 buah perigi pam dicadang untuk dibina dan diwakafkan kepada penduduk kampung.

Menerusi laman sosial juga, melalui pertandingan 'Umrah Percuma Bersama Pak Latip', para peminat Pak Latip digalakkan untuk menghantar entri dalam bentuk karangan bertema 'Kesan ke atas diri saya setelah membaca novel sejarah Islam' berserta gambar bersama karya-karya beliau. Entri terbaik yang dipilih akan berpeluang untuk ke umrah secara percuma bersama-sama beliau.

Karya[sunting | sunting sumber]

Walaupun telah menulis dan menerima beberapa anugerah sebelumnya, namun nama Abdul Latip Talib mula dikenali secara meluas oleh pembaca Malaysia melalui penulisan siri Novel Sejarah Islam. Siri ini juga telah meletakkan nama beliau di tempat teratas dalam senarai pemerima royalti tertinggi pada tahun 2011[petikan diperlukan]. Siri ini pula boleh dibahagikan kepada zaman-zaman tertentu dalam sejarah tamadun Islam.

Zaman Nabi Muhammad

  1. Bilal bin Rabah - Pengumandang Seruan Langit
  2. Abu Ubaidah - Penakluk Parsi
  3. Ikramah-Penentang Jadi Pembela
  4. Khalid-Memburu Syahid
  5. Saad Abu Waqas - Kesateria Islam
  6. Hijrah - Permulaan Sebuah Kegemilangan- Telah ditarik balik [4]
  7. Perang Badar - Perang Penentuan
  8. Perang Khaibar - Penaklukan Kota Khaibar
  9. Perang Khandaq - Dendam Tentera Ahzab
  10. Perang Uhud - Sejarah Duka Tentera Islam

Zaman Khulafa Al-Rasyidin

  1. Abu Bakar - Sahabat Sejati
  2. Umar Al-Khattab - Reformis Dunia Islam
  3. Khalifah Uthman Affan - Pengumpul al-Quran
  4. Ali bin Abi Talib - Mutiara Ilmu Islam

Zaman Bani Umaiyyah

  1. Umar Abdul Aziz - Bayangan khalifah al-Rasyidin
  2. Tariq-Menang ataupun Syahid
  3. Abu Ayub Al-Ansari - Syahid Kota Konstantinopel

Zaman Bani Abbasiyyah

  1. Imam Hanafi - Pendebat kebenaran
  2. Imam Hanbali - Pejuang kebenaran
  3. Imam Maliki - Pengarang kebenaran
  4. Imam Syafie - Pejuang Kebenaran
  5. Hulagu Khan-khabar hitam dari timur
  6. Salahudin - Penakluk Jerusalem (Salahudin berkuasa dalam kerangka masa yang sama dengan Kerajaan Bani Abbasiyyah, namun merupakan pengasas Dinasti Ayubiyyah)

Zaman Bani Uthmaniyyah

  1. Sultan Muhammad al-Fateh - Penakluk Konstantinopel
  2. Badiuzzaman Said Nursi - Tokoh Pembaharu Islam
  3. Mustafa Kamal Ataturk - Penegak Agenda Yahudi
  4. Sultan Abdul Hamid II - Sultan Terakhir Empayar Uthmaniyyah

Beliau juga menulis semula hikayat Amir Hamzah dalam bahasa Melayu moden yang ditulis dalam tiga jilid.

Hikayat Amir Hamzah

  1. Hikayat Amir Hamzah (1)-Menentang Jin di Bukit Qaf
  2. Hikayat Amir Hamzah (2) - Asqar Dewa Bermata Tiga
  3. Hikayat Amir Hamzah (3) - Memerangi Dewa Semandun

Seterusnya, terdapat juga karya beliau yang berkisar tokoh-tokoh penting dalam sejarah Tanah Melayu.

Siri Pejuang Tanah Melayu

  1. Leftenan Adnan Wira Bangsa
  2. Lembing Awang Pulang ke Dayang
  3. Mat Kilau - Pahlawan Pahang
  4. Tok Janggut - Pahlawan Kelantan
  5. Kiyai Salleh

Pada tahun 2009, karya beliau yang berjudul Istana Menanti dijadikan teks Komsas bagi pelajar Tingkatan 1 oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Bukan itu sahaja, karya yang berjudul Leftenan Adnan Wira Bangsa juga dijadikan teks Komsas bagi pelajar Tingkatan 4 pada tahun 2015.[5]

Kontroversi[sunting | sunting sumber]

Novel sejarah Islam[sunting | sunting sumber]

Novel-novel sejarah yang ditulis oleh Abdul Latip sering kali dipuji kerana gaya bahasanya yang mudah dibaca selain berupaya menarik minat remaja mendalami sejarah Islam. Karya beliau juga pernah mendapat ulasan yang baik daripada pengulas dari Singapura.[petikan diperlukan]

Namun yang demikian, banyak novel karyanya dikritik oleh beberapa pihak. Mereka mempertikaikan kesahihan fakta sejarah yang dimasukkan dalam tulisan beliau dan mempertikai penulisan dialog yang diungkapkan oleh baginda Nabi Muhammad dengan menyatakan bahawa adalah haram berbuat demikian.[6][7] Antara novel yang ditarik adalah novel 'Hijrah' atas sebab-sebab yang dinyatakan sebelum ini.[8]

Kebiasaannya beliau akan menjawab kritikan yang diberikan dengan menyatakan sumber yang digunakan beliau untuk mendapatkan maklumat seperti buku-buku ternama yang diiktiraf dan diyakini kesahihannya.[petikan diperlukan] Pada November 2010 dalam blog rasmi beliau abdullatip.blogspot.com, beliau menyiarkan surat memohon maaf yang diterima daripada seorang pembaca (nama dirahsiakan) yang pernah mengkritik karya beliau. Dalam jawapan beliau terhadap surat itu, Pak Latip mengakui ada kekurangan dalam penulisannya yang boleh diperbaiki dan menyatakan kesediaannya menerima teguran daripada mana-mana pihak.[9]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]