Abdul Muluk Daud

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Dharmala N.S. atau nama sebenarnya Abdul Muluk Daud (21 Disember 1947 - 12 Ogos 2009) merupakan penulis novel, cerpen, puisi, drama televisyen dan penulis skrip filem serta merupakan aktivis politik yang tidak asing di Malaysia

Keluarga[sunting | sunting sumber]

Abdul Muluk bin Haji Daud atau nama penanya Dharmala N.S. mesra dengan panggilan 'Pak Dharma'. Beliau dilahirkan pada 21 Disember 1947 di Kampung Bachang Mantin, Petaling, Jelebu, Negeri Sembilan. Beliau meninggalkan isteri (Adiah Mat Lana) dan enam orang anak -- Khairil Nizam, Syamsul Anwar, Idham Khalil, Nurul Salwa, Ikram Hafiz (Allahyarham) dan Elmi Fadzimah.

Penglibatan awal[sunting | sunting sumber]

Semasa di bangku sekolah, minatnya terhadap sastera tidak pernah ada, malah guru bahasanya, Cikgu Zaharah Haji Awang sering menegurnya kerana terlalu lemah dalam karangan. Tetapi guru Matematiknya, Cikgu Shaharuddin Ishak menaruh harapan tinggi kepadanya kerana Dharmala N.S. baik dalam pelajaran Matematik dan Sains. Budak lelaki yang dulunya begitu asing dengan sastera, akhirnya memilih sastera dan penulisan sebagai sebahagian daripada nadi hidupnya.

Dharmala N.S. menerima pendidikan awalnya di Sekolah Melayu Triang dari tahun 1953 hingga 1958. Beliau meneruskan pendidikan menengahnya di Sekolah Menengah Melayu Seremban dari tahun 1959 hingga tamat tingkatan tiga pada tahun 1961. Dengan belajar sendiri, Dharmala lulus Sijil Pelajaran Malaysia (1973) dan Sijil Tinggi Persekolahan (1976). Berbekalkan kelulusan ini, Dharmala N.S. mengikuti Kursus Penulisan Kreatif di Universiti Sains Malaysia bagi sesi 1976/1977.

Kawan-kawan persekolahan mengenali Dharmala N.S. sebagai murid yang suka memberontak terhadap hal-hal yang tidak sesuai dengan tatasusila hidup masyarakat Melayu. Beliau pernah memprotes upacara ragging dengan lari meninggalkan asrama Sekolah King George V, Seremban. Berikutan tindakannya ini, Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan telah memansuhkan acara ragging bagi asrama-asrama sekolah seluruh Negeri Sembilan mulai tahun 1960.

Setelah tamat sekolah menengah, Dharmala menganggur selama lapan tahun, iaitu dari tahun 1961-1969. Sambil itu Dharmala belajar sendiri dengan menghadiri kelas malam. Pada tahun 1970 Dharmala menyertai sebuah parti politik pembangkang secara aktif serta menjadi pembantu kepada seorang Ahli Dewan Rakyat. Kecenderungannya terhadap politik begitu mendalam sehingga pada tahun 1974, mendorong Dharmala mengambil keputusan untuk bertanding dalam pilihanraya sebagai calon Democratic Action Party (DAP) bagi kerusi Parlimen kawasan Jelebu menentang calon Barisan Nasional, Rais Yatim. Kemudian pada tahun 1995, Dharmala N.S. mencuba nasib lagi dan kali ini bertanding sebagai calon Parlimen DAP bagi kawasan Segambut. Beliau diberi mandat memegang jawatan Timbalan Setiausaha Agung DAP dari tahun 1996 hingga 1999.

Seterusnya, pada tahun 1975 hingga 1976, Dharmala bekerja dengan Horrison & Crosfield (M) Sdn. Bhd. Cawangan Seremban sebagai pembantu jualan. Tidak sampai dua tahun, Dharmala berhenti dari syarikat ini lalu meninggalkan Negeri Sembilan dan mencuba nasib di Kuala Lumpur. Pekerjaan pertama Dharmala di kota raya ini ialah bertugas dengan majalah Variasi terbitan Variapop Group tetapi cuma bertahan enam bulan sahaja (Januari hingga Jun 1978). Setelah itu, Dharmala menjadi pengarang majalah Wahida, Penerbitan Selecta Sdn. Bhd. (Februari hingga Julai 1978). Di sini pun beliau berasa tidak selesa dan akhirnya mengambil keputusan untuk menjadi penulis bebas sahaja. Mulai tahun 1977, Dharmala dilantik sebagai Ketua Waris dalam Adat Perpatih yang bergelar Datuk Mangku bagi Perut Petaling di Jelebu, Negeri Sembilan.

Penglibatan dan Penghasilan Blog & Buku Autobiografi[sunting | sunting sumber]

Blog kelolaannya ialah Warga Prihatin Malaysia (PRIMA)(www.adimul.blogspot.com) Pernah terlibat di dalam Jawatankuasa Adat Muzium Negeri Sembilan. Beliau pernah bekerjasama dengan Tan Sri Dato' Samad Idris (bekas Menteri Belia dan sukan) dalam penghasilan buku Askar Melayu 50 tahun dan 25 Tahun Merdeka. Menghasilkan naskhah Lilin Membakar Diri (penghargaaan untuk Ahmad Badawi Abdullah Fahim - bapa kepada bekas Perdana Menteri Malaysia ke-5, Tun Abdullah Ahmad Badawi)

Politik[sunting | sunting sumber]

Kecenderungannya terhadap politik begitu mendalam sehingga pada tahun 1974, mendorong Dharmala mengambil keputusan untuk bertanding dalam pilihanraya sebagai calon DAP bagi kerusi Parlimen kawasan Jelebu menentang calon Barisan Nasional, Rais Yatim. Kemudian pada tahun 1995, Dharmala N.S. mencuba nasib lagi dan kali ini bertanding sebagai calon Parlimen DAP bagi kawasan Segambut. Beliau diberi mandat memegang jawatan Timbalan Setiausaha Agung DAP dari tahun 1996 hingga 1999.

Hasil karya[sunting | sunting sumber]

Dharmala N.S. mula mendekati dunia penulisan pada sekitar akhir tahun 1960-an dengan melibatkan diri dalam drama pentas dan radio. Beliau banyak terlibat dalam pementasan drama di Negeri Sembilan dan pernah mengambil bahagian dalam drama "Sial Bertuah" karya ciptaan Kalam Hamidy, sempena Hari Guru 1967 di Seremban. Seterusnya, Dharmala mencuba pula menghasilkan cerpen dan cerpen pertamanya yang mendapat tempat di akhbar ialah "Lari dari Keluarga" yang tersiar dalam Utusan Zaman, 31 Disember 1967. Sehingga kini, kebanyakan cerpen Dharmala terkumpul dalam beberapa buah antologi bersama dan antaranya termuat dalam Suatu Subuh Yang Bening (1983), Angin Pulau (1985) dan Cerpen Malaysia Selepas Perang (1968).

Puisi pertamanya yang tersiar di media massa ialah "Jiwa yang Berkobar", Dewan Masyarakat, Januari 1970, menggunakan nama Abdul Muluk Daud. Dharmala N.S. juga menghasilkan esei-esei yang menyentuh tentang kegiatan dan perkembangan sastera tanah air. Tetapi kebanyakan esei-esei itu lebih rencana serta pandangan sepintas terhadap sesuatu isu yang tercetus atau review terhadap sesuatu karya sastera. Walau bagaimanapun, kehadiran Dharmala N.S. dalam dunia kesusasteraan diperkuatkan lagi dengan penciptaan novel. Pada tahun 1977, terbitlah novel sulungnya yang berjudul Hanya Tinggal Kenangan. Sehingga kini, sebanyak tujuh buah novel berjaya dihasilkannya.

Antara wadah yang menampung penerbitan cerpen, puisi dan esei Dharmala N.S. ialah Dewan Sastera, Utusan Zaman, Mingguan Malaysia, Berita Minggu, Mastika, Dewan Masyarakat dan lain-lain.

Pengalaman[sunting | sunting sumber]

Kalau ditelusuri kegiatan Dharmala N.S. dalam dunia penulisan, jelas memperlihatkan ketekunannya belajar dan menimba pengalaman daripada pembacaan dan perhubungan dengan tokoh-tokoh veteran dalam bidang penulisan seperti Pak Sako (Ishak Haji Muhammad) dan A. Samad Idris (Tan Sri). Perkenalan akrab antara Dharmala N.S. dengan Pak Sako terjalin pada tahun 1972. Sejak itu Dharmala sering dilihat bersama-sama Pak Sako dalam majlis-majlis sastera. Beliau juga pernah mengikut Pak Sako ke Kelantan, Terengganu, Johor dan Melaka sehingga sanggup meninggalkan tugasnya selama beberapa hari. Bersama-sama A. Samad Idris, Dharmala N.S. mengembara ke beberapa wilayah di Sumatera termasuk Danau Manijau, Pagar Ruyung dan Siak. Beliau juga banyak membantu A. Samad Idris dalam penerbitan buku 25 Tahun Merdeka, Melaka Tempa Sejarah dan 300 Pepatah. Hubungan Dharmala N.S. yang rapat dengan kedua-dua tokoh veteran ini banyak memberi pengalaman dan bimbingan penulisan sehingga beliau dikenali oleh peminat dan peneliti sastera tanah air.

Dalam menghasilkan karya-karya sastera, Dharmala N.S. berpegang kepada prinsip - "menentang penindasan manusia terhadap manusia". Hal ini ketara dalam novel-novelnya, Jejak Pulang dan Juragan.

Kejayaan Peribadi[sunting | sunting sumber]

Kemuncak pengkaryaan seseorang penulis terlihat apabila karya-karyanya diberi pengiktirafan yang berupa hadiah. Begitulah juga dengan Dharmala N.S., karya-karyanya sering memenangi beberapa peraduan dan sayembara. Pada tahun 1974, cerpen Dharmala yang berjudul "Haruan" dipilih memenangi Hadiah Karya Sastera. Novelnya, Jejak Pulang memenangi hadiah ketiga Sayembara Novel GAPENA-Yayasan Sabah tahun 1979. Manakala cerpen "Rakit" memenangi hadiah pertama ESSO-GAPENA II. Cerpennya “Tanah Haram” meraih Hadiah Sastera Utusan-Public Bank, cerpen “Kasut” dan “Bubu” memenangi Hadiah Esso-GAPENA III dan novel Juragan pula memenangi Hadiah Sayembara GAPENA-Yayasan Sabah pada tahun 1981. Pelbagai genre dihasilkan seperti novel, cerpen, sajak, drama televisyen dan penulis skrip filem Raja Melewar. Selain daripada itu, beliau juga pernah menghasilkan skrip filem Mira Edora yang diarahkan oleh Zulkiflee M. Osman.

Antara novel beliau ialah Hanya Tinggal Kenangan, Lembah Tercinta, Jejak Pulang, Tinggal Kasih Tinggallah Sayang, Juragan, antara cerpennya bertajuk Rumah Baru (antologi bersama), Sayembara 11 (antologi bersama), Sayembara 111, manakala antara drama tv bertajuk Terbang Kenyalang dan Satu Anugerah.

Karya-karya Dharmala N.S. pernah diterjemahkan ke dalam bahasa asing seperti sajak "Burung Hitam" dan cerpen "Haruan" yang diterjemahkan ke dalam bahasa Cina. Cerpen "Rakit" pula diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris.

Beliau juga pernah menghasilkan skrip drama bersiri bertajuk Skuad CJ lakonan Allahyarham Mustapha Noor dan Aznah Hamid sekitar akhir 80an dan juga drama bersiri Rakit berdasarkan cerpen terbaik nukilan Dharmala N.S. yang memenangi hadiah pertama Sayembara ESSO-GAPENA II. Drama yang dilakonkan oleh Abu Bakar Omar dan Noor Azizah sekitar awal 90an ini disiarkan di TV1 dan drama seram "Kembali" lakonan Zami Ismail dan Dato' Jalaludin Hassan sekitar awal 90-an yang disiarkan di TV3.

Meninggal dunia[sunting | sunting sumber]

Abdul Muluk meninggal dunia di Hospital Selayang, Selangor, kira-kira 8.45 pagi 12 Ogos 2009 akibat sakit jantung. Beliau diserang sakit jantung selepas bersahur untuk puasa sunat bulan Syaaban bersama ahli keluarganya di Taman Seri Gombak, Selangor pada 4 Ogos 2009. Jenazah Allahyarham dikebumikan di kampung asal Allahyarham di Kampung Bachang Mantin, Petaling, Jelebu,Negeri Sembilan selepas solat Asar.[1]

Karya Tulisan Sasterawan Dharmala N.S.[sunting | sunting sumber]

Novel

  1. Hanya Tinggal Kenangan. Kuala Lumpur: Penerbitan Pena Sdn. Bhd (1976)
  2. Lembah Tercinta. Petaling Jaya: Heinemann Educational Books (Asia) Limited, (1979)
  3. Jejak Pulang. Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd., (1985)
  4. Lorong Ke Bukit. Kuala Lumpur: Teks Publishing Sdn. Bhd., (1985)
  5. Juragan. Kuala Lumpur: Al-Haq Publication, (1985)
  6. Tinggal Kasih Tinggallah Sayang. Kuala Lumpur: Sokti Enterprise Sdn. Bhd., (1988)
  7. Ketulahan. Kuala Lumpur: Penerbitan Ibunda, (1990)

Cerpen

  1. Pemenang 74 (antologi bersama). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1976.
  2. Rumah Baru (antologi bersama). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1979.
  3. Sayembara II (antologi bersama). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1981.
  4. Sayembara III (antologi bersama). Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1982.
  5. Suatu Subuh yang Bening (antologi bersama). Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1983.
  6. Titisan Indah di Bumi Merkah (antologi bersama). Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1985.
  7. Angin Pulau (antologi bersama). Kuala Lumpur: Teks Publishing Sdn. Bhd., 1985.
  8. Dongeng Merdeka (antologi bersama). Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1985.
  9. Angin Dari Gunung (antologi bersama). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1988.
  10. Cerpen Malaysia Selepas Perang Dunia Ke-2 (antologi bersama). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1988.
  11. Haruan (kumpulan puisi). Kuala Lumpur: Berita Publishing, 1997.

Sajak

  1. Gema Serunai Hati (antologi bersama). Seremban: Kerajaan Negeri Sembilan/PEN 1981.
  2. Mengenang-Mu - Puisi-puisi Melayu berunsur Islam 1933-1986 (antologi bersama). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Umum

  1. Nasib 50 Tebusan di Iran. Kepong: Penerbitan Mediaseni, 1980.
  2. Lilin Membakar Diri. Kuala Lumpur: Thinker's Library, 2007

Drama TV

  1. Skuad CJ. Kuala Lumpur: Gaya Film Productions.
  2. Rakit. Kuala Lumpur: Take One Production, 1995.
  3. Terbang Kenyalang (skrip drama TV 13 siri). Kuala Lumpur: Eurofine Production, 1995.
  4. Satu Anugerah. Kuala Lumpur: Take One Production, 1995.
  5. Perjalanan, Pelarian, Kenangan, Dunia Syukri. Kuala Lumpur: Take One Production/Keris Motion, 1996.
  6. Hadiah Kemerdekaan. Kuala Lumpur: Take One Production/Keris Motion, 1997.
  7. Ledak Kebangkitan. Kuala Lumpur: Persatuan Pekerja Filem, 1999.


Filem

  1. Mira edora. Kuala Lumpur: Take One Production Sdn. Bhd., 1990-an
  2. Raja Melewar. Kuala Lumpur: Filem Master Sdn. Bhd., 1996.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]