Abdul Rashid Ngah

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

(Abdul Rashid bin Ngah, Haji, Datuk, Rosbiwo)

LAHIR: 16 September 1937 di Kampung Seberang Takir, Kuala Terengganu, Terengganu Darul Iman.

ALAMAT: A194, Lorong Haji Mat Ali, Seberang Takir, 21300 Kuala Terengganu, Terengganu Darul Iman.

A.RASHID NGAH mulai terkenal sebagai pengarang apabila novelnya berjudul Di Bawah Alunan Ombak diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1961. Novel ini telah diulang cetak 27  kali dan pernah dijadikan buku teks untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia selama beberapa tahun. Selepas itu, novel ini menjadi teks tambahan bagi pelajar-pelajar sekolah menengah.

A. Rashid Ngah dilahirkan di sebuah perkampungan nelayan di pantai timur Semenanjung Malaysia. Beliau mendapat pelajaran asas dari sekolah di kampong kelahirannya, Sekolah Melayu Seberang Takir mulai tahun 1947 hingga tahun 1952. Dengan kelulusan darjah lima, iaitu kelulusan paling tinggi waktu itu, beliau dilantik menjadi guru pelatih, dan mengajar di sebuah sekolah di Kuala Terengganu Utara.

Semasa menjadi guru pelatih, beliau mula berminat mempelajari Bahasa Inggeris di kelas petang di Sekolah Zainal Abidin. Pada pertengahan tahun 1953, beliau dipilih melanjutkan kursusperguruan di Maktab Sultan Idris, Tanjong Malim hingga tahun 1956. Setelah tamat dari maktab tersebut, beliau ditempatkan mengajar di Sekolah Melayu Bukit Tunggal.

Apabila Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, kerajaan telah menubuhkan Maktab Perguruan Bahasa dalam usaha untuk memaju dan memperkembang penggunaan bahasa Melayu yang terpilih untuk mengikuti kursus di maktab ini. Sekembalinya dari maktab beliau ditempatkan mengajar di Kemaman. Semasa bertugas sebagai guru di Kemaman, beliau telah melibatkan diri secara aktif dalam gerakan politik dengan memasuki parti UMNO. Beliau telah dipilih menjadi Setiausah UMNO bahagian tersebut. Pada masa yang sama, beliau turut aktif dalam pergerakan belia MAYC negeri Terengganu.

A.Rashid Ngah sangat memandang berat terhadap  soal akademik dirinya. Pada tahun 1967, beliau lulus peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan dan diterima belajar di Universiti Malaya dalam jurusan Ekonomi. Beliau telah berjaya memperoleh ijazah Sarjana Muda Ekonomi pada tahun 1970.

Setelah tamat pengajiannya di universiti, beliau mengajar di Dungun selama setahun, kemudian dilantik pula menjadi Guru Besar Sekolah Menengah Seberang Takir. Beliau meletakkan jawatannya sebagai guru pada bulan Julai 1973 untuk memegang jawatan Pengarah Urusan Terengganu Garam Sendirian Berhad. Pada waktu yang sama, beliau semakin aktif dalam pergerakan politik UMNO. Beliau kemudian telah dilantik menjadi Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu Utara. Pada tahun 1973, A. Rashid Ngah telah dipilih oleh parti UMNO untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri bagi kawasan Kuala Nerus berikutan kematian wakil rakyat kawasan tersebut. A. Rashid Ngah telah berjaya dalam pilihan raya itu.

A.Rashid Ngah tidak sahaja giat dalam bidang politik, tetapi juga giat dalam bidang politik, tetapi juga giat dalam persatuan penulis. Beliau adalah pengasas Persatuan Sasterawan Muda Terengganu (PELITA). Beliau pernah menganggotai Jawatankuasa GAPENA selaku Ketua Dua pada tahun 1975.

A.Rashid Ngah merupakan satu-satunya Ahli Dewan Undangan Negeri di Malaysia yang memenangi tujuh penggal pilihan raya, iaitu bagi tahun 1973, 1974, 1978, 1982, 1986, 1990, dan 1995. Beliau telah dilantik menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu mulai tahun 1978 hingga 2004.

Selain menulis novel, beliau menulis cerpen. Karya-karya cerpennya pula, di samping menceritakan kehidupan nelayan, juga merakamkan kehidupan buruh, pekerja-pekerja bergaji rendah dan golongan masyarakat bawahan.

Kerana jasa dan khidmatnya kepada masyarakat dan negara, beliau telah dianugerahi darjah kebesaran Hari Keputeraan Sultan Terengganu yang ke-53 pada tahun 1983 yang membawa gelaran “Datuk”.

KARYA[sunting | sunting sumber]

1.     Novel Di Bawah Alunan Ombak, diterbitkan oleh Dewan Bahasa,1961,27 kali cetakan

2.      Satu Penilaian ekonomi ke atas jalan pintasan Kuala Terengganu dan Jambatan Sultan Yahaya Putera, 1969

3.      Tahun 1977, menghasilkan buku cerita kanak-kanak, Orkid Bulu Kucing.

4.      Tahun 1982, menghasilkan Kumpulan Cerita Sahabat Nabi : Harga Sebuku Roti.

5.      Tahun 1984, buku Fisiologi Manusia.

6.      Tahun 1985, buku Kumpulan Cerita Sahabat Nabi : Pemegang Pedang Rasulullah dan dicetak untuk 3 edisi.

7.      Buku rujukan sekolah menengah iaitu Jambatan Bahasa: Pengetahuan Bahasa Untuk Sekolah-sekolah Menengah Tingkatan 1.

8.      Karyanya bertajuk al-Idarah ti al-Islam diterbitkan 4 kali antara tahun 1991 dan 2004 dalam Bahasa Melayu dan Inggeris.

9.      Tahun 2003, menerbitkan buku Sumbangan PELITA Kepada Perkembangan Sastera.

10.  Pada 2014, beliau telah menghasilkan sebuah novel berjudul Ibu dan diterbitkan untuk 2 edisi.


Cerpen:[sunting | sunting sumber]

1. Pelita Sebuah, Pulau Pinang, 1981

2. Mawar Merah (antologi bersama-PELITA), 1983

3. Titisan Indah di Bumi Merkah (antologi bersama), 1985


Abdul Rashid Ngah merupakan ahli politik UMNO Terengganu. Beliau dilantik menjadi senator Dewan Negara.