Abdullah Tahir

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Tuan Guru

Haji Abdullah Tahir Bunut Payong
Kelahiran
Abdullah Tahir bin Ahmad

(1897-06-20)20 Jun 1897
Meninggal dunia15 Ogos 1961(1961-08-15) (umur 64)
Terkenal keranaMengasaskan Pondok Bunut Payong
Parti politik Parti Islam Se-Malaysia
SaudaraTuan Guru Haji Mokhtar Ahmad

Tuan Guru Haji Abdullah Tahir bin Haji Ahmad (1897-1961) atau lebih dikenali Haji Abdullah Tahir Bunut Payong ialah seorang ulama dari negeri Kelantan. Beliau merupakan pengasas dan tuan guru pondok di Pondok Bunut Payong, Kelantan. Beliau dianggap sebagai ulamak Kelantan yang paling berpengaruh selepas era Tok Kenali (m. 1933)[1].

Latar belakang[sunting | sunting sumber]

Haji Abdullah Tahir dilahirkan di Kampung Sireh, Kota Bharu pada 20 Jun 1897 (20 Muharram 1315). Bapanya, Haji Ahmad Awang Ludin berasal dari Kampung Chepa, Kedai Lalat pernah berkhidmat sebagai Imam Tua di Masjid Langgar, Kota Bharu (berkhidmat sehingga 1920) dan pernah bermukim di Mekah selama empat tahun sehingga 1903.

Pendidikan[sunting | sunting sumber]

Selain belajar dengan ayahnya, Abdullah Tahir telah berguru dengan Tok Kenali selama 15 tahun di Pondok Kenali dan Masjid Muhammadi sejak 1910. Beliau turut berguru dengan Tuan Guru Haji Nik Man Tua (Nik Abdul Rahman Wan Sulaiman) dan Mufti Haji Idris Che Hassan. Pada 1926, beliau berangkat ke Mekah dan berguru dengan Sheikh Ali Maliki, Sheikh Said Yamani, Sheikh Mokhtar Atarid dan Sheikh Muhammad al-Fathani. Beliau telah kembali ke Kelantan pada 1931 untuk menabur bakti.

Kerjaya awal[sunting | sunting sumber]

Pada awalnya, beliau menjadi tenaga pengajar di Masjid Muhammadi beberapa tahun bersama Tok Kenali, Tuan Guru Haji Yaakub Legor, Tuan Guru Haji Saad Kangkung, Tuan Guru Haji Ahmad Manan dan Tuan Guru Haji Ali Pulau Pisang. Pada akhir 1931, beliau mengasaskan Madrasah Ahmadiyah Bunut Payung yang mempunyai pelajar yang ramai dari seluruh pelusuk tanah air. Dalam tahun 1936, beliau telah mengasaskan Jabhat ad-Diniah al-Islamiyah Kelantan, iaitu pertubuhan ulamak yang pertama di Tanah Melayu di mana beliau sendiri pernah menjadi Yang Dipertuanya. Tuan Guru Haji Abdullah Tahir juga dilantik sebagai Ahli Jemaah Ulamak MAIK dan anggota Jawatankuasa Pengadil Mahkamah Kelantan[1].

Penglibatan dalam PAS[sunting | sunting sumber]

Haji Abdullah Tahir menyertai Persatuan Islam Se-Tanah Melayu (PAS) pada 1954. Sebelum menyertai PAS. beliau terlibat dalam sebuah muzakarah bersama-sama Naib Yang Dipertua Agung PAS, Tuan Guru Haji Hussein Che Dol pada 8 September 1952 yang membincangkan perihal dasar dan tujuan PAS. Muzakarah tersebut telah membawa kepada penerangan tentang PAS di Pasir Puteh dan Pasir Mas pada 9 hingga 11 September 1952 sehingga tertubuhnya PAS Cawangan Pasir Mas pada 23 Julai 1953. Pada 14 April 1954, PAS telah mengadakan gerakan mengembangkan PAS di Kelantan dengan menghantar Ustaz Othman Abdullah dan Mohd Asri Haji Muda, Haji Abdullah Tahir telah menyertai PAS, sekali gus membolehkan PAS Cawangan Kota Bharu ditubuhkan pada 18 November 1954.

Pondoknya sebagai tempat bermesyuarat[sunting | sunting sumber]

Pada 26-28 Disember 1955, Madrasah Ahmadiyah Bunut Payung telah menjadi tuan rumah kepada Mesyuarat Agung Tahunan PAS Keempat. Penganjuran mesyuarat tersebut telah menyebabkan penyertaan beliau dalam PAS diketahui oleh sebilangan ulama di Malaysia, dan telah menarik para ulama menyertai PAS. Antaranya, Tuan Guru Haji Ghani Kubang Bemban, Tuan Guru Haji Mustafa Pasir Tumbuh, Tuan Guru Haji Mat Zain Kemudi, Tuan Guru Haji Mat Tubuh Beris, Tuan Guru Haji Mat Bakok Kenali, Tuan Guru Haji Harun Sulong, Tuan Guru Haji Daud Meranti, Tuan Guru Haji Awang Padang, Tuan Guru Haji Aziz Pasir Tumbuh dan Tuan Guru Haji Yakub Berangan. Ekoran ramainya ulamak yang mengikuti jejak langkah beliau bersama PAS, rakyat turut memberi sokongan kepada PAS sehingga dapat menguasai Kelantan pada 1959.

Legasi[sunting | sunting sumber]

Adik beliau, Tuan Guru Haji Mokhtar Ahmad juga merupakan seorang ulama dan tokoh dalam PAS. Menantu beliau, Tuan Guru Haji Hussein Rahimi Mat Saman ialah bekas Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, manakala tokoh murabbi PAS, Dato' Ustaz Yahya Othman merupakan cucu menantu beliau.

Meninggal dunia[sunting | sunting sumber]

Haji Abdullah Tahir meninggal dunia pada hari Selasa, 15 Ogos 1961 (4 Rabiulawal 1381)[1]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b c Mohd Fadli Ghani (19 Januari 2017). "Ensiklopedia Harian PAS – Tuan Guru Haji Abdullah Tahir: Pencetus Kebangkitan PAS Di Kelantan". Berita PAS. Dicapai pada 25 September 2021.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]