Haji Abdul Rahman Limbong

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Abdur Rahman bin Abdul Hamid)
Abdul Rahman Limbong
Tok janggut
Kelahiran
Abdul Rahman bin Abdul Hamid

s. 1285 H / s. 1868 M
Meninggal dunia14 Jamadilakhir 1348 (umur 62–63) / 16 November 1929(1929-11-16) (umur 60–61)
Terkenal keranapenentangan terhadap campur tangan British di Terengganu
Ibu bapaAbdul Hamid bin Abdul Qadir

Haji Abdul Rahman Limbong

atau nama lengkapnya, Haji Abdul Rahman bin Haji Abdul Hamid bin Haji Abdul Qadir (1285 H [1868 M] – 14 Jamadilakhir 1348 H [16 November 1929 M]), merupakan seorang pendakwah dan pejuang yang berasal dari Terengganu. Beliau juga dikenali sebagai Lebai Deraman.[1]

Latar belakang[sunting | sunting sumber]

Haji Abdul Rahman Limbong lahir dalam tahun 1285 H/1868M di Terengganu. Datuk neneknya berasal dari Patani dan Terengganu.[perlu rujukan]

Haji Abdul Rahman Limbong mendapat pendidikan asas ilmu-ilmu Islam sejak kecil di Mekah. Antara gurunya ialah Haji Tun Muhammad, salah seorang ayah saudaranya. Ketika pulang ke Terengganu, beliau mendapat pendidikan daripada Haji Ya’qub dan Haji Musa yang tinggal di Paya Bunga dan seterusnya daripada Tok Ku Paloh.[2] Haji Abdul Rahman Limbong juga, seperti gurunya Tok Ku Paloh, ialah seorang pengamal Tarikat Sammaniyah.

Pendakwah[sunting | sunting sumber]

Setelah menguasai ilmu yang padu dan memadai, Haji Abdul Rahman Limbong aktif mengajar segenap masyarakat di Hulu Terengganu terutama di Limbong, Kemaman. Dari situlah gelaran Haji Abdul Rahman Limbong mula digunakan.[3] Kitab-kitab yang beliau ajar meliputi beberapa disiplin ilmu. Antaranya ialah kitab al-Ajrumiyah, kitab Mutammiman dan Tashil Nail al-Amani yang berbincang mengenai ilmu nahu dalam bahasa Arab kesemuanya serta Matn Umm al-Barahin mengenai ilmu tauhid. Untuk lebih memantapkan lagi penguasaannya, beliau juga diajarkan kitab-kitab tauhid bahasa Melayu. Antara kitab yang pasti tidak diabaikan ialah Faridah al-Faraid dan ad-Durr ats-Tsamin.

Kitab fikah bahasa Arab yang pernah diajarkan oleh Haji Abdul Rahman Limbong ialah Kitab Tahrir dan bagi ilmu tasawuf, kitab Hidayah as-Salikin dan ad-Durr an-Nafis yang kedua-duanya dalam bahasa Melayu.

Selain mengajar, Haji Abdul Rahman Limbong ialah seorang ulama yang suka mengembara atau merantau ke beberapa buah negeri dalam mengembangkan syiar Islam. Antara tempat yang pernah menerima kunjungan beliau ialah Beserah dan Kuantan di Pahang, Kelantan, Patani, Kedah, Sambas di Kalimantan, Jambi dan Riau di Sumatera dan Brunei.

Dalam pelayaran di laut, Haji Abdul Rahman Limbong menggunakan perahu buatan orang Terengganu sendiri. Beliau berlayar bersama-sama dengan murid-muridnya dari Terengganu dan juga ahli pelayaran pada zaman itu. Bahawa dinyatakan[nyatakan menurut siapa?] mereka telah menggunakan perahu-perahu yang berukuran besar yang boleh dimuat barang-barang antara 100 hingga 350 tan.

Antara tempat yang banyak dihuni oleh orang-orang yang berasal dari Terengganu di Kepulauan Riau yang dikenal pasti adalah di Kuala Maras dalam Kepulauan Jemaja, Kepulauan Siantan dan Pulau Midai. Manakala di Sambas pula adalah di Kampung Dungun, Kecamatan Sentebang.

Nama Dungun itu diberi oleh orang-orang Terengganu sebagai mengenang negeri asal mereka, iaitu Dungun di Terengganu. Nama Dungun itu masih kekal digunakan sampai sekarang. Dipercayai di tempat-tempat tersebut pernah dijelajahi dan menerima didikan daripada Haji Abdul Rahman Limbong.

"Nama Haji Abdul Rahman Limbong saya dengar sejak kecil lagi daripada ibu saya, Hajah Wan Zainab binti Syeikh Ahmad al-Fathani ketika beliau menceritakan pembinaan sebuah masjid di Sabang Barat, Pulau Midai, bahawa bahan utama bangunan ialah kayu cengal."[nyatakan menurut siapa?][perlu rujukan]

Semuanya dibawa dari Terengganu dengan sebuah perahu besar. Bahan-bahan itu semuanya selesai dikerjakan di Terengganu dan hanya tinggal sepasang saja di Pulau Midai. Masjid itu sehinggalah tahun 1969 masih berdiri dengan megahnya tetapi malangnya yang menjadi pemimpin pada tahun tersebut ialah seorang yang tidak memahami nilai-nilai sejarah. Masjid itu dimusnahkan lalu didirikan bangunan yang baru. Nilai sejarah yang masih tinggal hanyalah sebuah mimbar yang dihiasi ukiran-ukiran. Mimbar tersebut juga berasal dari Terengganu.

Imam masjid yang pertama tersebut ialah Haji Wan Abdul Rahman bin Wan Abu Bakar yang mendapat pendidikan di Mekah. Dipercayai Haji Wan Abdur Rahman bin Wan Abu Bakar berkenalan dengan Haji Abdul Rahman Limbong sejak kedua-duanya tinggal di Mekah lagi. Selanjutnya Haji Abdul Rahman Limbong juga pernah sampai ke daerah Pulau Tujuh termasuk Kuala Maras dan Pulau Midai.

Pertempuran dengan kuasa British[sunting | sunting sumber]

Pada 23 Mei 1928, terjadinya pertempuran antara pihak pentadbiran negeri dengan penentang kuasa British. Gerakan penentangan tersebut diketuai oleh Haji Abdul Rahman Limbong. Antara sebab berlakunya penentangan adalah kerana tidak puas hati rakyat terhadap kuasa British dan kerajaan kerana mengenakan cukai hasil, dan British sebagai pendatang tiada hak untuk mengutip cukai di Tanah Melayu, selain dihalang membuka tanah dan memotong pokok tanpa izin. Pertempuran tersebut berakhir dengan kekalahan pihak penentang, dan pemimpin-pemimpin gerakan penentangan tersebut dibicarakan di Istana Maziah dan dihukum penjara selama 5 hingga 15 tahun. Haji Abdul Rahman Limbong pula diperintahkan oleh Sultan Sulaiman untuk keluar negeri. Atas ehsan Sultan Sulaiman, pemimpin-pemimpin gerakan yang lain dibebaskan dua tahun kemudian.

Dibuang negeri[sunting | sunting sumber]

Menurut laporan oleh H. W. Thomson dan J. L. Humphreys, Haji Abdul Rahman Limbong dan pengikutnya dilabel sebagai penderhaka kepada kerajaan Terengganu. Haji Abdul Rahman Limbong ditangkap dan dibuang negeri ke Singapura pada 23 Zulhijah 1346 H (13 Jun 1928) dan selanjutnya dibuang ke Mekah lalu tiba pada 29 Safar 1347 H [19 Ogos 1928]. Beliau meninggal dunia di Mekah setahun kemudian pada 14 Jamadilakhir 1348 H (16 November 1929 M) menurut kawat yang dikirim dari Jeddah pada 2 Syaaban 1348 H (3 Januari 1930).[4]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Buku[sunting | sunting sumber]

  • "The Ulu Trengganu Disturbance, May 1928 : Extracts from the Diary of Dato' Seri Lela Di-Raja". Malaysia in History (dalam bahasa Inggeris). Persatuan Sejarah Malaysia. 12 (1). 1968. ISSN 1675-0594.