Acak

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Acak atau Ancak merujuk sebagai sebarang jenis persembahan kepada makhluk halus dalam kebudayaan Melayu. Persembahan ini biasanya merupakan makanan, dan secara biasanya terdiri daripada hidangan (tetapi tidak terbatas) seperti berikut :

  • Bertih
  • Pulut kuning.
  • Ayam panggang
  • Telur (mentah/rebus)
  • Anak patung tradisional

Terdapat juga acak yang merupakan darah sembelihan yang diletakkan di dalam bekas.

Acak biasanya digunakan semasa memenuhi perjanjian dengan makhluk halus sebagai contoh, saka, bagi memberi jamuan. Selain itu, ancak juga digunakan dalam perubatan traditional apabila acak disediakan dan kemudiannya, jin yang mengganggu dipujuk agar mengikuti acak yang kemudiannya dihanyutkan ke sungai. Perkara yang sama juga dikatakan akan dilakukan ketika seseorang membuang ilmu kebatinan yang dipakainya seperti memakai susuk, atau makhluk belaan seperti toyol.

Selain itu, acak juga disediakan dalam upacara semah biasanya sebagai balasan apabila pesakit yang diubati menurut kaedah tradisional sembuh, sebagai memenuhi perjanjian yang telah dipersetujui oleh orang yang melakukan rawatan dan jin-jin yang dikatakan membantu manusia yang dilakukan dalam keadaan menurun, ataupun melalui persembahan teater tradisional, yang juga melibatkan menurun.

Jin yang merasuk pesakit dipujuk dan dijanjikan akan diberi makan acak sekiranya sudi keluar dan tidak mengganggu pesakit. Tujuan lain ialah sebagai tanda berterima kasih kepada makhluk ini, yang sudi datang membantu manusia melakukan rawatan lantas membolehkan pesakit sembuh.

Upacara menyemah berlainan, bergantung kepada kelaziman yang dilakukan orang yang mengetuai sesuatu upacara, ataupun kehendak orang yang berkenaan atas permintaan jin-jin yang diberitahu melalui mimpi ataupun perantaraan lain. Oleh itu, bahan-bahan yang disediakan berlainan, selain daripada kebergantungan kepada bahan makanan yang boleh didapati dan digunakan oleh penduduk tempatan.

Upacara menyemah adakalanya melibatkan darah binatang yang disembelih, ditadah dalam satu bekas, ataupun organ dalaman binatang yang disembelih, seperti kambing, kerbau atau lembu. Bahan-bahan tersebut diletakkan di satu tempat, sama ada di hujung kampung, di pinggir hutan, dihanyutkan di sungai ataupun di laut. Amalan ini dikenali sebagai menyemah kampung, menyemah pantai, bela kampung, buang ancak dan sebagainya.

Bagi mereka yang melakukan persembahan teater tradisional, bahan-bahan makanan, terutamanya ayam panggang diletakkan, adakalanya sebagai sajian di sepanjang persembahan, bagi memastikan persembahan mereka berjalan dengan lancarnya tanpa ada apa-apa gangguan oleh makhluk halus.

Cara penggunaan di Sungai Perak[sunting | sunting sumber]

  1. Pawang akan meletakkan semua peralatan tersebut ke atas rakit batang pisang yang kecil (0.5 meter persegi).
  2. Ayam jantan yang telah disembelih dan dibuang bulunya diletakkan sebagai hidangan/persembahan.
  3. Dihanyutkan di tengah sungai yang berolak atau berputar atau di kawasan yang dipercayai terdapat hantu air.
  4. Didahului dengan jampi mentera dan dihanyutkan.
  5. Biasanya dilakukan bagi mengelakkan kemalangan, sebelum dan selepas mati lemas, kehilangan atau kematian di sungai. Jika ingin membina jambatan kayu, besi atau batu, pawang akan dijemput untuk membuat ancak – untuk mendapat kelulusan 'restu' hantu air.

Fakta remeh amalan Ancak[sunting | sunting sumber]

  • Sehingga Jun 2005, amalan ini masih boleh ditemui di Kampung Air Mati, Kampung Gajah, Perak. Amalan ini syirik dari segi agama Islam.
  • Masyarakat Melayu sekitar Bandar, Jugra dan Banting, Selangor masih mengamalkan penghanyutan ancak bagi tujuan menghindari gangguan hantu terutama hantu air sehinggalah tahun 2000. Perasaan penduduk kampung lebih lega dan selesa jika upacara menjamu hantu air dilakukan di sungai berhampiran. Jika tidak diadakan, apa juga kemalangan akan dikaitkan oleh perbuatan 'tidak memberi semah' kepada makhluk halus.

Syirik[sunting | sunting sumber]

Upacara menghanyutkan ancak ialah perbuatan syirik dan bertentangan dengan agama Islam. Dalam al Quran memang ada dinyatakan tentang kewujudan jin, syaitan, iblis dan ifrit. Tetapi makhluk ini bukanlah untuk ditakuti. Bagi orang Melayu, syaitan dan jin telah dikelompokkan kepada pelbagai jenis hantu.