Aerorel Melaka

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Aerorel Melaka merupakan sebuah projek rangkaian aerorel yang dicadangkan di Melaka.Projek ini dibina, dikendali dan diuruskan oleh Pyramid Express Sdn Bhd manakala sokongan teknikal dan pengurusan projek akan disediakan oleh Pinggiran Pelangi Sdn Bhd, ejen tempatan Aerobus dari Houston, Amerika Syarikat. Kos pembinaan projek ini dianggarkan sebanyak RM 1.8 billion.[1]Sekirannya projek ini berjaya, ianya akan menjadi rangkaian aerorel pertama di Malaysia dan Asia Tenggara.

Perancangan[sunting | sunting sumber]

Nama asal bagi Aerorel ialah Aerobus.Projek Aerorel ini pernah dicadangkan di Kuala Lumpur tetapi telah digantikan oleh KL Monorel.[2] Fasa pertama Aerorel Melaka membabitkan RM586 juta meliputi pembinaan 10 stesen persinggahan bermula dari Plaza Tol Ayer Keroh hingga ke Dataran Pahlawan di Bandar Hilir, manakala fasa kedua bernilai RM807 juta membabitkan jarak sejauh 8.7 kilometer.

Projek yang turut membabitkan hotel di setiap stesen persinggahan dengan jarak sejauh 18.4 kilometer akan dibangunkan dalam dua fasa dan dijadualkan siap sepenuhnya pada suku pertama 2012. Hotel-hotel ini pula akan diuruskan oleh Leisure Group Hotels & Resorts Sdn Bhd.

Sembilan stesen lain yang akan dibina adalah Zoo Melaka, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Melaka Mall, Hospital Melaka, Stesen Melaka Sentral, Hang Tuah Mall, Menara Jam Besar (Bangunan Stadthuys) dan Mahkota Medical Centre (Dataran Pahlawan).

Jarak perjalanan bagi fasa pertama adalah sejauh 9.5 kilometer. Setiap 10 lokasi perhentian bakal dilengkapi kemudahan hotel yang menyediakan 2,500 bilik.

Kelebihan[sunting | sunting sumber]

Sistem Aerorel di Melaka lebih unik berbanding sistem transit aliran ringan (LRT) ataupun monorel kerana setiap gerabak Aerobus yang menggunakan trek kabel tergantung seperti kereta kabel boleh memuatkan 280 hingga 300 penumpang bagi setiap perjalanan.

Sistem itu bergerak menggunakan kuasa elektrik pada kelajuan 43.4 kilometer sejam (km/sejam) dan mampu mencapai kelajuan sehingga 80 km/jam dan berhenti dua minit di setiap stesen.

Ia dijangka mengurangkan kesesakan trafik dalam bandar dan mengurangkan pencemaran udara. Apabila siap, sistem ini yang menggunakan teknologi Switzerland akan menjadi daya tarikan pelancong terbaru kerana Melaka menjadi negeri pertama di Asia Tenggara menggunakannya.[3]

Kritikan[sunting | sunting sumber]

Persatuan bagi penambahbaikan aliran transit Lembah Klang (Association for the Improvement of Mass-Transit-Klang Valley - TRANSIT) mengkritik projek ini dan menyeru agar kerajaan negeri Melaka menambah baik perkhidmatan bas di negeri Melaka terlebih dahulu.[4]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "Melaka Tunggu Kelulusan Kementerian Bagi Projek Aerorail Bernilai RM1.8 Bilion". Bernama. 4 Ogos 2008. Dicapai pada 27 Ogos 2015. 
  2. ^ (Inggeris)"Aerorail in Malacca – is this a right move?". The Star. 1 Mac 2008. Dicapai pada 27 Ogos 2015. 
  3. ^ "Pembinaan Aerorel Melaka diteruskan". Utusan Malaysia. 15 Mac 2008. Dicapai pada 26 Ogos 2015. 
  4. ^ (Inggeris)"Buses in the sky? Improve buses on land first". 12 Novermber 2008. Dicapai pada 2015-08-27.