Age of Empires III

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Age of Empires III
ءيج ءوف ايمڤايرس III
Pembangun
Penerbit
PerekaBruce Shelley[1]
Pengatur caraDave Pottinger
KomposerStephen Rippy
SiriAge of Empires
PlatformMicrosoft Windows, OS X, Windows Mobile, N-Gage
Pelepasan
  • 18 Oktober 2005
  • Edisi Definitif:
  • 15 Oktober 2020
GenreStrategi masa nyata
ModPemain tunggal, multipemain


Age of Empires III (Jawi: ءيج ءوف ايمڤايرس III) ialah sebuah permainan video strategi masa nyata yang dikembangkan oleh Ensemble Studios dan diterbitkan oleh Microsoft Game Studios. Versi Mac dikembangkan dan diterbitkan oleh MacSoft. Versi PC dilancarkan pada 18 Oktober 2005 di Amerika Utara dan pada 4 November 2005 di Eropah, sementara versi Mac dikeluarkan pada 21 November 2006 di Amerika Utara dan 29 September 2006 di Eropah. Versi permainan N-Gage yang dikembangkan oleh Glu Mobile dikeluarkan pada 28 April 2009.[2][3][4] Ini merupakan permainan ketiga dalam siri Age of Empires dan penyambung kepada Age of Empires II: Zaman Raja-raja. Permainan ini dibuat semula di bawah tajuk Age of Empires III: Edisi Definitif, dan telah diterbit pada 15 Oktober 2020.[5] Permainan susulannya, Age of Empires IV sedang dalam pembangunan.

Permainan ini menggambarkan penjajahan Eropah di Amerika antara sekitar tahun 1492 dan 1876 Masihi. Terdapat empat belas tamadun tersedia di dalam permainan. Age of Empires III telah membuat beberapa inovasi berbanding permainan sebelumnya, khususnya dengan penambahan sistem "ibu kota", yang menggabungkan strategi masa nyata dan ciri permainan berperanan. Empat pek tambahan telah dilancarkan: yang pertama, Age of Empires III: The WarChiefs, dilancarkan pada 17 Oktober 2006, menampilkan tiga tamadun orang asal Amerika; yang kedua, Age of Empires III: Dinasti Asia, diterbitkan pada 23 Oktober 2007, dan memperkenalkan tiga tamadun Asia; dan yang ketiga bagi Edisi Definitif, iaitu Age of Empires III Edisi Definitif: Tamadun Amerika Syarikat, yang, seperti namanya, menampilkan tamadun orang Amerika Syarikat. Pek tambahan terbaharu ialah Age of Empires III Edisi Definitif: Raja-raja Afrika, yang menampilkan budaya, peta dan orang asal Afrika.

Microsoft telah menjual lebih 2 juta naskhah Age of Empires III pada Mei 2008. Selain mendapat ulasan yang baik, ia telah memperoleh beberapa anugerah, termasuk "Permainan RTS Terbaik 2005" daripada GameSpy, dan merupakan salah satu permainan paling laris pada tahun 2005.[6] Pada tahun 2007, Age of Empires III adalah permainan komputer ketujuh terlaris, dengan lebih dari 313,000 salinan terjual pada tahun itu.[7]

Permainan[sunting | sunting sumber]

Pemain bermula dengan pusat bandar yang telah dibina atau satu gerabak yang akan membinanya, penjelajah bersenjata, dan sebilangan kecil pekerja. Pemain meneroka peta dan mula mengumpulkan sumber yang digunakan untuk melatih unit dan membina bangunan tambahan dan untuk menyelidik penaiktarafan atau teknologi. Tindakan seperti melatih unit, membina bangunan, membunuh unit musuh, dan lain-lain, memberi mata pengalaman kepada pemain. Pada ambang pengalaman tertentu, pemain memperoleh Kiriman yang boleh digunakan untuk menghantar satu kad kiriman daripada ibu kota pemain, yang terdiri daripada kad unit, peningkatan, dan sumber. Permainan berlangsung sama seperti kebanyakan permainan strategi masa nyata sehingga satu pihak menyerah kalah.

Dalam Age of Empires III, pemain akan mara sepanjang "Zaman", yang merepresentasi jangka masa bersejarah; ini memberikan akses kepada teknologi, unit, dan bangunan yang lebih besar. Zaman-zamannya termasuk Zaman Penerokaan, yang mewakili penemuan dan penerokaan Amerika oleh orang Eropah, membolehkan pemain meneroka dan mengembangkan ekonomi mereka; Zaman Perdagangan, yang mewakili pengembangan Eropah ke dalam Dunia Baru dan membuka akses kepada unit ketenteraan awal; Zaman Kubu, yang mewakili perkubuan dan penjajahan Eropah, memberi akses kepada bangunan kubu, dan membolehkan pemain memperoleh tentera yang lebih lengkap; Zaman Perindustrian, yang memberi ekonomi yang kuat, sebahagiannya disebabkan pembinaan bangunan kilang—sebuah bangunan yang secara automatik menghasilkan sumber atau artileri—serta membuka akses kepada semua unit dan kiriman; dan akhirnya Zaman Imperialisme, yang membuka akses kepada semua bangunan dan teknologi, dan membolehkan anda menghantar penghantaran unit dan sumber buat kali kedua. Semua zaman berkos makanan dan syiling untuk diselidik, kecuali Zaman Kolonial, yang hanya berkos 800 makanan. Harga bagi memara zaman bertambah namun tidak berbeza antara tamadun.

Di dalam Age of Empires III, tamadun-tamadun Eropah menggunakan "sistem ahli politik" untuk memberikan bonus bagi memara zaman. Apabila pemain memilih untuk mara ke zaman seterusnya, dua atau lebih pilihan "ahli politik" diberi, setiap daripada mereka memberi bonus yang berbeza. Ahli politik diberi gelaran umum yang mencerminkan bonus yang diberikannya: contohnya, "Naturalis" memberi pemain empat ekor lembu, manakala "Jeneral" memberikan dua belas musketeer dan sebuah artileri berat bagi tamadun orang British. Apabila ibu kota pemain meningkat dalam tahap, semakin banyak ahli politik tersedia—dengan kadar satu bagi setiap sepuluh tahap ibu kota—sehingga tahap 60.

Tamadun-tamadun orang asal Amerika menaik taraf dengan sistem majlis puak. Setiap tamadun mempunyai lima orang ahli majlis yang boleh dipilih pada setiap zaman, namun bonus mereka akan lebih besar pada zaman yang lebih tinggi. Ahli majlis yang telah dipilih tidak boleh dipilih semula.

Bagi tamadun-tamadun Asia pula, sistem Struktur Keajaiban digunakan. Kaedahnya adalah mirip sistem majlis puak, di mana terdapat lima pilihan sepanjang permainan. Walau bagaimanapun, selain bonus memara zaman, pilihan yang dipilih iaitu Struktur Keajaiban—bangunan unik berdasarkan mercu tanda tamadun tersebut—juga akan memberi kesan berpanjangan atau mempunyai keupayaan khas, selama bangunan itu masih berdiri.

Tamadun[sunting | sunting sumber]

Setiap tamadun di dalam Age of Empires III diwakili pemimpin-pemimpin terdahulu daripada garis masa permainan tersebut. Tamadun-tamadunnya dibahagikan kepada lima budaya, Eropah, orang asal Amerika, Asia, Amerika Syarikat dan Afrika.

Budaya Eropah merupakan satu-satunya budaya dan budaya pertama dalam permainan asas Age of Empires III. Mereka menaik taraf dengan memilih ahli politik, dan mempunyai akses kepada ciri-ciri seperti bangunan kubu, kilang, serta askar upahan. Mereka mempunyai dua unit yang boleh dinaik taraf menjadi Pengawal Diraja, yang mempunyai bonus peningkatan yang lebih ketika menaik taraf pada tahap Pengawal pada Zaman Perindustrian. Budaya Eropah terdiri daripada orang Sepanyol, Inggeris, Perancis, Portugis, Belanda, Rusia, Jerman, Uthmaniyyah, dan terbaharu orang Sweden di dalam Edisi Definitif.[8]

Tamadun-tamadun di dalam budaya orang asal Amerika pertama kali keluar di dalam pek tambahan The WarChiefs. Ia terdiri daripada orang Aztek, Haudenosaunee, Lakota dan Inka (ditambah dalam Edisi Definitif). Mereka memara zaman dengan memilih ahli majlis puak. Mereka mempunyai pondok perang yang merupakan bangunan ketenteraan yang juga boleh mempertahankan koloni anda. Mereka mempunyai plaza komuniti (dahulunya lubang bakar), sebuah bangunan yang memberi bonus kepada pemain yang semakin hebat dengan lebih banyak orang kampung ditugaskan.

Pek tambahan Dinasti Asia telah menambah budaya Asia, yang terdiri daripada orang Jepun, Cina dan India. Mereka memara zaman menggunakan Struktur Keajaiban iaitu bangunan-bangunan berdasarkan mercu tanda bersejarah. Secara umumnya, tamadun-tamadun Asia adalah lebih berbeza antara satu sama lain berbanding tamadun-tamadun di dalam budaya lain. Namun mereka masih berkongsi ciri-ciri seperti sawah padi yang boleh memberi anda makanan dan syiling, istana yang menjadi bangunan artileri dan pertahanan, dan beberapa lagi. Mereka juga mempunyai akses kepada sejenis kepada sejenis sumber baharu iaitu eksport, yang dikumpul secara perlahan-lahan sambil orang kampung anda berkerja, dan boleh digunakan di bangunan konsulat di mana anda boleh menjalinkan hubungan diplomatik bersama tamadun lain untuk mendapat bantuan ketenteraan, teknologi dan kekolonian.

Tamadun orang Amerika Syarikat berada di dalam budayanya tersendiri yang ditambah dalam pek tambahan Tamadun Amerika Syarikat. Walaupun hampir sama dengan gaya permainan Eropah, ia mempunyai sistem berbeza seperti pemaraan zaman yang memberi anda kad ibu kota baharu, melalui pemilihan negeri persekutuan. Mereka bermula dengan mata pengalaman tambahan, dan mempunyai Jeneral sebagai unit wira mereka yang boleh memacak bendera bagi menginspirasikan unit dan bangunan berhampiran. Namun, Jeneral tidak boleh membina pusat bandar, dan sebaliknya hanya boleh membina kubu selain pusat perdagangan dan bangunan-bangunan tambahan.

Budaya Afrika diperkenalkan dalam pek tambahan Raja-raja Afrika dengan dua tamadun, iaitu orang Etiopia dan Hausa. Mereka mempunyai akses kepada sumber Pengaruh yang diperoleh daripada kaedah-kaedah berbeza bagi setiap tamadun. Unit wira mereka boleh melagakan penjaga harta karun dengan keupayaan khas mereka, dan mereka juga boleh menjual haiwan ternakan. Mereka mempunyai dua jenis bangunan ketenteraan yang terbahagi mengikut status kekuatan bangunan tersebut. Unit-unit asas dilatih di Khemah Perang, manakala unit-unit maju dilatih di Istana.

Terdapat tamadun lain yang hanya dapat dimainkan melalui kempen sahaja, termasuk Satria Saint John, Askar Upahan John Black, dan Amerika Syarikat (versi kempen Amelia Black),[9] yang dicipta berdasarkan tamadun Sepanyol, Jerman dan Inggeris masing-masing, dengan sedikit sebanyak pengubahsuaian. Tamadun kempen yang tidak dapat dimainkan termasuk Lanun, Kumpulan Ossus dan penduduk asli Amerika yang digunakan oleh musuh dan sekutu dalam permainan kempen, namun tamadun-tamadun ini dapat dimainkan menggunakan Editor Senario atau melalui pengubahsuaian permainan.

Terdapat juga tiga puluh tamadun-tamadun kecil (asalnya dua belas), namun ia hanyalah sekadar tamadun persekitaran yang tidak boleh dimain. Walau begitu, pemain masih dapat memperoleh akses kepada unit unik dan penyelidikan mereka dengan menjalin perikatan bersama suku-suku tersebut dengan membina pusat perdagangan di petempatan mereka. Tamadun-tamadun kecil yang ditampilkan ialah Aztek, Carib, Cherokee, Comanche, Cree, Inka, Iroquois, Lakota, Maya, Nootka, Seminole, Tupi, Apache, Cheyenne, Huron, Klamath, Mapuche, Navajo, Zapotek, Kuil Bhakti, Misi Jesuit, Tokong Shaolin, Masjid Sufi, Kuil Udasi, Tokong Zen, Akan, Berber, Somali, Sudan dan Yoruba.[10]

Ibu Kota[sunting | sunting sumber]

Age of Empires III merupakan permainan pertama dalam siri ini untuk memperkenalkan konsep "Ibu Kota".[11] Ibu kota berfungsi sebagai kota kedua dalam sesuatu permainan, sebuah pusat kuasa yang dipisahkan daripada permainan aktif. Ia bertujuan untuk menghantar kiriman kepada koloni anda, dan tidak dapat diserang atau dimusnahkan, walaupun suatu penyelidikan pada Zaman Imperial yang disebut "Sekatan" menghentikan musuh daripada menerima kiriman dari ibu kota. Mirip dengan watak permainan berperanan[12] ibu kota adalah berterusan antara permainan, yang bermaksud setiap permainan dapat memberi peningkatan kepada ibu kota tersebut, dan segala peningkatan dapat dibawa sekali dalam permainan-permainan lain, kecuali di dalam Edisi Definitif di mana hal tersebut tidak lagi terpakai kerana pemain diberi akses kepada semua ciri secara lalai. Pelbagai ibu kota dapat dicipta dan dikekalkan, walaupun masing-masing hanya terkait dengan satu tamadun sahaja.

Sesuatu ibu kota terdiri daripada lima bangunan utama dari mana pemain memilih kad kiriman dan penyesuaian baharu mereka.[13] Pemain juga boleh mengakses ibu kota mereka pada bila-bila masa ketika sesuatu permainan. Ketika bermain, pemain boleh mengirim kad daripada sejumlah kad yang dipilih sebelum permainan bermula, bagi menghantar unit ataupun membuat apa-apa penambahbaikan.

Sepanjang permainan, pemain akan memperoleh XP (mata pengalaman) dengan menyelesaikan tindakan seperti membina bangunan, melatih unit, membunuh unit musuh, dan mengumpulkan harta karun. Setiap kali pemain memperoleh sejumlah pengalaman yang tetap, pemain boleh akan menerima satu mata kiriman dari Home City masing-masing. Mata kiriman tersebut boleh diguna untuk mengirim mana-mana kad yang anda mempunyai. XP ini juga ditambahkan terus kepada ibu kota yang dimainkan dan dikumpulkan melalui beberapa permainan, yang membolehkannya menaik taraf dari semasa ke semasa.[14] Beberapa kad asas dipilih secara automatik ditambahkan ke dalam ibu kota baharu yang dicipta. Kemudian dalam sesuatu permainan, kad mesti dipilih secara manual kerana terdapat had dalam jumlah kad yang boleh diletakkan dalam sesuatu dek. Set kad yang boleh dipilih adalah berbeza bagi setiap tamadun. Sekiranya ibu kota yang dimainkan mempunyai lebih daripada satu dek, pemain mesti memilih dek mana yang akan digunakan sebelum dapat mengirim apa-apa kiriman. Semasa permainan, pemain akan menyimpan dek awal ini; ciri ini mendorong pemain untuk membina geladak yang disesuaikan untuk peta yang dimainkan, atau yang bertentangan dengan tamadun atau dek musuh. Sesebuah dek pada asalnya menyokong dua puluh kad, namun kapasitinya boleh dibesarkan sehingga 25 kad.

Unit[sunting | sunting sumber]

Unit Age of Empires III, seperti pada permainan-permainan sebelumnya, adalah berdasarkan kelas ketenteraan dalam sejarah. Pemain mengendalikan pelbagai unit awam dan ketenteraan, dan menggunakannya untuk mengembangkan dan membangunkan tamadun mereka, serta berperang melawan musuh. Unit asas permainan ialah peneroka, yang bertanggungjawab mengumpulkan sumber dan membina bangunan, untuk meningkatkan ekonomi peradaban. Jumlah unit yang dapat dikendalikan oleh pemain dalam senario dibatasi oleh ruang populasi, mekanik permainan strategi masa nyata yang lazim. Rumah dan pusat bandar akan menaikkan had asasnya, sehingga ia mencapai had muktamad (200 ruang populasi), sementara setiap unit yang dihasilkan meningkatkan jumlah penduduk. Unit asas seperti peneroka dan kebanyakan infantri asas mengambil 1 ruang populasi, namun sesetengah unit yang lain, termasuk kebanyakan tentera berkuda dan askar upahan dikira sebagai 2. Unit yang lebih kuat, terutamanya artileri atau tentera berkuda dan askar upahan, boleh mengambil setinggi 7 ruang populasi. Pahlawan orang asal, penjelajah, binatang yang dijinakkan, belon udara panas dan kapal perang tidak mengambil ruang populasi, tetapi secara amnya mempunyai had bagi jumlah unit yang boleh dicipta, yang membolehkan pemain hanya menggunakan sejumlah unit tertentu pada satu masa.

Unit ketenteraan digunakan untuk melawan pemain lain. Infantri ialah jenis unit yang paling murah, menggunakan senjata mulai dari senjata kuno seperti tombak dan busur silang sehingga senapang dan senjata maju lain. Kelas artileri yang lebih berat juga menggunakan senjata jarak jauh, terutamanya meriam dan mortar; namun, ada juga artileri bersenjatakan bom tangan, kecuali unit Petard yang merupakan sejenis unit pengebom bunuh diri. Pasukan berkuda juga mempunyai kedua-dua senjata tangan seperti pedang dan tombak, dan senjata jarak jauh, seperti pistol dan busur. Unit-unit ini juga mempunyai ciri-ciri penting, seperti skirmisher yang melakukan kerosakan bonus terhadap infantri lain, dan dragoon yang melakukan kerosakan bonus terhadap pasukan berkuda lain.

Satu unit baru yang diperkenalkan di dalam Age of Empires III ialah unit wira yang berbeza bagi tamadun lain, namun pada asasnya bertanggungjawab untuk mencari dan mengumpulkan harta karun tetapi juga boleh membina pusat perdagangan dan pusat bandar, serta mempunyai serangan atau mekanik khusus (disebut sebagai keupayaan). Unit ini tidak dapat dibunuh, tetapi hanya dapat ditidaksedarkan, untuk dihidupkan kembali ketika unit sekutu berada berhampirannya, atau dengan membayar wang tebusan kepada musuh yang menidaksedarkan unit wira itu. Unit ini adalah berbeza bagi budaya-budaya lain. Tamadun Eropah mempunyai Penjelajah yang boleh membunuh unit musuh dengan satu tembakan melalui sebuah keupayaan khas, tamadun orang asal Amerika mendapat Ketua Perang yang boleh menukar haluan unit penjaga harta karun. Bagi tamadun-tamadun Asia, setiap tamadun mendapat rahib berdasarkan agama tamadun mereka yang mempunyai keupayaan-keupayaan berbeza dan boleh menyembuhkan unit sekutu. Tamadun Amerika Syarikat mempunyai Jeneral yang boleh membina kubu dan memberi inspirasi kepada tentera berhampiran, manakala setiap tamadun Afrika mempunyai unit wira unik, setiap daripadanya mempunyai satu keupayaan khas berdasarkan tamadun mereka.

Di dalam Age of Empires III, terdapat juga unit kapal yang tersedia di kebanyakan peta yang mempunyai perairan. Kapal tentera menggunakan meriam atau panah, sementara beberapa kapal lain dapat mengumpulkan sumber, mengangkut unit darat dan melatih unit. Semua jenis kapal boleh mengumpul harta kanun laut.

Askar upahan boleh membantu pemain dalam perjuangan mereka di. Askar upahan tidak dilatih seperti unit biasa; sebaliknya, mereka boleh dilatih di bangunan askar upahan (tavern bagi tamadun-tamadun Eropah, biara untuk tamadun Asia dan salun bagi Amerika Syarikat) dengan kos syiling yang tinggi. Kebanyakan daripada mereka adalah amat kuat, namun adalah amat mahal dan mengambil ruang populasi yang banyak.

Bangunan[sunting | sunting sumber]

Bangunan memainkan peranan besar dalam permainan ini, kerana mereka digunakan untuk melatih unit awam dan ketenteraan, menyelidik penyelidikan, menampung ruang populasi, memberikan pertahanan kepada koloni, atau sebagai penyedia sumber. Setiap bangunan menyerupai reka bentuk seni bina pada zaman itu. Semua permainan dalam siri ini berkongsi beberapa bangunan, termasuk Pusat Bandar dan Dok. Penampilan dan sifat bangunan berubah ketika pemain maju melalui Zaman, dan setiap budaya mempunyai set bangunan unik mereka sendiri, sambil sesetengah tamadun juga mempunyai bangunan khasnya tersendiri. Reka bentuk bangunan-bangunan ini adalah bergantung kepada tamadun dan zaman. Beberapa bangunan hanya dapat dibina pada masa-masa tertentu seperti menara pertahanan.

Kempen[sunting | sunting sumber]

Kempen-kempen dalam permainan ini adalah terdiri daripada seset senario yang berkaitan dengan objektif yang telah ditetapkan, seperti memusnahkan bangunan tertentu. Dalam Age of Empires III, kempen-kempen asasnya mengikuti satu kisah fiksyen mengenai keluarga Black, terbahagi kepada lima bahagian mewakili lima generasi, Morgan Black, John Black (cucu Morgan), Nathaniel Black (anak John), Amelia Black (anak Nathaniel) dan Chayton Black (anak Amelia). Kelima-lima bahagian tersebut dikisahkan oleh Amelia Black (Tasia Valenza).

Pemain bermain menggunakan tamadun khas yang dikaitkan dengan watak atau tempoh yang digambarkan oleh setiap bahagian kempen, dari Satria Saint John, Askar Upahan John Black, kepada Amerika Syarikat. Tiga daripada lima babak ini ditampilkan dalam permainan asas, manakala dua lagi ditambah dalam pek tambahan The WarChiefs.

Pek tambahan Dinasti Asia telah menampilkan satu set kempen baharu berdasarkan ketiga-tiga tamadun baharu yang ditambah dalam pek tersebut. Kisahnya masih berbentuk fiksyen, namun adalah berdasarkan kejadian bersejarah, kecuali kempen Cina yang mengisahkan satu pertempuran Empayar Cina dengan tamadun Aztek di benua Amerika.

Pembangunan[sunting | sunting sumber]

Ciri-ciri teknikal[sunting | sunting sumber]

Age of Empires III membina dan memperkenalkan ciri-ciri baru kepada enjin Age of Mythology, yang dipanggil Bang! Engine.[15] Satu ciri baharu ialah kemasukan enjin perisian tengah bagi simulasi fizik Havok[16] pada versi Windows dan enjin PhysX yang serupa pada Mac OS X.[17] Ini bermaksud bahawa banyak kejadian seperti pemusnahan bangunan dan kejatuhan pokok tidak akan berlaku sebelum membuat animasi, tetapi akan dikira mengikut mesin fizik, satu inovasi bagi siri ini. Ciri grafik permainan yang lain termasuk pencahayaan mekar dan sokongan untuk pixel shader 3.0 . [18]

Audio[sunting | sunting sumber]

Runut muzik asli Age of Empires III menampilkan skor muzik asli yang disusun oleh pemuzik Ensemble Studios, Stephen Rippy dan Kevin McMullan, yang karya sebelumnya termasuk permainan lain dalam siri Age of Empires serta Age of Mythology. Ia dilancarkan pada 11 November 2005 oleh Sumthing Else Music Works. Stephen Rippy, pengarah muzik dan suara di Ensemble Studios, mengatakan, "Age of Empires III ialah permainan dengan topik yang epik—ia merangkumi penjajahan Amerika dalam jangka masa sekitar tiga ratus tahun, jadi ia perlu mempunyai satu skor yang setanding hebatnya. Dengan menggunakan orkestra dan koir penuh serta beberapa instrumen yang diilhamkan oleh zaman berkenaan, muzik ini mengikuti kisah Morgan Black dan keturunannya ketika mereka bertempur dengan Kumpulan Ossus untuk menduduki Dunia Baru." Runut muziknya turut dilengkapi DVD bonus yang merangkumi empat belas trek yang dicampurkan semula dalam 5.1 surround, video di sebalik tabir sesi studio, treler sinematik Age of Empires III dan lima trek bonus eksklusif.

Tidak seperti versi Age of Empires sebelumnya, pemain AI dalam mod pertempuran pemain tunggal akan menghantar mesej kepada pemain di pelbagai saat dalam permainan, mencemuh pemain jika mereka dipilih sebagai musuh atau berkongsi rancangan ketenteraan dengan pemain jika mereka bersekutu. Semua watak AI mempunyai keperibadian yang berbeza dan terdapat banyak petikan yang berbeza dalam permainan. Ciri ini dapat dinyahdayakan dengan mudah jika diperlukan.

Sejarah penerbitan[sunting | sunting sumber]

ّBerikutan pengumuman[19] permainan ini pada 4 Januari 2005, versi percubaan dikeluarkan pada 7 September 2005. Ia merupakan versi yang tidak penuh, memperkenalkan ciri baharu seperti dua senario kempen, dua senario peta rawak (New England dan Texas) dan akses kepada dua tamadun (orang British dan Sepanyol), dan berbagai modifikasi.[20] Versi demo yang dikemas kini tersedia dengan pelancaran permainan pada 22 September 2005.

Sebagai sebahagian daripada pelancaran Age of Empires III, Ensemble Studios mengumumkan pelancaran Kit Laman Peminat Age of Empires III pada 9 September 2005.[21]

Pelepasan permainan pada 22 September 2005, menyaksikan dua edisi berasingan disediakan. Edisi standard merangkumi permainan dan manual, versi edisi pengumpul dalam kotak persembahan yang mengandungi runut suara rasmi, pendokumenan tambahan, buku berjudul Art of Empires (Melayu: Seni Empayar; Jawi: سني ايمڤاير) yang berisi seni konsep dan lakaran 3D dari permainan serta DVD berjudul The Making of Age of Empires III.

Penerbitan permainan ini telah diikuti oleh serangkaian tampalan yang telah membaiki pepijat kecil dalam perisian atau menambahkan ciri baharu.

Ensemble Studios mengeluarkan[22] pek tambahan untuk permainan ini bernama Age of Empires III: The WarChiefs pada 17 Oktober 2006. Ia mengandungi tiga tamadun orang asal Amerika baharu yang dapat dikendalikan sepenuhnya: orang Aztek, Iroquois, dan Sioux. Kandungan baharu untuk tamadun Eropah sedia ada, peta dan penambahan permainan (seperti ciri revolusi, di mana pemain dapat memberontak dari negara asalnya dan memulakan rampasan kuasa tentera yang aktif dalam permainan) telah ditambahkan.

Pek tambahan kedua, Age of Empires III: The Dynastyies Asia, diumumkan pada 18 Mei 2007 dan menampilkan tiga tamadun Asia: orang Cina, India, dan Jepun.[23] Ia dikeluarkan pada 23 Oktober 2007.

Edisi Definitif[sunting | sunting sumber]

  Pada 21 Ogos 2017, Microsoft mengumumkan satu terbitan ditambah baik berjudul Age of Empires III: Edisi Definitif (Jawi: ءيج ءوف ايمڤايرس III: ايديسي ديفينيتيف) di Gamescom 2017. [24]

Pada 30 Mei 2019, Microsoft mengumumkan bahawa mereka akan membawa semua permainan Edisi Definitif dalam siri Age of Empires ke Steam, dengan menyatakan bahawa lebih banyak maklumat akan dikeluarkan dalam masa terdekat. Edisi Definitif bagi Age of Empires III dikembangkan oleh Tantalus Media, sambil diselia oleh World's Edge, sebuah badan dalaman di bawah Xbox Game Studios.[25]

Pada 23 Januari 2020, Microsoft mengumumkan bahawa program beta tertutup akan bermula pada awal Februari. Setiap sesi beta akan merangkumi sebahagian kecil permainan tersebut. Sesi beta tertutup yang lebih besar akan dikhaskan buat tujuan permainan multipemain. Sesi beta kempen akan terhad kepada sekumpulan pemain yang sangat kecil dan hanya misi tertentu.[26]

Sesi beta tertutup pertama bermula pada 11 Februari 2020 dan berakhir pada 19 Februari 2020.[27][28] Sesi multipemain tertutup kedua bermula pada 31 Mac dan berlangsung hingga 7 April.[29] Permainan penuh dilancarkan pada 15 Oktober 2020. [30]

Age of Empires III: Edisi Definitif membawa grafik 4K yang dikemas kini serta dua pengembangan sebelumnya Age of Empires III: The WarChiefs dan Age of Empires III: The Asian Dynasties. Terbitan ditambah baik ini juga memperkenalkan kandungan baharu dalam bentuk dua tamadun baharu yang dapat dimainkan, Inka dan Sweden, serta kumpulan misi cabaran "Pertempuran Bersejarah" dan "Seni Perang" yang serupa dengan apa yang dilaksanakan di dalam Age of Empires II: Edisi Definitif. [31]

Pek Tambahan Amerika Syarikat[sunting | sunting sumber]

Pada 13 April 2021, pek tambahan yang menambah tamadun Amerika Syarikat diterbitkan.[32]

Pek Tambahan Raja-raja Afrika[sunting | sunting sumber]

Pada 2 Ogos 2021, pek tambahan yang menambah tamadun Etiopia dan Hausa diterbitkan. [33]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

 

  1. ^ "57. Bruce Shelley". ign.com. Diarkibkan daripada yang asal pada March 7, 2017. Dicapai pada April 4, 2017.
  2. ^ ikona (April 28, 2009). "Age of Empires III Marches onto N-Gage". N-Gage. Diarkibkan daripada yang asal pada September 2, 2009. Dicapai pada May 1, 2009.
  3. ^ "Glu Mobile Reveals North American Lineup of Games for the First Quarter of 2009". Glu Mobile Inc. January 22, 2009. Diarkibkan daripada yang asal pada July 3, 2009. Dicapai pada January 23, 2009.
  4. ^ ikona (January 22, 2009). "Age of Empires III for N-Gage". N-gage. Diarkibkan daripada yang asal pada February 5, 2009. Dicapai pada January 23, 2009.
  5. ^ Age DE Team (August 27, 2020). "Pre-Order Age of Empires III: Definitive Edition NOW; Play it on October 15!". Diarkibkan daripada yang asal pada August 29, 2020. Dicapai pada August 28, 2020.
  6. ^ ""Age of Empires III" Expands Into the Eastern World This Fall". Age Community. May 18, 2007. Diarkibkan daripada yang asal pada October 10, 2007. Dicapai pada October 14, 2007.
  7. ^ "2007 sales figures". GameDaily. January 25, 2008. Diarkibkan daripada yang asal pada January 29, 2008. Dicapai pada January 31, 2008.
  8. ^ Age of Empires III Manual, p. 21: "Choosing a civilization".
  9. ^ Butts, Steve (October 14, 2005). "Age of Empires III". IGN. Diarkibkan daripada yang asal pada February 6, 2007. Dicapai pada April 22, 2007.
  10. ^ "Civilizations - Age of Empires III Heaven". Diarkibkan daripada yang asal pada 2016-11-03. Dicapai pada 2009-02-23.
  11. ^ "Home Cities in Age of Empires III". Ensemble Studios. Diarkibkan daripada yang asal pada May 1, 2007. Dicapai pada April 23, 2007.
  12. ^ Phillips, Michael. "Age of Empires III". Inside Mac. Diarkibkan daripada yang asal pada September 2, 2017. Dicapai pada April 23, 2007.
  13. ^ "Home Cities". Heaven Games. Diarkibkan daripada yang asal pada July 2, 2017. Dicapai pada April 23, 2007.
  14. ^ "Basic Strategies". IGN. Diarkibkan daripada yang asal pada May 4, 2007. Dicapai pada April 22, 2007.
  15. ^ "Entry to Bang Engine". Diarkibkan daripada yang asal pada August 20, 2017. Dicapai pada August 6, 2015.
  16. ^ "Age of Empires III". Havok. Diarkibkan daripada yang asal pada October 29, 2006. Dicapai pada November 26, 2006.
  17. ^ "The East Comes to Age of Empires III! - MacSoft Announces "Age of Empires III: The Asian Dynasties" Expansion". Diarkibkan daripada yang asal pada 2009-04-26. Dicapai pada 2009-04-26.
  18. ^ "Technology". Ensemble Studios. Diarkibkan daripada yang asal pada December 2, 2006. Dicapai pada November 26, 2006.
  19. ^ "Dawn of a New Age: Age of Empires III Announced for 2005 Release". Microsoft. January 4, 2005. Diarkibkan daripada yang asal pada May 3, 2006. Dicapai pada November 26, 2006.
  20. ^ "Demo mods". Heaven Games. Diarkibkan daripada yang asal pada November 11, 2006. Dicapai pada November 26, 2006.
  21. ^ "Colonize the Web With the Age of Empires III Fan Site Kit". Diarkibkan daripada yang asal pada 2015-10-29. Dicapai pada 2015-10-29.
  22. ^ ""Age of Empires III" Expansion Pack to Storm Windows PCs in 2006". Ensemble Studios. Diarkibkan daripada yang asal pada November 9, 2006. Dicapai pada November 26, 2006.
  23. ^ Butts, Steve (June 25, 2007). "Age of Empires III: The Asian Dynasties - "We chat with Brian Reynolds about the upcoming expansion"". IGN. Diarkibkan daripada yang asal pada October 7, 2007. Dicapai pada August 17, 2007.
  24. ^ Knezevic, Kevin (August 21, 2017). "Age Of Empires 2 And 3 Remasters Announced". GameSpot. Diarkibkan daripada yang asal pada July 26, 2018. Dicapai pada February 21, 2018.
  25. ^ Calvin, Alex (August 20, 2019). "Gamescom 2019 - Microsoft's new Age of Empires arm isn't a developer, firm overseeing other studios working on IP". PGGamesInsider.biz. Diarkibkan daripada yang asal pada August 20, 2019. Dicapai pada August 20, 2019.
  26. ^ Bailey, Dustin (January 23, 2020). "The Age of Empires 3 Definitive Edition beta starts in February". pcgamesn.com. Diarkibkan daripada yang asal pada January 24, 2020. Dicapai pada January 23, 2020.
  27. ^ @AgeOfEmpires (February 11, 2020). "🏹 #AoE3DE: Incoming, Insiders! First round of invites are out now—sign up as an Insider and keep that profile updated if you'd like your chance at joining our beta! ageofempires.com/insiders" (Twit) – melalui Twitter.
  28. ^ Licidy (February 19, 2020). "Uninstalling the Age of Empires III: Definitive Edition Beta". Diarkibkan daripada yang asal pada March 24, 2020.
  29. ^ @AgeOfEmpires (March 31, 2020). "Prepare your stations: #AoE3DE Beta keys are out! Good luck to you all and remember: check your spam just in case, brush up on the NDA and leave your feedback on the Beta forums. We're counting on you! ⚔️ For a chance at this and other Beta opportunities: ageofempires.com/insiders!" (Twit) – melalui Twitter.
  30. ^ Brown, Fraser (August 28, 2020). "Age of Empires 3: Definitive Edition is coming in October". PC Gamer. Diarkibkan daripada yang asal pada August 30, 2020. Dicapai pada August 28, 2020.
  31. ^ "Age of Empires III: Definitive Edition Release Day Gameplay Changelog". ageofempires.com. October 15, 2020. Dicapai pada October 18, 2020.
  32. ^ Age DE Team (2021-04-13). "Introducing: the United States Civ, new to Age of Empires III: Definitive Edition!". Dicapai pada 2021-04-14.
  33. ^ Age DE Team (2021-07-20). "Pre-Order Age of Empires III: DE – The African Royals NOW!". Dicapai pada 2021-07-28.

Pautan luaran[sunting | sunting sumber]