Ahmad Mahmud
Ahmad Mahmud | |
---|---|
![]() Gambar potret Ahmad bin Mahmud | |
Kelahiran | 17 Mac 1927[1] |
Meninggal dunia | 27 Ogos 2008 | (umur 81)
Sebab kematian | Menderita Penyakit Buah Pinggang |
Dikebumikan | Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Kuala Lumpur |
Pekerjaan | Pelakon, pengarah filem, penerbit filem, penulis lakon layar |
Tahun aktif | 1952–1997 |
Majikan | Malay Film Productions Merdeka Film Productions Sabah Film Productions Ahmad Mahmud Film Productions |
Pasangan | Datin Khatijah Mohamad (2008; kematiannya) |
Anak | 3 |
Anugerah | Ahli Mangku Negara (1987) Pingat Datuk Setia DiRaja, ("Gelaran Datuk" 2005)[2] |
Datuk Ahmad Mahmud (juga dieja Ahmad Mahmood) merupakan seorang pelakon filem berbangsa Melayu yang telah mewarnai bidang perfileman di Malaysia dan Singapura pada era 1950-an hingga 1990-an. Beliau telah dilahirkan di Rembau, Negeri Sembilan pada 17 Mac 1927. Antara filem-filem terkenal lakonan beliau ialah "Iman", "Hang Tuah", "Ibu Mertuaku", "Dayang Senandong", "Isi Neraka", "Raja Bersiong" dan "Lela Manja".[3]
Biografi[sunting | sunting sumber]
Ahmad Mahmud memulakan kerjayanya sebagai pelakon filem di Cathay-Keris Film dengan membintangi dua filem - "Perwira Di Lautan Teduh" yang tidak dapat disiapkan dan "Setia" yang turut dibintangi Rosini. Filem "Setia" berjaya disiapkan tetapi kerana Ho Ah Loke tidak berpuas hati tentang kualitinya dan bimbang akan ketidakmampuannya menghasilkan filem, filem tersebut tidak diedarkan secara meluas, hanya ditayangkan di panggung-panggung kecil saja. Memandangkan di Cathay-Keris Film masa depannya agak gelap, Ahmad Mahmud mencuba nasibnya di Shaw's MFP, Jalan Ampas.
Kedatangannya ke Jalan Ampas dianggap seperti 'melukut di tepi gantang' kerana Tan Sri P. Ramlee sudah berada di kemuncak tambahan pula Yusof Latiff sedang meniti populariti. Pada tahun 1953, bermulalah kerjayanya sebagai pelakon filem di Shaw's MFP apabila V. Girimaji memberi peranan sebagai pelakon pembantu di dalam "Istana Impian" yang turut dibintangi S. Shamsuddin, Neng Yatimah, Aziz Sattar dan Saadiah.
Kekacakan dan ketampanan Ahmad Mahmud telah menarik minat K.M. Basker, lalu diambilnya berlakon sebagai pelakon utama di dalam "Ayer Mata" bersama Rosnani Jamil. Populariti Ahmad Mahmud memuncak apabila pengarah K.R.S. Sastry mengambilnya berlakon di dalam "Iman" (adaptasi dari cerita klasik Jerman, "Faust") yang tidak diduga mendapat sambutan luar dugaan apabila ditayangkan pada pertengahan tahun 1954. Ketampanan Ahmad Mahmud dan kejelitaan Saadiah di dalam "Iman" itu menjadi pujaan ramai dan menjadikan mereka pasangan lakon yang kerap digandingkan bersama iaitu menerusi 15 buah filem.
Pada tahun 1956, beliau melakonkan watak Hang Jebat di dalam filem "Hang Tuah" bersama Tan Sri P. Ramlee. Beliau kemudiannya membintangi satu demi satu filem yang mana boleh dikatakan semuanya mendapat sambutan baik dan mendapat kejayaan box office. Sebagai seniman besar, beliau juga turut diambil berlakon oleh Tan Sri P. Ramlee di dalam filem-filem arahannya - "Ibu Mertua Ku" (sebagai Dr. Ismadi), "Seniman Bujang Lapok" dan "Nasib Si Labu Labi".
Beliau yang telah berlakon di dalam 50 buah filem juga menerima pelbagai anugerah sepanjang hampir setengah abad bergelar sebagai seorang pelakon. Antara filem lakonannya ialah "Iman", "Hang Tuah", "Ibu Mertuaku", "Dayang Senandong", "Isi Neraka", "Raja Bersiong" dan "Lela Manja". Kali terakhir beliau berlakon adalah di dalam drama bersiri yang bertajuk "Bukit Lalang" arahan Mior Hashim Manap pada tahun 1997.
Selain berlakon, beliau juga boleh menyanyi dan kerap juga menggunakan suaranya sendiri di dalam filem-filem lakonannya seperti filem "Isi Neraka" menerusi lagu "Tanda Kasih" (berduet bersama Rahmah Rahmat) dan filem "Sri Andalas" menerusi lagu "Kesetiaan Kasih" (berduet bersama Rafeah Buang).
Apabila MFP melabuhkan tirainya, beliau tidak pergi semula ke Cathay-Keris Film walaupun ramai teman seperjuangannya berbuat demikian. Beliau bertekad mahu mengarah dan mengeluarkan filem sendiri. Setelah lama berlakon, kerjaya beliau beralih arah sebagai pengarah, penerbit, penulis lakon layar asal di dalam empat buah filem iaitu "Mama Oh Mama" (1981), "Dendam Dari Pusara" (1983), "Mei 13" (1984) dan "Komplot" (1984).
Hasil perkongsian hidupnya dengan Datin Khatijah Mohamad, mereka telah dikurniakan dua anak perempuan dan seorang anak lelaki. Beliau telah disahkan menghidapi penyakit buah pinggang pada tahun 2001. Beliau telah menghembuskan nafas terakhirnya pada 27 Ogos 2008 di Kampung Tunku, Petaling Jaya, Selangor ketika berumur 81 tahun. Jenazah beliau telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara.[4]
Filemografi[sunting | sunting sumber]
Sebagai pelakon[sunting | sunting sumber]
Tahun | Tajuk | Watak | Catatan |
---|---|---|---|
1952 | Setia | Filem pertama | |
1953 | Istana Impian | Salim | |
Ayer Mata | Rashid | ||
Mangsa | |||
1954 | Arjuna | ||
Iman | Pak Guru / Roslan | ||
1955 | Insan | Hassan | |
1956 | Ribut | ||
Adekku | |||
Hang Tuah | Hang Jebat | ||
1957 | Kembali Seorang | ||
Seruan Darah | |||
Putera Bertopeng | Tengku Ali | ||
Mogok | Ismail | ||
Taufan | Amir | ||
1958 | Azimat | ||
Matahari | Ahmad | ||
1959 | Puteri Gunong Banang | Wira | |
Raja Laksamana Bentan | Laksamana Andak | ||
1960 | Lela Manja | Raja Muda | |
Megat Terawis | Megat Terawis | ||
Isi Neraka | Adi | ||
1961 | Seniman Bujang Lapok | Doktor | Penampilan khas |
Mas Merah | Awang Sulong | ||
Sri Tanjung | |||
1962 | Gerhana | Karim | |
Ibu Mertua Ku | Doktor Ismadi | ||
Siti Muslihat | Tengku Abdullah / Panjang | ||
1963 | Kasih Tanpa Sayang | ||
Korban | |||
Jeritan Batin | |||
Nasib Si Labu Labi | Pengadil Ratu Kebaya | Penampilan khas | |
1964 | Dupa Cendana | Dupa | |
1965 | Pusaka Pontianak | Safrudin | |
Dayang Senandong | Raja Kamaruzaman | ||
1966 | Anak Buluh Betong | Panglima Lintah | |
Sri Andalas | Tengku Mahkota Andalas Putera | ||
1967 | Raja Bersiong | Raja Ong Maha Perita Deria | |
Jebak Maut | |||
Antara Dua Nisan | |||
1968 | Teratai | ||
1969 | Lanang Sejagat | Sitara | |
Tunggal | |||
1980 | Kisah Seorang Biduan | ||
1981 | Mama Oh Mama | ||
1983 | Dendam Dari Pusara | Dolah | |
Ranjau Sepanjang Jalan | Lahuma | ||
1984 | May 13 | ||
Komplot | Filem terakhir |
Sebagai pengarah[sunting | sunting sumber]
Tahun | Tajuk |
---|---|
1967 | Antara Dua Nisan |
1981 | Mama Oh Mama |
1983 | Dendam Dari Pusara |
Ranjau Sepanjang Jalan | |
1984 | May 13 |
Komplot |
Drama[sunting | sunting sumber]
Tahun | Tajuk | Watak | Saluran TV |
---|---|---|---|
1997 | Bukit Lalang | Astro Prima |
Diskografi[sunting | sunting sumber]
Lagu[sunting | sunting sumber]
- Tanda Kasih (berduet bersama Rahmah Rahmat)
- Kesetiaan Kasih (berduet bersama Rafeah Buang)
Anugerah dan pencapaian[sunting | sunting sumber]
- Pingat Ahli Mangku Negara (AMN) pada tahun 1987.
- Pingat Datuk Setia DiRaja yang telah membawa gelaran "Datuk" pada tahun 2005.[5]
- Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik (FFM) menerusi filem Dendam Dari Pusara di Festival Filem Malaysia ke-4 pada tahun 1983.
- Anugerah Pelakon Lelaki Sepanjang Zaman di Festival Filem Malaysia ke-17 pada tahun 2004.
Bibliografi[sunting | sunting sumber]
- Ahmad Mahmood : Bintang Di Langit Seni, keluaran Finas, hasil karangan Mohamad Saleeh Rahamad dan diterbitkan pada tahun 2010.
Rujukan[sunting | sunting sumber]
- ^ Datuk Ahmad Mahmood (Telah Meninggal Dunia 27 Ogos 2008) Sinema Malaysia
- ^ Datuk Ahmad Mahmud is A Role Model to All, (1926-2008), Oleh: hafiah@nst.com.my
- ^ Datuk Ahmad Mahmood
- ^ Ahmad Mahmud Pergi Di Sisi Keluarga
- ^ http://malaysiacinema.blogspot.com/2009/09/actor-ahmad-mahmud.html Datuk Ahmad Mahmud is A Role Model to All, (1926-2008), Oleh: hafiah@nst.com.my