Ahmad Shafie bin Haji Muhammad Amin

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Tuan Guru

Haji Mat Shafie Losong
Kelahiran
Haji Ahmad Shafie bin Haji Muhammad Amin

1862 (1862)
Meninggal dunia5 September 1945(1945-09-05) (umur 82–83)
DikebumikanMasjid Kampung Losong Haji Mat Shafie, Kuala Terengganu
PendidikanPondok Terusan, Losong
Terkenal keranaPondok Kampung Losong, Terengganu

Haji Ahmad Shafie bin Haji Muhammad Amin atau lebih dikenali sebagai Tuan Guru Haji Mat Shafie Losong ialah seorang tuan guru pondok di Terengganu, yang berasal dari Kedah.

Kehidupan[sunting | sunting sumber]

Haji Mat Shafie dilahirkan pada tahun 1862 di Kampung Kuala Kangkong, Simpang Empat, Kedah. Beliau berasal dari keluarga yang alim.Bapanya ialah Tuan Guru Haji Muhamad Amin, anak kepada Syeikh Abdul Rahman yang digelar Tok Suboh, anak kepada Syeikh Ahmad al-Zabidi, seorang ulama Hadramaut yang terkenal[1]. Abad dan adiknya juga merupakan ulama rujukan masyarakat, iaitu Tuan Guru Haji Mohd Tahir, ulama di Pantai Remis, Perak; dan Tuan Guru Haji Omar Merbok, ulama di Merbok, Kedah.

Salah seorang anak saudara yang terkenal ialah Tuan Guru Haji Nawawi Haji Tahir, yang menjadi pencetus penubuhan Madrasah Idrisiah Kuala Kangsar, Perak[2].

Pendidikan[sunting | sunting sumber]

Setelah mendapat pendidikan asas dari kalangan keluarganya di Kedah, Haji Mat Shafie berhijrah ke Terengganu pada tahun 1885 untuk mendalami ilmu agama. Pondok yang pertama beliau masuki ialah Pondok Terusan di Losong, Kuala Terengganu. Beliau juga sempat menuntut ilmu dengan Sayid Abdul Rahman Al-Idrus atau Tok Ku Paloh[3]. Antara guru beliau yang lain ialah Tuan Guru Haji Abdul Hamid Terusan, Tuan Guru Haji Abdul Latif Tok Qadi Losong, dan Sayid Mustafa Al-Idrus atau Tok Ku Tuan Dalam, adik Tokku Paloh.

Beliau bersahabat baik dengan Tok Kenali dan Tuan Hussien Kedah al-Banjari. Haji Mat Shafie pernah berlayar ke Mekah bersama-sama Tuan Hussien Kedah.

Membuka madrasah[sunting | sunting sumber]

Haji Mat Shafie ialah seorang ahli tasawuf pengamal Tarekat Syatariah. Beliau pakar di dalam ilmu fiqh dan mengamalkan ratib al-Haddad. Beliau ada membina sebuah rumah kecil berdekatan masjidnya untuk berkhalwat dan beribadat. Selain ilmu fiqh, beliau juga sangat alim di dalam ilmu tasawuf sehinggakan Tok Kenali pernah berkata :

"Tidak ada orang lain (di zaman itu) yang lebih dalam ilmu tasawwufnya dari Haji Mat Shafie Losong"

Atas permintaan gurunya Tokku Tuan Dalam, Haji Mat Shafie telah mendirikan sebuah pondok pengajian di Losong yang terletak di Kuala Terengganu pada 1891 di atas rumah wakaf Tokku Tuan Dalam[3]. Rumah tersebut telah dibangunkan menjadi sebuah madrasah dan masjid. Para pelajarnya datang dari pelbagai daerah di seluruh Nusantara. Antaranya daripada Aceh, Patani, Kedah dan Kelantan. Pondok Kampung Losong pernah menerima zaman kegemilangannya pada tahun 1930 apabila jumlah pelajar mencapai ratusan orang.

Selepas kewafatan Mat Shafie Losong pada tahun 1945, peneraju pondok diamanahkan kepada cucu menantunya iaitu Tuan Guru Haji Mat Teresat (1908-1985) sehingga 1985. Setelah Tuan Guru Haji Mat Teresat wafat, anak ketiganya Tuan Guru Haji Ghazali Bin Haji Ahmad (1946-2012) pula mengambil alih pentadbiran sehingga tahun 2003.

Pondok Losong pernah dinaik taraf menjadi lebih luas dan besar apabila pondok asal dinaikkan menjadi tingkat kedua dan ketiga. Malangnya pembinaan tersebut tergendala tetapi binaan asal pondok masih ada sebagai bukti sejarah penyebaran ilmu di Kuala Terengganu.

Meninggal dunia[sunting | sunting sumber]

Tuan Guru Haji Mat Shafie meninggal dunia pada 5 September 1945 bersamaan 28 Ramadan 1364H ketika berusia 83 tahun. Jenazahnya dikebumikan di belakang Masjid Kampung Losong, Kuala Terengganu, Terengganu[1].

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b Farahi Kamaruddin (16 Mei 2019). "Haji Mat Shafie: Pelopor Pengajian Pondok Di Kampung Losong". The Patriots. Dicapai pada 7 Ogos 2021.
  2. ^ Freddie Aziz Jasbindar (7 Januari 2019). "Kenali Guru Agama Kepada Lima Sultan Perak". OrangPerak.com. Dicapai pada 7 Ogos 2021.
  3. ^ a b "Al-Habib Abdul Rahman bin Muhammad Al-Aidrus (Tok Ku Paloh – Terengganu)". Thariqat dan Tasawwuf. 10 September 2019. Dicapai pada 7 Ogos 2021.
  • TOKOH-TOKOH ULAMA' SEMENANJUNG MELAYU (1), Ismail Che Daud, Percetakan ZulRahim Sdn. Bhd., ISBN 983-2391-00-8