Ainuddin Abdul Wahid

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Ainuddin Wahid)
Pergi ke navigasi Pergi ke carian

Ainuddin Abdul Wahid

PSM; SPMJ (Johor); JMN, AMN
Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia pertama
Dalam jawatan
1975–1989
Canselor
Digantikan oleh
  • Prof. Dato' Ir. Dr. Muhammad Ridzuan Haji Salleh
Butiran peribadi
Lahir(1929-11-03)3 November 1929
Teluk Anson, (kini Teluk Intan), Perak, British Malaya (kini Malaysia)
Meninggal dunia18 Mei 2013(2013-05-18) (umur 83)
Ampang, Selangor, Malaysia
Tempat persemadianTanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, Kuala Lumpur
PasanganPuan Sri Rahmah Abdul Hamid (m. 1989)
Anak-anak2
Alma materUniversiti Bristol
Universiti Ohio State

Tan Sri Dato' Ainuddin bin Abdul Wahid (3 November 1929 – 18 Mei 2013) merupakan Naib Canselor pertama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Jalan Semarak, Kuala Lumpur. Beliau telah memberi sumbangan yang besar kepada bidang pendidikan di Malaysia. Pada tahun 2000, beliau telah menerima Anugerah Maal Hijrah 1421.[1][2]

Biografi[sunting | sunting sumber]

Kehidupan awal[sunting | sunting sumber]

Ainuddin dilahirkan pada 3 November 1929 bersamaan 30 Jamadil Awal 1348H di Teluk Intan, Perak. Ibunya bernama Rahmah binti Mohd. Hassan, pernah bertugas sebagai seorang guru di Sekolah Melayu Teluk Anson. Bapanya Abdul Wahid bin Badu pula merupakan seorang Guru Besar lepasan Maktab Perguruan Matang, Perak, manakala datuknya adalah bekas seorang guru di Sekolah Melayu Teluk Anson, sekarang Teluk Intan. Datuknya ini pernah menjadi pembantu kepada Sheikh-ul-Islam Negeri Perak yang pertama dan terakhir sehingga bersara.

Datuk sebelah emaknya pula pernah bersekolah dasar di Medan, Sumatera iaitu sebelum ia berhijrah ke Malaysia. Sebenarnya keluarga ibu bapanya berasal daripada keturunan Mandailing di Sumatera. Beliau merupakan anak sulung daripada lima orang adik-beradik tetapi dua orang adiknya telah meninggal dunia. Adiknya yang masih hidup juga menceburi bidang pendidikan, iaitu Datuk Profesor Zainal Abidin, merupakan bekas Profesor Sejarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Cik Abrizah adalah seorang pesara yang pernah memegang jawatan Guru Besar di Kuala Lumpur.

Berasaskan latar belakang keluarga yang berpendidikan itu, Tan Sri Ainuddin dan adik-adiknya boleh dianggap lebih beruntung daripada kanak-kanak lain. Asas-asas literasi dan agama telah diberikan dari awal lagi oleh ibu bapa. Apa yang diperolehi daripada ibu bapa dlperkukuhkan oleh datuk dan nenek beliau yang meletakkan asas-asas pendidikan agama secara mengaji dalam kelas-kelas Al-Quran mahupun secara lisan dengan menyebarkan cerita-cerita Nabi.

Tidak banyak yang boleh ditulis tentang proses sosialisasi dan interaksi beliau dengan ibu bapanya kerana kedua-duanya meninggal dunia ketika beliau masih kanak-kanak lagi. Ibunya meninggal pada tahun 1938 ketika beliau mencecah usia sembilan tahun, manakala bapanya meninggal empat tahun kemudian dalam tahun 1942. Oleh yang demikian, maka pengaruh asuhan ibu bapanya berhenti sewaktu beliau masih kecil lagi.

Pendidikan Awal[sunting | sunting sumber]

Beliau mendapat pendidikan awal atau rendah di Sekolah Melayu Laki-Laki Teluk Anson (Teluk Intan), Perak. Semenjak dari kecil di sekolah rendah, beliau sudah mula menunjukkan minat dalam bidang kejuruteraan, walaupun pada ketika itu beliau belum memahami atau mengerti sepenuhnya apakah bidang kejuruteraan. Seterusnya beliau melanjutkan pelajarannya ke peringkat menengah atas di Anglo-Chinese School, Ipoh.[2][3]

Pada tahun 1951, beliau berjaya mendapat biasiswa daripada kerajaan Perak untuk melanjutkan pelajaran ke England dalam jurusan Sains Kejuruteraan. Ainuddin berjaya mendapatkan kelulusan Ijazah Sarjana Muda (B. Sc) dalam bidang Kejuruteraan Awam dari Universiti Bristol pada tahun 1956. Pada tahun 1961 hingga 1962, beliau telah mengikuti kursus khas lepasan ijazah dalam bidang Kejuruteraan Lebuhraya atau Kejuruteraan Jalan Raya dan Lalulintas di Ohio State University, Amerika Syarikat, melalui anugerah Fellowship of The International Road Federation, Washington.[2]

Beliau pernah memegang jawatan Presiden Persatuan Pelajar Malaya dan Singapura di Bristol pada 1953 hingga 1955, dan merupakan ahli majlis Institut Kejuruteraan Malaysia pada 1975 hingga 1977.[2]

Kerjaya, Sumbangan dan UTM[sunting | sunting sumber]

Ainuddin adalah merupakan anak Melayu yang pertama dilantik sebagai Pengetua Maktab Teknik Kuala Lumpur (MTKL) pada tahun 1969.[1][2][4]

Beliau memainkan peranan penting dalam mentranformasi Maktab Teknik Kuala Lumpur (MTKL) kepada Institut Teknologi Kebangsaan pada 1972 sebelum dinaik taraf kepada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) tiga tahun kemudian. Beliau merupakan perintis kepada penubuhan dua kampus UTM di Kuala Lumpur dan Skudai, Johor yang sehingga kini telah mengeluarkan seramai 124,000 graduan.[1][4][5]

Jasa dan pengorbanan beliau dalam bidang pendidikan sangat memberi kesan yang positif kepada pembangunan pendidikan negara yang pesat. Antaranya Allahyarham merupakan "individu pertama di Malaysia yang meletakkan lanskap universiti bercirikan Islam" serta memperkenalkan mata pelajaran Pendidikan Islam dan moral di peringkat universiti. Tambahan pula, beliau bersama Tan Sri Dato’ Prof. Emeritus Dr. Mohd Rashdan Baba telah memperkenalkan Sistem Prelim iaitu untuk tujuan mengimbangi komposisi antara kaum di Maktab Teknik dalam usaha melahirkan lebih ramai jurutera Melayu.[6][7]

Sumbangan beliau dalam bidang pendidikan amat besar antaranya, mengubah syarat kemasukan pelajar Melayu ke maktab, iaitu menetapkan mata pelajaran Sains dan Matematik menjadi syarat utama, manakala bahasa Inggeris menjadi syarat kedua berikutan hasil rundingan beliau dengan Kementerian Pendidikan dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Hasilnya, beliau berjaya membawa masuk seramai 95 peratus pelajar Melayu.

Allahyarham adalah merupakan antara ‘orang penting’ yang mencetuskan idea penubuhan Yayasan Selangor bersama beberapa tokoh-tokoh yang lain seperti Allahyarham Dato’ Seri Harun Idris. Ainuddin juga merupakan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Selangor yang terawal. Allahyarham, anak kelahiran Teluk Intan, Perak turut dikenali sebagai 'orang kuat' di sebalik penubuhan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).[1][5][8]

Ketika di UTM, beliau pernah bertindak tegas terhadap beberapa pelajar UTM termasuk Ahmad Lutfi Othman.[7]

Biografi beliau ditulis oleh penulis DBP merangkap karyawan tamu UTM, Datin Seri Fatini Yaakob. Beliau merupakan seorang tokoh nasionalis yang menjadi inspirasi buku "Ainuddin Pejuang Degil Melayu" oleh Datin Seri Fatini Yaacob. Buku ini turut dilancarkan pada awal tahun 2011 di Menara Yayasan Selangor Petaling Jaya yang dirasmikan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak.[1][4][9][10]

Sektor swasta[sunting | sunting sumber]

Di sektor swasta, beliau pernah menjadi Pengarah Sapura Telecommunications Bhd (Sapura Telecoms) dan Pengarah Cement Industries of Malaysia.[5]

Ijazah kehormat[sunting | sunting sumber]

Beliau telah menerima pelbagai anugerah antaranya, Sri Paduka Mahkota Johor (1978), Panglima Setia Mahkota (1975), Johan Mangku Negara (1972), Ahli Mangku Negara (1969).[11]

Beliau juga merupakan telah menerima Ijazah Kehormat Doktor Pendidikan sempena konvokesyen Universiti Malaya (1992), Doktor Kehormat Kejuruteraan daripada UTM (1992) serta Ijazah Kehormat oleh University of Strarhclyde, United Kingdom (1989). Selain itu, beliau juga dianugerahi Tokoh Maal Hijrah 1421H/2000M serta Tokoh GPMS pada tahun yang sama.[5][11]

Meninggal dunia[sunting | sunting sumber]

Tan Sri Ainuddin Wahid telah kembali ke rahmatullah pada 18 Mei 2013 tepat jam 5.25 petang waktu tempatan di kediaman beliau di Taman Tunku Abdul Rahman (TAR), Ampang kerana sakit tua.[1][10]

Allahyarham meninggalkan anak sulungnya, Saifuddin dan seorang anak perempuan, Aida. Isteri beliau iaitu Puan Sri Rahmah Abdul Hamid telah meninggal dunia pada 1989.[9]

Tempat dan anugerah yang dinamakan sempena nama beliau[sunting | sunting sumber]

  • Biasiswa Tan Sri Ainuddin Wahid.[4][12]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b c d e f "salinan arkib". Diarkibkan daripada yang asal pada 2017-10-14. Dicapai pada 2017-10-14.
  2. ^ a b c d e "salinan arkib". Diarkibkan daripada yang asal pada 2017-10-15. Dicapai pada 2017-10-15.
  3. ^ http://aba5002.blogspot.my/p/sejarah.html
  4. ^ a b c d http://www.pmo.gov.my/home.php?menu=speech&page=1908&news_id=526&speech_cat=2
  5. ^ a b c d http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2013/05/28/tokoh-pendidikan-tan-sri-ainuddin-wahid-meninggal-dunia/
  6. ^ https://bibliotheca.limkitsiang.com/1987/08/26/dap-calls-on-the-education-minister-anwar-ibrahim-to-remove-tan-sri-ainuddin-wahid-as-university-technologi-malaysia-vice-chansellor-for-challenging-the-4555-ratio-for-university-intake-or-students/
  7. ^ a b "salinan arkib". Diarkibkan daripada yang asal pada 2017-10-14. Dicapai pada 2017-10-14.
  8. ^ http://www.astroawani.com/berita-malaysia/tokoh-pendidikan-tan-sri-ainuddin-wahid-meninggal-dunia-15143
  9. ^ a b "salinan arkib". Diarkibkan daripada yang asal pada 2017-10-14. Dicapai pada 2017-10-14.
  10. ^ a b http://www.malaysiandigest.com/news/115572-educationist-tan-sri-ainuddin-wahid-dies.html
  11. ^ a b https://www.facebook.com/pkkm.um/posts/1916124335278286:0
  12. ^ "salinan arkib". Diarkibkan daripada yang asal pada 2017-10-14. Dicapai pada 2017-10-14.