Air Terjun Sekayu

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Hutan Lipur Sekayu atau lebih dikenali juga dengan Air Terjun Sekayu terletak di dalam kawasan hutan simpanan Hulu Terengganu Tambahan. Ia berada di dalam daerah Hulu Terengganu, Terengganu, 16 kilometer dari pekan Kuala Berang dan 56 kilometer dari bandar Kuala Terengganu. Kawasan ini boleh dicapai melalui persimpangan Ajil Lebuh Raya Pantai Timur.

Hutan lipur tersebut mempunyai keluasan lebih kurang 405 hektar. Pelbagai spesies tumbuhan dan pokok terdapat di hutan ini termasuklah pokok-pokok yang mempunyai khasiat perubatan yang tinggi. Di sini juga terdapat infrastruktur dan kemudahan-kemudahan rekreasi yang telah disediakan pihak berkuasa seperti tempat penginapan, taman permainan kanak-kanak, pondok rehat, tempat berkhemah dan denai dalam hutan (untuk rentas hutan). Bayaran masuk dikenakan kepada pengunjung.

Keunikan hutan lipur ini ialah terdapat sebuah air terjun 3 peringkat yang cantik dan mempesonakan yang merupakan daya tarikan utama kepada pengunjung ke sini tidak kira pengunjung dari dalam atau luar negeri. Air sungainya yang jernih dan sejuk membuatkan sesiapa sahaja tertarik apabila datang berkunjung ke sini.

Insiden[sunting | sunting sumber]

Pelajar hilang[sunting | sunting sumber]

Pada 2014, seorang pelajar tingkatan empat dari Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud, Terengganu, Ahmad Rafikin Azman telah dilaporkan hilang setelah dia tidak menamatkan perlumbaan Maraton Gunung Gajah Terom, sebelum bapanya Azman Othman memaklumkan kepada pihak penganjur dan kemudiannya membuat laporan polis pada hari yang sama. Mayat pelajar Tingkatan Empat itu ditemui kira-kira pada jam 3.30 petang di mana ia tersepit antara celah batu di kawasan yang terdapat sungai mengalir, tidak jauh dari trek perlumbaan.[1] Trek perlumbaan itu difahamkan bahawa ia tidak pernah digunakan sebelum ini dan tahap keselamatan di trek itu sangat berbahaya. Mayat Ahmad Rafikin dikebumikan awal pagi pada 5 November 2014.[2] Keluarga mangsa juga merayu agar memberhentikan penyebaran gambar dan berita palsu mengenai kematian anaknya di dalam laman media sosial.[3]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Zaid Salim; Nazdy Harun (5 November 2014). "Rafikin 'muncul' berkat azan". Harian Metro. New Straits Times Press – melalui KLiK.CS1 maint: multiple names: authors list (link)
  2. ^ BERNAMA (5 November 2014). "Pelajar hilang di Hutan Lipur Sekayu mati akibat lemas - Polis". Berita Harian. New Straits Times Press. Dicapai pada 5 September 2021.
  3. ^ Noor Aznida Alias. "Henti sebar gambar, berita palsu di FB". Berita Harian. New Straits Times Press. Dicapai pada 7 September 2021 – melalui KLiK.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]