Akar kata

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Akar kata ialah unit leksikal utama bagi sesuata perkataan. Ia menyampaikan aspek-aspek kandungan semantik yang paling penting dan tidak dapat dipecahkan lagi kepada unsur-unsur juzuk yang lebih kecil. Kata isi dalam hampir semua bahasa mengandungi dan boleh terdiri hanya daripada morfem akar. Bagaimanapun, istilah "kata akar" kekadang juga digunakan untuk memerikan perkataan tanpa akhiran fleksi, tetapi dengan akhiran leksikal pada tempatnya. Misalnya, chatters dalam bahasa Inggeris mempunyai akar fleksi atau lema, chatter, tetapi akar leksikalnya ialah chat. Akar fleksi sering digelar kata dasar, dengan erti kata "akar" yang paling ketat mungkin dapat dianggap sebagai kata dasar monomorfem.

Takrif tradisional membenarkan akar kata bersifat morfem bebas mahupun morfem terikat. Morfem akar diperlukan untuk tujuan penambahan dan kata majmuk. Bagaimanapun, untuk bahasa polisintetik yang mempunyai tahap morfologi fleksi yang amat tinggi, istilah "akar kata" umumnya bersinonim dengan "morfem bebas". Banyak bahasa sebegini mempunyai bilangan morfem yang dapat wujud bersendirian sebagai perkataan yang sangat terhad, misalnya, bahasa Yup'ik tidak mempunyai melebihi 2,000 akar kata.

Akar kata ialah unit makna (morfem) dan justera, ia merupakan suatu konsep yang abstrak, walaupun ia biasa dapat dilambangkan dalam tulisan sebagai perkataan. Misalnya, akar kata untuk bentuk kata kerja, running, boleh dikatakan run, dengan akar kata untuk adjektif superlatif Sepanyol, amplísimo, merupakan ampl- kerana perkataan-perkataan itu jelas diterbitkan daripada bentuk akar kata melalui akhiran yang mudah yang langsung tidak mengubah akar kata itu. Khususnya, bahasa Inggeris tidak mempunyai banyak fleksi dan lantaran itu, ia cenderung mempunyai perkataaan yang serupa dengan akar katanya. Bagaimanapun, fleksi yang lebih rumit, serta proses-proses yang lain, boleh mengaburkan akar katanya, misalnya akar kata untuk mice dalam bahasa Inggeris ialah mouse (masih merupakan suatu perkataan yang sah), dan akar kata untuk interrupt, berdasarkan logik, boleh dikatakan sebagai rupt. Bagaimanapun, rupt bukan perkataan dalam bahasa Inggeris dan hanya muncul dalam bentuk terbitan, misalnya disrupt, corrupt, rupture, dan sebagainya. Akar kata rupt ditulis seolah-olah ia merupakan sebuah perkataan, tetapi ia bukan.

Pembezaan antara perkataan sebagai "unit pertuturan" dan perkataan sebagai "unit makna" menjadi lebih penting dalam kes bahasa-bahasa yang akar katanya mempunyai banyak bentuk yang berbeza apabila digunakan dalam perkataan sebenar, misalnya dalam kes bahasa Semitik. Dalam kes tersebut, akar-akar kata dibentuk hanya daripada konsonan sahaja, dengan perkataan-perkataan yang berbeza (tergolong dalam golongan kata yang berbeza) diterbitkan daripada akar kata yang sama menerusi penyisipan vokal. Misalnya, dalam bahasa Ibrani, akar kata gdl melambangkan gagasan "besar" dan daripada itu, kita mendapatkan:

  • gadol dan gdola (bentuk maskulin dan bentuk feminin untuk adjektif, "besar");
  • gadal ("dia dibesarkan");
  • higdil ("dia membesar-besarkan"); dan
  • magdelet ("penggadang atau alat pembesar");

bersama-sama dengan banyak perkataan yang lain seperti godel ("saiz") dan migdal ("menara").

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]