Aksara Pantas

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Aksara Pantas
Quikscript, Quickscript, Kwikscript, Kwikskript, Read Alphabet, Second Shaw Alphabet[1]
Jenis
Alfabet
BahasaBahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain
PenciptaKingsley Read
Tarikh cipta1966
Halaman depan panduan aksara Pantas. Teks aksara Pantas mengata, "Ini ialah cara melakukannya."

Aksara Pantas (juga dikenali sebagai Alfabet Read[2] dan Syawi Kedua ialah sebuah alfabet (dan ortografi fonemik) yang direka khas untuk bahasa Inggeris. Aksara Pantas menggantikan ortografi Inggeris tradisional, yang menggunakan aksara Rumi, dengan huruf yang baharu sepenuhnya. Ia berbentuk biasa dari segi fonemik, padat, dan direka untuk ditulis dengan selesa dan pantas. Terdapat juga huruf aksara Pantas yang disesuaikan untuk bahasa lain, menggunakan huruf yang sama untuk bunyi yang tidak terdapat dalam bahasa Inggeris .

Asal dan sejarah[sunting | sunting sumber]

George Bernard Shaw, seorang penulis, pengkritik, dan penulis drama, sangat lantang mengkritik sistem ejaan Inggeris kerana tidak mempunyai padanan yang secocok mewakili fonem bahasa Inggeris dengan tepat. Hasilnya, sudah bertahun-tahun beliau menulis karya sasteranya menggunakan Trengkas Pitman. Walau bagaimanapun, beliau mendapati trengkas tersebut mempunyai had-had yang juga mengecewakan dan menyedari bahawa ia bukan pengganti sesuai untuk aksara Latin, kerana sukar digunakan untuk menghasilkan bahan cetakan dan mustahil untuk ditaip. Trengkas adalah, menurut definisi, lebih khusus daripada alfabet, yang mewakili bentuk tulisan piawai sesuatu bahasa. Shaw teringin akan penyusunan semula bahasa Inggeris bertulis yang fonetik dan menganjurkannya sepenuh hati, maka perlulah aksara baharu diciptakan.[3]

Untuk menyatawikan perkara itu, Shaw meletakkan dalam wasiatnya peruntukan yang memerintahkan pelaksananya untuk mengaturkan pertandingan sejagat untuk mereka aksara yang lebih baik untuk bahasa Inggeris. Seorang pereka dari Britain, Ronald Kingsley Read, yang telah banyak berkomunikasi dengan Shaw selama beberapa tahun mengenai aksara tersebut, dipilih bersama dengan tiga peserta akhir lain sebagai pemenang pertandingan tersebut.[4] Read telah dipilih untuk merekabentuk rupabentuk muktamad aksara tersebut. "Aksara Shaw", atau "aksara Syawi", seperti yang kini dikenali umum, ialah hasilnya.

Untuk mengadakan ujian lapangan terhadap aksara baharu tersebut, Read mengaturkan fasa pengujian awam yang lama untuk aksara Syawi yang melibatkan kira-kira 500 pengguna dari seluruh dunia yang menutur pelbagai dialek bahasa Inggeris. Setelah beliau menganalisis hasil ujian tersebut, Read memutuskan untuk menyemak semula aksara Syawi untuk memasukkan sejumlah perubahan untuk memperbaiki aksara tersebut dan membuatnya lebih mudah dan cepat untuk ditulis. Dia memanggil aksara yang disemak semula itu sebagai "aksara Pantas" (Quikscript). Pada tahun 1966, dia menerbitkan buku panduan aksara Pantas yang menjelaskan alasan kewujudan aksara tersebut, dan secara ringkas membincangkan pelbagai kemungkinan kaedah pembaharuan aksara. Bahagian utama panduan ini memberikan arahan yang komprehensif mengenai penggunaan aksara tersebut bersama dengan contoh bahan bacaan.

Penerangan[sunting | sunting sumber]

Carta huruf aksara Pantas dengan nama untuk semua huruf dan ligatur.

Setiap huruf aksara Pantas mewakili hanya satu fonem Bahasa Inggeris. Terdapat 25 konsonan dan 15 vokal, iaitu berjumlah 40 huruf. Huruf-huruf itu juga direkabentuk untuk ditulis dengan mudah dan setiap daripadanya hanya memerlukan satu coretan pen.

Sama seperti aksara Rumi,

  1. Terdapat huruf pendek: a, c, e, m, dan n, yang ditulis antara garis penulisan dasar dan garis atas selarinya.
  2. Huruf tinggi: b, d, f, k, dan t, yang meninggi ke atas bahagian atas huruf pendek.
  3. Huruf dalam: g, j, p dan y, yang turun di bawah garis penulisan dasar.

Walau bagaimanapun, aksara Pantas memanfaatkan ciri-ciri huruf ini dengan lebih baik dengan menggunakan 11 huruf tinggi, 11 huruf dalam, dan 18 huruf pendek. Semua huruf vokal adalah huruf pendek, sama seperti huruf aksara Rumi. Fonem yang paling lazim mempunyai bentuk huruf yang paling mudah. Fonem berbunyi mirip mempunyai bentuk huruf yang mirip. Contohnya:

  • Vokal panjang dan geluncuran ditulis dengan lengkung atau gelung yang lebih besar, sementara vokal pendek mempunyai bentuk yang lebih mudah.
  • Setiap konsonan bersuara ditulis dengan huruf dalam yang serupa bentuknya dengan konsonan tanpa suara yang sesuai yang ditulis dengan huruf tinggi.

Walaupun aksara Rumi mempunyai dua bentuk yang berbeza dalam penggunaan umum yang ditetapkan sebagai huruf kecil dan besar, konsep ini tidak ada dalam aksara Pantas. Hanya ada satu bentuk untuk kebanyakan huruf. Nama dan kata nama khas didahului dengan titik tengah (dipanggil titik pengekhasan) yang cukup untuk membezakannya daripada perkataan biasa.

Pemula belajar aksara Pantas Muda (Junior Quikscript) terlebih dahulu. Setiap perkataan dieja "seperti disebut". Setiap huruf ditulis secara berasingan dari yang berikutnya sehingga mirip seperti sesuatu yang dipanggil "percetakan" dalam aksara Rumi. Sebilangan orang mungkin memilih aksara Pantas Muda untuk teks bercetak kerana pembaca terbiasa dengan aksara Rumi yang dicetak dengan cara itu.

Aksara Pantas Tua (Senior Quikscript) pula memperkenalkan beberapa teknik termaju yang dapat menjimatkan masa dalam penulisan. Perbezaan yang paling jelas antara kedua-duanya ialah aksara Pantas Tua menggalakkan penyambungan suatu huruf ke huruf yang lain selagi bentuk huruf tidak diubah. Reka bentuk aksara mendorong penyambungan semula jadi ini, kerana setiap huruf aksara Pantas bermula atau berakhir pada garis dasar atau garis atas selarinya. Struktur ini membenarkan huruf-huruf untuk disambungkan dengan mudah namun mengekalkan bentuk huruf masing-masing kerana tiada cantuman antara huruf seperti yang terdapat dalam tulisan Rumi kursif.

Adalah lazim bahawa penulisan Pantas Tua akan mempunyai beberapa huruf berturut-turut yang saling bersambung, tetapi apabila sambungan tidak munasabah, huruf-huruf itu hanya dibiarkan tidak bersambung. Read menambah sebilangan kecil bentuk huruf silihan, yang membolehkan lebih banyak huruf dapat disambungkan dengan mudah. Ini adalah pilihan penulis sama ada mahu menggunakannya atau tidak.

Aksara Pantas Tua juga memperkenalkan konsep huruf separuh. Read telah mengenalpasti bahawa bahagian belah atas beberapa huruf tinggi dan bahagian belah bawah beberapa huruf dalam jelasnya membezakan huruf-huruf tersebut. Oleh itu, bahagian batang menegak huruf-huruf yang terletak di antara garis dasar dan garis atas selarinya dapat dibuang tanpa menjejaskan kemudahbacaan. Penggunaan huruf separuh dapat meningkatkan bilangan huruf yang boleh saling bersambung.

Ini menghasilkan beberapa faedah:

  1. Mempercepat tulisan tangan kerana kurang keperluan mengangkat pen.
  2. Aksaranya mempunyai penampilan yang lebih kursif dan gemalai, lantas kelihatan menarik dari segi kesenian.
  3. Meningkatkan kebolehlainan bentuk kata.

Pembaca yang lancar tidak membunyikan perkataan huruf demi huruf. Mereka mengenali bentuk kata kebiasaan tanpa memikirkan huruf-huruf individu. Apa-apa yang meningkatkan ketersendirian bentuk kata harus meningkatkan kemudahbacaan aksara dan purata kelajuan membaca. Penggunaan huruf separuh aksara Pantas Tua menghasilkan bentuk kata yang lebih berlainan dan tersendiri berbanding aksara Pantas Muda, yang boleh memudahkan kelancaran membaca dalam aksara Pantas dan akhirnya menghasilkan kelajuan membaca yang lebih cepat. Sekiranya ini terbukti benar dalam penggunaan sebenar, maka ia harus menggalakkan penggunaan aksara Pantas Tua dalam teks bercetak dan bukannya aksara Pantas Muda.

Aksara Pantas Tua juga memperkenalkan sejumlah singkatan untuk perkataan Inggeris yang paling lazim, yang penulis boleh pilih untuk gunakan. Hal ini mengurangkan keperluan ruang untuk bahan bercetak dan juga mengurangkan kosnya.

Rujukan dalam sastera[sunting | sunting sumber]

Buku kedua daripada "Buku Bergambar Lucu Cole" (Cole's Funny Picture Books) yang terkenal, diterbitkan di Australia oleh E. W. Cole pada akhir abad ke-20, disemak semula pada tahun 1979 untuk memasukkan rencana yang memperkenalkan aksara Pantas dengan nama "Shaw Kedua" (Second Shaw).

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Quikscript Outpost "History", 21 April 2019. Retrieved on 6 February 2021.
  2. ^ "QuikScript groups.io Group". groups.io (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2020-01-26.
  3. ^ Wilson, Richard Albert (1941). The Miraculous Birth of Language. London, England: JM Dent and Sons Ltd. m/s. ix–xxxvii.
  4. ^ Shaw, Bernard (1962). The Shaw Alphabet Edition of Androcles and the Lion. Harmondsworth, Middlesex, England: Penguin Books Ltd. m/s. 9–11.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]