Akta Dadah Berbahaya 1952

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Pergi ke navigasi Pergi ke carian
Akta Dadah Berbahaya 1952
Petikan
Jangkauan wilayah
Tarikh digubal1952 (Ordinan No. 30 1952)
Disemak: 1980 (Akta 234 daripada 17 Julai 1980)
Tarikh kuat kuasa
[Semenanjung Malaysia—1 November 1952, L.N. 554/1952;
Sabah dan Sarawak—1 Jun 1978, P.U. (A) 157/1978]
Kata kunci
Dadah berbahaya
Status: Berkuat kuasa

Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234, singkata ADB) merupakan sebuah akta berkenaan pengawalan dadah rekreasi telah diperkenalkan di Malaysia sejak 1952.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Akta ini dipinda pada 1985 dengan nama Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985. Dasar Dadah Negara telah diisytiharkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas Perdana Menteri Malaysia pada 19 Februari 1983 semasa melancarkan Kempen Anti Dadah. Tujuannya bagi mewujudkan negara Malaysia yang bebas dari ancaman gejala dadah menjelang tahun 2015 bagi menjamin kesejahteraan hidup masyarakat dan mengekalkan kestabilan dan ketahanan nasional.

Hukuman mati[sunting | sunting sumber]

Akta ini ialah salah satu akta-akta Malaysia yang memberi peruntukan hukuman mati yang diperkenalkan dalam pindaan 1983.[1] Hukuman mati dalam akta ini diperuntukkan dalam Seksyen 39B - Pengedaran Dadah Berbahaya, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori seperti di bawah:

(1) Tiada seorang pun boleh, bagi pihak dirinya atau bagi pihak mana-mana orang lain, sama ada atau tidak orang lain itu berada di Malaysia -

(a) mengedarkan dadah berbahaya; atau

(b) menawar untuk mengedarkan dadah berbahaya; atau

(c) melakukan atau menawar atau melakukan sesuatu perbuatan sebagai persediaan untuk atau bagi maksud pengedaran dadah berbahaya.

(2) Mana-mana orang yang melanggar mana-mana peruntukan subseksyen (1) adalah melakukan suatu kesalahan terhadap Akta ini dan jika disabitkan hendaklah dijatuhi hukuman mati.

Selain itu, Seksyen 37 (da) juga menyenaraikan jisim pemilikan dadah-dadah lazim yang akan dianggap sebagai pengedaran dadah sekiranya pesalah memiliki sejumlah dadah bertepatan dengan jisim yang ditetapkan.

Pada 2017, satu pindaan telah dilakukan pada Akta Dadah Berbahaya dengan memasukkan subfasal baharu, Seksyen 39B (2A) yang memberikan hukuman alternatif kepada kesalahan pengedaran dadah, dengan memberikan hukuman penjara seumur hidup dan sebatan sekurang-kurangnya 15 kali, dengan syarat:[2]

  • tiada bukti penjualan atau pembelian;
  • tiada penglibatan agent provocateur (pihak yang mendorong seseorang melakukan jenayah); atau,
  • penglibatan pesalah terhad kepada penghantaran atau pengangkutan dadah; dan,
  • pesalah telah membantu pihak berkuasa dalam mengekang aktiviti pengedaran dadah di dalam atau luar Malaysia.

Kritikan[sunting | sunting sumber]

Peruntukan hukuman mati ini telah menjadi perdebatan dalam pelbagai pihak berkenaan kewajaran dan keberkesanan hukuman mati dalam mengekang jenayah berkenaan dadah, dengan beberapa pihak menyeru agar hukuman mati ini dihapuskan. Satu kritikan utama ialah diskriminasi peruntukan hukuman mati ADB terhadap golongan minoriti, wanita serta golongan sosioekonomi bawahan.[3] Menurut laporan Amnesty International (2018), kira-kira 95% banduan akhir wanita di Malaysia adalah berdasarkan hukuman pengedaran dadah. Satu kajian pada 2020 mendapati bahawa wanita-wanita ini secara lazimnya melakukan jenayah demikian untuk mencari wang pendapatan sampingan akibat tekanan ekonomi serta kekeluargaan, dan oleh itu, tidak sesuai bagi hukuman mati dikenakan bagi mereka.[4]

Kritikan juga diutarakan terhadap penguatkuasaan Seksyen 39B (2A) yang dipinda kerana dikatakan samar-samar untuk ditafsirkan dan tidak menjamin peluang yang kukuh bagi tertuduh untuk dibatalkan hukuman matinya.[5] Pihak Amnesty International dalam satu kenyataan berkata bahawa sungguhpun mereka mengalu-alukan peruntukan itu, mereka meluahkan kebimbangan tentang keberkesanan subfasal tersebut.[6] Dalam satu kes, Qui Jieru lwn Pendakwa Raya; orang tertuduh memperoleh hukuman mati meskipun dengan bukti yang amnya jelas bahawa Jieru telah membantu pihak berkuasa.[7]

Kritikan[sunting | sunting sumber]

Penyelaras Suaram, Syukri Razab menyatakan bahawa akta ini mencabuli hak asasi manusia. Laporan Free Malaysia Today menyatakan bahawa individu yang ditangkap mengikut undang-undang itu boleh ditahan tanpa dibicarakan dan mereka hilang hak mendapat pembelaan secara adil di mahkamah. Akta itu tidak mengurangkan kesalahan dadah berbahaya di Malaysia kerana sejak 2008-2013, statistik Agensi Antidadah Kebangsaan menunjukkan bilangan yang ditangkap di bawah kesalahan tersebut terus meningkat.[petikan diperlukan]

Seseorang yang ditangkap boleh ditahan selama 60 hari bagi tujuan siasatan, tetapi bentuk siasatan yang dijalankan oleh pihak polis dalam tempoh ini masih tidak jelas. Bentuk siasatan mengikut akta itu juga tidak pernah didedahkan kepada umum. Suaram berpendapat tidak wujud ketelusan dalam siasatan polis sepanjang tempoh siasatan. Bentuk siasatan ini menimbulkan kerisauan tentang bagaimana sebenarnya operasi standard pihak polis dalam menjalankan siasatan.

Pada 20 September 2014, Pakar Perlembagaan Persekutuan Malaysia, Dr Abdul Aziz Bari menyatakan bahawa masalah dadah ini tidak menampakkan tanda-tanda berkurangan, dan oleh itu, apa yang disebut Suaram patut diambil kira. Kemudian, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menyelar cadangan Suaram kerana cadangannya dikatakan akan menghalang usaha pihak keselamatan serta PDRM membanteras masalah dadah di negara ini.[8] Menurut pihaknya, pemansuhan akta itu akan membantutkan usaha polis membanteras kegiatan pengedaran dadah.[9][10]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "Penyata Rasmi Parlimen - Dewan Negara - Sesi Keenam - Penggal Kedua" (PDF). Parlimen Malaysia. 1987. Dicapai pada 2 Disember 2021.
  2. ^ "D.R. 45/2017, Rang Undang-Undang Dadah Berbahaya (2017), Pindaan Dalam Jawatankuasa". billwatcher.sinarproject.org. Dicapai pada 25 November 2021.
  3. ^ "Fatally flawed: Why Malaysia must abolish the death penalty" (PDF). Amnesty International (dalam bahasa Inggeris). 2019. m/s. 5. Dicapai pada 2 Disember 2021.
  4. ^ Harry, Lucy (2021). "Rethinking the Relationship between Women, Crime and Economic Factors: The Case-Study of Women Sentenced to Death for Drug Trafficking in Malaysia". Laws (dalam bahasa Inggeris). 10 (1): 9 – melalui MDPI.
  5. ^ Chow Ying, Ngeow (21 September 2020). "Malaysia's Drug Law Condemns Vulnerable Women to Death". New Naratif (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2 Disember 2021.
  6. ^ Annuar, Azril (12 April 2018). "Amnesty International: Malaysia taking baby steps to abolishing death penalty". The Malay Mail (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2 Disember 2021.
  7. ^ "ADPAN Country Report – Malaysia; Report on the Death Penalty in Malaysia" (PDF). Anti-Death Penalty Asian Network (dalam bahasa Inggeris). m/s. 15–16. Dicapai pada 2 Disember 2021.
  8. ^ "Pertimbang cadangan Suaram mansuh Akta Dadah Berbahaya, kata Aziz Bari". Diarkibkan daripada yang asal pada 2014-09-20. Dicapai pada 2014-09-20.
  9. ^ "Ketua polis negara persenda gesaan hapus Akta Dadah Berbahaya". Diarkibkan daripada yang asal pada 2014-09-20. Dicapai pada 2014-09-20.
  10. ^ "IGP mocks Suaram's call to repeal Dangerous Drugs Act 1985". Diarkibkan daripada yang asal pada 2014-09-21. Dicapai pada 2014-09-20.

Bibliografi[sunting | sunting sumber]

  1. Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234), Akta Penagih Dadah (Rawatan Dan Pemulihan) 1983 (Akta 283), Peraturan-Peraturan & Kaedah -Kaedah. Petaling Jaya: International Law Book Services.
  2. Anuar Fakhri Omar, Dr. Mohd Nasran Mohamad, Mohammad Zaini Yahaya.2006. Kaedah Fiqh. Bangi: Pusat Kembangan Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia