Akta Pencegahan Jenayah 1959

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Bahasa Inggeris: Prevention of Crime Act 1959; Tulisan Jawi: اکتا ڤنچݢهن جنايه ; akronim: POCA) atau Akta 297 ialah suatu undang-undang bagi pencegahan jenayah di Malaysia yang diluluskan pada 1959. Ia telah dipinda sebanyak lima kali iaitu pada 1983[1], 2013, 2014, 2015 dan 2017. Akta ini dipinda selepas pemansuhan Ordinan Darurat 1969 dan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 yang didakwa menjadi punca peningkatan statistik jenayah.[2]

Penggubalan[sunting | sunting sumber]

Akta ini digubal bertujuan untuk mencegah kegiatan jenayah yang berleluasa. Sewaktu era penjajahan British, pengenalan kepada Societies Act telahpun diperkenalkan. Societies Act bertujuan untuk mengawal persatuan dan kegiatan-kegiatannya. Semua persatuan akan didaftarkan bawah Societies Act dan berada bawah pantauan pihak polis. Juga, pada waktu-waktu itu, Tanah Melayu dibelenggu dengan isu-isu jenayah yang dilakukan oleh kumpulan samseng dan gangster seperti Kumpulan Gee Hin dan Hai San yang merupakan sebuah kumpulan kongsi gelap di Perak. Antara kegiatan samseng dan kongsi gelap ini adalah seperti memeras ugut orang awam untuk membayar wang perlindungan, merompak dan mencuri. Oleh yang demikian, lazimnya, orang awam akan takut memberi keterangan untuk membanteras kegiatan jenayah ini kerana bimbang akan keselamatan diri dan keluarga tergugat termasuklah harta benda. Maka, Societies Act dapat memberi jaminan keselamatan bagi orang awam untuk memberi keterangan berkaitan kes-kes jenayah. Hal yang sama yang diharapkan pada Akta Pencegahan Jenayah 1959 ini digubal selepas Persekutuan Tanah Melayu terbentuk.

Pindaan 2013[sunting | sunting sumber]

Selepas Pilihan raya umum Malaysia 2013,[3] kerajaan Malaysia berusaha meminda akta ini bagi menjadikannya berkesan bagi membendung aktiviti jenayah berat.[4]

Rang Undang-Undang Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 telah dibaca buat kali pertama oleh Menteri Dalam Negeri Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada 25 September 2013,[5] dan diluluskan oleh Dewan Rakyat Malaysia pada 3 Oktober 2013.[3][6] Akta ini membolehkan seseorang yang ditangkap ditahan tanpa bicara bagi tempoh tidak melebihi dua tahun. Malah ia turut memberi kuasa kepada suatu Lembaga Pencegahan Jenayah melanjutkan tempoh tahanan selama dua tahun lagi sekiranya didapati perlu. Anggota lembaga tersebut dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat menteri, ia dipengerusikan seorang hakim dan turut dianggotai empat orang lagi. Pemakaian akta ini juga diperluas ke seluruh Malaysia.[5][3][7] Sebelum ini, polis mempunyai kuasa melalui akta ini untuk menahan suspek bagi tempoh 72 hari untuk membantu siasatan.[1] Akta ini juga asalnya tidak boleh diguna pakai di Sabah dan Sarawak.[8]

Pindaan yang diusulkan pada 2013 ini juga mendukung hasrat dan tujuan yang sama iaitu untuk membanteras kegiatan gengsterisme dan kegiatan jenayah yang semakin meningkat dalam negara.[9]  Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Dr Zahid Hamidi menegaskan, penggubalan POCA adalah untuk mengawal dan membasmi jenayah berat yang semakin membimbangkan, terutamanya jenayah tembak mati yang dikatakan mempunyai hubung kait dengan kegiatan kongsi gelap.[10]

Akta ini setelah penggubalannya pada 2013 menjadikannya bukan lagi undang-undang biasa namun bersifat pencegahan. Hal ini berikutan dengan keadaan perkembangan kesedaran hak asasi manusia pada tahun 2012 mula mendapat tempat dalam kalangan masyarakat setempat. Apabila sesebuah akta bersifat pencegahan, maka, peruntukan-peruntukan yang wujud dalamnya akan memberikan kuasa untuk mengekang segala kegiatan jenayah sebelum menular.

Kontroversi[sunting | sunting sumber]

Antara kontroversi dalam proses pemindaan akta ini adalah akta ini dikatakan mempunyai bayangan Akta Keselamatan Dalam Negeri (Internal Secuirty Act (ISA)) 1960 Rata-rata ahli Parlimen menafikan bahawa POCA merupakan jelmaan semula ISA yang merupakan akta paling kontroversi dan ditakuti awam. Isu yang dipertikaikan adalah berkenaan isu penyalahgunaan kuasa undang-undang. ISA memperuntukkan hukuman tahanan tanpa bicara selama dua tahun yang jelas melanggar prinsip asas keadilan undang-undang semula jadi yang dijelmakan semula dalam POCA. Sungguhpun ISA telahpun dimansuhkan bersama-sama Akta Buang Negeri 1959 dan jaminan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak bahawa perbezaan ideologi politik tidak akan menjadi asas penahanan bawah POCA, namun pihak pembangkang masih lagi ragu-ragu dan skeptikal akan kenyataan tersebut.

Terdapat juga pandangan bahawa akta dan undang-undang yang diperkenalkan oleh kerajaan seperti ISA Akta Rahsia Rasmi (OSA), Akta Polis[11] , Akta Percetakan dan Penerbitan, Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) [12] bertujuan mengawal tingkah laku rakyat dan akta tersebut menjadi alat kerajaan melakukan doktrinisasi psikologi terhadap masyarakat supaya tidak menentang dan kerajaan. Masyarakat awam melihat POCA sebagai alat kawalan baharu pihak kerajaan mengawal aktiviti jenayah termasuk para pembangkang. Pembangkang yang sering menyuarakan isu penyalahgunaan kuasa akta seperti ISA untuk menahan pihak pembangkang serta beberapa individu yang menentang dan mempunyai ideologi politik yang berbeza di Malaysia.[13]

Respon[sunting | sunting sumber]

Positif[sunting | sunting sumber]

Datuk Seri Mohd Ali Rustam menyatakan bahawa pemansuhan ISA dan Ordinan Darurat menjadi punca kadar jenayah meningkat kerana sebahagian besar daripada penjenayah yang terlibat merupakan bekas tahanan kedua-dua akta tersebut. Maka, Akta Pencegahan Jenayah merupakan satu mekanisma kerajaan bagi membenteras jenayah berat yang semakin membimbangkan di Malaysia.

Datuk Paul Low, Menteri di Jabatan Perdana Menteri menyatakan bahawa pindaan Akta Pencegahan Jenayah 1959 merupakan tindak balas kerajaan untuk mencegah jenayah yang semakin meningkat.[14]

Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Dr Zahid Hamidi menegaskan bahawa penggubalan undang-undang ini adalah untuk mengawal dan membasmi jenayah berat yang semkin membimbangkan, terutamnya jenayah tembak mati yang dikatakan mempunyai hubung kait dengan kegiatan kongsi gelap.[15]

Tun Zaki menyatakan kuat kuasa undang-undang tahanan tanpa bicara amat berkesan dan merupakan jalan mudah bagi polis untuk menangkap penjenayah selepas undang-undang EO dimansuhkan[16]. Dato’Seri Najib Razak juga memberi jaminan bahawa individu yang mempunyai pemikiran politik yang berbeza tidak akan ditahan disebabkan perbezaan tersebut.[17]

Negatif[sunting | sunting sumber]

Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuarakan bantahan mewakili Pakatan Rakyat terhadap POCA (Pindaan dan Perluasan) 2013 kerana hukuman tahanan tanpa bicara tersebut melanggar hak asasi manusia.[18]

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail memberi kenyataan bahawa undang-undang sedia ada di Malaysia sudah mencukupi untuk membenteras kes jenayah dan beliau mempercayai bahawa pihak berkuasa tidak memerlukan penggubalan undang-undang yang rigid dan ketat.[19]

Perspektif Hak Asasi Manusia[sunting | sunting sumber]

John Locke dalam Two Treatise of Government berpendapat bahawa ”…antara sebab manusia mengadakan kontrak sosial dengan sesebuah kerajaan adalah demi perlindungan kepada hak-hak mereka; dan pemilihan badan autoritatif sesebuah badan legislatif adalah untuk menggubal undang-undang yang menjadi pagar dan pelindung kepada hak-hak tersebut.” [20] Maka secara amnya, undang-undang yang digubal kerajaan haruslah bertujuan memelihara hak-hak asasi manusia.

Dalam POCA, dua isu utama tentang hak asasi adalah berkaitan dengan hak untuk didengari dan hak untuk tidak diadili secara bias.[21]  POCA memperuntukkan bahawa individu yang ditahan akan dikenakan hukuman tahanan tanpa bicara yang boleh membawa kepada dua tahun. hak ini turut menafikan segala peruntukan perlindungan hak asasi bawah Perkara 5 Perlembagaan. Klausa 2 memperuntukkan, individu yang ditahan dan didapati penahanannya salah perlulah dibawa ke hadapan majistret. Klausa 3 memjamin hak untuk tahu asas penahanan dan hak untuk diwakili peguam pilihannya sendiri. Sungguhpun POCA dibuat bawah perkara 149 yang memberi kebenara melanggar Perkara 5 namun, perlindungan minimum bawah Perkara 151(1)(a) masih lagi wajar diberikan. Perlindungan tersebut adalah hak untuk tahu sebab penahanan dan hak mendapat nasihat guaman.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b "Akta Pencegahan Jenayah ada, mengapa sibuk EO?". Harakahdaily. 20 Ogos 2013. Diarkibkan daripada yang asal pada 2013-10-16. Dicapai pada 16 Oktober 2013.
  2. ^ "Kuat kuasa semula Akta Pencegahan Jenayah 1959". myMetro. 27 Ogos 2013. Dicapai pada 15 Oktober 2013. Cite has empty unknown parameter: |dead-url= (bantuan)
  3. ^ a b c "Ignoring popular will, Barisan returns to old ground with preventive laws". The Malaysian Insider. 4 Oktober 2013. Diarkibkan daripada yang asal pada 2013-10-16. Dicapai pada 16 Oktober 2013.
  4. ^ Penganalisis Media di Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan KKM (3 Oktober 2013). "Bantahan Pindaan Akta Pencegahan Jenayah Kena Rasional". BH. Portal PMR. Diarkibkan daripada yang asal pada 2013-10-16. Dicapai pada 16 Oktober 2013.
  5. ^ a b "Pesalah Akta Pencegahan Jenayah 1959 boleh ditahan 2 tahun". Utusan Online. Utusan Melayu. 25 September 2013. Diarkibkan daripada yang asal pada 2013-10-21. Dicapai pada 16 Oktober 2013. Cite has empty unknown parameter: |dead-url= (bantuan)
  6. ^ "Malaysia detention law passes key test". Al Jazeera English. 3 Okt 2013. Dicapai pada 16Oktober 2013. Check date values in: |accessdate= (bantuan)
  7. ^ "Opposition MP debunks Zahid's claim about PCA". theSundaily. 29 September 2013. Dicapai pada 9 Oktober 2013. Cite has empty unknown parameter: |dead-url= (bantuan)
  8. ^ "Sabah, Sarawak amat memerlukan Akta Pencegahan Jenayah diperluas ke Sabah, Sarawak". Utusan Online. Utusan Melayu. 5 September 2013. Diarkibkan daripada yang asal pada 2013-10-21. Dicapai pada 16 Oktober 2013. Cite has empty unknown parameter: |dead-url= (bantuan)
  9. ^ Chi, M. (2013, Ogos 14). The Malay Mail. Retrieved Disember 9, 2013, from The Malay Mail online.com: http://www.themalaymailonline.com/malaysia/article/putrajaya-to-use-crime-prevention-act-to-keep-gangsters-in-check
  10. ^ Chik, H. A. (2013, September 28). The Malaysian Insider. Retrieved Disember 3, 2013, from Tha Malaysian Insider.com: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pindaan-akta-pencegahan-jenayah-bukan-untuk-kawal-pembangkang-dan-ngo
  11. ^ Seksyen 27 Akta Polis 1967 telahpun dipinda. Seksyen ini memperuntukkan permohonan permit daripada Polis untuk mengadakan perhimpunan
  12. ^ Pindaan terhadap AUKU juga telah dibuat kepada seksyen 15(5) selepas kes Muhammad Hilman v Kerajaan Malaysia (2011) 6 MLJ 507
  13. ^ Ahmad, S.Y., & Sulaiman, N. (2008). Kedudukan Barisan Nasional Dalam Pilihan Raya Malaysia: Berakhirnya Era Hegermoni. Prosiding Seminar Politik (p.196). Shah Alam: Pusat Penerbitan Universiti (UPENA) Universiti Teknologi MARA.
  14. ^ Chi, M. (2013, Ogos 14). The Malay Mail. Retrieved Disember 9, 2013, from The Malay Mail online.com: http://www.themalaymailonline.com/malaysia/article/putrajaya-to-use-crime-prevention-act-to-keep-gangsters-in-check
  15. ^ Chik, H. A. (2013, September 28). Tha Malaysian Insider. Retrieved Disember 3, 2013, from Tha Malaysian Insider.com: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pindaan-akta-pencegahan-jenayah-bukan-untuk-kawal-pembangkang-dan-ngo
  16. ^ Izwan. (2013, Julai 25). Malaysian Insider. Retrieved Disember 13, 2013, from Malaysian Insider.com: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/tun-zaki-perbaiki-akta-pencegahan-jenayah-tahanan-tanpa-bicara-adalah-jalan
  17. ^ Ismail, R. (2011, September 15). Agenda Daily Insight News. Retrieved Disember 12, 2013, from Agenda Daily Insight News.com: http://www.agendadaily.com/arkib/arkib-agenda-daily/berita-muka-hadapan/319-muka-hadapan/3210-pm-umum-akta-keselamatan-dalam-negeri-isa-dimanuhkan-.
  18. ^ Hussain, N. A. (2013, Oktober 2013). Mstar. Retrieved Disember 19, 2013, from Mstar Online.com: star.com.my/cerita.asp?sec=mstar_berita&file=/2013/10/3/mstar_berita/20131003161729
  19. ^ The Malaysian Insider. (2013, Julai 16). The Malaysian Insider. Retrieved Disember 19, 2013 , from The Malaysian Insider.com: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/peguam-negara-tidak-bersetuju-akta-tahan-tanpa-bicara-ganti-eo
  20. ^ John Locke, Two Treatise of Government
  21. ^ Hak ini merupakan prinsip hak semula jadi audi alterem partem dan nemo judex in causa sua.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]