Al-Walid bin Abdul Malik
Al-Walid ibn Abd al-Malik atau Al-Walid I (668-715) ialah anak kepada Khalifah Abdul Malik b. Marwan. Beliau menggantikan bapanya untuk menjadi Khalifah Bani Umayyah yang keenam. Beliau terus mengembangkan empayar Islam dan meneruskan polisi ayahnya untuk menyebarkan ajaran Islam. Di samping itu, beliau ialah seorang pemerintah yang cekap dan berkesan.
Sebelum Al-Walid b. Abdul Malik dilantik menjadi Khalifah terjadi perebutan tampok pemerintahan antara bapa saudaranya Abdul Aziz. Perebutan ini berakhir apabila Abdul Aziz meninggal lima bulan sebelum kematian bapanya, Abdul Malik b. Marwan. Selepas kematian Abdul Malik b. Marwan, anaknya Al-Walid b. Abdul Malik dilantik menjadi penggantinya memandangkan Al-Walid ialah anak sulung Khalifah Abdul Malik.
Seperti ayahnya, Khalifah Al-Walid terus membiarkan Hajjaj ibn Yusuf menjadi Gabenor Iraq dan berkuasa di sana. Al-Walid meneruskan sistem pemerintahan ayahnya dengan membina satu sistem kebajikan di samping membina hospital-hospital dan institusi pendidikan. Beliau juga amat meminati bidang kesenian dan mengambil langkah untuk memajukan bidang ini. Al-Walid juga meminati bidang seni bina dan beliau juga terlibat dalam usaha membaiki dan mempercantikkan Masjid an-Nabawi di Madinah. Tambahan pula, beliau membeli Gereja "Christian Basilica of St. John the Baptist" dan mengubahnya menjadi sebuah masjid iaitu Masjid Ummayyah (St. John the Baptist ialah Nabi Yahya a.s.). Al-Walid juga membina sebuah angkatan laut yang kuat dan memperkuatkan lagi angkatan tentera.
Beliau juga telah membina dan menyiapkan pembinaan Masjid Al-Aqsa di Baitulmuqaddis. Al-Walid digantikan oleh adiknya, Sulaiman bin Abdul Malik.