Muntah paus

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Ambergris)
Bekas berisi ketulan muntahan paus

Muntah paus atau ambergris (disebut [am.bĕr.gris]) ialah sejenis pepejal kekelabuan yang berlilin dan mudah terbakar dihasilkan daripada rembesan dalaman saluran hempedu paus sperma.[1] Pepejal ini pada awalnya berbau hanyir namun lama-kelamaan mereput menghasilkan bau wangi seakan alkohol isopropil.[2]

Ia lazim digunakan dalam minyak wangi sebagai pengikat kepada bahan wangian yang boleh mengekalkan haruman dihasilkan pada tempoh yang sangat lama.[3][4]

Peristilahan[sunting | sunting sumber]

Bahan "muntahan paus" atau "muntah paus" dikatakan bernama sedemikian berdasarkan bentuk longgokan yang timbul seakan sisa muntah yang keluar daripada ikan tersebut,[5] tetapi pepejal ini sebenarnya lebih dihasilkan dalam usus lalu dikeluarkan daripada dubur ia;[6] Namun, pemuntahan melalui mulut adakalanya boleh berlaku jika rembesan yang terkumpul terlalu bebas untuk dikeluarkan melalui jalan dubur yang biasa.[5]

Perkataan "ambergris" pula datang daripada pinjaman Perancis: ambre gris berakar daripada akar Latin: ambra grisea yang bererti "ambar kelabu".[7][8]

Ciri[sunting | sunting sumber]

Sifat fizikal[sunting | sunting sumber]

Bahan berlemak yang terbuang dari dalam ikan paus ini pada asalnya lembut berwarna putih pucat (malah juga kehitaman) serta berbau najis yang kuat. Sifat ia akan berubah setelah sekian lama hanyut terdedah kepada sinaran dan haba matahari yang menguraikan dan mengoksidakan ia; pepejal ini mengeras dan menghitam mengeluarkan suatu bau yang harum. Sisa ini sering hanyut dibawa arus lautan selama bertahun-tahun sebelum akhirnya terdampar di pesisiran lautan,[9] hal ini menjadikan muntah paus sangat jarang dan berharga sehingga mampu mencecah ribuan dolar.

Ketulan dan longgokan yang terdampar ini wujud dalam pelbagai saiz dan berat dari seringan 15 gram sampailah ke seberat lebih 50 kilogram.[7]

Kandungan kimia[sunting | sunting sumber]

Bahan ini tidak terkesan daripada pendedahan kepada asid.

Ketulan muntah paus yang bernilai tinggi perlu ada bahan aktif terdiri daripada ambrein (25-45%), epikoprosterol (30-40%) dan koprostanon (3-4%).[10]

Penerimaan[sunting | sunting sumber]

Imam al-Syafie berpendapat bahawa muntahan atau `anbar masih suci sifatnya kerana tidak mengeluarkan bauan busuk dalam keadaan pepejalnya selagi dibersihkan luarannya dari segala kotoran yang pernah terkena ketika berada dalam badan ikan.[11]

Penyimpanan dan penjualan muntah paus yang dijumpai dibenarkan di negara tertentu seperti United Kingdom, Perancis, Switzerland dan Maldives.[4] Kebenaran milik di Malaysia hanya boleh dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Perikanan tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Perikanan 1999 (Pengawalan Spesies Ikan yang Terancam).[10]

Hasil pendapatan daripada jualan muntah paus diwajibkan zakat satu perlima bahagiannya.[11]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "Ambergris". Britannica. Dicapai pada 31 January 2013.
  2. ^ Burr, Chandler (2003). The Emperor of Scent: A Story of Perfume, Obsession, and the Last Mystery of the Senses. New York: Random House. ISBN 978-0-375-50797-7.
  3. ^ Panten, J. and Surburg, H. 2016. Flavors and Fragrances, 3. Aromatic and Heterocyclic Compounds. Ullmann's Encyclopedia of Industrial Chemistry. 1–45.
  4. ^ a b Williams-Grey, Vanessa (9 Oktober 2015). "Ambergris: lucky, lucrative and legal?". Whale and Dolphin Conservation Inc. Dicapai pada 24 Oktober 2021.
  5. ^ a b William F. Perrin; Bernd Wursig; J. G.M. Thewissen (2009). Encyclopedia of Marine Mammals. Academic Press. m/s. 28. ISBN 978-0080919935.
  6. ^ Phesi Ester Julikawati (14 November 2017). "Ambergris Bukan Muntahan Paus, tapi..." TEMPO. Dicapai pada 19 Februari 2020.
  7. ^ a b Chisholm, Hugh, penyunting (1911). "Ambergris" . Encyclopædia Britannica (dalam bahasa Inggeris). 1 (ed. ke-11). Cambridge University Press. m/s. 794.
  8. ^ Wedgwood, Hensleigh (1855). "On False Etymologies". Transactions of the Philological Society (6): 66.
  9. ^ Kemp, Christopher (2012). Floating Gold: A Natural (and Unnatural) History of Ambergris. University of Chicago Press. m/s. 12–13. ISBN 978-0-226-43036-2.
  10. ^ a b Prof. Madya Dr. Hasrizal b. Shaari (2021, 16 Disember). Kebanyakan Muntah Paus Tulen Tidak Dijumpai di Pantai. Majalah Sains. https://www.majalahsains.com/kebanyakan-muntah-paus-tulen-tidak-dijumpai-di-pantai/
  11. ^ a b Umar Mukhtar Mohd Noor (2 Jun 2020). "Siri ke-516: Hukum Minyak Wangi mengandungi ambergris dan musk". Irsyad Al-Fatwa. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Jabatan Perdana Menteri Malaysia.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]