Pergi ke kandungan

Amerul Affendi

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Amerul Affendi
أميرول أفندي
Kelahiran
Mohd Amerul Affendi bin Mohd Mawardi

(1986-10-07) 7 Oktober 1986 (umur 39)
Pusat pendidikanAkademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan (ASWARA)
PekerjaanPelakon
Tahun aktif2008–kini
Karya
Filemografi
PasanganYusma Laili Iskandar Mirza (k. 2012)

Mohd Amerul Affendi Mohd Mawardi (lahir 7 Oktober 1986) ialah seorang pelakon lelaki Malaysia. Beliau terkenal dengan peranan lakonan di televisyen dan filem.[1] Menerusi watak lakonannya sebagai Toyu dalam filem Terbaik dari Langit (2014), beliau memenangi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-27 pada 2015.[2]

Pada tahun 2008, Amerul Affendi memulakan kerjaya lakonan dengan membintangi drama Rona Roni Makaroni yang dibintangi oleh Sharifah Amani, Bront Palarae dan Wan Sharmila. Kerjaya filemnya bermula apabila beliau membintangi filem Karaoke (2009) bersama Zahiril Adzim, Nadiya Nisaa dan Mislina Mustaffa, seterusnya muncul dalam filem Gadoh arahan Brenda Danker dan Namron, memegang watak sebagai Zahir. Pada tahun 2009 juga, Amerul melakonkan watak Tajuddin dalam Warkah Terakhir: Rosli Dhoby.

Amerul berlakon dalam beberapa filem dalam tahun 2011, antaranya ialah Sini Ada Hantu dan Tolong Awek Aku Pontianak. Beliau menyertai barisan pelakon yang terdiri daripada Zahiril Adzim, Faizal Hussein dan Pekin Ibrahim, membintangi filem drama aksi 2012, Bunohan arahan Dain Iskandar Said. Dalam filem ini, beliau memegang watak sebagai Muski, seorang peninju tomoi.

Pada tahun 2013, Amerul berlakon dalam dua filem — iaitu Bikers Kental sebagai Al Buqerk dan PSIKO: Pencuri Hati sebagai Man, seterusnya membintangi telefilem pertamanya, Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman untuk siaran di Astro Box Office. Beliau mendapat pengiktirafan meluas menerusi watak Toyu lakonannya dalam filem Terbaik dari Langit (2014) arahan Nik Amir Mustapha. Persembahan beliau dalam filem ini melayakkannya dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-27[3] dan Anugerah Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur 2015.

Beliau berlakon dalam drama Risiko yang disiarkan di TV2, ia menjadi satu-satunya drama lakonannya dalam tahun 2015. Pada tahun yang sama, Amerul berlakon dalam filem Polis EVO dengan memegang watak sebagai Mat Yam. Beliau juga berlakon bersama Beto Kusyairy dan Siti Saleha dalam telefilem Aku, Dia dan Tong Gas (2015). Setahun kemudian, iaitu pada 2016, beliau berlakon dalam filem Pekak dengan melakonkan watak Azman, seorang penagih dadah.[4] Watak yang sama (namun sebagai anak yatim piatu) juga dilakonkannya dalam filem Mencari Rahmat (2017).

Amerul juga berlakon dalam beberapa telefilem sepanjang 2017, antaranya ialah Kekasih Elektrik (sebagai Saiful) dan Sebelum Ajal (sebagai Nizam). Pada tahun 2018, beliau berlakon dalam filem One Two Jaga sebagai Adi,[5] di mana beliau dicalonkan bagi kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-30 dan memenangi kategori sama di Anugerah dan Festival Filem Antarabangsa ASEAN 2019. Beliau kemudian membuat penampilan khas sebagai Rudy dalam filem ketenteraan PASKAL. Beliau juga berlakon dalam drama Matahari Cerah Lagi dan Destinasi Ukhuwah yang kedua-duanya disiarkan di TV1.

Beliau memegang watak sebagai Belut dalam KL Gangster: Underworld (2018) dan kembali menjayakan wataknya dalam Rise to Power: KLGU (2019). Amerul juga kembali menjayakan watak Al Buqerk dalam Bikers Kental 2 (2019). Beliau membuat penampilan muzik video pertamanya apabila membintangi muzik video lagu "Blank Marquee" dendangan Yuna dan rapper Amerika Syarikat, G-Eazy.

Amerul kemudian membintangi filem asal Netflix, Pasal Kau! (2020) dengan memegang watak sebagai Parjo. Beliau memegang watak sebagai Aman, seorang pemandu e-hailing dalam filem arahan Muzzamer Rahman, Prebet Sapu yang dikemukakan sebagai penyerahan Malaysia untuk Filem Bahasa Asing Terbaik di Anugerah Akademi ke-94. Beliau berlakon bersama Yusuf Bahrin dan Shaza Bae dalam drama Jangan Ganggu Jodohku yang mana beliau memegang watak sebagai Abu. Amerul bagaimanapun, hanya sempat menghabiskan baki 10 episod sebelum digantikan oleh Aloy Paradoks.[6]

Di luar kerjaya lakonan, Amerul Affendi turut melibatkan diri dalam industri pertanian yang diusahakan sejak 2016 bagi menjamin masa depannya. Menurutnya: "Sejak tiga tahun lalu saya telah aktif dalam bidang pertanian seperti penanaman kelapa sawit dan penternakan antaranya kerbau dan patin. Projek ini saya usahakan di kampung halaman iaitu di Temerloh, Pahang. Jika dahulu dunia lakonan mata pencarian utama, sekarang tidak lagi kerana fokus saya adalah perusahaan pertanian,".[7]

Filemografi

[sunting | sunting sumber]

Videografi

[sunting | sunting sumber]

Video muzik

[sunting | sunting sumber]
Tahun Tajuk Penyanyi Watak Pengarah
2019 "Blank Marquee" Yuna & G-Eazy Penjahat Adam Sinclair
"Meluruh" Alyah Penyelamat Ghaz Abu Bakar

Penampilan lain

[sunting | sunting sumber]
Tahun Tajuk
2010 Kaulah Yang Ku Mahu

Anugerah dan pencalonan

[sunting | sunting sumber]
Tahun Anugerah Kategori Penerima/Karya tercalon Keputusan Ruj.
2013 Festival Filem Malaysia ke-25 Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Bunohan Tercalon
2015 Festival Filem Malaysia ke-27 Terbaik dari Langit Menang [8]
Anugerah Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur 2015 Menang [9]
2019 Festival Filem Malaysia ke-30 One Two Jaga Tercalon
Anugerah dan Festival Filem Antarabangsa ASEAN 2019 Menang [10]
2020/2021 Anugerah Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur 2020/2021 Pelakon Lelaki Terbaik Prebet Sapu Menang
2022 Malaysia Golden Global Awards Tercalon
Festival Filem Malaysia ke-32 Tercalon
2023 Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-35 Aktor Filem Popular Tercalon
Couple Filem Popular (bersama Lim Mei Fen) Prebet Sapu Tercalon
Anugerah dan Festival Filem Antarabangsa ASEAN 2023 Pelakon Lelaki Terbaik Tercalon
  1. Nurfarhana Mohamed (19 Disember 2017). "Bakat tidak didendang". Utusan Malaysia. Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-07-01. Dicapai pada 1 Julai 2018.
  2. "Punya agenda tersendiri". Kosmo!. 5 September 2013. Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-07-01. Dicapai pada 1 Julai 2014.
  3. Serimah Mohd Sallehuddin (9 September 2015). "Berkat teater kecil". Berita Harian. Dicapai pada 4 Disember 2019.
  4. "Amerul idam watak orang kaya". Berita Harian. 13 September 2016. Dicapai pada 4 Disember 2019.
  5. Ruhaya Ab. Hamid (2 Mac 2018). "Amerul Affendi dekati pekerja buruh asing". Utusan Malaysia. Diarkibkan daripada yang asal pada 10 September 2018. Dicapai pada 3 Disember 2018.
  6. Nur Asyikin Mayudin (25 November 2021). "Hanya sempat buat 10 episod, watak Amerul Affendi dalam drama 'Jangan Ganggu Jodohku' digantikan dengan pelakon lain". mStar Online. Dicapai pada 3 Disember 2021.
  7. Ashraff Nasser (12 Jun 2019). "Lakonan bukan lagi keutamaan Amerul Affendi". Cinema Online. Dicapai pada 19 Jun 2020.
  8. "Jom Check It Out!! 24 Kategori Pencalonan Akhir FFM27". Murai.com.my. Diarkibkan daripada yang asal pada 2015-08-06. Dicapai pada 2015-08-19.
  9. "Lelaki Harapan Dunia dapat pengiktirafan lagi". Astro Awani. 6 Oktober 2015.
  10. Zaidi Mohamad (28 April 2019). AIFFA 2019: Amerul, Nam Ron puas One Two Jaga diiktiraf Berita Harian. Dicapai pada 3 Mei 2019.

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]