Amphetamine

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

DADAH AMFETAMIN


Amfetamin mula-mula dihasilkan pada tahun 1920, pada mulanya diperkenalkan untuk melegakan hidung tersumbat dan resdung (rhinitis) kerana amfetamin dapat mengecutkan saluran darah di hidung. Kini amfetamin dan terbitannya masih digunakan kepada pesakit narkolepsi (penyakit tidur sepanjang masa), kanak-kanak yang hiperaktif serta untuk mengurangkan berat badan. Ia merupakan ubat perangsang kepada sistem saraf pusat dan terkenal dengan kebolehannya untuk menahan rasa mengantuk dan keletihan. Penggunaan amfetamin meningkat semasa Perang Dunia Kedua kerana ia diambil bagi mengelakkan tertidur semasa Peperangan.


Selain daripada amfetamin, terbitan amfetamin lain termasuklah dekstroamfetamin dan methamfetamin. Walaupun terbitan amfetamin memiliki struktur kimia yang berbeza, namun kesannya adalah sama. Kini di Malaysia, dadah amfetamin dan terbitannya diletakkan di bawah bidang kuasa Akta Dadah Berbahaya 1952, pindaan 1982 yang bertujuan melindung masyarakat daripada bahaya salah guna dadah.


Ubat perangsang yang sangat kerap digunakan ialah amfetamin (Benzadrine), dekstroamfetamin (Dexedrine) dan methamfetamin (Methedrine). Amfetamin boleh dibeli secara sah dengan nasihat doktor, secara haram atau melalui pengedar dadah. Amfetamin juga dikenali sebagai Speed, Pep-pills, Dexies, Ips, Bernis, Drivers, Crossroads, Footballs, Co-pilot, Hearts, Crystals, Wake-ups, Eve-opener, ‘A’ dan ‘S’.


Cara Amfetamin Digunakan

Penagih yang mengambil amfetamin sama ada melalui suntikan atau memakan terus akan merasai dua fasa kesan yang berbeza; fasa meningkat (rush) dan fasa menurun (crash). Semasa fasa meningkat, penagih mengalami halusinasi bunyi dan penglihatan, perasaan seronok dan khayal (euforia). Fasa ini lebih cepat diperoleh melalui suntikan. Dengan itu ia diambil secara suntikan, bukan lagi melalui mulut. Fasa menurun pula merupakan fasa yang ditunjukkan oleh kesan pengurangan dadah di dalam badan. Di antara kesannya ialah rasa mengantuk serta tidur untuk jangka masa lama, bergantung kepada jumlah dos yang diambil. Fasa ini akan dirasai sehingga beberapa hari selepas amfetamin diambil. Kesan Amfetamin


Bagi pencuba yang baru pertama kali mengambil amfetamin, kesan yang dirasai ialah peningkatan tumpuan dalam aktiviti yang dilakukan, perasaan gembira, peningkatan kadar nadi serta tekanan darah, tidak boleh tidur, dan hilang selera makan. Keracunan juga berlaku dan di antara gejala keracunan termasuklah gelisah, fikiran keliru, tekanan darah tinggi, denyutan jantung cepat serta tidak seragam, kesakitan dada dan abdomen, mual dan muntah, sakit kepala, dan suhu badan meningkat. Dalam kes keracunan teruk, mereka akan mendapat gejala seperti sawan, suhu badan melebihi 40C, serangan mengejut penyakit jantung, strok, dan kematian. Dakwaan kebolehan luar biasa seperti cubaan terbang dari bangunan tinggi pernah dilakukan oleh penagih amfetamin. Mereka juga bersikap ganas kerana amfetamin telah mempengaruhi otak.


Dos yang sederhana yang diberikan oleh doktor boleh menghilangkan keletihan, mewujudkan rasa kesegaran, percaya kepada diri sendiri dan rasa gembira. Tetapi bagi orang-orang tertentu keadaan ini pula akan diikuti dengan perasaan kecewa atau sugul. Walaubagaimana pun dos yang kecil akan mewujudkan perasaan gembira yang luar biasa dan menyebabkannya lebih cergas lagi. Dos-dos yang besar seperti yang diterima melalui suntikan atau memakan pil dengan banyak mewujudkan keyakinan pada diri sendiri, berkuasa dan keseronokan yang berlebih-lebihan. Pengguna-pengguna yang teruk akan menunjukkan keresahan atau ketakutan, tangan mengeletar, mata hitam membesar, mulut kering dan berpeluh yang banyak. Mereka mungkin kuat bercakap dan mengalami diilusi dan halusinasi. Mereka yang ketagih selalunya berterusan menggunakan Amfetamin selama tiga atau empat hari, tidak makan apa-apa dan sentiasa bergerak hinggalah mereka jatuh pengsan kerana keletihan.


Bahaya Amfetamin

‘Speed Kills’ adalah satu cogan kata yang digunakan untuk methedrine oleh belia-belia Amerika dan juga bermaksud lain-lain jenis amfetamin. Walau pun dadah-dadah ini tidak membawa ketagihan fizikal (physically addictive) para pengguna boleh terjerat secara emosi dan psikologi. Oleh kerana badannya membina daya tahan terhadap amfetamin, biasanya penggunaannya satu hala sahaja iaitu ke arah dos-dos yang lebih banyak dan lebih kerap. Kalau penggunanya teruk dan berlanjutan, pengguna akan menunjukkan tanda-tanda yang menyerupai skizofrenia paranoik. Bahayanya terbahagi kepada tiga peringkat:- (i) Pengguna mungkin menjadi ganas, terutama apabila mereka masuk ke peringkat paranoik (paranoic). (ii) Pengguna sangat mudah diserang oleh demam paru-paru, kurang zat makanan dan letih lesu kerana tidak makan dan tidak tidur. (iii) Pengguna boleh mendapat sakit darah tinggi, degup jantungnya bertambah kuat, sakit jantung dan kerosakan otak yang berkekalan.


Amfetamin sebagai ubat Dalam bidang farmasi, terdapat ubat yang merangsang sistem otak dan berguna dalam pengawalan berat badan. Ubat ini dikelaskan sebagai ubat anorektik. Antaranya termasuklah fenmetrazin, benzfetamin, klorfentermin, klortermin, fenfluramin, mazindol, fendimetrazin, dan fentermin. Kesan ubat kelas ini adalah sama dengan amfetamin dan penggunaannya memerlukan pengawasan pegawai perubatan. Kebiasaannya, doktor hanya menggunakan ubat ini sebagai langkah terakhir dalam mengurangkan berat badan selepas diet serta langkah-langkah lain tidak berjaya. Satu perkara lain yang menarik kini ialah kecenderungan atlit sukan menyalahgunakan ubat ini bagi mengekalkan berat badan terutamanya dalam acara sukan yang berdasarkan kategori berat badan seperti tinju. Jadi badan sukan antarabangsa terpaksa menjalankan ujian dadah bagi mempastikan atlit yang bertanding bersih dari ubat jenis ini.


Selain daripada mengurangkan berat badan, terdapat ubat lain iaitu metilfenidat yang digunakan untuk merawat tingkah laku hiperaktif kanak-kanak. Penggunaan ubat ini juga perlukan pengawasan doktor. Doktor akan menerangkan kepada ibubapa akan bahaya yang terdapat pada ubat ini. Sekiranya ubat ini diambil berlebihan, kesan yang diperolehi adalah sama dengan amfetamin.


Perlu diingatkan bahawa dadah yang diterangkan di atas mempunyai keupayaan ketagihan serta merosakkan sistem otak apabila disalahgunakan. Dalam kebanyakan kes penyalahgunaan, status kemerosotan mental penagih bergantung kepada tempoh penagihan. Kebiasaannya, tempoh penagihan yang lama akan menyebabkan penagih menjadi gila sekiranya tidak berakhir dengan maut.


MAFIL HJ SAPIAN Dadah Masa Kini