Ampunkan Dosaku

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Ampunkan Dosaku
Ditulis olehJumal Yunus
PengarahBade Hj. Azmi
Dibintangi oleh
Lagu pembukaanAnak - Jayjay
Lagu penutupAnak - Jayjay
Negara asalMalaysia
BahasaMelayu
Bilangan episod20
Penerbitan
Penerbit eksekutif
  • Puteri Julia Megat Junid
  • Megat Jufri Megat Junid
PenerbitZeila Jalil
Tempoh siaran40 minit
Syarikat penerbitan
Pena Creative Pictures
Penyiaran
Saluran asalTV3
Format gambar
Siaran asal2 Januari 2012 – 2 Februari 2012
Kronologi
Diikuti olehBonda

Ampunkan Dosaku ialah sebuah siri drama televisyen Malaysia 2012 arahan Bade Hj. Azmi, dibintangi oleh Sharifah Amani dan Zamarul Hisham. Siri ini memulakan tayangan perdana di Slot Azalea TV3 dari 2 Januari 2012 hingga 2 Februari 2012.[1] Ia merupakan drama pertama yang disiarkan di slot Azalea yang baru diperkenalkan bagi menggantikan slot Lagenda yang ditamatkan pada 2011.[2]

Siri ini boleh didapati melalui penstriman dalam talian di saluran YouTube rasmi TV3.[3]

Sinopsis[sunting | sunting sumber]

Mengisahkan tentang Hassan (Shahrol Nizam) yang tidak henti-henti diuji dengan pelbagai dugaan dan kesulitan hidup, dia selalu sahaja menjadi mangsa Fatimah (Wan Maimunah) disebabkan dendam lama yang masih tersemat di dalam hatinya walaupun ibu Hassan telah lama meninggal dunia. Sebagai ibu tiri Hassan, Fatimah masih tidak dapat menerima kehadiran Hassan di dalam rumahtangganya. Seribu satu fitnah dilontarkan terhadap Hassan, seorang remaja naif yang dahagakan kasih sayang seorang ibu. Kebencian Fatimah terhadap Hassan membuat dia nekad meletak racun di dalam makanan Hassan, namun mujur Hassan selamat untuk kali ini.

Suatu hari, Fatimah berjaya juga mengenakan Hassan apabila dia diusir oleh bapanya iaitu Osman (Raisudin Hamzah) atas kesalahan yang tidak dilakukannya. Sejak itu, Hassan hidup merempat, bawah jambatan dan kaki lima adalah rumahnya sehinggalah dia bertemu dengan Sulaiman (Arash Mohd) dan isteri yang baru sahaja kematian anak mereka. Walaupun begitu, Fatimah yang masih tidak puas hati dengan Hassan telah mengupah orang untuk memukul Hassan. Hassan membuat keputusan membawa diri ke bandar bagi memulakan hidup baru.

Beberapa tahun kemudian, Hassan yang telah berkahwin dengan Sarimah menjalani hidup yang lebih baik bekerja di kilang dan mula berjinak-jinak menjadi penggubah lagu. Sarimah yang sarat mengandung sebenarnya sedang bertarung dengan nyawa, dia merahsiakan penyakitnya dari pengetahuan Hassan yang menjaganya seperti menatang minyak yang penuh. Sarimah meninggal dunia sebaik sahaja melahirkan anak lelaki mereka. Hassan yang masih sebak dengan pemergian isterinya berjanji akan menjaga anak lelaki mereka yang diberi nama Sazali (Zul Huzaimy) dengan penuh kasih sayang dan akan mengotakan apa sahaja yang dipinta oleh Sazali.

Kini, Hassan semakin senang. Dia telah membeli kilang di mana dia bekerja selama ini dan sebuah rumah besar untuk keselesaan Sazali. Namun, seperkara yang Hassan tidak tahu, Sazali baik di matanya tetapi di luar, Sazali merompak, terlibat dengan kumpulan samseng dan mempermainkan wanita sebagai pemuas nafsunya. Rokiah (Sharifah Amani), anak gadis Kassim (Zamarul Hisham) dan Suminah (Emelda Rosmila) yang baru pulang dari luar negeri. Sazali terpikat dengan Rokiah tetapi tidak mencintainya, dia hanya ingin memuaskan nafsu binatangnya.

Selama ini, Rokiah menganggap Sazali lelaki yang sempurna dan terbaik untuknya. Ternyata pandangan Rokiah meleset. Dia telah kehilangan sesuatu yang berharga di dalam hidupnya. Rokiah sedih tetapi terpaksa menerima hakikat itu dan menguatkan diri untuk menceritakan perkara sebenar kepada Hassan. Hassan sukar untuk menerima realiti anak yang ditatangnya selama ini lebih kejam daripada ibu tirinya, Fatimah. Hassan tidak mahu mengaku Sazali sebagai anaknya. Sazali dihalau daripada rumah tanpa sesen wang. Sazali yang hidup sebatang kara menyesali segala dosa yang pernah dilakukannya. Dia disahkan menghidap HIV dan keadaannya semakin nazak. Apakah yang bakal berlaku seterusnya selepas Rokiah dan Hassan mengetahui keadaan sebenar Sazali? Masih adakah timbang rasa di dalam hati mereka berdua untuk memaafkan segala dosa Sazali sebelum dia menghembuskan nafas terakhir?

Pelakon[sunting | sunting sumber]

Pelakon utama[sunting | sunting sumber]

Pelakon undangan[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Budiey (30 Disember 2011). "Drama Ampunkan Dosaku lakonan Sharifah Amani dan Zamarul Hisham". Sensasi Selebriti. Dicapai pada 1 Mei 2014.
  2. ^ "Ampunkan Dosaku buka tirai Azalea". Berita Harian. 4 Januari 2012. Dicapai pada 1 Mei 2014.
  3. ^ Ampunkan Dosaku (2012): Episod Penuh. YouTube. TV3. Dicapai pada 21 Jun 2018.