Angkatan Bersenjata Singapura

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Angkatan Tentera Singapura)
Angkatan Bersenjata Singapura
اڠكتان برسنجتا سيڠاڤورا

Diasaskan 1965; 59 tahun yang lalu (1965)
Cabang khidmat Tentera Singapura
Angkatan Laut Republik Singapura
Angkatan Udara Republik Singapura
Kepimpinan
Panglima Tertinggi PYT Presiden Puan Halimah Yacob
Menteri Pertahanan YB Tuan Ng Eng Hen
Panglima Angkatan Tentera YBhg. Leftenan-Jeneral Melvyn Ong
Usia masuk tentera usia 16.5 tahun (sukarela)
Pengerahan usia 18 tahun, selama 24 bulan
Sedia berkhidmat
dalam tentera
1,292,471, usia 18–49 (ang. 2005)
Sesuai untuk
berkhidmat
934,317, usia 18–49  (ang. 2005)
Kakitangan aktif 72,500 (termasuk 39,800 tentera kerahan)
Kakitangan simpanan 312,500 (ang. 2005)
Perbelanjaan
Bajet SGD 10.58 bilion (Tahun kewangan 2007)[1]
Peratusan KDNK 5.04% (FY06) [2]
Rencana berkaitan
Sejarah Sejarah ketenteraan Singapura
Pangkat Pangkat-pangkat Angkatan Bersenjata Singapura

Angkatan Bersenjata Singapura (bahasa Inggeris: Singapore Armed Forces, singkatan: SAF; Cina: 新加坡武装部队; Tamil: சிங்கப்பூர் ஆயுதப்படை) merupakan angkatan pertahanan negara kota Singapura dikelolakan Kementerian Pertahanan republik tersebut. Ia terdiri daripada tiga cabang iaitu Tentera Singapura, Angkatan Udara Republik Singapura dan Angkatan Laut Republik Singapura.

Angkatan ini amat bergantung pada pasukan askar kerahan dalam angkatan aktif dan simpanan. SAF berupaya mengerah sebanyak 300,000 askar simpanan di samping 72,500 orang tentera yang aktif bagi mempertahankan Singapura.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Peranan ketenteraan Singapura berakar-umbi dari lokasi geografi yang strategik sebagai aset yang diekspolitasi oleh penduduk tempatan dan pendatang asing. Usaha penggalian arkeologi telah menemui saki-baki kubu dan bermacam-macam bentuk pertahanan dari zaman sebelum penjajahan. Sir Stamford Raffles selaku pengasas Singapura moden, memilih pulau Singapura pada tahun 1819 untuk mendirikan jajahan baru yang dilengkapi kepentingan keselamatan Britain di rantau Timur Jauh untuk menentang pihak Belanda. Maka itu, Singapura memainkan peranan utama bagi kepentingan tentera British selama berpuluh-puluh tahun lamanya, terutamanya menjelang perang-perang dunia.

Angkatan Bersenjata Singapura berasaskan Pasukan Sukarelawan Negeri-negeri Selat (Straits Settlements Volunteer Force, SSVF, diasaskan pada tahun 1922), yang juga berakar umbi dari Singapore Volunteer Artillery Corps (SVAC, diasaskan pada tahun 1888). Cogan kata SVAC berbunyi "In Oriente Primus" ("Teraju di Timur" dalam bahasa Latin), yang masih dipakai oleh formasi meriam Tentera Singapura.[3] Pada tahun 1915 pasukan ini membantu meleraikan pemberontakan Sipahi di Singapura.

Ketika Perang Dunia Kedua, SSVF menyertai Pertempuran Singapura tetapi kebanyakan ahli-ahlinya ditangkap pada 15 Februari 1942 apabila kedudukan mereka ditawan. Selepas berakhirnya perang, SSVF dibentuk semula pada tahun 1948, tetapi dibubarkan pada tahun 1954 sementara Pasukan Sukarelawan Singapura (Singapore Volunteer Force, SVF) dalam SSVF digabungkan ke dalam Angkatan Tentera Singapura (pendahulu SAF).

Apabila Singapura merdeka pada tahun 1965, angkatan tentera Singapura hanya terdiri daripada dua rejimen infantri di bawah perintah pegawai British serta terdiri daripada bukan penduduk Singapura. Negara kecil yang dikelilingi jiran-jiran lebih besar ini merasai perlunya untuk mengembangkan angkatan tenteranya. Oleh itu, Singapura secara senyap-senyap menghubungi pihak Israel, agar menghantar penasihat tentera untuk membantu Singapura mendirikan angkatan pertahanan yang berasaskan Pasukan Pertahanan Israel.[4]

Hari Angkatan Bersenjata Singapura disambut pada 1 Julai setiap tahun dengan mengadakan perarakan tahunan.[5]

Dasar pertahanan[sunting | sunting sumber]

Pencegahan dan diplomasi dijadikan rukun-rukun asas dalam dasar pertahanan ketenteraan Singapura. Tahun demi tahun, tenteranya telah mengeratkan jalinan dengan angkatan tentera negara lain. Dewasa ini, penekanan semakin diberikan terhadap tugas pengamanan antarabangsa dan operasi bantuan bencana.

Menurut penganalisa tentera dan strategis, seperti Tim Huxley dalam bukunya yang berjudul Defending the Lion City,[6] Singapura mengamalkan doktrin tentera pertahanan hadapan. Kenyataan akhbar dari Menteri Pertahanan (MINDEF) menyifatkan SAF sebagai pasukan pencegah.[7] SAF menyatakan misinya adalah meningkatkan keamanan dan keselamatan Singapura secara pencegahan dan diplomasi, itupun seandainya tidak berjaya, maka memastikan kemenangan yang pantas dan muktamad terhadap penyerang.[8]

Pertahanan Mutlak[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 1984, konsep Pertahanan Mutlak (Total Defence) diperkenalkan untuk memenuhi keperluannya bukan sahaja dari segi ketenteraan bahkan juga demi seluruh negara, untuk memberi sumbangan dan kerjasama dalam menangani isu-isu pertahanan negara. Konsep yang terdiri daripada lima aspek penting, iaitu: Pertahanan Ketenteraan (Military Defence), Pertahanan Awam (Civil Defence), Pertahanan Ekonomi (Economic Defence), Pertahanan Sosial (Social Defence), and Pertahanan Psikologi (Psychological Defence) ini, giat dipupuk di sekolah-sekolah dan di kalangan masyarakat awam secara tahunan melalui skim, program, kursus dan juga penggunaan media massa untuk menyebarkan mesej.

Organisasi[sunting | sunting sumber]

Angkatan Tentera ini terdiri daripada tiga cabang:

  • Tentera, (tiga Divisyen Senjata Gabungan - Combined Arms Divisions: 3 Div, 6 Div & 9 Div, 2 Divisyen Rizab Operasi Tentera, ke-21 dan ke-25 serta satu komand pertahanan terdiri daripada 2 Pasukan Pertahanan Rakyat)
  • Angkatan Udara (17 skuadron dan 4 markas udara)
  • Angkatan Laut (8 skuadron dan 2 markas laut)

SAF diketuai seorang Panglima Angkatan Pertahanan (Chief of Defence Force, CDF) yang berpangkat Jeneral berbintang tiga serta satu-satunya Jeneral SAF yang boleh dinaikpangkat, beliau diiringi tiga orang ketua cabang angkatan yang berpangkat laksamana atau jeneral berbintang dua (or Major-General/ Rear-Admiral). Melvyn Ong merupakan ketua turus angkatan yang terkini memangku juga kerusi Menteri Pertahanan Republik.

Kerahan tenaga[sunting | sunting sumber]

Bilangan penduduk Singapura yang kecil tidak mengizinkan tenteranya hanya terhad kepada askar biasa. Oleh itu, Perkhidmatan Negara (National Service) dilaksanakan pada tahun 1967 untuk mengumpul sumber tenaga manusia yang diperlukan secara cepat dan jimat kos. Kini, angkatan tentera kerjaya sebanyak 32,700 orang dibantu oleh 39,800 orang askar kerahan tenaga yang aktif bertugas. Sebenarnya, angkatan utama terdiri daripada lebih kurang 350,000 orang Operationally-Ready National Servicemen (ORNSmen).

Dasar SAF terhadap kaum Melayu setempat menjadi titik tengah tengkarah selama ini. Kaum Melayu pernah hampir-hampir dikecualikan dari dikerah mulai bermulanya dasar berkenaan pada tahun 1967 sehingga tahun 1977[9] lalu selepas dasar ini dilonggarkan, kebanyakan mereka ditugaskan untuk berkhidmat dalam angkatan polis dan pertahanan awam (bomba), bukannya sebagai askar[9]. Pada tahun 1987, Lee Hsien Loong (yang ketika itu Menteri Pertahanan Kedua) berkata "Sekiranya berlakunya konflik, dan SAF diseru untuk mempertahankan tanah air, kita tidak ingin mana-mana askar kita mengalami kesukaran kerana perasaannya kepada negara bertentangan dengan ajaran agamanya"[10] sementara dalam The Roar of the Lion City (2007), penganalisa tentera Sean Walsh mendakwa "diskriminasi rasmi terhadap penduduk Melayu kekal sebagai rahsia yang terbuka"[11]. Kementerian Pertahanan menafikan dakwaan dengan menyatakan bahawa adanya "juruterbang, komando dan anggota pertahanan udara Melayu", tambahan pula "perkadaran orang Melayu layak yang dipilih untuk latihan pakar dan pegawai seiras dengan orang bukan Melayu yang layak."[12]

Walaupun kaum wanita dikecualikan dari Perkhidmatan Negara, namun mereka tetap memegang peranan dalam tentera sama ada bertempur atau sebaliknya, termasuk sekali pegawai pertempuran, tatapi kebanyakannya memegang jawatan kerani dan logistik pada masa dahulu[13]. Jawatan-jawatan yang terbuka kepada wanita beransur-ansur bertambah, namun masih terhad[11].

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Singapore's Military Budget & Expenditure 2007
  2. ^ "Singapore Annual Stats". Diarkibkan daripada yang asal pada 2005-03-03. Dicapai pada 2008-12-20.
  3. ^ "History of Singapore Artillery". Ministry of Defence, Singapore. 2006-11-13. Dicapai pada 2008-09-17.
  4. ^ Amnon Brazilai (July 2004). "A Deep, Dark, Secret Love Affair" (reprint). Haaretz.
  5. ^ S. Ramesh (2007-07-01). "SAF remains final guarantor of Singapore's independence". Channel NewsAsia. Dicapai pada 2008-09-17.
  6. ^ Tim Huxley (2000). Defending the Lion City: The Armed Forces of Singapore. St. Leonards, N.S.W.: Allen & Unwin. ISBN 9810491573.
  7. ^ "Speech by Minister for Manpower & Second Minister for Defence Dr Ng Eng Hen, at The International Defence Procurement Conference 2008". Menteri Pertahanan, Singapura. 2008-02-18. Dicapai pada 2008-09-17.
  8. ^ MINDEF - About Us - Mission
  9. ^ a b A Question of Loyalty: Ethnic Minorities, Military Service and Resistance Diarkibkan 2006-09-06 di Wayback Machine oleh Alon Peled, 3 Mac 1993. Seminar Synopses of the Weatherhead Center for International Affairs, Harvard.
  10. ^ Straits Times, 2 April 1987.
  11. ^ a b Sean Walsh (2007). "The Roar of the Lion City: Ethnicity, Gender, and Culture in the Singapore Armed Forces". Armed Forces & Society. 33 (2): 265. doi:10.1177/0095327X06291854.
  12. ^ "US soldier takes potshots at SAF". Today. 2007-03-12. Diarkibkan daripada yang asal pada 2007-07-16. Dicapai pada 2008-09-17.
  13. ^ Singapore: Recruitment and Training of Personnel. Country Studies Series by Federal Research Division of the Library of Congress.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]