Anjing air Portugis

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Anjing Air Algarve)
Anjing air Portugis
Anjing air Portugis
Nama lainAnjing air Algarve
Nama ringkasPortie, PWD, Wa
Negara asalPortugal
Trait
Berat Jantan 19–27 kg (42–60 lb)
Betina 16–23 kg (35–50 lb)
Tinggi Jantan 50–57 cm (20–22 in)
Betina 43–52 cm (17–20 in)
Bulu Keriting atau beralun
Jangka hayat 10–14 tahun
Anjing (Canis lupus familiaris)

Anjing air Portugis[a] berasal dari rantau Algarve di Portugal. Dari sana, baka ini tersebar ke seluruh pinggir laut Portugal, tempat ia diajar untuk menggembala kawanan ikan ke dalam pukat nelayan, untuk mengutip kelengkapan hilang atau pukat rosak, dan untuk bertindak sebagai kurier dari kapal ke kapal atau dari kapal ke pesisir.[1] Anjing air Portugis menumpang di atas kapal pukat tunda pemancing semasa ia menuju dari perairan Atlantik Portugal ke perairan di luar pinggir laut Iceland dengan memancing ikan kod.[2]

Dalam bahasa Portugis, baka ini hanya dipanggil cão de água (IPA: [ˈkɐ̃w dɨ ˈaɡwɐ]; "anjing air"). Di Portugal, anjing ini juga dikenali sebagai anjing air Algarve[b] atau anjing nelayan Portugis.[c] Anjing air berbulu beralun[d] ialah nama yang diberikan kepada keragaman berbulu beralun dan anjing air berbulu keriting[e] ialah nama yang diberikan untuk keragaman berbulu keriting.[3]

Anjing air Portugis ialah baka agak jarang; hanya 36 ekor anjing air Portugis disertakan untuk pertandingan Crufts Britain pada tahun 2013.[4] Sungguhpun sesetengah pembiak baka mendakwa bahawa ia merupakan baka anjing hipoalergenik, tiada bukti saintifik untuk menyokong dakwaan bahawa baka anjing hipoalergenik wujud.[5] Kualiti tanpa salin bulu telah menjadikannya lebih popular pada tahun-tahun terkini. Anjing air Portugis merupakan baka pilihan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, yang mempunyai dua ekor anjing daripada baka ini, Bo dan Sunny.[6] Keluarga Obama memilih Sunny kerana sifat agak hipoalergenik baka ini sementara Bo pula diberikan kepada mereka oleh Senator Ted Kennedy.[7]

Perihal[sunting | sunting sumber]

Anjing air Portugis yang memiliki gaya potongan bulu singa

Anjing air Portugis dan anjing air Sepanyol jelas-jelas berkaitan dan barang kali mempunyai leluhur bersama. Saudara terdekat anjing air Portugis dan anjing air Sepanyol secara meluas dianggap merupakan pudel besar. Seperti pudel dan beberapa baka anjing air lain, anjing air Portugis adalah cerdas, dapat mempunyai lapis bulu keriting, mempunyai jari kaki renang, dan tidak menggugurkan bulu.[8] Walau bagaimanapun, anjing air Portugis terbina dengan lebih teguh, dengan tungkai gempal, dan dapat mempunyai lapis bulu beralun, dan bukannya yang keriting halus. Jika membandingkan strukturnya dengan struktur pudel, terdapat perbezaan ketara antara kedua-dua baka. Anjing air Portugis terbina daripada tulang kuat; cukup terbentuk, tidak halus mahupun kasar, dan tubuh berotot terbina dengan padu. Anjing air Portugis tidak terkeluar daripada bentuk segi empat sama, kerana lebih panjang sedikit daripada ketinggian apabila diukur dari prosternum ke titik paling belakang bagi punggung, dan dari kelasa ke tanah. Mata anjing air Portugis berwarna hitam atau pelbagai cahaya perang, dan lapis bulunya dapat berwarna hitam, pearng, hitam dan putih, atau perang dan putih.

Anjing air Portugis jantan biasanya membesar sehingga kira-kira setinggi 20–23 inci (51–58 cm) dan berukuran seberat 40–60 paun (18–27 kg), manakala betina pula biasanya membesar sehingga kira-kira setinggi 17–21 inci (43–53 cm) dan berukuran seberat 35–50 paun (16–23 kg).[9]

Jenis bulu[sunting | sunting sumber]

Anjing air Portugis mempunyai lapis bulu tunggal yang tidak gugur[10] (lihat salin bulu), dan oleh itu kehadirannya ditoleransi dengan baik sesama ramai orang yang mengalami alahan anjing.[11]

Kebanyakan anjing air Portugis, terutamanya yang ditunjukkan dalam pertunjukan pengakuran, adalah sepenuhnya hitam, hitam dan putih, perang, atau berhujung perak; ada kelaziman untuk melihat tompok-tompok dada putih dan kaki atau tungkai putih pada anjing berlapis bulu hitam atau perang. Anjing "berwarna-warni" atau "berwarna Ireland". Anjing "berwarna-warni" menjadi semakin lazim di Amerika Syarikat. Walau bagaimanapun, di Portugal, piawaian baka tidak mengizinkan lebih daripada 30% tanda putih. Secara keseluruhan, putih ialah warna paling jarang anjing air Portugis, manakala hitam dengan tanda-tanda putih pada dagu ("dagu susu") dan dada ialah warna paling lazim.

Daripada piawaian semakan Portuguese Water Dog Club of America untuk anjing air Portugis terdapat perihal ini tentang dua jenis lapis bulu:[12]

  • Lapis bulu keriting: "Keriting padat, berbentuk silinder, agak pudar. Bulu pada telinga kadang-kadang beralun."[12]
  • Lapis bulu beralun: "Jatuh perlahan-lahan dalam alunan, bukan keriting, dan dengan sedikit kilauan."[12]

Banyak anjing mempunyai bulu corak campuran: keriting di seluruh tubuh tetapi beralun pada ekor dan telinga.[13]

Gaya dandanan[sunting | sunting sumber]

Jika dibiarkan tidak terurus, bulu pada anjing air Portugis akan terus tumbuh tanpa henti. Masalah yang berkaitan dengan ini termasuk bulu di sekeliling mata yang tumbuh dengan terlalu panjang sehingga menghalang penglihatan dan kusutan bulu tubuh, yang dapat menyebabkan kerengsaan kulit. Atas sebab ini, bulu anjing air Portugis mesti dipangkas kira-kira setiap dua bulan dan lapis bulunya mesti diberus setiap hari lain.[14]

Lapis bulunya biasanya terpakai dalam "gaya potongan bulu anjing pengutip" atau "gaya potongan bulu singa".[15]

Gaya potongan bulu singa[sunting | sunting sumber]

Dalam gaya potongan bulu singa, sukuan belakang, muncung, dan pangkal ekor dicukur, dengan hampir-hampir 1/3 daripada bulu ekor yang dibiarkan panjang, yang juga dikenali sebagai bendera, dan selebih tubuh dibiarkan dengan panjang penuh. Gaya potongan bulu tradisional ini berasal dengan anjing nelayan dari Portugal. Gaya potongan bulu singa mengurangkan kejutan awal air sejuk ketika melompat dari bot, serta menyediakan kehangatan pada organ vital. Sukuan belakang dibiarkan tercukur untuk memudahkan pergerakan tungkai belakang dan ekor berkuasa mirip kemudi.[13]

Gaya potongan bulu anjing pengutip[sunting | sunting sumber]

Gaya potongan bulu anjing pengutip adalah sepanjang 1 inci (2.5 cm), sekata pada selebih tubuh (walaupun sesetengah pemilik lebih memilih muncung atau pangkal ekor dengan bulu lebih pendek, sekali lagi, dengan hampir-hampir 1/3 daripada bulu ekor yang dibiarkan panjang, yang juga dikenali sebagai bendera). Gaya potongan ini ialah gaya lebih terkini dan berasal kerana ppembiak baka ingin menjadikan baka ini lebih menarik kepada pembeli. Kadang-kadang pemilik akan menggunting bulu anjing mereka sehingga sangat pendek, terutamanya pada bulan-bulan musim panas, dalam gaya potongan bulu anjing pengutip terubah suai.[13]

Penyuaraan[sunting | sunting sumber]

Anjing air Portugis mempunyai suara berbilang oktaf. Ia cenderung untuk menjadi anjing pendiam walaupun ia memberikan amaran apabila rumah didekati dan ia menyampaikan keinginannya secara vokal dan tingkah laku kepada pemiliknya. Salakannya lantang dan distingtif. Ia mungkin terlibat dalam "cungap ekspresif", dengan membuat bunyi "ha-ha-ha-ha" tersendiri sebagai undangan untuk bermain atau menunjukkan keinginan untuk makanan berdekatan. Ia kadang-kadang merengek.[13]

Kemudahpatuhan, kecerdasan tinggi, dan kecenderungan anjing air Portugis untuk bersuara dan kemudian mencari tuan manusianya apabila penggera spesifik berlaku menjadikannya anjing pendengaran atau anjing bantuan kepekakan unggul. Anjing air Portugis dapat semudahnya dilatih untuk menyalak dengan lantang apabila telefon berdering dan kemudian untuk mencari dan menyedarkannya tuannya yang kurang pendengaran atau pekak.[13]

Perangai[sunting | sunting sumber]

Anjing air Portugis adalah aktif dan cukup sesuai untuk banyak sukan anjing.

Anjing air Portugis adalah penyayang, berdikari, dan cerdas serta mudah dilatih dalam kepatuhan dan kemahiran ketangkasan. Ia pada umumnya ramah terhadap orang asing dan suka dibelai.[13]

Oleh sebab ia merupakan anjing pekerja, anjing air Portugis pada umumnya berpuas hati dengan berada di sisi tuannya, menunggu arahan, dan, jika terlatih, ia sanggup dan mampu menurut arahan rumit. Ia belajar dengan sangat cepat, kelihatannya menikmati latihan dan mempunyai daya ingatan jangka panjang untuk nama-nama objek. Trait-trait ini dan lapis bulu tidak gugur bermakna bahawa ia cemerlang dalam pelbagai peranan anjing khidmat seperti anjing pendengaran (anjing pembantu untuk orang kurang pendengaran), anjing mobiliti, dan anjing gerak balas sawan. Ia juga merupakan anjing terapi yang luar biasa baik.[13]

Anjing air Portugis biasanya berada berdekatan dengan pemiliknya, di ruangan dalaman dan di ruangan luaran. Walaupun ia merupakan haiwan sangat suka berkawan, anjing ini biasanya menjalin ikatan dengan seorang anggota utama keluarga. Sesetengah orang berspekulasi bahawa penjalinan ikatan mendalam ini timbul pada baka ini kerana anjing ini dipilih untuk bekerja berdekatan dengan tuannya di atas bot nelayan kecil, tidak seperti anjing pekerja lain seperti anjing gembala dan anjing air yang menjauh untuk melaksanakan tugas. Walau apa pun, anjing air Portugis moden, sama ada bekerja di atas bot atau dibela sebagai anjing peliharaan atau anjing pekerja, menyukai air dan perhatian dan lebih suka terlibat dalam kegiatan dalam pandangan pasangan manusia. Ini bukan baka yang dapat dibiarkan bersendirian untuk jangka masa lama, di ruangan dalaman atau di ruangan luaran.[perlu rujukan]

Sebagai anjing air, naluri pengutipan anjing air Portugis adalah kuat, yang juga memberi sesetengah anjing kecenderungan untuk menarik-narik dan mengunyah. Anjing air Portugis biasanya melompat-lompat sebagai sapaan. Pemilik boleh memilih untuk membatasi tingkah laku ini. Sesetengah anjing air Portugis mungkin berjalan, melompat, atau "menari" di atas tungkai belakangnya apabila menyapa atau apabila teruja. Sesetengah anjing air Portugis berdiri menegak di atas kaunter dapur dan meja, terutamanya jika menghidu makanan di situ. Tabiat ini dikenali sebagai "counter surfing" ("pelayaran kaunter") dan merupakan ciri baka ini.

Oleh sebab kecerdasan dan dorongan kerjanya, ia memerlukan senaman intensif kerap serta cabaran mental. Ia lemah lembut dan sabar—tetapi bukan pemalas dan kebosanan dapat menyebabkannya menjadi destruktif.[13]

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Pada zaman purba[sunting | sunting sumber]

Seekor anjing air Portugis di tanah airnya, Algarve, Portugal selatan

Anjing air Portugis dan pudel kelihatannya telah dikembangkan daripada takungan genetik purba sama: Pada satu ketika, pudel ialah anjing berlapis bulu lebih panjang, seperti salah satu keragaman anjing air Portugis. Pembiak baka anjing air Portugis berkata bahawa pudel zaman kini, terier biru Kerry, dan spaniel air Ireland mungkin merupakan leluhur bagi "anjing air".[16]

Sejarah moden[sunting | sunting sumber]

Anjing air Portugis ialah baka yang di ambang kepupusan apabila, semasa tahun 1930-an, Vasco Bensaude, seorang usahawan perkapalan kaya Portugis, mula mencari anjing nelayan untuk kegunaan dalam program pembiakbakaan untuk mengasaskan baka ini semula. Kenel milik Bensaude dinamai Algarbiorum dan anjing paling mayshur beliau ialah Leão (1931–1942), seekor anjing pembaka milik nelayan yang sangat menepati jenis (iaitu, mengakuri piawaian), yang dibiakbakakan dengan begitu banyak betina berlainan sehingga kira-kira separuh daripada anjing air Portugis berpedigri yang wujud dapat menjejaki zuriat kembali kepadanya. Bensaude dibantu oleh dua orang doktor haiwan Portugis, Francisco Pinto Soares dan Manuel Fernandes Marques. Kerja beliau diteruskan oleh Conchita Cintron de Castelo Branco, yang kepadanya beliau menyerahkan 17 ekor anjing air Portugis terakhir beliau dan semua arkib beliau.[3]

António Cabral ialah pengasas kenel-kenel Avalade di Portugal. Ch. Charlie de Avalade (Charlie), seekor anjing berlapis bulu perang, dan C. B. Baluarte de Avalade (Balu) merupakan dua ekor banyak anjing air Portugis masyhur milik beliau. Beliau mendaftarkan anjing air Portugis pertama beliau pada tahun 1954 selepas Bensaude merintis pengasasan semula baka ini di Portugal. Cabral bekerja dengan Carla Molinari, Deyanne Miller, Sonja Santos, dan yang lain-lain untuk mengasaskan anjing air Portugis di Amerika Syarikat. "Tanda Cabral" ialah rupa bentuk segi tiga dengan bulu berwarna/bertekstur berbeza yang biasanya sejauh 2–3 inci (5–8 cm) dari pangkal ekor.[perlu rujukan]

Deyanne Miller ialah orang yang paling bertanggungjawab terhadap kebangkitan anjing air Portugis di Amerika. Pada tahun 1972, keluarga Miller, bersama-sama dengan 14 yang lain, membentuk Portuguese Water Dog Club of America, Inc. (PWDCA).[17] Beliau bekerja dengan anjing daripada kedua-dua susur galur Cintron dan Cabral untuk mengasaskan takungan genetik stabil bagi anjing air Portugis di Amerika Syarikat di kenel-kenel Farmion milik beliau. Seorang lagi pembiak baka awal Amerika Syarikat bagi anjing air Portugis ialah pelakon Raymond Burr.[3]

Penyakit genetik[sunting | sunting sumber]

Seperti semua anjing baka tulen, anjing air Portugis terdedah kepada kecacatan genetik tertentu. Oleh sebab takungan gen terbatas untuk baka ini, pembiak baka teliti berhati-hati mengkaji pedigri dan memilih anjing untuk meminimumkan peluang penyakit genetik dan lapis bulu tidak betul. Seperti banyak baka lain, kepopularan yang semakin meningkat telah menggalakkan pembiakbakaan oleh orang yang tidak berpengetahuan tentang baka ini.[perlu rujukan]

Displasia pinggul[sunting | sunting sumber]

Seperti pudel, anjing air Portugsi rentan terhadap displasia pinggul, iaitu masalah kongenital dan perkembangan dengan sendi pinggul.[18] Walau bagaimanapun, risiko anjing air Portugsi untuk menghidap displasia pinggul dapat dikurangkan dengan banyak dengan memeriksa pedigri dan kelegaan kesihatan secara menyeluruh untuk kedua-dua bapa dan ibu anjing berkenaan.

Katarak, atrofi retina progresif, dan distikiasis[sunting | sunting sumber]

Katarak dan atrofi retina progresif merupakan dua penyakit mata yang terdapat pada anjing air Portugis. Atrofi retina progresif, yang menyebabkan "rabun malam", mungkin menyebabkan kebutaan penuh. Ini ialah gen resesif ringkas. Pengujian DNA, yang dikenali sebagai "pengujian optigen", dapat mengenal pasti anjing yang membawa gen untuk atrofi retina progresif. Anjing "normal" atau "A" tidak membawa gen ini. Anjing "pembawa" atau "B" membawa satu salinan gen ini dan tidak akan mengekspresikan penyakit ini, tetapi mewariskan gen ini kepada 50% daripada anaknya. Anjing "terjejas" atau "C" pula mempunyai dua salinan gen atrofi retina progresif dan barang kali akan mengekspresikan penyakit ini sebagai atrofi retina progresif permulaan lewat. Anjing "B" atau "C" patut dibiakbakakan hanya dengan anjing "A" untuk memastikan bahawa mana-mana anak tidak akan mengekspresikan penyakit ini.[perlu rujukan]

Bulu mata mendalam (distikiasis) berlaku pada sesetengah baka bulu keriting, tetapi tidak khususnya lazim pada anjing air Portugis. Bulu mata mendalam akan menggosok mata, lalu menyebabkan pengulseran kornea meluas.[18] Keadaan ini adalah ringan selagi tidak diabaikan dan dapat dirawat melalui pembedahan jika perlu.[perlu rujukan]

Penyakit penyimpanan GM1[sunting | sunting sumber]

Penyakit penyimpanan GM1, iaitu salah satu daripada sekeluarga keadaan yang dipanggil gangliosidosis GM1, ialah kecelaruan genetik resesif yang membawa maut tanpa dapat dielakkan. Ini disebabkan oleh kekurangan beta-galaktosidase, dengan hasil penyimpanan abnormal bagi bahan lipid berasid di dalam sel sistem saraf pusat dan periferi, tetapi khususnya di dalam sel saraf. Oleh sebab anjing air Portugis semuanya berkait rapat antara satu sama lain dan mengongsi takungan gen terbatas, anjing air Portugis yang merupakan pembawa penyakit penyimpanan GM1 dapat dikenal pasti secara genetik dan keadaan ini kini hampir disingkirkan sepenuhnya daripada baka ini.[19] Semua ternakan pembiakbakaan patut diuji untuk penyakit penyimpanan GM-1 atau gangliosidosis GM1, yang merupakan penyakit saraf maut yang biasanya muncul apabila anak anjing berusia hampir-hampir enam bulan. Anak anjing terjejas akan menunjukkan tanda-tanda klinikal bagi disfungsi serebelum termasuk ataksia, geletar, paresis, dan sawan. Haiwan peliharaan juga mungkin menunjukkan perubahan perangai. Lesi retina dan pengaburan kornea mungkin berlaku.[18]

Kardiomiopati terdilat juvenil[sunting | sunting sumber]

Seekor anak anjing air Portugis

Kardiomiopati terdilat juvenil ialah keadaan maut yang disebabkan oleh gen resesif autosom. Anak anjing terjejas mati secara tiba-tiba atau dengan sangat sedikit amaran biasanya pada usia antara enam minggu dengan tujuh bulan. Tanda dan gejala termasuk permulaan 12 hingga 48 jam bagi kehilangan selera makan, paras tenaga menurun, muntah, dan kesukaran pernafasan. Sesetengah anak anjing tidak mempunyai tanda atau gejala fizikal sama sekali, mungkin hanya rebah dan mati, atau ditemukan mati oleh pembiak baka atau pemilik baharu. Pada masa ini, tiada penawar atau rawatan yang diketahui tetapi terdapat satu cara untuk mengelakkan penghasilan anak anjing yang terjejas akibat kardiomiopati terdilat juvenil.[20]

Pembiak baka kini mempunyai ujian berasaskan gen DNA, yang berdasarkan kesatan pipi atau sampel darah, yang akan menentukan sama ada anjing berkenaan ialah pembawa gen untuk kardiomiopati terdilat juvenil. Semua haiwan pembiakbakaan dapat diuji untuk menentukan status, lalu mengelakkan pembiakbakaan dua ekor pembawa.[20] Anak anjing daripada bapa atau ibu tanpa gen ini tidak akan terjejas dengan penyakit maut ini.[20]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Catatan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Jawi: انجيڠ اءير ڤورتوݢيس; Portugis: cão de água português; cão d'água português; bahasa Inggeris: Portuguese water dog
  2. ^ Jawi: انجيڠ اءير الݢرۏي; Portugis: cão de água algarvio; cão d'água algarvio; bahasa Inggeris: Algarvian water dog
  3. ^ Jawi: انجيڠ نلاين ڤورتوݢيس; Portugis: cão pescador português; bahasa Inggeris: Portuguese fishing dog
  4. ^ Jawi: انجيڠ اءير بربولو برالون; Portugis: cão de água de pêlo ondulado
  5. ^ Jawi: انجيڠ اءير بربولو کريتيڠ; Portugis: cão de água de pêlo encaracolado

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Templat:Kutip video
  2. ^ Correa, Paolo (2001). Portuguese Water Dog (Pet Love) (dalam bahasa Inggeris). Interpet Publishing. ISBN 1-903098-75-0.
  3. ^ a b c Braund, Kathryn (1997). The New Complete Portuguese Water Dog (dalam bahasa Inggeris). Howell Bk. ISBN 0-87605-262-6.
  4. ^ "Crufts 2013 Results" (dalam bahasa Inggeris). 2013. Dicapai pada 24 Januari 2024.
  5. ^ Li, James. "Pet allergy: Are there hypoallergenic dog breeds?" (dalam bahasa Inggeris). Mayo Clinic. "There's no such thing as a hypoallergenic dog breed
  6. ^ Leonard, Tom (12 April 2009). "Obamas choose Portuguese water dog called 'Bo'". The Daily Telegraph (dalam bahasa Inggeris).
  7. ^ "World | Obama family 'picks first puppy'" (dalam bahasa Inggeris). BBC News. 12 April 2009. Dicapai pada 24 Januari 2024.
  8. ^ Smith, Red (11 Februari 1980). "The Portuguese Shaggy Dog Story". The New York Times (dalam bahasa Inggeris). ISSN 0362-4331.(langganan diperlukan)
  9. ^ "The Kennel Club" (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 8 Mac 2024.
  10. ^ Go Pets America: Dogs that do not shed - Dicapai pada 8 Mac 2024 (Inggeris)
  11. ^ "Dogs that don't shed: large & small breeds list". www.thekennelclub.org.uk (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 8 Mac 2024.
  12. ^ a b c "Revised Standard for the Portuguese Water Dog" (dalam bahasa Inggeris). Portuguese Water Dog Society of America. 29 September 2008. Dicapai pada 8 Mac 2024.
  13. ^ a b c d e f g h "Portuguese Water Dog - CachorroSeguro.com". www.cachorroseguro.com (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 8 Mac 2024.
  14. ^ "Portuguese Water Dog Club of America" (dalam bahasa Inggeris). 2 Mac 2019.
  15. ^ "PWD Grooming Guides" (dalam bahasa Inggeris). Portuguese Water Dog Society of America. 31 Mac 2009. Dicapai pada 8 Mac 2024.
  16. ^ "History". Portuguese Water Dog Club of America (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 8 Mac 2024.
  17. ^ Anjing air Portugis menjadi terkenal sebagai "anjing singa" kerana penampilan gaya potongan bulu ini: Kathryn Braund & Deyanne Farrell Miller (1986). "History of the Portuguese Water Dog". The Complete Portuguese Water Dog (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 27 Mac 2013.
  18. ^ a b c "Portuguese Water Dogs," Susan Muller-Esnault, DVM. 20 Januari 2009. Dicapai pada 8 Mac 2024. http://www.critterology.com/articles/portuguese-water-dogs Diarkibkan 16 April 2010 di Wayback Machine
  19. ^ G.K. Saunders; P. A. Wood; R. K. Myers; L. G. Shell; R. Carithers (1988). "GM1 gangliosidosis in Portuguese water dogs: pathologic and biochemical findings". Veterinary Pathology (dalam bahasa Inggeris). American College of Veterinary Pathologists. 25 (4): 265–269. doi:10.1177/030098588802500403. PMID 3136586. S2CID 26606832.
  20. ^ a b c "Health Issues". www.pwdca.org (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 8 Mac 2024.

Bacaan lanjut[sunting | sunting sumber]

  • Foster, Verne K. Portuguese Water Dog: A Guide for the New Owner (dalam bahasa Inggeris) (ed. ke-1). vkfosterPublishing. ISBN 978-0997506402.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]