Barbet (baka anjing)

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Anjing Air Perancis)
Barbet
Nama lainAnjing air Perancis
Negara asalPerancis
Trait
Tinggi Jantan 58–65 cm (23–26 in)
Betina 53–61 cm (21–24 in)
Bulu tebal, panjang, bak wul, beralun, keriting
Warna hitam padu, kelabu, perang, perang kekuning-kuningan, perang kekuning-kuningan pudar, putih, atau pied
Anjing (Canis lupus familiaris)

Barbet[a] atau anjing air Perancis[b] ialah satu baka anjing air Perancis. Ia merupakan baka jarang. Nama baka ini berasal daripada perkataan bahasa Perancis barbe, yang memaksudkan "janggut".

Perihal[sunting | sunting sumber]

Penampilan[sunting | sunting sumber]

Dua ekor barbet betina

Barbet ialah anjing air prototaip dengan lapis bulu keriting wul panjang.[1] Lapis bulunya tumbuh secara berterusan dan mesti dipangkas dan didandani dengan kerap. Jika sebaliknya, lapis bulunya dapat menjadi kusut.[2][3]

Kebanyakan barbet, terutamanya yang ditunjukkan dalam pertunjukan pengakuran, berwarna hitam atau perang, kadang-kadang dengan tanda-tanda putih.[4] Warna-warna jarang lain termasuk perang kekuning-kuningan, kelabu, pari, creme, dan pied.[1]

Barbet jantan biasanya setinggi 21–25 in (53–64 cm) dan seberat 40–60 lb (18–27 kg), sementara betina pula biasanya mencapai setinggi 20–23 in (51–58 cm) dan seberat 30–50 lb (14–23 kg).

Perangai[sunting | sunting sumber]

Barbet diperihalkan sebagai baka yang ramah, patuh, dan cerdas. Oleh sebab sejarahnya sebagai anjing air, banyak barbet gemar berenang dan bermain di dalam air.[3]

Ia merupakan anjing pengutip berkemampuan untuk pemburuan unggas air. Di Perancis, barbet dapat menjalani test d'aptitude naturelles (TAN, "ujian aptitud semula jadi"), iaitu ujian asasi pengutipan air, dan baru-baru ini telah diizinkan untuk menyertai brevet de chasse a l'eau (BCE, "kelayakan perburuan di dalam air"), iaitu ujian umum anjing pemburu yang melibatkan ujian padang dan ujian air. Di Jerman, barbet menyertai ujian padang.

Kesihatan[sunting | sunting sumber]

Barbet ialah baka agak sihat dengan jangka hayat sebanyak 13 hingga 15 tahun. Oleh sebab kejarangan baka ini, terdapat data terbatas tentang kebimbangan spesifik baka. Ia dapat menghidap displasia pinggul, epilepsi, dan, seperti kebanyakan anjing bertelinga panjang, terdedah terhadap jangkitan telinga.[3]

Barbet ialah baka jarang, yang membatasi keragaman genetik yang tersedia. Sebuah kajian tahun 2006 mendapati pekali pembiakbakaan dalam sebanyak 12.4%, yang lebih tinggi sedikit daripada lapan baka lain Perancis yang diperiksa dalam kajian,[5] sementara sebuah kajian tahun 2013 pula mendapati pekali sebanyak 9.1%, yang juga sangat tinggi.[6]

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Barbet dari sekitar 1915

Barbet seperti yang dikenali kini ialah perkembangan baka agak jarang dan baharu. Selama berabad-abad, baka ini wujud dalam pelbagai bentuk, kadang-kadang berguna sebagai anjing pendamping atau anjing pengawal, tetapi lebih kerap digunakan sebagai anjing penggarah atau anjing pekerja serba sedia. Istilah barbet beransur-ansur menjadi nama generik untuk mana-mana anjing dengan lapis bulu keriting dan/atau wul panjang.[7] Barbet mungkin paling terkenal sebagai pengutip buruan sang pemburu, dihargai oleh pemburu itik, angsa, dan unggas lain di rawa, di tanah lembap, di muara, dan di kawasan pinggir laut di Perancis.[8] kerja basah dan kotor ini akhirnya menghasilkan ungkapan "berlumpur seperti barbet", yang dipopularkan pada abad ke-19. Pada antara lewat abad ke-18 dengan awal abad ke-19, anjing sejenis dikenali sebagai barbet di Perancis, barbone di Itali, dan Pudel di Jerman; di samping itu, selama hampir seratus tahun, barbet dan pudel dianggap sebagai baka sama.[9]

Seperti banyak yang lain, baka ini hampir pupus selepas Perang Dunia Kedua. Pada tahun 1970-an, para pembiak baka Perancis mencuba untuk menghidupkan baka ini semula.[10] Di Perancis, terdapat 307 ekor barbet yang didaftarkan pada antara tahun 1975 dengan tahun 2001.[5] Oleh sebab pembiakbakaan silang dengan pudel besar dan baka-baka lain, barbet moden jelas lebih tinggi berbanding dengan baka bersejarah. Anjing yang memiliki lebih unsur pudel juga cenderung untuk mempunyai gelungan lebih kecil dan lebih halus.[3]

Ia tersenarai dalam Kumpulan 8 (anjing pengutip, anjing penggarah, dan anjing air) oleh Société Centrale Canine dan Persekutuan Kinologi Antarabangsa serta kategori baka serupa, iaitu anjing "sukan", dalam kelab-kelab kenel Amerika Utara. Ia diperkenalkan ke Amerika Syarikat pada tahun 1994 dan diiktiraf oleh American Kennel Club pada tahun 2020.[2]

Di Great Britain[sunting | sunting sumber]

Barbet kelahiran United Kingdom

Barbet pertama, seekor jantan, dibawa ke United Kingdom pada tahun 2001, walaupun ia tidak membiak. Pada tahun 2007, dua ekor betina tidak berkaitan dibawa masuk dari Perancis;[10] majoriti barbet yang pada masa ini di United Kingdom merupakan keturunan anjing-anjing ini. Sejak itu, contoh lanjut bagi baka ini telah diimport dari Perancis, Belanda, Kanada, Poland, dan Sweden.

Pada April 2018, barbet menjadi baka ke-220 yang diiktiraf oleh The Kennel Club United Kingdom dan barbet kini dapat ditunjukkan dalam kelas-kelas Daftar Import dalam semua pertunjukan anjing United Kingdom yang diadakan di bawah peraturan The Kennel Club. Barbet yang lahir di United Kingdom sebelum tarikh ini didaftarkan di Perancis oleh Société Centrale Canine (SCC), anggota gabungan kebangsaan Persekutuan Kinologi Antarabangsa (FCI). Terdapat secara purata hanya satu atau dua perinduk kelahiran British yang lahir setiap tahun. Pada tahun 2018, terdapat hampir-hampir 140 ekor barbet yang tinggal di United Kingdom.

Majoriti barbet di United Kingdom dibela sebagai anjing peliharaan, walaupun sebilangan kecil digunakan dengan kerap sebagai gundog, anjing ketangkasan, dan untuk kerja pencarian dan penyelamatan; ia juga dapat menyertai pertunjukan pengakuran di United Kingdom dan di negara anggota FCI, dengan dua ekor barbet British yang mencapai status Juara Perancis pada tahun 2014.

Barbet terkenal=[sunting | sunting sumber]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Catatan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Jawi: بربي, Sebutan bahasa Melayu: [barbe]; Perancis: barbet
  2. ^ Jawi: انجيڠ اءير ڤرنچيس; bahasa Inggeris: French water dog

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b "Barbet - Dog Breed Information". American Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 13 April 2024.
  2. ^ a b Green, Ranny (2 Januari 2020). "Meet the Barbet Dog Breed". American Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 13 April 2024.
  3. ^ a b c d Kempemo, Elisabeth Roest; Waller-Rengelink, Brigitte (24 Oktober 2014). The Barbet Revealed: Getting under the curls of the ancient French water dog (dalam bahasa Inggeris). Dog Eared Pages. ISBN 978-90-822188-1-7.
  4. ^ "About the Barbet". French Water Dog (dalam bahasa Inggeris).
  5. ^ a b Leroy, G.; Rognon, X.; Varlet, A.; Joffrin, C.; Verrier, E. (11 Januari 2006). "Genetic variability in French dog breeds assessed by pedigree data". Journal of Animal Breeding and Genetics (dalam bahasa Inggeris). 123 (1): 1–9. doi:10.1111/j.1439-0388.2006.00565.x. ISSN 0931-2668. PMID 16420259.
  6. ^ Leroy, Grégoire; Mary-Huard, Tristan; Verrier, Etienne; Danvy, Sophie; Charvolin, Eleonore; Danchin-Burge, Coralie (2 Januari 2013). "Methods to estimate effective population size using pedigree data: Examples in dog, sheep, cattle and horse". Genetics Selection Evolution (dalam bahasa Inggeris). 45 (1): 1. doi:10.1186/1297-9686-45-1. ISSN 1297-9686. PMC 3599586. PMID 23281913.
  7. ^ Gayot, Eugene (1867). Le chien: histoire naturelle, races d'utilité et d'agrément (dalam bahasa Perancis). Perancis: Firmin-Didot.
  8. ^ De La Rue, A. (1881). Le chiens D'Arret – Francais et Anglais (dalam bahasa Inggeris). Paris, Perancis: Librairie Firmin-Didot et Cie.
  9. ^ Cuvier, Georges (1827). The Animal Kingdom Arranged in Conformity with Its Organization (dalam bahasa Inggeris). London, United Kingdom: William Clowes and Sons. ISBN 978-1-108-04958-0.
  10. ^ a b "A concise history of the barbet". The Barbet Club of GB (dalam bahasa Inggeris). 2 Julai 2022. Dicapai pada 13 April 2024.
  11. ^ FRESNAIS, Raphaël (22 Disember 2023). "L'histoire de Moustache, ce chien caennais héros de la bataille d'Austerlitz révélée dans un livre". Ouest-France.fr (dalam bahasa Perancis).

Pautan luar[sunting | sunting sumber]