Terier Airedale

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Anjing Airedale)
Terier Airedale
Nama lainTerier Waterside
Terier Bingley
Nama ringkasAnjing Airedale
Airedale
Raja terier
King of terriers
Negara asalEngland
Trait
Berat Jantan 40–50 paun (18–23 kg)
Betina 35–40 paun (16–18 kg)
Tinggi Jantan 23–24 inci (58–61 cm)
Betina 22–23 inci (56–58 cm)
Bulu Putus-putus
Warna Pelana hitam dengan telinga, tungkai, dan kepala sawo matang; Pelana grizzle, juga mahogani, sawo matang diterima. Sesetengah putih pada dada diterima.
Saiz perinduk 9 ekor anak anjing
Jangka hayat 10–12 tahun
Anjing (Canis lupus familiaris)

Terier Airedale,[a] kerap disingkatkan kepada airedale, juga terier Bingley[b] dan terier Waterside,[c] ialah satu baka anjing daripada jenis terier yang berasal dari lembah (dale) Sungai Aire, di West Riding di Yorkshire, England.[1] Ia secara tradisional dipanggil "Raja Terier" kerana ia merupakan baka terier terbesar. Airedale dibiakbakakan daripada terier hitam dan sawo matang lama Inggeris dan anjing pemburu berang-berang dan barang kali baka-baka terier lain dan telah menyumbang kepada baka-baka anjing lain, seperti terier Yorkshire.

Baka ini yang pada asalnya untuk berkhidmat sebagai anjing pemburu serba guna dan anjing pekerja ladang serba sedia juga telah digunakan sebagai anjing perang, anjing pemandu, dan anjing polis di Britain. Di Amerika Syarikat, baka ini telah digunakan untuk memburu buruan besar, unggas tanah tinggi, dan unggas air, dan berkhidmat dalam banyak peranan kerja lain.

Perihal[sunting | sunting sumber]

Terier Airedale

Penampilan[sunting | sunting sumber]

Terier Airedale yang sedang dihakimi dalam pertunjukan anjing

Airedale ialah terier British terbesar. Ia berukuran seberat 19–25 kilogram (42–55 lb) dalam keadaan sihat dan mempunyai ketinggian pada paras kelasa sebanyak 58–61 sentimeter (23–24 in) untuk jantan dengan betina yang lebih kecil sedikit.[2] Piawaian American Kennel Club menetapkan anjing lebih kecil sangat sedikit. Airedale lebih besar, yang sehingga 55 kilogram (121 lb) kadang-kadang daapt ditemukan di Amerika Utara. Ia kadang-kadang dirujuk sebagai "oorang" sempena nama kenel di Ohio pada awal tahun 1900-an yang menghasilkan variasi jauh lebih besar ini, atau terier Roosevelt.[3]

Airedale mempunyai lapis bulu hitam dan sawo matang sederhana panjang dengan lapis bulu atas kasar dan lapis bulu bawah lembut. Ia merupakan baka berwaspada dan bertenaga, yang "tidak agresif tetapi tidak gentar".[2] Airedale jenis "Oorang" yang lebih besar telah didakwa lebih bersemangat daripada airedale piawaian baka yang lebih kecil, tetapi ini tidak semestinya begitu. Jenis besar telah digunakan untuk pemburuan buruan besar dan sebagai penjaga keluarga atau sebagai anjing peliharaan, tetapi biasanya menunjukkan prestasi buruk dalam pertunjukan pengakuran AKC (American Kennel Club). Jenis lebih besar ini juga jelas lebih terdedah kepada displasia pinggul berbanding dengan airedale piawai.

Bulu[sunting | sunting sumber]

Seperti banyak terier, baka ini mempunyai lapis bulu 'putus-putus', yang keras dan mirip dawai. Ini bertujuan untuk dikekalkan tidak panjang sehingga kelihatan kusut-masai dan terbentang lurus dan rapat, sehingga menutup tubuh dan tungkai. Lapis bulu luarnya adalah keras, mirip dawai, dan kaku; lapis bulu bawah pula lebih lembut. Lapis bulu paling keras adalah berkedut atau hanya sedikit beralun. Lapis bulu lembut keriting sangat tidak diingini.

Lapis bulunya lazimnya dipanggil hipoalergenik, tetapi kajian belum menemukan perbezaan ketara bagi paras alergen antara airedale dengan anjing lain.[4]

Airedale yang mempunyai lapis bulu bawah pada umumnya didandani dengan pelucutan tangan, iaitu apabila pisau kecil bermata bergerigi digunakan untuk mencabut bulu longgar daripada lapis bulu anjing berkenaan.[5] Kebanyakan airedale memerlukan pengguntingan atau pelucutan kerap (6 hingga 8 minggu) kerana bulunya tidak gugur.

Piawaian baka AKC menyatakan bahawa warna lapis bulu betul ialah sama ada pelana hitam, dengan kepala, telinga, dan tungkai sawo matang; atau pelana grizzle gelap (hitam bercampur dengan kelabu dan putih). Grizzle yang merupakan campuran bulu merah dalam warna hitam, kerap pada kawasan belakang sebelum ekor kerap merupakan lapis bulu paling baik dan paling kasar. Walau bagaimanapun, terdapat contoh airedale berlapis bulu hitam dan "merah" (sawo matang) yang tidak piawai. Terdapat juga airedale berlapis bulu pendek jenis "garis merah", yang serupa dari segi penampilan dengan airedale zaman awal semasa lapis bulu baka ini adalah lebih pendek. Walaupun dengan lapis bulu lebih pendek, ia masih mempunyai lapis bulu luar keras sama mirip dawai dengan lapis bulu bawah lembut dan memenuhi kriteria piawaian baka.

Ekor[sunting | sunting sumber]

Ekor terier Airedale ini adalah semula jadi (tidak terpotong)

Secara tradisional, ekor gebunya adalah panjang dan tegak. Di kebanyakan negara Eropah dan di Australia, pemotongan ekor anjing dilarang oleh undang-undang melainkan untuk faedah anjing (cth., jika ekornya patah). Ini telah menyebabkan kemunculan ekor spits pada sesetengah anjing. Pembiakbakaan terpilih patut menyaksikan perubahan ini dari semasa ke semasa dan ekor sedikit melingkar ke atas belakang yang diperlukan sekali lagi menjadi lazim.

Di bahagian lain dunia, ekor airedale pada umumnya dipotong dalam tempoh lima hari selepas kelahiran, tetapi ini tidak dianggap sebagai kelaziman piawaian baka. Untuk menunjukkan airedale di Amerika Syarikat, piawaian rasmi AKC menyatakan bahawa "Pangkal ekor patut terletak jauh di atas pada belakang. Ekornya patut terangkat dengan riang tetapi tidak melingkar ke atas belakang. Ekornya patut mempunyai kekuatan baik dan isi dan panjang adil."

Saiz[sunting | sunting sumber]

Airedale berukuran seberat hampir-hampir 50–80 paun (23–36 kg) kerana aktif dan cukup tangkas untuk berprestasi baik, sementara tidak terlalu kecil untuk berfungsi sebagai pencegah fizikal, anjing pengutip, atau anjing pemburu. Sesetengah pembiak baka telah menghasilkan terier Airedale lebih besar, seperti airedale Oorang yang dikembangkan pada tahun 1920-an.[6]

Majalah bulanan bekas kapten tentera darat dan pembiak baka airdale Walter Lingo, "Oorang Comments" (#25, halaman 81), menyatakan bahawa "Apabila dewasa, anjing airedale anda akan berukuran seberat empat puluh hingga lima puluh lima paun dan, jika betina, berukuran kurang berat sedikit. Ini ialah berat piawai, tetapi apabila perlu, kami boleh melengkapi airedale terlebih saiz yang beratnya antara enam puluh dengan seratus paun." Oleh sebab Lingo mencuba untuk memenuhi pesanan untuk semua orang, saiz strain Oorang tidak pernah diseragamkan. Airedale yang seberat 40–100 paun (18–45 kg) dihasilkan, tetapi sebahagian besarnya hampir-hampir seberat 50 paun (23 kg) dan setinggi 22–24 inci (56–61 cm) pada paras bahu. Di Amerika Syarikat, airedale jantan berukuran seberat 40–70 paun (18–32 kg) dengan strain Oorang yang biasanya dalam julat 80–120 paun (36–54 kg).

Perangai[sunting | sunting sumber]

Airedale dapat digunakan sebagai anjing pekerja dan juga sebagai anjing pemburu. Airedale mempamerkan sesetengah ciri penggembalaan juga dan mempunyai kecenderungan untuk mengejar haiwan. Ia tidak mempunyai masalah untuk bekerja dengan lembu dan haiwan ternakan. Walau bagaimanapun, airedale yang tidak terlatih dengan baik akan mengganggu dan menjengkelkan haiwan tersebut.

Terier Airedale, seperti kebanyakan terier, telah dibiakbakakan untuk berburu secara berdikari. Hasilnya, anjing ini sangat cerdas, berdikari, berfikiran kental, tabah, dan kadang-kadang degil. Jika kanak-kanak dan airedale kedua-duanya dilatih dengan betul, airedale dapat menjadi pilihan terbaik untuk anjing keluarga. Airedale dapat berkelakuan baik dengan kucing dan haiwan kecil lain, terutamanya apabila dibesarkan bersama dengan haiwan-haiwan tersebut. Ia juga sangat setia kepada pemiliknya.

Albert Payson Terhune menulis mengenai airedale:

"Di tengah-tengah lubang-lubang lombong Aire, pelbagai kumpulan pelombong masing-masing berusaha untuk mengembangkan anjing yang dapat mengalahkan anjing pelombong lain dalam pertarungan dan perburuan dan pemikiran. Ujian kebaikan nama pertama dibuat dalam pertarungan anjing antara lombong. Sedikit demi sedikit, oleh itu, anjing aktif, kuat, heroik, sepadatnya anggun, dan pintar berkembang – bentuk sejati terawal airedale. Ia laju, menggerunkan, anggun, bergeliga, sahabat dan penjaga unggul. .... Kepada tuannya ia sahabat penuh kasih. Kepada perompak ia panah petir pemusnah."

Terier Airedale menempati tangga ke-37 dalam The Intelligence of Dogs karya Stanley Coren sebagai anjing pekerja di atas purata.

Kesihatan[sunting | sunting sumber]

Seekor anak anjing muda

Terier Airedale dalam tinjauan United Kingdom, Amerika Syarikat, dan Kanada mempunyai jangka hayat median sebanyak kira-kira 11.5 tahun,[7] yang serupa dengan baka lain dengan saiznya.[8]

Dalam tinjauan The Kennel Club United Kingdom tahun 2004, punca paling umum bagi kematian merupakan kanser (39.5%), usia lanjut (14%), masalah urologi (9%), dan masalah jantung (7%).[9] Dalam tinjauan kesihatan Amerika Syarikat/Kanada tahun 2000–2001, punca paling umum bagi kematian merupakan kanser (38%), masalah urologi (17%), usia lanjut (12%), dan masalah jantung (6%).[10] Ini ialah baka sangat tahan lasak, walaupun sesetengah anjing mungkin menderitai masalah mata, displasia pinggul, dan jangkitan kulit.

Terier Airedale dapat terjejas akibat displasia pinggul tetapi ini jarang jika tidak disenamkan secara berlebihan sebagai anak anjing. Seperti kebanyakan terier, ia mempunyai kecenderungan terhadap dermatitis. Gangguan kulit mungkin terbiar tanpa disedari pada terier Airedale, kerana bulu keras, padat, dan mirip dawai. Kulit gatal mungkin muncul sebagai dermatitis jilatan akral (yang juga dikenali sebagai granuloma jilatan; disebabkan oleh penjilatan satu kawasan secara berlebihan) atau dermatitis lembap akut atau "tompok panas" (tompok kulit amat gatal, meradang, dan meleleh, yang diperparah oleh penjilatan dan pengunyahan kuat). Alahan, ketidakseimbangan pemakanan, dan kelenjar tiroid yang kurang/terlalu produktif merupakan punca utama bagi keadaan kulit.

Lapis buku terier Airedale pada asalnya direka untuk melindungi anjing berkenaan daripada pemangsanya—lapis bulunya direka untuk keluar di dalam kuku pemangsa yang merupakan buruan tujuan anjing ini, lalu menjadikan anjing berkenaan tidak tercedera. Oleh sebab itu, sesetengah bentuk dermatitis kulit dapat bergerak balas terhadap pelucutan lapis bulu dengan tangan. Pengguntingan lapis bulu menanggalkan bulu mati, lalu meninggalkan akar mati di dalam folikel bulu. Akar mati inilah yang dapat menyebabkan kerengsaan kulit. Walau bagaimanapun, pelucutan dengan tangan menanggalkan akar mati ini daripada kulit dan merangsang pertumbuhan baharu.[5]

Volvulus pendilatan gastrik, yang juga dikenali sebagai kembung, menjejaskan terier Airedale. Perut dapat memluas dan menyekat esofagus, lalu menyebabkan pengumpulan gas dan membawa kepada keruntuhan kardiovaskular dan kematian. Tanda-tanda kembung termasuk sakit perut, percubaan muntah sia-sia, dan peningkatan peliuran. Kembung biasanya berlaku apabila anjing berkenaan bersenam terlalu awal selepas makan. Ia makan sehingga 4–6 cawan makanan pada satu masa.

Oleh sebab sifat stoik baka ini, kecederaan dapat terbiar tanpa disedari buat sementara waktu kerana anjing berkenaan tidak memberikan tanda-tanda jelas bagi kesakitan atau distres seperti merengek. Sebagai contoh, tanda pertama luka pada kaki mungkin kepincangan atau pengutamaan kaki itu selama beberapa hari selepas kecederaan sebenar, jadi pemilik patut menyedari pergerakan biasa haiwan peliharaan mereka untuk mengesan ketidaknalaran. Penjilatan berlebihan bagi suatu tempat juga mungkin menunjukkan masalah selain keadaan kulit yang yang tersenarai di atas.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Thunder, seekor terier Bingley dan salah seekor pengasas terier Airedale, daripada The Illustrated Book of the Dog, London/New York 1881

Airedale, sebuah lembah (dale) di West Riding of Yorkshire, yang dinamai sempena Sungai Aire yang mengalir melaluinya, ialah tempat kelahiran baka ini. Pada pertengahan abad ke-19, orang kelas pekerja menghasilkan terier Airedale dengan menyilangkan terier hitam dan putih berbulu kasar lama Inggeris dengan anjing pemburu berang-berang dan pelbagai baka lain. Pada tahun 1886, The Kennel Club England secara formal mengiktiraf baka terier Airedale.

Pada tahun 1864, ia dipamerkan buat kali pertama dalam pertunjukan anjing kejuaraan yang ditaja oleh Persatuan Pertanian Airedale. Ia dikelaskan atas nama berbeza, termasuk terier berbulu kasar, terier Bingley, dan terier Waterside. Pada tahun 1879, penggembar baka berkeputusan untuk memanggil baka ini terier Airedale, nama yang diterima oleh The Kennel Club (England) pada tahun 1886.

Pemburu berada pada zaman itu biasanya diiringi oleh sekawan hound dan beberapa ekor terier, kerap membawa kedua-duanya bersama-sama. Hound menghidu dan mengejar buruan dan terier pula "memasuki tanah" atau masuk ke dalam lubang haiwan buruan dan membunuh haiwan itu. Terier kerap menjadi anjing sukan pilihan untuk orang kebanyakan. Terier sukan awal perlu bersaiz cukup besar untuk mengatasi buruan, tetapi tidak begitu besar sehingga terhalang daripada bergerak melalui sarang bawah tanah haiwan buruan. Hasilnya, terier ini perlu mempunyai tahap keberanian sangat tinggi dan kegalakan untuk bersemuka dengan musuh di dalam sarang bawah tanah sempit dan gelap tanpa bantuan manusia pengendali.

Terier Airedale sekitar 1915

Semasa pertengahan abad ke-19, acara sukan biasa berlangsung di sepanjang Sungai Aire. Dalam acara ini, terier mengejar tikus sungai besar yang menghuni kawasan itu. Terier dinilai berdasarkan keupayaannya untuk menemukan lubang "hidup" di tebing sungai dan kemudian, selepas tikus dihalau dari lubangnya oleh feret yang dibawa bersama untuk tujuan itu, terier mengejar tikus itu melalui air sehingga dapat melakukan pembunuhan. Semakin acara ini menjadi lebih popular, permintaan timbul untuk terier yang dapat menjadi cemerlang dalam aktiviti ini. Sejenis terier sedemikian dikembangkan melalui penyilangan bijak terier hitam dan putih dan anjing bull and terrier yang popular pada masa itu dengan anjing pemburu berang-berang. Hasilnya ialah anjing bertungkai panjang yang tidak lama kemudian berkembang menjadi anjing yang dikenali kini sebagai terier Airedale. Watak ini terlalu besar untuk "memasuki tanah" dengan cara terier pekerja lebih kecil; walau bagaimanapun, ia bagus dalam segala-galanya yang lain yang dijangkan daripada terier sukan, dan ia khususnya mahir dalam kerja air. Terier besar ini mempunyai bakat lain selain kemahirannya sebagai pemburu tikus. Oleh sebab warisan hound-nya, ia dilengkapi dengan baik untuk menghidu bau buruan dan oleh sebab saiznya, ia dapat menumbangkan haiwan lebih besar. Ia menjadi lebih seperti terier pelbagai guna yang dapat mengejar buruan dengan kebolehan penghiduan kuat, dilatih untuk menunggu senapang, dan diajar untuk mengutip. Saiz dan perangainya menjadikannya seorang penjaga ladang dan rumah berkemampuan. Salah satu kegunaan terier Airedale awal yang berwarna-warni, namun kurang mematuhi undang-undang, adalah untuk membantu tuannya dalam pemburuan haram di estet-estet besar yang tidak boleh dimasuki oleh orang kebanyakan. Arnab, kelinci, dan unggas adalah sangat banyak dan airedale dapat diajar untuk mengutip buruan yang dibunuh oleh tuannya, atau mengejar, membunuh, dan membawanya kembali sendirian.

Import pertama terier Airedale ke Amerika Utara adalah pada tahun 1880-an. Airedale pertama yang datang ke pantai Amerika bernama Bruce. Selepas ketibaannya pada tahun 1881, Bruce memenangi kelas terier dalam pertunjukan anjing New York.

Seekor terier Airedale yang duduk

Patriark baka ini dianggap sebagai CH Master Briar (1897–1906). Dua ekor anak jantannya, Crompton Marvel dan Monarch, juga membuat sumbangan penting kepada baka ini.[11]

Pendaftaran pertama di Kanada direkodkan dalam buku pembaka tahun 1888–1889.

Pada tahun 1910, ATCA (Airedale Terrier Club of America) menawarkan Airedale Bowl sebagai trofi abadi, yang berterusan sehingga kini. Trofi ini kini dipasang pada tapak alas kayu keras, membawa plat ukiran dengan nama ratusan anjing yang telah dianugerahi Best of Breed dalam National Specialties.

Airedale digunakan secara meluas dalam Perang Dunia Pertama untuk membawa pesanan kepada askar di belakang barisan musuh dan mengangkut surat. Ia juga digunakan oleh Palang Merah untuk menemukan askar tercedera di medan perang. Terdapat banyak kisah tentang airedale yang menyampaikan pesanan walaupun mengalami kecederaan parah. Seekor airedale bernama "Jack" berlari melalui setengah batu dalam tembakan musuh, dengan pesanan yang dicantumkan pada kolarnya. Ia tiba di ibu pejabat dengan rahang patah dan sebatang tungkai yang patah teruk, dan sejurus selepas ia menyerahkan pesanan itu, ia mati rebah di hadapan penerimanya.[12][13]

Leftenan Kolonel Edwin Hautenville Richardson [Wikidata] bertanggungjawab atas perkembangan anjing utusan dan anjing pengawal dalam Tentera Darat British. Beliau, bersama isteri, mengasaskan Sekolah Anjing Perang British di Shoeburyness di Essex, England. Pada tahun 1916, mereka menyediakan dua ekor airedales (Wolf dan Prince) untuk digunakan sebagai pembawa pesanan. Selepas kedua-dua anjing membuktikan diri dalam pertempuran, airedale diberi lebih banyak tugas, seperti pencarian askar tercedera di medan perang, iaitu idea yang diperoleh daripada pihak Palang Merah.

Sebelum penggunaan anjing gembala Jerman sebagai anjing pilihan untuk penguatkuasaan undang-undang dan kerja pencarian dan penyelamatan, terier Airedale kerap menggalas peranan ini.

Pada tahun 1906, Richardson mencuba untuk menarik minat pihak Polis British untuk menggunakan anjing untuk mengiringi pegawai, untuk perlindungan semasa rondaan pada waktu malam. Encik Geddes, Ketua Pengurus Barangan untuk Hull Docks di Yorkshire, diyakinkan selepas beliau menyaksikan kerja mengagumkan oleh anjing polis di Belgium. Geddes meyakinkan Superintendan Dobie dalam Polis Kereta Api Timur Laut, untuk mengatur rancangan untuk mengawal limbungan. Terier Airedale dipilih untuk tugas sebagai anjing polis kerana kecerdasan, kebolehan penghiduan bagus, dan lapis bulu keras mirip dawai yang mudah dijaga dan dibersihkan. Ia dilatih di Hull untuk menyerang orang yang tidak berpakaian seragam yang dapat menyebabkan masalah kepada pengendalinya semasa tidak bertugas. Empat ekor anjing pertama memulakan rondaan di Hull Docks pada tahun 1908 dan skim itu kemudiannya dilanjutkan ke limbungan lain yang dikawal oleh Polis Kereta Api Timur Laut.[14]

Pada permulaan Perang Jepun-Rusia pada tahun 1904, kedutaan besar Rusia di London menghubungi Lt. Kolonel Richardson untuk mendapatkan bantuan untuk memperoleh anjing untuk Tentera Darat Rusia, yang dilatih untuk membawa orang tercedera dari medan perang. Beliau mengutus terier, kebanyakannya terier Airedale, untuk perkhidmatan komunikasi dan pembersihan. Walaupun import asli ini terkorban, terier Airedale diperkenalkan semula ke Rusia pada awal tahun 1920-an untuk kegunaan oleh Tentera Merah. Unit anjing khidmat khas diwujudkan pada tahun 1923 dan terier Airedale digunakan sebagai anjing perobohan, anjing pengawal, anjing penjejak polis, dan anjing mangsa.[15]

John Jacob Astor IV dengan terier beliau Kitty

Semasa tahun 1930-an, apabila airedale diternak seperti haiwan ternakan, Kapten Walter Lingo, dari LaRue, Ohio, mengembangkan strain airedale Oorang. Namanya berasal daripada susur galur juara bangku, yang diketuai oleh King Oorang 11, seekor anjing yang dikatakan sebagai anjing utiliti terbaik. King mampu mengutip unggas air dan buruan tanah tinggi, mengejar rakun ke atas pokok, menggiring lembu dan biri-biri, dan mengepung singa gunung, beruang, dan serigala. King malah bertarung dengan salah seekor bulterier laga terbaik dan membunuh lawannya. Ia juga berlatih dalam kerja Palang Merah dan berkhidmat dengan American Expeditionary Forces di barisan hadapan di Perancis.

Lingo tetap tidak berpuas hati dengan strain purata airedale dan selepas satu siri luar biasa bagi pembiakbakaan, yang untuknya beliau membawa masuk airedale hebat dari seluruh dunia, beliau menghasilkan "King Oorang". Pada masa itu, majalah Field and Stream menyebutnya, "anjing utiliti terhebat dalam sejarah dunia". Oorang Kennel Company berterusan sehingga kematian Walter Lingo pada tahun 1969. Untuk membantu untuk mempromosikan King Oorang, serta kenel-kenel beliau, Lingo mewujudkan pasukan football (ragbi) Oorang Indians yang diketuai oleh Jim Thorpe. Pasukan ini bermain dalam National Football League dari tahun 1922 hingga tahun 1923.[16] Jerry Siebert, seorang pembiak baka airedale di Buckeye Lake, Ohio, mengikuti jejak langkah Lingo dan membiakbakakan "Jerang Airedale". Terdapat sebuah kenel di Tennessee yang mendakwa mempunyai airedale Oorang asli.[3]

Selepas Perang Dunia Pertama, kepopularan terier Airedale meningkat secara mendadak atas jasa kisah-kisah keberaniannya di medan perang.

Selepas Perang Dunia Pertama, kepopularan airedale meningkat dengan cepat berkat kisah keberaniannya di medan perang dan juga kerana Presiden Theodore Roosevelt, Presiden Calvin Coolidge, dan Presiden Warren Harding memiliki airedale. Airedale milik Presiden Harding, Laddie Boy, ialah "haiwan peliharaan Rumah Putih selebriti pertama".[17] Presiden Harding telah mendapatkan kerusi khas yang diukir dengan tangan supaya ia duduk di atasnya pada mesyuarat Kabinet sangat penting. Pada tahun 1920-an, airedale menjadi baka paling popular di Amerika Syarikat.

Presiden Roosevelt mendakwa bahawa "airedale dapat melakukan apa-apa yang dapat dilakukan oleh anjing lain dan kemudian menjilat anjing lain itu, jika perlu."

Tahun 1949 menandakan kemuncak kepopularan airedale di Amerika Syarikat, setelah menduduki tangga ke-20 daripada 110 baka yang diiktiraf oleh American Kennel Club.

Terier Airedale diiktiraf oleh United Kennel Club pada tahun 1814[11] dan American Kennel Club pada tahun 1888.[18] Airedale Terrier Club of America (ATCA), yang diasaskan pada tahun 1900, ialah kelab induk bagi baka ini di Amerika Syarikat dan pertubuhan jurubicara rasmi untuk baka ini dengan American Kennel Club (AKC).[19] Airedale Terrier Club of America secara berkala mengadakan acara prestasi dan pengakuran. Airedale yang dihakimi sebagai Best of Breed dalam pertunjukan khusus kebangsaan ini dianugerahi Airedale Bowl.[20]

Terier Airedale ternama[sunting | sunting sumber]

Laddie Boy dan potretnya

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Catatan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Jawi: تيريئر ايرديل; bahasa Inggeris: Airedale terrier
  2. ^ Jawi: تيريئر بيڠلي; bahasa Inggeris: Bingley terrier
  3. ^ Jawi: تيريئر ووترساءيد; bahasa Inggeris: Waterside terrier

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "Airedale Terrier - The Terrier Mix". The Terrier Mix (dalam bahasa Inggeris). 4 Februari 2015. Diarkibkan daripada yang asal pada 9 Jun 2018. Dicapai pada 23 Januari 2024.
  2. ^ a b "The Kennel Club breed standard" (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 6 Disember 2008. Dicapai pada 5 Mac 2024.
  3. ^ a b Isabel, Greg. "What's an Oorang?" (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 8 April 2009.
  4. ^ Vredegoor, Doris W.; Willemse, Ton; Chapman, Martin D.; Heederik, Dick J.J.; Krop, Esmeralda J.M. (25 Jun 2012). "Can f 1 levels in hair and homes of different dog breeds: Lack of evidence to describe any dog breed as hypoallergenic". Journal of Allergy and Clinical Immunology (dalam bahasa Inggeris). 130 (4): 904–909.e7. doi:10.1016/j.jaci.2012.05.013. ISSN 0091-6749.
  5. ^ a b Jane Harvey. "How to Groom an Airedale" (dalam bahasa Inggeris).
  6. ^ Duffey, David Michael. "Dogdom's Greatest Sales Pitch". Outdoor Life Magazine (dalam bahasa Inggeris). 168 (1).
  7. ^ Cassidy, K. M. "Breed Data page". Dog Loasfasdasd ngevity Web Site (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 11 Julai 2007. Dicapai pada 5 Mac 2024.
  8. ^ Cassidy, K. M. "Weight and Longevity page". Dog Longevity Web Site (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 14 Julai 2007. Dicapai pada 5 Mac 2024.
  9. ^ "Purebred Dog Health Survey" (dalam bahasa Inggeris). Kennel Club/British Small Animal Veterinary Association Scientific Committee. 2004. Diarkibkan daripada yang asal pada 13 Ogos 2013. Dicapai pada 5 Mac 2024.
  10. ^ Airedale Terrier Club of America in collaboration with L. Glickman from the Purdue School of Veterinary Medicine. "Airedale Terrier Health Survey 2000–2001" (PDF) (dalam bahasa Inggeris). Purdue University. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 30 November 2003. Dicapai pada 5 Mac 2024.
  11. ^ a b "Airedale Terrier Official UKC Breed Standard" (dalam bahasa Inggeris). United Kennel Club. 15 April 2007. Diarkibkan daripada yang asal pada 22 Januari 2009. Dicapai pada 5 Mac 2024.
  12. ^ Miskow, Catherine (2001). "A History of the Airedale Terrier" (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 5 Mac 2024.
  13. ^ O'Neill, Amanda (1999). Dogs (dalam bahasa Inggeris). London, United Kingdom: Kingfisher. m/s. 56. ISBN 0-7534-5175-1.
  14. ^ Rogerson, Bill (Februari 2016). "Preserving our heritage for tomorrow". Backtrack (dalam bahasa Inggeris). 30 (2): 67.
  15. ^ "Airedale in Russia" (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 1 Februari 2009. Dicapai pada 5 Mac 2024.
  16. ^ "The Oorang Indians" (PDF) (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 27 November 2010. Dicapai pada 5 Mac 2024.
  17. ^ "The White House's First Celebrity Dog" (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 28 April 2011. Dicapai pada 5 Mac 2024.
  18. ^ "Airedale Terrier" (dalam bahasa Inggeris). AKC. Diarkibkan daripada yang asal pada 30 September 2009. Dicapai pada 5 Mac 2024.
  19. ^ Alex Cartabio (18 November 1997). "Airedale Terrier Club of America" (dalam bahasa Inggeris). Airedale.org. Dicapai pada 5 Mac 2024.
  20. ^ "Complete list of Airedale Bowl winners" (PDF) (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 22 Mac 2012. Dicapai pada 5 Mac 2024.
  21. ^ Fitzgerald, F. Scott (1925). The Great Gatsby (dalam bahasa Inggeris). New York, Amerika Syarikat: Scribner. m/s. 27–28. ISBN 978-0-7432-7356-5.

Bacaan lanjut[sunting | sunting sumber]

  • Cummins, Bryan (September 1994). The Working Airedale (dalam bahasa Inggeris). OTR Publications. ISBN 0-940269-07-4.
  • Cummins, Bryan (Jun 2001). Airedales: The Oorang story (dalam bahasa Inggeris). Detselig Enterprises Ltd. ISBN 1-55059-212-2.
  • Edwards, Gladys (1978). The New Complete Airedale Terrier (dalam bahasa Inggeris). Howell Books. ISBN 0-87605-005-4.
  • Evans, Hubert (1928). Derry, Airedale of the Frontier (dalam bahasa Inggeris). Grosset & Dunlap.
  • Hawkes, Clarence; Bridgman, L. J. (1924). A gentleman from France: An Airedale hero (dalam bahasa Inggeris). Lothop, Lee and Shepard Co.
  • Hayes, Irene E. (1980). The Airedale Terrier (dalam bahasa Inggeris). W & G Foyle Ltd. ISBN 0-7071-0634-6.
  • Huxley, Janet (2000). Airedale Terrier (dalam bahasa Inggeris). Ringpress Books. ISBN 1-86054-009-0.
  • Huxley, Janet (2000). The Airedale Terrier Today (dalam bahasa Inggeris). Ringpress Books. ISBN 1-86054-142-9.
  • Jardine, Deborah. "A Short History About the Aire-dale (âr'dal) Terrier". Keegan's Kingdom (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 22 Oktober 2009. Dicapai pada 23 Januari 2024.
  • Jenkins, Alexandra C. (1930). Pal: The Story of an Airedale (dalam bahasa Inggeris). New York, Amerika Syarikat: D. Appleton and Company.
  • Miner, Dorothy (1998). Airedale Terriers (Complete Pet Owner's Manuals) (dalam bahasa Inggeris). Boston, Amerika Syarikat: Barron's. ISBN 0-7641-0307-5.
  • Richardson, Lieut.-Col. E. H. (2005). Watch Dogs: Their Training & Management (dalam bahasa Inggeris). Vintage Dog Books. ISBN 1-84664-041-5.
  • Robinson, Tom (1941). Pete (dalam bahasa Inggeris). The Viking Press. ISBN 0-670-54909-6.
  • Strebeigh, Barbara; McCready, Pauline I. (1977). Your Airedale Terrier (dalam bahasa Inggeris). Denlingers Pub Ltd. ISBN 0-87714-040-5.
  • Swash, Mary; Millar, Donald (1991). Airedale Terriers: An Owner's Companion (dalam bahasa Inggeris). Trafalgar Square Publishing. ISBN 1-85223-315-X.
  • "Airedale Terriers (Barron's Complete Pet Owner's Manuals)" (Inggeris) MAB(2010)el S.t(p203)inkt
  • Wertan, Lawrence (1997). International Grand Crown (dalam bahasa Inggeris). Boxer Books. ISBN 0-9653624-1-8.
  • Woollcott, Alexander (1928). Two Gentlemen and a Lady (dalam bahasa Inggeris).

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

Templat:Oorang Indians