Anjing gembala Australia

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Anjing Gembala Australia)
Anjing gembala Australia
Negara asalAmerika Syarikat
Trait
Berat 35–70 paun (16–32 kg)
Tinggi Jantan 20–23 inci (51–58 cm)
Betina 18–21 inci (46–53 cm)
Bulu Lapis bulu ganda sederhana panjang
Warna Merle biru atau merah, hitam legam atau merah padu, dan/atau tanda-tanda putih dan/atau titik-titik sawo matang atau campuran semua
Anjing (Canis lupus familiaris)

Anjing gembala Australia[a] ialah satu baka anjing gembala dari Amerika Syarikat. Nama baka ini sebenarnya misnomer kerana ia dikembangkan di California pada abad ke-19. Ini dipercayai mempunyai asal usulnya di Asturias pada anjing gembala biri-biri dari Sepanyol barat laut, serta collie yang diimport, bersama dengan biri-biri, dari Australia dan New Zealand; baka ini dilaporkan mendapatkan namanya daripada perdagangan ini. Anjing gembala Australia, yang pada asalnya digunakan semata-mata sebagai anjing gembala, telah menjadi salah satu baka anjing teman paling popular di Amerika Utara.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Tiga ekor anjing gembala Australia

Anjing gembala Australia diturunkan sebahagiannya daripada anjing-anjing pastoral yang dibawa untuk menggembala kawanan ternakan Sepanyol di Amerika Utara seawal tahun 1500-an.[1] Terdapat sesetengah spekulasi bahawa anjing-anjing ini termasuk anjing gembala León, iaitu anjing gembala gunung yang dapat memaparkan warna mata dan lapis bulu merle yang terdapat pada banyak anjing gembala Australia kontemporari.[1] Kadang-kadang ada dakwaan bahawa anjing gembala Basque dan anjing gembala Pyrénées juga merupakan antara leluhur baka ini.[2][3] Baka seperti yang dikenali kini dikembangkan di California pada abad ke-19, sebagai anjing gembala biri-biri untuk gembala California.[2][4][3] Anjing gembala Australia juga dipercayai telah diturunkan daripada pelbagai anjing gembala yang diimport ke California dengan biri-biri import, termasuk collie dari Australia dan New Zealand. Daripada leluhur ini, baka ini mendapat namanya.[4][3]

Anjing gembala Australia tersebar dari California ke serata Amerika Syarikat Barat sambil menjadi sangat popular dengan para penternak yang menghargai kualiti kerja biri-biri pada baka ini, serta kebolehannya untuk mengendalikan lembu dan haiwan ternakan lain.[3] Sebagai baka pekerja khusus selama lebih daripada satu abad, anjing gembala Australia hampir tidak terkenal di luar industri ternakan sehingga pertengahan abad ke-20 apabila baka ini dipopularkan oleh Jay Lister, seorang pemain rodeo, dalam rodeo di seluruh negeri-negeri barat dengan anjing gembala Australia beliau sambil mempersembahkan segala macam trik.[5] Sebuah kelab baka tidak lama kemudian dibentuk untuk mempromosikan baka ini, Australian Shepherd Club of America, dan pengiktirafan kelab kenel menyusul pada tahun 1979 apabila baka ini diiktiraf oleh United Kennel Club.[3][6] Baka ini kemudiannya diiktiraf oleh American Kennel Club pada tahun 1990-an dan kemudiannya oleh Persekutuan Kinologi Antarabangsa.[2][3]

Dari lewat abad ke-20, anjing gembala Australia semakin terlihat dalam pertunjukan pengakuran dan telah menjadi anjing pendamping amat popular. Pada tahun 2019, ia dinilai oleh American Kennel Club sebagai baka ke-15 anjing paling popular di Amerika Syarikat.[3][7]

Perihal[sunting | sunting sumber]

Penampilan[sunting | sunting sumber]

Variasi warna anjing gembala Australia

Anjing gembala Australia ialah baka bersaiz sederhana dan atletik; ia biasanya berdiri setinggi 18–23 inci (46–58 cm) dan berukuran seberat 35–70 paun (16–32 kg).[2][4] Piawaian baka kelab induk, Australian Shepherd Club of America, menyatakan bahawa jantan patut berdiri setinggi 20–23 inci (51–58 cm) dan betina setinggi 18–21 inci (46–53 cm) pada paras kelasa; piawaian mengizinkan haiwan individu yang melebihi had ini sedikit.

Anjing gembala Australia mempunyai lapis ganda sederhana panjang dan beralun yang mempunyai lapis bulu bawah padat dan lapis bulu atas kasar; lapis bulunya pendek di muka dan cukup berjumbai di bahagian belakang tungkai.[4][3] Baka ini terkenal keran pewarnaan unik dan corak bulu berubah-ubah, sehingga terdapat khabar angin bahawa tiada dua ekor anjing yang mengongsi lapis bulu.[3] Piawaian baka mengizinkan merle biru, merle merah, hitam padu, atau merah padu, dengan tanda-tanda putih atau tanpa tanda-tanda putih dan dengan titik-titik sawo matang atau tanpa titik-titik sawo matang.[6]

Contoh baka ini dapat lahir dengan ekor panjang atau ekor kontot (pendek) semula jadi;[8] anjing berekor panjang secara tradisional melalui pemotongan ekor, walaupun sesetengah negara di luar Amerika Syarikat tidak mengizinkan pemotongan ekor dan sesetengah anjing berekor panjang dan anjing berekor separa kontot diizinkan untuk dipamerkan di negara-negara tersebut.

Perangai[sunting | sunting sumber]

Anjing gembala Australia diperihalkan sebagai anjing cerdas, aktif, setia, pelindung, suka bermain, dan adaptif.[2][4][3] Baka moden kebanyakannya dibiakbakakan sebagai anjing peliharaan; walaupun begitu, banyak anjing mengekalkan naluri penggembalaan kuat dan tidak jarang juga anjing pendamping baka ini mencuba menggembala kanak-kanak atau haiwan peliharaan lain.[2][5] Sebagai baka sangat aktif, anjing gembala Australia diketahui menjadi bersikap pemusnah jika tidak menerima senaman mencukupi.[2][5]

Kesihatan[sunting | sunting sumber]

Anjing gembala Australia pada umumnya merupakan baka sihat tetapi ia dapat menghidap beberapa masalah kesihatan. Masalah penglihatan adalah umum[9] dan epilepsi juga merupakan kebimbangan. Anjing gembala Australia dapat menghidap masalah pinggul. Dalam pembiakbakaan merle dengan merle, anak anjing yang telah mewarisi dua salinan gen merle mempunyai risiko lebih tinggi untuk lahir dengan kebutaan atau kepekakan.[10]

Morbiditi[sunting | sunting sumber]

Berdasarkan sampel 48 ekor anjing yang masih hidup, kebimbangan kesihatan paling umum yang diperhatikan oleh pemilik merupakan masalah mata (mata merah, epifora, konjunktivitis, dan katarak).[11] Masalah dermatologi dan pernafasan juga berada pada kedudukan tinggi.

Anomali mata collie (CEA) adalah jarang pada baka ini tetapi, bersama dengan katarak, merupakan kebimbangan pada anjing gembala Australia.[12] Keadaan lain yang perlu diperhatikan termasuk koloboma iris, displasia pinggul anjing, anomali Pelger-Huet, hipotiroidisme, dan dermatitis solar hidung. Sebelum pembiakbakaan, anjing gembala Australia perlu diperiksa untuk displasia pinggul dan displasia siku dan ujian DNA perlu dilakukan untuk menunjukkan bahawa anjing berkenaan bebas daripada mutasi MDR1, mutasi katarak, dan CEA. Ujian juga patut menyertakan ujian untuk tiroidisme dan kebebasan daripada penyakit mata lain yang diketahui seperti koloboma, atrofi retina progresif, dan lipatan retina.

Sesetengah anjing gembala Australia (serta collie, anjing gembala Jerman, dan banyak anjing gembala lain) terdedah kepada mutasi genetik bagi gen MDR1.[13] Anjing dengan mutasi ini dapat menderitai ketoksikan daripada antiparasitik seperti ivermektin dalam dos tinggi dan ubat-ubatan lain.[14] Ujian tersedia untuk menentukan sama ada anjing tertentu membawa gen termutasi itu.[15]

Anjing gembala Australia menunjukkan paras agak rendah (hampir-hampir 6%) bagi displasia pinggul, iaitu keadaan boleh waris yang melibatkan femur yang tidak betul-betul padan di dalam soket pelvis bagi sendi pinggul.[16][17]

Merle ganda[sunting | sunting sumber]

Contoh mata abnormal bagi seekor anjing merle ganda, "putih maut", anjing gembala Australia: Mata kiri yang kecil secara abnormal dikenali sebagai mikroftalmia, dan pupil menunjukkan tanda-tanda subkehelan yang tertanggal, tidak terpusat.

Merle ganda atau merle homozigus berlaku apabila anak daripada dua induk merle mewarisi dua salinan gen merle dominan. Kemungkinan ini ialah 25% untuk setiap anak yang lahir daripada perinduk sedemikian.[18] Merle ganda kerap mempunyai kawasan cerah atau putih berlebihan dan dapat mengalami masalah pendengaran dan penglihatan akibat pemilikan dua salinan gen merle.[19] Anjing merle homozigus dapat menjadi pekak atau buta atau mengalami koloboma iris ekspres, penanggalan retina, katarak, membran pupil tegar, sesaran kanta, stafiloma khatulistiwa, rabun malam, dan mikroftalmia. Kecacatan pendengaran atau kepekakan biasanya terhasil selepas kelahiran anak anjing dengan saluran telinga yang masih tertutup. Warna putih pada anjing merle ganda terhasil kerana kekurangan melanosit yang membekalkan paras kalium tinggi di dalam endolimfa yang mengelilingi sel bulu bagi koklea. Tiada pembedahan atau rawatan yang dapat mengurangkan kerosakan. Kehilangan pendengaran dikaitkan secara langsung dengan jumlah sel pigmentasi yang dimiliki oleh anjing. Pigmen sama yang kurang pada telinga juga dapat menjadi kurang pada mata, lalu menjejaskan perkembangannya. Walaupun ramai percaya bahawa hanya anjing dengan mata biru mempunyai masalah mata, ini tidak betul. Oleh sebab kontras antara masalah mata dengan mata biru, keadaan mata pada anjing bermata biru lebih mudah dikesan.[19]

Bukan semua anjing merle homozigus terjejas, tetapi kebanyakannya begitu, lalu menjadikan pembiakbakaan dua ekor anjing merle sebagai subjek sangat sensitif. Sesetengah pembiak baka mengeutanasia anak anjing yang hampir putih menyeluruh, manakala yang lain mungkin mencuba untuk menjualnya sebagai anjing gembala Australia putih "jarang" tanpa mendedahkan potensi kecacatan kesihatan.[20] Peratusan besar anjing merle homozigus yang dijual akhirnya berakhir di pusat penyelamatan dan di tempat perlindungan, kerana keluarga biasa kurng bersedia untuk menjaga haiwan peliharaan pekak atau buta.[perlu rujukan]

Istilah "putih maut" berasal daripada kuda yang lahir dengan sindrom putih maut dan sejak itu berkembang untuk kerap memerihalkan anjing yang lahir dengan trait merle ganda. Trait ini terdapat pada banyak baka tetapi paling umum ditemukan pada anjing gembala Australia. Nama "putih maut" ialah misnomer, kerana keadaan genetik ini tidak membawa maut kepada anjing; maut kerap berpunca daripada pembiak baka yang menakai anak anjing sejurus selepas kelahiran.[21][19] Ramai orang menganggap istilah "putih maut" sebagai penghinaan.[22]

Kegiatan[sunting | sunting sumber]

Seperti baka gembala lain, anjing ini cemerlang dalam banyak sukan anjing, terutamanya penggembalaan yang juga dikenali sebagai anjing stok, ketangkasan anjing, selaman limbungan/lompatan limbungan, kepatuhan, rally, penjejakan, cakera, dan flyball.[23] Naluri dan kebolehlatihan penggembalaan dapat diukur dalam ujian naluri tanpa persaingan. Anjing gembala Australia yang menunjukkan naluri penggembalaan asasi dapat dilatih untuk bertanding dalam ujian anjing stok ASCA atau acara penggembalaan AKC.[24]

Anjing ini mempunyai gaya langkah yang melibatkan tungkai hadapan dan tungkai belakang yang bersilang, yang menghasilkan penampilan kelajuan "terdesak". Anjing ini secara naluri menggunakan kedudukan "menerkam" untuk menangani lembu yang mencuba untuk menendangnya. Ia juga mempunyai pinggul dan tungkai kuat, yang membolehkan pemecutan pantas dan lompatan tinggi, yang kadang-kadang setinggi 4 kaki (1.2 m).[perlu rujukan]

Seekor anjing gembala Australia bernama Pockets dikreditkan sebagai anjing tertua yang mendapat gelaran dalam sejarah AKC setelah mendapat gelaran Rally Novice pada usia 15 tahun 5 minggu.[25]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Catatan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Jawi: انجيڠ ݢمبالا اءوستراليا; bahasa Inggeris: Australian shepherd dog; Australian shepherd

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b "Australian Shepherd History". American Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). AKC. Diarkibkan daripada yang asal pada 19 Mei 2021. Dicapai pada 1 Februari 2024.
  2. ^ a b c d e f g Alderton, David (2008). The encyclopedia of dogs (dalam bahasa Inggeris). Bath: Parragon Books Ltd. m/s. 269. ISBN 978-1-4454-0853-8.
  3. ^ a b c d e f g h i j Morris, Desmond (2001). Dogs: the ultimate dictionary of over 1,000 dog breeds (dalam bahasa Inggeris). North Pomfret, Vermont, Amerika Syarikat: Trafalgar Square Publishing. m/s. 454–455. ISBN 1-57076-219-8.
  4. ^ a b c d e Fogle, Bruce (2009). The encyclopedia of the dog (dalam bahasa Inggeris). New York, Amerika Syarikat: DK Publishing. m/s. 231. ISBN 978-0-7566-6004-8.
  5. ^ a b c Palika, Liz (2007). The Howell book of dogs: the definitive reference to 300 breeds and varieties (dalam bahasa Inggeris). Hoboken, New Jersey, Amerika Syarikat: Wiley Publishing Inc. m/s. 136–137. ISBN 978-0-470-00921-5.
  6. ^ a b "Australian Shepherd: Official UKC breed standard". United Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). 1990. Diarkibkan daripada yang asal pada 28 Januari 2021. Dicapai pada 16 Januari 2024.
  7. ^ "Most popular dog breeds – full ranking list". American Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). 28 Mac 2019. Diarkibkan daripada yang asal pada 28 Februari 2019. Dicapai pada 1 Februari 2024.
  8. ^ Hytönen, Marjo K; Grall, Anaïs; Hédan, Benoît (1 Mac 2009). "Ancestral T-Box Mutation Is Present in Many, but Not All, Short-Tailed Dog Breeds". Journal of Heredity (dalam bahasa Inggeris). 100 (2): 236–240. doi:10.1093/jhered/esn085. PMID 18854372 – melalui academic.com.
  9. ^ "Hereditary Defects of the Australian Shepherd" (dalam bahasa Inggeris). Australian Shepherd Club of America, Inc. Diarkibkan daripada yang asal pada 3 April 2011. Dicapai pada 1 Februari 2024.
  10. ^ "Canine Epilepsy" (dalam bahasa Inggeris). Australian Shepherd Club of America, Inc. 1999. Diarkibkan daripada yang asal pada 30 April 2011. Dicapai pada 1 Februari 2024.
  11. ^ Kennel Club/British Small Animal Veterinary Association Scientific Committee (Inggeris) Diarkibkan 13 Ogos 2013 di Wayback Machine. 2004. Purebred Dog Health Survey. Dicapai pada 1 Februari 2024.
  12. ^ "Collie Eye Anomaly (CEA)" (dalam bahasa Inggeris). Australian Shepherd Club of America, Inc. Diarkibkan daripada yang asal pada 16 Julai 2011. Dicapai pada 1 Februari 2024.
  13. ^ "MDR1 FAQs" (dalam bahasa Inggeris). Australian Shepherd Health & Genetics Institute, Inc. Diarkibkan daripada yang asal pada 13 Disember 2007. Dicapai pada 1 Februari 2024.
  14. ^ "Problem Drugs" (dalam bahasa Inggeris). Washington State University College of Veterinary Medicine. 8 Disember 2010. Diarkibkan daripada yang asal pada 14 Mei 2011. Dicapai pada 1 Februari 2024.
  15. ^ "Get Your Dog Tested" (dalam bahasa Inggeris). Washington State University College of Veterinary Medicine. 19 Januari 2011. Diarkibkan daripada yang asal pada 29 April 2011. Dicapai pada 1 Februari 2024.
  16. ^ Loder, Randall T.; Todhunter, Rory J. (12 Mac 2017). "The Demographics of Canine Hip Dysplasia in the United States and Canada". Journal of Veterinary Medicine (dalam bahasa Inggeris). 2017: 1–15. doi:10.1155/2017/5723476. ISSN 2356-7708. PMC 5366211. PMID 28386583.
  17. ^ "Hip Dysplasia in Dogs: Diagnosis, Treatment, and Prevention". www.peteducation.com (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 29 Mac 2016. Dicapai pada 1 Februari 2024.
  18. ^ "White-linked Deafness in Australian Shepherds" (dalam bahasa Inggeris). Australian Shepherd Club of America, Inc. 1998. Diarkibkan daripada yang asal pada 8 Januari 2011. Dicapai pada 1 Februari 2024.
  19. ^ a b c Mark., Manfield (13 Mei 2017). Australian Shepherd Bible and the Australian Shepherd : Your Perfect Australian Shepherd Guide Covers Australian Shepherds, Australian Shepherd Puppies, Australian Shepherd Training, Mini Australian Shepherds, Australian Shepherd Breeders, Size, Health, More! (dalam bahasa Inggeris). Milano. ISBN 9781911355564. OCLC 1005140424.
  20. ^ "What's Wrong With White Aussies?" (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 26 April 2014. Dicapai pada 1 Februari 2024.
  21. ^ "Homozygous "Lethal White" Merles" (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 2 Januari 2013. Dicapai pada 1 Februari 2024.
  22. ^ "What is a double merle?" (PDF) (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan (PDF) daripada yang asal pada 25 Disember 2012. Dicapai pada 1 Februari 2024.
  23. ^ "Competitive Programs | ASCA". www.asca.org (dalam bahasa Inggeris). 9 April 2016. Dicapai pada 1 Februari 2024.
  24. ^ Hartnagle-Taylor, Jeanne Joy; Taylor, Ty (2010). Stockdog Savvy (dalam bahasa Inggeris). Alpine Publications. ISBN 978-1-57779-106-5.
  25. ^ Thompson, Sally (10 November 2005). "Plymouth dog sets American Kennel Club record". Minnesota Local News (dalam bahasa Inggeris). Sun Newspapers. Diarkibkan daripada yang asal pada 20 April 2012. Dicapai pada 1 Februari 2024.

Bacaan lanjut[sunting | sunting sumber]

  • Hartnagle, Carol Ann; Hartnagle, Ernest (2006). Total Australian Shepherd: Beyond the Beginning (dalam bahasa Inggeris). Hoflin Publishing. ISBN 978-0-86667-072-2.
  • Hartnagle-Taylor, Jeanne Joy (2005). All About Aussies (dalam bahasa Inggeris). Alpine Publishing. ISBN 978-1-57779-074-7.
  • Hartnagle-Taylor, Jeanne Joy; Taylor, Ty (2010). Stockdog Savvy (dalam bahasa Inggeris). Alpine Publications. ISBN 978-1-57779-106-5.
  • Renna, Christine Hartnagle (2000). Herding Dogs: Selection and Training the Working Farm Dog (dalam bahasa Inggeris). Kennel Club Books. ISBN 978-1-59378-737-0.