Anjing Lap Finland

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Anjing Lap Finland
Negara asalFinland
Anjing (Canis lupus familiaris)

Anjing Lap Finland[a] ialah satu baka anjing bersaiz sederhana daripada jenis spits yang tahan lasak dan santai. Secara tradisional ia telah digunakan untuk penggembalaan rusa kutub. Sungguhpun ia merupakan salah satu baka anjing paling popular di tanah airnya, Finland, ia tidak begitu banyak di luar negara-negara Nordik.

Zuriat[sunting | sunting sumber]

Baka ini tergolong di bawah sub-klad DNA mitokondrion yang dirujuk sebagai d1 yang hanya ditemukan di Skandinavia utara. Ini merupakan hasil daripada penghibridan anjing jantan–serigala betina yang berlaku pascapembelajinakan.[1][2] Subklad d1 berasal "paling lama dari 480–3,000 tahun lalu" dan ditemukan pada semua baka berkaitan dengan orang Sámi: anjing Lap Finland, anjing Lap Sweden, anjing gembala Lapland, anjing Jämtland, anjing pemburu elk Norway, dan anjing pemburu elk Hällefors. Jujukan ibu serigala yang menyumbang kepada baka-baka ini belum dipadankan di serata Eurasia[3] dan cabangnya di pokok filogenetik berakar pada jujukan sama dengan anjing Altai yang berusia 33,000 tahun (bukan leluhur langsung).[4]

Rujuk: Penghibridan anjing purba–serigala

Penampilan[sunting | sunting sumber]

Tanda-tanda muka distingtif dan surai pada jantan berwarna sabel serigala

Anjing Lap Finland ialah anjing bersaiz sederhana bertubuh kuat. Ia mempunyai lapis bulu lebat dengan telinga tajam dan bergerak-gerak, tanda-tanda distingtif, dan hidung anggun. Warnanya termasuk hitam dan krim, hitam dan sawo matang, putih dan kelabu, perang dan putih, perang dan krim, serta hitam legam, putih, dan kelabu. Tinggi menurut piawaian baka ialah 46–52 sentimeter (18–20 in) pada paras kelasa untuk jantan dan betinanya kurang sedikit dengan ukuran 41–47 sentimeter (16–19 in). Walau bagaimanapun, sesetengah variasi diizinkan, oleh sebab piawaian baka menyatakan bahawa jenis adalah lebih penting daripada saiz. Jantan tipikal setinggi 49 cm (19 in) biasanya berukuran seberat 17–19 kilogram (37–42 lb), namun baka ini memiliki julat berat 15–24 kilogram (33–53 lb), bergantung pada saiz anjing.

Anjing Lap Finland mempunyai lapis bulu ganda lebat dengan lapis bulu bawah pendek dan gebu dan lapis bulu atas lebih panjang. Lapis bulunya kalis air serta rintang terhadap cuaca sejuk esktrem. Di Finland, hanya dua baka anjing diizinkan oleh undang-undang untuk dikenelkan di ruangan luar pada musim sejuk: anjing Lap Finland dan anjing gembala Lapland.[5] Bulu lebatnya di sekitar kepala dan leher memberikan penampilan surai tersendiri pada kebanyakan jantan. Walaupun lapis bulunya tebal, ia hanya memerlukan penjagaan sederhana. Pemberusan mingguan disyorkan sepanjang tahun, kecuali semasa musim ganti bulu yang semasanya pemberusan harian mungkin diperlukan.

Beragam-ragam warna dan tanda terdapat pada anjing Lap Finland. Sebarang warna diizinkan dalam piawaian baka, namun satu warna tunggal patut melitupi kebanyakan bahagian. Salah satu gabungan warna paling umum ialah hitam dan sawo matang: anjing yang hampir hitam menyeluruh dengan tungkai dan muka sawo matang. Mana-mana gabungan warna diizinkan selagi warna primernya dominan. Pewarnaan umum mungkin termasuk krim, hitam, merah, perang, sabel, dan sabel serigala. Dalam urutan kedominanan menurun, gen-gen berikut dalam siri tertentu memadani pewarnaan spesifik:[5]

Siri A (agouti):
  • Ay: kuning atau sabel dominan (yang menghasilkan pelbagai jenis merah dan sabel)
  • aw: sabel serigala atau kelabu gelap
  • as: pelana
  • at: hitam dan sawo matang
  • a: hitam resesif
Siri B (perang)
Siri C (warna):
  • C: pasangan CC memaparkan sawo matang pekat
  • Ce: tidak sepenuh bertakrif (kesan pencerahan berpotensi)
  • cch: chinchilla (mencerahkan kuning kepada krim atau perang kekuning-kuningan)
Siri E (pemanjangan)
  • Em: topen hitam
  • E: tiada topeng hitam
  • Ebr: brindle
  • e: penukaran/pemudaran hitam kepada kuning
Anjing Lap Finland betina yang hampir sepenuhnya hitam dengan tanda-tanda kaca maca di sekitar matanya

Banyak anjing Lap Finland mempunyai tanda-tanda muka sangat distingtif, seperti "kaca mata", iaitu gelang bulu berwarna lebih cerah di sekitar mata yang memberikan penampilan bahawa anjing itu memakai kaca mata. Kaca mata anjing Lap Finland, sambil membandingkan sepupunya, anjing Kees, adalah lebih besar dan lebih jelas. Seperti jenis spits lain, ekornya terangkat secara melengkung ke arah belakang. Anjing Lap Finland mempunyai ekor yang diliputi oleh bulu tebal dan panjang. Ekornya mungkin tergantung apabila anjing berdiri.

Anjing Lap Finland berwarna sabel krim

Anjing Lap Finland ialah baka beriktiraf di Finland, di selebih Eropah, di Australia, dan di Amerika Syarikat. Piawaian baka hampir serupa dengan satu sama lain kecuali sedikit pengecualian kecil: dalam piawaian British, penerimaan telinga berhujung digugurkan.

Perangai[sunting | sunting sumber]

Anjing Lap Finland ialah baka sangat cerdas dan giat. Anjing Lap Finland terbuka terhadap pelatihan oleh sebab kecerdasannya. Sesetengah pemilik dan penggemar mendakwa bahawa anjing ini malah mempunyai kemampuan untuk memikirkan tindakan dahulu. Walaupun angkanya kecil di seluruh dunia, sebilangan ketara anjing Lap Finland telah berprestasi cemerlang dalam kegiatan seperti ujian kepatuhan, ketangkasan, ujian penggembalaan, dan terapi haiwan peliharaan.

Baka ini ramah dan berwaspada dan sesuai sebagai anjing penjaga oleh sebab kecenderungannya untuk menyalak terhadap hal yang dengannya ia kurang terbiasa. Baka ini pada asalnya digunakan untuk menggembala rusa kutub melalui penggiringan dan salakannya membantu dalam pembezaan antara anjing ini dengan serigala. Malah apabila tidak menggembala, anjing Lap Finland cenderung untuk menyalak atas sebab munasabah dan situasi lebih jarang yang melibatkan salakan bermasalah biasanya dapat dikawal melalui pelatihan.

Baka ini sesuai sebagai pendamping unggul di ruangan luar. Ia aktif, lapis bulunya kalis air, dan ia mampu mengharungi cuaca sejuk dengan sangat baik; ia rela menemani orang semasa berjalan atau berlari. Sedikit sentuhan berdikari adalah biasa, namun melalui pelatihan, anjing Lap Finland dapat menunjukkan daya ingatan dan kemahiran kepatuhan cemerlang.

Anjing Lap Finland ialah pilihan unggul untuk keluarga dengan kanak-kanak kecil. Baka ini beradaptasi dengan baik terhadap kehidupan berkeluarga, termasuk keresponsifan terhadap kanak-kanak. Anjing Lap Finland juga memiliki sifat lembut dengan kanak-kanak, orang kurang upaya, dan warga emas. Ini merupakan baka sangat ramah dan ia biasanya mengelak sebarang situasi mengancam, malah juga berlari daripadanya. Baka ini sangat ingin tahu. Oleh itu, pemantauan disyorkan. Di Finland, banyak anjing Lap Finland telah memenangi kejuaraan kebangsaan untuk kepatuhan dan juga sesuai untuk ketangkasan.

Kegiatan[sunting | sunting sumber]

Anjing Lap Finland dapat bertanding dalam ujian ketangkasan anjing, carting, mushing, kepatuhan, rally obedience, kemahiran persembahan, flyball, penjejakan, dan acara penggembalaan. Naluri dan kebolehlatihan penggembalaan dapat diukur dalam ujian penggembalaan tanpa persaingan. Anjing Lap Finland yang menunjukkan naluri penggembalaan asasi dapat dilatih untuk bertanding dalam ujian penggembalaan.[6]

Kesihatan[sunting | sunting sumber]

Anjing Lap Finland ialah baka sihat secara semula jadi dan biasanya hidup sehingga usia 12–14 tahun, walaupun anjing berusia 16–17 tahun tidak jarang di Finland.[5]

Isu perubatan yang diketahui termasuklah atrofi retina progresif menyeluruh (GPRA) dan katarak terwaris.

GPRA ialah penyakit mata progresif yang dapat menyebabkan kebutaan kekal pada anjing. Pada anjing Lap Finland, ini cenderung bermula lewat, tetapi biasanya dapat muncul pada usia antara 1 tahun dengan 8 tahun. GPRA ialah penyakit genetik dan ditransmisi melalui gen resesif autosom. Ujian genetik boleh harap untuk bentuk prcd bagi GPRA telah dimajukan oleh OptiGen[7] dan para pembiak baka semakin kerap menguji haiwan yang dibiakbakakan sebelum keputusan tentang pasangan pengawanan sesuai. Finnish Lapphund Club of Great Britain menerima dasar etika pada tahun 2006 bahawa pengawanan hanya akan diizinkan jika progeni tidak dapat terjejas akibat GPRA. Pada tahun 2001, 2.5% anjing daripada anjing Finland terjejas akibat PRA.[5]

Sesetengah anjing Lap Finland terjejas akibat katarak dengan 3.4% daripada anjing Finland yang terjejas. Katarak dapat disebabkan oleh sebilangan faktor dan kaedah pewarisan masih belum cukup difahami. Oleh sebab angka kejadian di Finland agak tinggi, penyakit ini dianggap terwaris. Di United Kingdom dan di Amerika Syarikat, bilangan anjing terjejas adalah sangat kecil.[5]

Piawaian etika di kebanyakan negara memerlukan bapa anjing yang pinggulnya telah diberi skor, tetapi angka kejadian displasia pinggul adalah rendah.

Penyakit lain termasuk epilepsi,[8] hipotiroidisme (tirod kurang aktif),[9] mielopati degeneratif (DM), dan penyakit Pompe (juga dikenali sebagai penyakit penyimpanan glikogen jenis II GSD II),[10] iaitu kecelaruan progresif bagi metabolisme glikogen.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

"Anjing gembala biri-biri Lapland" daripada Dogs of all Nations, tahun 1915

Baka ini berasal usul sebagai gembala rusa kutub bagi orang Sami. Orang Sami merupakan kaum peribumi yang menghuni kawasan yang kini terbahagi sesama Finland, Sweden, Norway, dan Rusia.[11] Secara tradisional, penggembalaan rusa kutub telah menjadi sangat penting untuk orang Sami dan mereka masih terlibat dalam penggembalaan kini. Orang Sami telah menggunakan anjing gembala selama berabad-abad dan anjing ini biasanya bertubuh panjang, berupa bentuk agak-agak segi empat tepat, dengan bulu panjang dan ekor lurus yang melingkar ke arah belakang apabila anjing bergerak.[5] Anjing Lap Finland paling serupa dengan anjing berbulu panjang yang dikembangkan oleh orang Sami untuk membantu mereka dengan penggembalaan, kerap terpilih sebagai gembala musim sejuk untuk rusa kutub.[12]

Orang Norway dan orang Sweden merupakan antara pihak pertama yang mempertimbangkan pemiawaian anjing dari Lapland sebelum Perang Dunia Kedua.[perlu rujukan] Pada tahun-tahun pascaperang, anjing dari Lapland terdedah kepada risiko serius akibat wabak distemper.[13] Para pembiak baka anjing Lap Sweden kini percaya bahawa baka mereka, dan baka-baka anjing Lap lain, berada dalam bahaya serius bagi kepupusan.[14] Piawaian untuk anjing Lap Sweden yang berkaitan diterima pada tahun 1944 dalam FCI (Persekutuan Kinologi Antarabangsa) dan piawaian anjing Lap Finland turut di belakang.

Di Finland, piawaian baka pertama ditetapkan pada tahun 1945 oleh Kelab Kenel Finland yang memanggil baka anjing Lappish Herder ("[anjing] gembala Lap"), juga dikenali sebagai kukonharjunlainen. Anjing-anjing ini dipercayai merupakan hasil silangan antara anjing beruang Karelia dengan anjing-anjing rusa kutub, dan mempunyai bulu pendek. Pada tahun 1950-an, Persatuan Kenel Finland (persatuan kenel besar kedua di Finland) menghasilkan piawaian baka pertama untuk anjing gembala Lapland. Warna yang diterima untuk baka ini merupakan hitam, perang beruang, dan putih.[5]

Anjing Lap Finland secara rutin menyertai acara pengakuran.

Pad atahun 1960-an, beberapa persatuan kenel di Finland disatukan, dan pada tahun 1966, baka-baka ditaksir semula. Ini menghasilkan takrif formal bagi dua bakal: anjing gembala Lapland dengan lapis bulu lebih pendek ditakrfikan pada tahun 1966, dan anjing Lap Finland yang berlapis bulu lebih panjang ditakrifkan pada tahun 1967.[5]

Pada sekitar masa sama, teknologi membolehkan perubahan gaya hidup gembala Sami. Sebelumnya, anjing berbulu panjang pada umumnya lebih dipilih untuk penggembalaan, namun dengan kemunculan kereta salji, keutamaan mula berubah kepada anjing gembala Lapland yang berbulu lebih pendek.[5] Walau bagaimanapun, kepopularan tidak menyusut untuk baka berbulu lebih panjang, yang, setakat tahun 2014, menempati tangga keenam bagi haiwan teman paling popular di Finland.[15]

Perinduk Amerika pertama dilahirkan pada tahun 1988. Pada tahun 1994, baka ini diiktiraf oleh United Kennel Club (UKC), kelab kenel terbesar kedua di Amerika Syarikat, dalam Kumpulan Utara.[16] Baka ini diterima dalam Kumpulan Lain-lain AKC pada 1 Julai 2009 dan menjadi baka sepenuhnya beriktiraf dalam Kumpulan Gembala pada 30 Jun 2011.[17][18] Finnish Lapphund Club of America (FLCA) ialah pertubuhan induk di Amerika Syarikat dan dianugerahi status kelab induk pada 25 November 2015, lantas membolehkannya mengadakan acara mata kejuaraan berlesen.[18]

Baka ini pertama kali diperkenalkan ke United Kingdom pada tahun 1989 dan diwakili oleh Finnish Lapphund Club of Great Britain.[19] Ia diperkenalkan ke Australia dan ke Kanada pada tahun 1995 dan diterima oleh New Zealand Kennel Club dan Canadian Kennel Club. Di Kanada, kelab induknya ialah Finnish Lapphund Club of Canada.[20]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Catatan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Jawi: انجيڠ لڤ فينلند; Suomi: suomenlapinkoira; Svensk: finsk lapphund; bahasa Inggeris: Finnish Lapponian dog; Finnish lapphund

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Pang, J.-F.; Kluetsch, C.; Zou, X.-J.; Zhang, A.-b.; Luo, L.-Y.; Angleby, H.; Ardalan, A.; Ekstrom, C.; Skollermo, A.; Lundeberg, J.; Matsumura, S.; Leitner, T.; Zhang, Y.-P.; Savolainen, P. (2009). "MtDNA Data Indicate a Single Origin for Dogs South of Yangtze River, Less Than 16,300 Years Ago, from Numerous Wolves". Molecular Biology and Evolution (dalam bahasa Inggeris). 26 (12): 2849–64. doi:10.1093/molbev/msp195. PMC 2775109. PMID 19723671.
  2. ^ Duleba, Anna; Skonieczna, Katarzyna; Bogdanowicz, Wiesław; Malyarchuk, Boris; Grzybowski, Tomasz (2015). "Complete mitochondrial genome database and standardized classification system for Canis lupus familiaris". Forensic Science International: Genetics (dalam bahasa Inggeris). 19: 123–129. doi:10.1016/j.fsigen.2015.06.014. PMID 26218982.
  3. ^ Klütsch, C.F.C.; Savolainen, Peter (2011). "Regional occurrence, high frequency, but low diversity of mitochondrial dna haplogroup d1 suggests a recent dog-wolf hybridization in scandinavia". Journal of Veterinary Behavior: Clinical Applications and Research (dalam bahasa Inggeris). 6: 85. doi:10.1016/j.jveb.2010.08.035.
  4. ^ Thalmann, O.; Shapiro, B.; Cui, P.; Schuenemann, V. J.; Sawyer, S. K.; Greenfield, D. L.; Germonpre, M. B.; Sablin, M. V.; Lopez-Giraldez, F.; Domingo-Roura, X.; Napierala, H.; Uerpmann, H.-P.; Loponte, D. M.; Acosta, A. A.; Giemsch, L.; Schmitz, R. W.; Worthington, B.; Buikstra, J. E.; Druzhkova, A.; Graphodatsky, A. S.; Ovodov, N. D.; Wahlberg, N.; Freedman, A. H.; Schweizer, R. M.; Koepfli, K.- P.; Leonard, J. A.; Meyer, M.; Krause, J.; Paabo, S.; dll. (2013). "Complete Mitochondrial Genomes of Ancient Canids Suggest a European Origin of Domestic Dogs". Science (dalam bahasa Inggeris). 342 (6160): 871–874. Bibcode:2013Sci...342..871T. doi:10.1126/science.1243650. PMID 24233726. S2CID 1526260.
  5. ^ a b c d e f g h i Jackson, Toni (2003). Finnish Lapphund: Special rare breed edition (dalam bahasa Inggeris). Amerika Syarikat: Kennel Club Books. ISBN 1-59378-374-4.
  6. ^ Hartnagle-Taylor, Jeanne Joy; Taylor, Ty (2010). Stockdog Savvy (dalam bahasa Inggeris). Alpine Publications. ISBN 978-1-57779-106-5.
  7. ^ "OptiGen - PRA - Finnish Lapphund". www.optigen.com (dalam bahasa Inggeris).
  8. ^ Suomenlapinkoira 2020–2024/pages 45/46
  9. ^ Suomenlapinkoira 2020–2024/pages 46/47
  10. ^ Suomenlapinkoira 2020–2024/page 49
  11. ^ "An introduction to the Sami people". boreale.konto.itv.se (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 8 Mac 2017. Dicapai pada 1 Januari 2024.
  12. ^ "Constitution and By-Laws (effective 2008) | Finnish Lapphund Club of Canada". Finnish Lapphund Club of Canada (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 1 Januari 2024.
  13. ^ "Finnish Lapphund". www.purina.com.au (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 1 Januari 2024.
  14. ^ "Swedish Lapphund multi champion and multi winner Kristallens Lihkku's home page in English (Swedish Lapponian reindeer herding dog) www.lapphund.nu". www.lapphund.se. Dicapai pada 1 Januari 2024.
  15. ^ "The Labrador Retriever was last year's most popular dog breed in Finland". Suomen Kennelliitto (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 1 Januari 2024.
  16. ^ "United Kennel Club: Finnish Lapphund". United Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 26 Ogos 2016. Dicapai pada 1 Januari 2024.
  17. ^ American Kennel Club. "Finnish Lapphund Dog Breed Information - American Kennel Club" (dalam bahasa Inggeris).
  18. ^ a b "Finnish Lapphund Club of America | FLCA History". Finnish Lapphund Club of America (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 5 Mac 2017. Dicapai pada 1 Januari 2024.
  19. ^ "FLCGB Breed History". Finnish Lapphund Club of Great Britain (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 1 Januari 2024.
  20. ^ "History of the Finnish Lapphund Breed | Finnish Lapphund Club of Canada". Finnish Lapphund Club of Canada (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 1 Januari 2024.

Buku[sunting | sunting sumber]

  • Jackson, Toni (2003). Finnish Lapphund: Special rare breed edition (dalam bahasa Inggeris). Amerika Syarikat: Kennel Club Books. ISBN 1-59378-374-4.
  • Karppinen, S. Dogs of Lapland. 2013. ISBN 978-952-5969-24-5

Bacaan lanjut[sunting | sunting sumber]

  • Klütsch CFC, Seppälä EH, Lohi H, Fall T, Hedhammar Å, Uhlén M, Savolainen P (2010) Regional occurrence, high frequency but low diversity of mitochondrial DNA haplogroup d1 suggests a recent dog-wolf hybridization in Scandinavia (Inggeris). Animal Genetics, online early.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]