Pergi ke kandungan

Anjing gembala Belgium

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan daripada Anjing gembala Belgium Malines)
Anjing gembala Belgium
Keragaman anjing gembala Belgium: Groenendael (1), Tervueren (Tervuren) (2), Malines (malinois) (3), dan Laeken (Laken, lakenois) (4)
Negara asalBelgium
Trait
Berat Jantan ≈ 25–30 kilogram (55–65 lb)
Betina ≈ 20–25 kilogram (45–55 lb)
Tinggi Jantan 60–66 sentimeter (24–26 in)
Betina 56–62 sentimeter (22–24 in)
Bulu Berbeza-beza mengikut keragaman
Warna Berbeza-beza mengikut keragaman
Anjing (Canis lupus familiaris)
Anjing gembala Belgium Groenendael
Trait
Bulu Berbulu panjang
Warna Hitam legam
Anjing (Canis lupus familiaris)
Anjing gembala Belgium Laeken
Trait
Bulu Berbulu kasar
Warna Perang kekuning-kuningan dengan sentuhan tindanan hitam pada lapis bulu dan topeng
Anjing (Canis lupus familiaris)
Anjing gembala Belgium Malines
Trait
Bulu Berbulu pendek
Warna Perang kekuning-kuningan dengan tindanan hitam pada lapis bulu dan topeng
Anjing (Canis lupus familiaris)
Anjing gembala Belgium Tervueren
Trait
Bulu Berbulu panjang
Warna Perang kekuning-kuningan atau kelabu dengan tindanan hitam dan topeng
Anjing (Canis lupus familiaris)

Anjing gembala Belgium[a] ialah satu baka anjing gembala bersaiz sederhana Belgium. Ia dibiakbakakan dalam empat keragaman berbeza berdasarkan jenis dan warna lapis bulu: anjing gembala Belgium Groenendael yang hitam berbulu panjang; anjing gembala Belgium Laeken yang perang kekuning-kuningan berbulu kasar; anjing gembala Belgium Malines yang perang kekuning-kuningan berbulu pendek; dan anjing gembala Belgium Tervueren yang perang kekuning-kuningan berbulu panjang. American Kennel Club menganggap keempat-empat keragaman ini sebagai baka berasingan.

Baka ini diturunkan daripada sejenis anjing gembala lazim yang terdapat di seluruh Eropah Barat yang merangkumi baka-baka moden seperti anjing lembu Ardenne, anjing gembala Belanda, dan anjing gembala Jerman dan ia lazim terlihat dalam perkhidmatan kepada para gembala biri-biri Belgium selama berabad-abad. Pada penghujung abad kesembilan belas, sebuah kelab baka dibentuk dan percubaan dilakukan untuk memiawaikan baka ini.

Peranannya dalam sejarah adalah sebagai anjing gembala. Ia juga lazim dibela sebagai anjing teman, atau digunakan sebagai anjing pembantu, anjing pengesan, anjing pengawal, anjing pandu, anjing polis, atau anjing pencarian dan penyelamatan. Ia mempunyai sejarah panjang dalam penggunaan oleh pihak polis Belgium serta pasukan tentera, berkhidmat untuk angkatan tentera Belgium dalam kedua-dua perang dunia. Pada abad kedua puluh satu, ia sedang digunakan oleh sebilangan angkatan bersenjata di seluruh dunia dalam pelbagai peranan.

Anjing gembala Belgium diturunkan daripada jenis lazim sama bagi anjing gembala seperti baka-baka serupa Eropah Barat seperti anjing lembu Ardenne, anjing gembala Belanda, dan anjing gembala Jerman dan, selama berabad-abad, digunakan oleh para gembala Belgium untuk tugas ini.[1][2][3] Tidak seperti di negara-negara Eropah lain yang, sepanjang abad kesembilan belas, mempunyai baka gembala yang dipiawaikan dan pembiak baka yang berusaha untuk mengekalkan baka mereka, menjelang penghujung tahun 1800-an, anjing gembala Belgium sedang menjadi semakin usang dan berada dalam bahaya kepupusan.[4][1][2]

Pada tahun 1891, Club de Chien Berger Belge ("Kelab Anjing Gembala Belgium") dibentuk dengan tujuan untuk menyelamatkan jenis ini dan sebuah pasukan yang dipimpin oleh Adolphe Reul daripada Sekolah Veterinar Cureghem menjalankan tinjauan lapangan bagi jenis ini.[4][1][3] Memandangkan anjing gembala Belgium telah dibiakbakakan selama berabad-abad untuk kebolehan kerja dengan sedikit pertimbangan yang diberikan kepada bentuk, Reul mendapati bahawa jenis ini amat berbeza-beza dari segi penampilan.[1][5] Sebagai sebahagian daripada kerja mereka, pasukan Reul menghimpunkan 117 spesimen dan memulakan proses pemiawaian kepada keragaman berlainan.[4][1]

Pasukan Reul, yang mengelaskan spesimen tersebut sebagai baka tunggal, pada mulanya membahagikan baka ini kepada enam keragaman berlainan berdasarkan jenis dan warna lapis bulu. Pada antara tahun 1892 semasa piawaian baka pertama dirangka dengan tahun 1956, sekurang-kurangnya dua keragaman dan sebanyak-banyaknya lapan keragaman diiktiraf oleh sama ada Club de Chien Berger Belge atau Société Royale Saint-Hubert.[5][2]

Pada tahun 1905, keputusan dibuat supaya pembiakbakaan menyaling sesama keragaman berlainan patut dilarang. Gangguan yang disebabkan oleh Perang Dunia Pertama menyebabkan penurunan angka baka, maka, pada tahun 1920, keputusan dibuat supaya pengawanan sesama keragaman berlainan patut diizinkan untuk memelihara baka ini dan menghindari isu yang terhasil daripada pembiakbakaan dalam.[2] Perang Dunia Kedua sekali lagi mengancam kebolehhidupan bagi baka ini. Pada lewat tahun 1945, ada keputusan supaya pengawanan sesama anjing daripada keragaman berlainan perlu digalakkan dan, melalui pembiakbakaan cermat, anjing gembala Belgium pulih dari segi bilangan.[6][2] Pada tahun 1956, piawaian baka semasa diterima pakai. Piawaian baka ini menyebut empat keragaman yang dikenali kini, iaitu Groenendael, Laeken (laekenois), Malines (malinois), dan Tervueren.[6][1]

Keragaman Groenendael dipercayai telah diwujudkan pada tahun 1885 oleh Nicholas Rose, iaitu pemilik Château de Groenendael.[1][2] Rose memiliki seekor anjing gembala Belgium betina hitam berbulu panjang yang dipanggil "Petite" dan sangat menyukai penampilannya sehingga beliau meluangkan lebih daripada setahun untuk mencari pasangan sesuai, akhirnya menemukan seekor anjing jantan yang bernama "Piccard D'Uccle" yang dimiliki oleh seorang gembala yang dipanggil Mr Beernaert. Kedua-dua anjing ini dianggap sebagai ternakan asasi bagi keragaman ini.[1][2] Progeni terbaik pasangan ini dipanggil "Duc de Groenendael" dan "Barroness" yang dikawankan secara meluas dengan anjing gembala Belgium dengan penampilan berlainan dengan progeni hitam yang dikekalkan.[5][2]

Pada mulanya, Rose pernah ingin menamai keragaman ini "Rose", tetapi ini dianggap dapat menyebabkan kekeliruan oleh sebab warna hitamnya, maka anjing-anjing ini sebaliknya dinamai sempena château beliau, iaitu Groenendael.[7] Semasa Perang Dunia Pertama, anjing Groenendael digunakan oleh Tentera Darat Belgium untuk mengesan kedudukan askar tercedera dan membawa pesanan. Keberanian anjing-anjing ini diiktiraf oleh askar Amerika Syarikat semasa peperangan dan contoh-contoh diimport ke Amerika Syarikat pada tahun-tahun berikutnya. Sehingga kini di Amerika Syarikat, nama Belgian Shepherd atau Belgian Sheepdog ("anjing gembala Belgium") lazimnya digunakan untuk merujuk anjing Groenendael.[5]

Keragaman Malines (malinois) dikatakan sebagai keragaman pertama yang membiak setia kepada jenis dan pada mulanya ia menjadi begitu terkenal di Belgium sehingga pada satu masa keragaman lain secara kolektif dipanggil "selain malinois", keragaman Malines menjadi tanda aras bagi keragaman lain.[6][5] Keragaman ini mendapat nama sempena rantau Mechelen (yang dipanggil Malines dalam bahasa Perancis) yang mempunyai paling banyak anjing dengan jenis lapis bulu ini yang digunakan gembala tempatan.[6][1][5]

Keragaman Laeken (Laken, laekenois) sentiasa menjadi yang paling jarang. Ia mendapat nama sempena Istana Laeken, iaitu kediaman keluarga diraja Belgium.[6][2] Anjing Laeken ialah kegemaran Permaisuri Marie Henriette, yang kerap menjaga anjing-anjing ini sebagai jasa kepada para gembala yang mengusahakan padang ragut domain diraja di sekeliling château. Naungan ini menyumbang kepada kepopularannya pada masa itu.[6][5] Sebagai tambahan kepada penggunaan sebagai anjing gembala, anjing gembala berbulu kasar Belgium secara tradisional digunakan sebagai anjing pengawal di rantau di sekeliling Boom, dengan menjaga linen berharga yang dijemur untuk luntur di bawah sinar matahari.[5]

Keragaman Tervueren (Tervuren) dipercayai telah dihasilkan apabila seorang pembuat bir, M. Corbeel, membiakbakakan pasangan anjing gembala berbulu panjang Belgium perang kekuning-kuningan beliau "Tom" dan "Poes", salah seekor daripada keturunan pasangan ini ialah anjing betina perang kekuning-kuningan berbulu panjang bernama "Miss" yang dibeli oleh M. Deanhieux.[1][2][5] Miss dibiakbakakan dengan Duc de Groenendael, bapa pengasas kepada keragaman Groenendael, dan keturunan berwarna perang kekuning-kuningan menjadi keragaman Tervuren yang mendapat nama sempena rantau Tervuren.[1][2] Keragaman Tervueren dianggap amat tegap dan sihat dan di Eropah sebilangan pembiak baka menggunakannya untuk memperkukuh susur galur keragaman lain, terutamanya keragaman Groenendael.[7]

Keragaman Groenendael kekal sebagai keragaman paling banyak, diikuti oleh Tervueren. Bilangan keragaman Malines semakin meningkat, sementara keragaman Laeken kekal agak jarang.[4][6][1]

Pengelasan kelab kenel

[sunting | sunting sumber]

Kebanyakan kelab kenel kebangsaan di dunia termasuk Société Royale Saint-Hubert, serta Persekutuan Kinologi Antarabangsa, mengiktiraf anjing gembala Belgium sebagai satu baka tunggal dengan empat keragaman berlainan.[8][9][5] American Kennel Club mengiktiraf keempat-empat keragaman sebagai baka berasingan, lalu membawa kepada sedikit kesukaran untuk pembiak baka Amerika yang membiakbakakan anjing daripada ternakan Eropah yang diimport. Anjing Groenendael Eropah khususnya dapat melahirkan anak-anak anjing berwarna Tervueren; di kebanyakan bahagian dunia, anak-anak anjing ini boleh didaftarkan sebagai anjing Tervueren, manakala di Amerika Syarikat, anjing ini disingkirkan daripada pendaftaran.[5]

Penampilan

[sunting | sunting sumber]

Anjing gembala Belgium ialah baka atletik bersaiz sederhana dengan tubuh yang terbina untuk daya ketahanan. Jantan biasanya berdiri setinggi 56–66 sentimeter (22–26 in), dengan betina yang pada purata 4 sentimeter (2 in) lebih rendah berbanding dengan jantan. Ia biasanya berukuran seberat 20–30 kilogram (45–65 lb). Piawaian baka menyatakan bahawa ketinggian unggul ialah 62 sentimeter (24 in) untuk jantan dan 58 sentimeter (23 in) untuk betina.[4][6][8][9] Baka ini mempunyai kepala besar panjang dengan telinga tegak segi tiga yang membulat di pangkal dan muncung lebar panjang.[6][1][10]

Menurut piawaian baka, anjing yang berdiri setinggi 62 sentimeter (24 in) pada paras kelasa patut mempunyai kepala yang sepanjang 25 sentimeter (9.8 in) dan muncung yang hampir-hampir separuh panjang itu.[8][9] Tubuhnya berotot tetapi tidak terlalu berat. Panjang tubuh dari bahu ke punggung adalah hampir-hampir sama dengan ketinggian pada paras kelasa, secara berperkadaran lebih panjang sedikit pada betina; garis atasnya lurus dan perutnya tidak tergantung rendah-rendah mahupun dengan terlalu tinggi seperti yang pada anjing pemburu penglihatan.[10]

Dadanya dalam tetapi tidak terlalu lebar. Lehernya berotot, melebar di bahu dengan sedikit lengkungan di tengkuk. Ekornya kuat dan sederhana panjang dan melengkung ke atas sedikit pada paras lututnya. Tungkai hadapannya lurus dan cukup bertulang, tungkai belakangnya berotot dan berkuasa. Tungkainya tidak terlebih berat.[10]

Keragaman

[sunting | sunting sumber]

Keempat-empat keragaman berbeza-beza terutamanya dari segi jenis dan warna lapis bulunya. Piawaian baka memerihalkan tiga keragaman lapis bulu: berbulu panjang, berbulu pendek, dan berbulu kasar.[8][9][10] Anjing berbulu panjang mempunyai lapis bulu panjang dan licin dengan bulu pendek pada muka, telinga, dan tungkai walaupun terdapat rumbai panjang pada belakang tungkai. Ia mempunyai surai lebat pada leher dan dada, bulu amat panjang pada belakang paha, dan ekor lebat yang membentuk jumbai.[8][9][10]

Anjing berbulu pendek mempunyai bulu amat pendek pada muka, telinga, dan bahagian bawah tungkai, pendek di selebih tubuh, dan lebih panjang sedikit pada leher dan ekor.[8][9][10] Anjing berbulu kasar pula mempunyai lapis bulu yang kasar, kering, dan hampir-hampir sepanjang 6 sentimeter (2.4 in) di atas tubuh. Ia mempunyai bulu lebih pendek pada bahagian atas muncung dan tungkai dan, tidak seperti jenis lapis bulu lain, ia mempunyai bulu panjang pada muka dan muncung.[8][9][10]

Groenendael

[sunting | sunting sumber]

Keragaman Groenendael berbulu panjang. Ia mempunyai lapis bulu ganda hitam legam. Lapis bulu luarnya lurus dan amat panjang di sekeliling bahu, leher, dan dada. Ia mempunyai bulu pendek pada muka dan tungkai dan ekor cukup berjumbai.[6][10]

Keragaman Laeken (Laken, laekenois) berbulu kasar. Lapis bulunya berwarna perang kekuning-kuningan dengan tindihan hitam halus dan kasar, kering, dan biasanya berpenampilan sedikit kusut. Ia mempunyai muncung berbulu kejur dan berjumbai dan jumbai terbatas pada tungkai dan ekor.[6][1] Menurut piawaian baka, tindihan hitam bermaksud bahawa hujung helaian bulu berwarna hitam, tetapi bukan dalam tompok-tompok atau jalur-jalur seperti brindle.[8][9]

Keragaman Malines (malinois) berbulu pendek. Ia berwarna perang kekuning-kuningan dengan tindihan hitam, dengan muka dan hujung-hujung berwarna arang.[6][1]

Tervueren

[sunting | sunting sumber]

Keragaman Tervueren (Tervuren) berbulu panjang seperti keragaman Groenendael. Lapis bulu gandanya biasanya berwarna perang kekuning-kuningan dengan tindihan hitam dan dengan hujung-hujung hitam, walaupun kelabu dengan hitam diketahui. Ia mempunyai lingkaran bulu panjang di sekeliling leher dan jumbai pada tungkai.[6][10]

Anjing gembala Belgium terkenal sebagai anjing amat cerdas, berwaspada, dan sensitif. Ia biasanya amat mudah dilatih, berjaga-jaga, dan rajin dengan naluri penjagaan kuat yang menjadikannya bersikap pelindung terhadap harta benda dan keluarga, dan sangat sesuai untuk berkhidmat dengan perkhidmatan keselamatan.[1][10][5] Keragaman Groenendael dan keragaman Tervueren mempunyai reputasi sebagai anjing yang kadang-kadang bengkeng, yang menjadikannya kurang sesuai sebagai anjing pendamping untuk kanak-kanak; keragaman Laeken, walaupun dianggap sangat baik dengan kanak-kanak, kadang-kadang dapat menjadi bermasalah dengan anjing lain.[4][6]

Anjing gembala Belgium bergerak balas dengan baik terhadap pelatihan dan memerlukan pelatihan sebaik-baiknya sejak usia muda. Baka ini sangat aktif, khususnya keragaman Malines, yang mungkin mencerminkan pembiakbakaan berterusan untuk peranan keselamatan. Walaupun anjing gembala Belgium daripada semua jenis lapis bulu memerlukan banyak senaman, baka ini menyesuaikan diri dengan baik untuk tinggal di ruangan dalaman.[4][5][11]

Seekor malinois di atas sebuah Bradley di Iraq

Anjing gembala Belgium, khususnya keragaman Groenendael, Laeken, dan Tervueren, kebanyakannya dibela sebagai anjing peliharaan atau anjing teman; kesemua keragaman boleh bertanding dalam pertandingan kepatuhan dan schutzhund.[6][5] Anjing ini serba guna dan kerap digunakan sebagai anjing pembantu, anjing pengesan, anjing pengawal, anjing pandu, anjing polis, dan anjing pencarian dan penyelamatan.[6][1]

Sejak kebelakangan ini, anjing Laeken telah digunakan oleh Tentera Darat Belgium dalam pelbagai peranan, sebagai tambahan kepada penggunaan anjing Malines sejak sekian lama. Keragaman Tervueren kerap digunakan oleh pertubuhan pemerintah sebagai anjing pengesan dadah.[6][1][5] Anjing Malines khususnya telah menjadi semakin popular dengan pihak kastam, angkatan tentera, pasukan pengawal sempadan, dan angkatan polis.[6][1][5]

Pertubuhan yang menggunakan malinois termasuk Angkatan Tentera Amerika Syarikat,[12] Perkhidmatan Rahsia Amerika Syarikat,[13] Unit Oketz Angkatan Pertahanan Israel,[14] Angkatan Pertahanan Australia,[15] dan unit anjing anti-pemburuan haram di Taman Negara Kruger.[16]

Kesihatan

[sunting | sunting sumber]

Sebuah kajian United Kingdom tahun 2024 mendapati jangka hayat sebanyak 12 tahun untuk anjing Malines dan 13.8 tahun untuk anjing Tervueren berbanding dengan purata 12.7 tahun untuk baka tulen dan 12 tahun untuk baka silang.[17] Société Royale Saint-Hubert mengesyorkan agar keempat-empat keragaman diuji untuk displasia pinggul dan siku dan agar anjing Malines diuji untuk epilepsi.[18][19][20][21] Susur galur pekerja bagi anjing Malines telah dikaitkan dengan sindrom berang.[22][23][24] Polimorfisme genetik di dalam gen pengangkut dopamina telah dipautkan dengan sindrom berang dan anjing yang berisiko untuk mewariskan genotip kepada anak dapat dikenal pasti melalui pengujian genetik.[22][23][24]

Contoh ketara

[sunting | sunting sumber]
  1. ↑ Jawi: ‏انجيڠ ݢمبالا بيلجيئم‎‎; Perancis: chien de berger belge, berger belge; Belanda: Belgische herdershond, Belgische herder; bahasa Inggeris: Belgian shepherd dog, Belgian shepherd, Belgian sheepdog
  1. 1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16 17 18 19 Morris, Desmond (2002). Dogs: The Ultimate Dictionary of Over 1,000 Dog Breeds [Anjing: Kamus Muktamad Lebih daripada 1,000 Baka Anjing] (dalam bahasa Inggeris). North Pomfret, Vermont, Amerika Syarikat: Trafalgar Square Publishing. m/s. 425–428. ISBN 9781570762192. OCLC 859060407.
  2. 1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 Fiorone, Fiorenzo (1979). Les Chiens de berger belges : groenendael, tervueren, malinois, laekenois [Anjing Gembala Belgium: Groenendael, Tervueren, Malines, Laeken] (dalam bahasa Perancis). Paris, Perancis: De Vecchi. m/s. 11–19. ISBN 9782732803500. OCLC 461710826.
  3. 1 2 Hancock, David (28 Ogos 2014). Dogs of the Shepherds: A Review of the Pastoral Breeds [Anjing Para Gembala: Ulasan Baka Pastoral] (dalam bahasa Inggeris). Ramsbury, Marlborough, Wiltshire, United Kingdom: The Crowood Press. m/s. 112–113. ISBN 9781847978080. OCLC 883515445.
  4. 1 2 3 4 5 6 7 Alderton, David (2008). Encyclopedia of Dogs [Ensiklopedia Anjing] (dalam bahasa Inggeris). Bath, United Kingdom: Parragon. m/s. 272–273. ISBN 9781445408538. OCLC 650217109.
  5. 1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16 Wilcox, Bonnie; Walkowicz, Chris (1995). The Atlas of Dog Breeds of the World [Atlas Baka Anjing di Dunia] (dalam bahasa Inggeris) (ed. ke-5). Neptune City, New Jersey, Amerika Syarikat: TFH Publications. m/s. 170–174. ISBN 9780793812844. OCLC 32596861.
  6. 1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16 17 18 Fogle, Bruce (2009). The Encyclopedia of the Dog [Ensiklopedia Anjing] (dalam bahasa Inggeris) (ed. ke-1 Amerika). New York, New York, Amerika Syarikat: Dorling Kindersley Publishing. m/s. 306–307. ISBN 9780756660048. OCLC 697506545.
  7. 1 2 Fiorone, Fiorenzo (1973). The Encyclopedia of Dogs: The Canine Breeds [Ensiklopedia Anjing: Baka Anjing] (dalam bahasa Inggeris). New York, New York, Amerika Syarikat: Thomas Y. Crowell Co. m/s. 43–46. ISBN 9780690000566. OCLC 624065.
  8. 1 2 3 4 5 6 7 8 "Standard FCI N°15 BERGER BELGE" [Piawaian FCI No. 15 Anjing Gembala Belgium] (pdf) (dalam bahasa Perancis). Thuin, Belgium: Persekutuan Kinologi Antarabangsa. 22 Jun 2001. Dicapai pada 15 Januari 2024.
  9. 1 2 3 4 5 6 7 8 "FCI-Standard N° 15 CHIEN DE BERGER BELGE (Belgian Shepherd Dog)" [Piawaian FCI No. 15 Anjing Gembala Belgium] (pdf) (dalam bahasa Inggeris). Diterjemahkan oleh Jeans-Brown, Pamela. Disemak oleh Robert Pollet. Thuin, Belgium: Persekutuan Kinologi Antarabangsa. 19 April 2002. Dicapai pada 15 Januari 2024.{{cite web}}: CS1 maint: others (link)
  10. 1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 Hamilton, Ferelith; Jones, Arthur Frederick (1971). The World Encyclopedia of Dogs [Ensiklopedia Dunia tentang Anjing] (dalam bahasa Inggeris). New York, New York, Amerika Syarikat: Galahad Books. m/s. 53–57. ISBN 9780883653029. OCLC 1693894.
  11. ↑ Vassallo, Laura (1 Ogos 2016). "Behavioral differences among Belgian Shepherd Dogs varieties" [Perbezaan tingkah laku sesama keragaman anjing gembala Belgium]. Dog Behavior (dalam bahasa Inggeris). 2 (2). Edizioni ETS: 15–19. doi:10.4454/db.v2i2.31. ISSN 2421-5678. S2CID 113932053.
  12. ↑ Pawlyk, Oriana (18 September 2018). "US Military Working Dogs Should Be American-Born, Senator Says" [Anjing Pekerja Tentera AS Patut Lahir di Amerika, Kata Senator] (dalam bahasa Inggeris). Military.com. Dicapai pada 19 Januari 2024.
  13. ↑ Schmidt, Michael S. (21 September 2014). "White House May Check Tourists Blocks Away" [Rumah Putih Mungkin Periksa Pelancong Berblok-blok Jauh] (dalam bahasa Inggeris). The New York Times. Dicapai pada 19 Januari 2024.
  14. ↑ Winer, Stuart (6 Ogos 2017). "Indian PM's security goes to the (Israeli) dogs" [Sekuriti PM India pada anjing (Israel)] (dalam bahasa Inggeris). The Times of Israel. Dicapai pada 19 Januari 2024.
  15. ↑ "Military working dogs" [Anjing pekerja ketenteraan] (dalam bahasa Inggeris). Tentera Udara Diraja Australia. Diarkibkan daripada yang asal pada 24 Januari 2021. Dicapai pada 19 Januari 2024.
  16. ↑ Martin, Guy (28 Mac 2017). "Anti-poaching dogs a game-changer for Kruger" [Anjing anti-pemburuan haram pengubah keadaan untuk Kruger] (dalam bahasa Inggeris). defenceWeb. Dicapai pada 19 Januari 2024.
  17. ↑ McMillan, Kirsten Marie; Bielby, Jon; Williams, Carys Louisa; Upjohn, Melissa Mary; Casey, Rachel Alison; Christley, Robert Matthew (1 Februari 2024). "Longevity of companion dog breeds: those at risk from early death" [Kelanjutan usia baka anjing teman: yang berisiko untuk kematian awal]. Scientific Reports (dalam bahasa Inggeris). 14 (1) 531. Nature Portfolio. Bibcode:2024NatSR..14..531M. doi:10.1038/s41598-023-50458-w. ISSN 2045-2322. PMC 10834484. PMID 38302530. S2CID 267382263.
  18. ↑ "Breed Sheet: Belgian Shepherd Dog Groenendael" [Lembaran Baka: Anjing Gembala Belgium Groenendael] (dalam bahasa Inggeris). Société Royale Saint-Hubert. 7 Februari 2020. Diarkibkan daripada yang asal (pdf) pada 8 Oktober 2020. Dicapai pada 19 Januari 2024.
  19. ↑ "Breed Sheet: Belgian Shepherd Dog Laekenois" [Lembaran Baka: Anjing Gembala Belgium Laeken] (dalam bahasa Inggeris). Société Royale Saint-Hubert. 7 Februari 2020. Diarkibkan daripada yang asal (pdf) pada 14 Oktober 2020. Dicapai pada 19 Januari 2024.
  20. ↑ "Breed Sheet: Belgian Shepherd Dog Malinois" [Lembaran Baka: Anjing Gembala Belgium Malines] (pdf) (dalam bahasa Inggeris). Société Royale Saint-Hubert. 7 Februari 2020. Dicapai pada 19 Januari 2024.[pautan mati kekal]
  21. ↑ "Breed Sheet: Belgian Shepherd Dog Tervueren" [Lembaran Baka: Anjing Gembala Belgium Tervueren] (dalam bahasa Inggeris). Société Royale Saint-Hubert. 7 Februari 2020. Diarkibkan daripada yang asal (pdf) pada 10 Oktober 2020. Dicapai pada 19 Januari 2024.
  22. 1 2 Lit, Lisa; Belanger, Janelle Maria; Boehm, Debby; Lybarger, Nathan; Oberbauer, Anita M. (9 April 2013). "Dopamine transporter single nucleotide polymorphisms (SNPs) in Belgian Malinois dogs" [Polimorfisme nukleotida tunggal (SNP) pengangkut dopamina pada anjing Malines Belgium]. Animal Genetics (dalam bahasa Inggeris). 44 (5). Wiley: 604–605. doi:10.1111/age.12040. ISSN 1365-2052. PMID 23565797. S2CID 31665456.
  23. 1 2 Lit, Lisa; Belanger, Janelle Maria; Boehm, Debby; Lybarger, Nathan; Haverbeke, Anouck; Diederich, Claire; Oberbauer, Anita M. (30 Mei 2013). "Characterization of a dopamine transporter polymorphism and behavior in Belgian Malinois" [Pencirian polimorfisme pengangkut dopamina dan tingkah laku pada anjing Malines Belgium]. BMC Genetics (dalam bahasa Inggeris). 14 (1) 45. BioMed Central. doi:10.1186/1471-2156-14-45. hdl:1854/LU-8722963. ISSN 2730-6844. PMC 3680094. PMID 23718893. S2CID 13905164.
  24. 1 2 Lit, Lisa; Belanger, Janelle Maria; Boehm, Debby; Lybarger, Nathan; Oberbauer, Anita M. (23 Disember 2013). Sato, Makoto (penyunting). "Differences in Behavior and Activity Associated with a Poly(A) Expansion in the Dopamine Transporter in Belgian Malinois" [Perbezaan Tingkah Laku dan Kegiatan yang Berkaitan dengan Peluasan Poli(A) pada Pengangkut Dopamina pada Anjing Malines Belgium]. PLOS One (dalam bahasa Inggeris). 8 (12) e82948. PLOS. Bibcode:2013PLoSO...882948L. doi:10.1371/journal.pone.0082948. ISSN 1932-6203. PMC 3871558. PMID 24376613. S2CID 23443014.
  25. ↑ LaPorta, James (28 Oktober 2019). "Classified Name Revealed of Special Ops Hero Dog Wounded in Syria Raid that Killed ISIS Leader Baghdadi" [Nama Sulit Didedahakan bagi Anjing Wira Op Khas yang Cedera dalam Serbuan di Syria yang Korbankan Pemimpin DAESH] (dalam bahasa Inggeris). Newsweek. Dicapai pada 19 Januari 2024.
  26. ↑ "Dickin Medal for Diesel the police dog killed in Paris attacks raid" [Pingat Dickin untuk Diesel si anjing polis yang terkorban dalam serbuan serangan di Paris] (dalam bahasa Inggeris). BBC News. 28 Disember 2015. Dicapai pada 19 Januari 2024.
  27. ↑ "Rhino poacher-hunting dog from South Africa gets hero medal" [Anjing pemburu pemburu haram badak sumbu dari Afrika Selatan dapat pingat wira] (dalam bahasa Inggeris). BBC News. 8 Januari 2016. Dicapai pada 19 Januari 2024.
  28. ↑ Hayne, Jordan (26 Oktober 2018). "'Victoria Cross for animals': Military dog Kuga posthumously awarded Dickin Medal for bravery" ['Salib Victoria untuk haiwan': Anjing tentera Kuga dianugerahi Pingat Dickin selepas kematian atas keberanian] (dalam bahasa Inggeris Australia). ABC News. Dicapai pada 19 Januari 2024.
  29. ↑ "Dog Mali awarded medal for Afghanistan bravery" [Anjing Mali dianugerahi pingat atas keberanian di Afghanistan] (dalam bahasa Inggeris). BBC News. 17 November 2017. Dicapai pada 19 Januari 2024.