Anjing gunung Entlebuch

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Anjing gunung Entlebuch
Anjing gunung Entlebuch
Nama lainAnjing lembu Entlebuch
Negara asalSwitzerland
Anjing (Canis lupus familiaris)

Anjing gunung Entlebuch atau anjing lembu Entlebuch[a] ialah satu baka anjing gembala bersaiz sederhana yang merupakan yang terkecil antara empat baka rantauan yang membentuk jenis anjing sennenhund. Perkataan Sennenhund pada nama aslinya merujuk orang yang dipanggil Senn, iaitu para gembala di Banjaran Alp Switzerland. Entlebuch ialah sebuah rantau di kanton Luzern di Switzerland.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Anjing gunung Entlebuch
Anak anjing gunung Entlebuch pada usia 11 bulan

Anjing gunung Entlebuch ialah yang terkecil daripada empat baka anjing gunung Switzerland. Yang lain merupakan anjing gunung Appenzell, anjing gunung Bern, dan anjing gunung besar Switzerland. Pada tahun 1800-an, anjing-anjing ini berbeza-beza dan tidak dianggap sebagai baka-baka tersendiri. Pada tahun 1908, Kelab Kenel Switzerland mula mengelaskan anjing-anjing ini.[1] Pada tahun 1913, empat ekor anjing gunung Entlebuch yang berekor kontot ditunjukkan kepada Albert Heim, seorang penyokong untuk baka-baka sennenhund yang semakin jarang. Baka ini dimasukkan ke dalam buku pembaka Kelab Kenel Switzerland, tetapi Perang Dunia Pertama mencelah dan pada mulanya, selepas peperangan, tiada contoh baka ini yang dapat ditemukan.[2] Kelab baka pertama tidak dibentuk sehingga tahun 1926, apabila 16 ekor anjing jenis ini ditemukan pada tahun 1927 dan baka ini perlahan-lahan dipulihkan.[3] Walaupun pada asalnya dibela untuk menjaga dan menggembala, kini baka ini biasanya dibela sebagai peneman yang meriah.

Empat baka sennenhund[sunting | sunting sumber]

Yang berikut merupakan empat baka sennenhund:

Baka anjing gunung Entlebuch mengongsi banyak ciri anjing penjaga haiwan ternakan lain dari sekeliling dunia.

Penampilan[sunting | sunting sumber]

Anjing gunung Entlebuch dengan sebiji bola tenis

Anjing gunung Entlebuch betina bergaris luar segi empat sama; jantannya ialah anjing lebih panjang, bergaris luar kurang berbentuk segi empat sama, tegap, dan bersaiz sederhana. Ia mempunyai telinga segi tiga kecil dan mata perang agak kecil. Kepalanya berperkadaran baik dengan tubuh dengan tengkorak rata kuat. Rahang panjangnya cukup terbentuk dan berkuasa. Kakinya padat dan menyokong tubuh berototnya. Lapis bulu licinnya rapat dan licin dengan tanda-tanda bersimetri berwarna hitam, sawo matang, dan putih. Lapis bulu triwarna ini mempunyai warna putih pada jari kaki, di hujung ekor, dan di dada serta takik di bahagian yang mempunyai bulu lembut dan gebu; sawo matang sentiasa terletak di antara bahagian hitam dengan bahagian putih. Ia mempunyai pinggul berotot dan lebar. Ketingnya secara semula jadi cukup bersudut. Ekornya kadang-kadang dipotong, yang merupakan satu amalan yang kini dilarang oleh undang-undang di banyak negara, atau ia mungkin mempunyai ekor kontot semula jadi.[2] Ketinggian pada paras kelasa ialah 19–20 in (48–51 cm) dan berat ialah 45–65 lb (20–29 kg).

Perangai[sunting | sunting sumber]

Seperti semua anjing pekerja besar dan aktif, baka ini patut disosialisasikan dengan baik awal-awal dalam kehidupan dengan anjing dan orang lain dan diberi aktiviti dan latihan kerap. Perangai setiap anjing mungkin berbeza-beza. Piawaian menyatakan bahawa baka ini "bersifat baik dan setia kepada orang yang dikenali olehnya, sedikit curiga terhadap orang asing".[4][5]

Pengiktirafan kelab kenel[sunting | sunting sumber]

Anjing gunung Entlebuch diiktiraf di peringkat antarabangsa oleh Persekutuan Kinologi Antarabangsa dengan menggunakan piawaian yang ditulis di tanah air baka ini, Switzerland. Kelab-kelab kenel kebangsaan lain yang tidak bergabung dengan Persekutuan Kinologi Antarabangsa juga mengiktiraf baka, kerap menulis versi sendiri bagi piawaian baka.

Anjing gunung Entlebuch diiktiraf oleh The Kennel Club (United Kingdom) dan Canadian Kennel Club (Kanada) dan diletakkan dalam Kumpulan Pekerja. United Kennel Club (Amerika Syarikat) meletakkan baka itu dalam Kumpulan Anjing Penjaga. Ia belum diiktiraf oleh New Zealand Kennel Club (New Zealand) atau Australian National Kennel Council (Australia). Baka ini diiktiraf oleh banyak kelab kecil dan pejabat pendaftaran berasaskan Internet yang mempromosikan baka ini sebagai baka jarang untuk para pembeli anak anjing yang mencari haiwan peliharaan unik.

Baka ini diterima ke dalam Buku Pembaka American Kennel Club pada 1 Disember 2010 dan layak untuk bertanding dalam kumpulan anjing ggembala pada 1 Januari 2011.[6][7]

Isu kesihatan[sunting | sunting sumber]

Pembiakbakaan dalam oleh sebab bilangan ternakan asasi kecil telah menyebabkan anjing gunung Entlebuch mengalami kecacatan kongenital, yang paling umum antaranya ialah displasia pinggul.[8] Anemia hemolisis juga diketahui berlaku.[perlu rujukan] Atrofi retina progresif (PRA) juga hadir pada baka ini. National Entlebucher Mountain Dog Association (NEMDA), dengan kerjasama pertubuhan-pertubuhan lain, sedang berusaha untuk menghapuskan isu-isu ini daripada baka ini melalui pembiakbakaan bertanggungjawab, pengujian genetik, dan penyebaran fakta.[9]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Catatan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Jawi: انجيڠ ݢونوڠ اينتلبوخ; Jerman: Entlebucher Sennenhund; Perancis: bouvier de l'Entlebuch; Itali: bovaro dell'Entlebuch; bahasa Inggeris: Entlebuch mountain dog; Entlebucher mountain dog; Entlebuch cattle dog

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Morris, Desmond (2001). Dogs: the ultimate dictionary of over 1,000 dog breeds (dalam bahasa Inggeris). North Pomfret, Vermont, Amerika Syarikat: Trafalgar Square Publishing. m/s. 470. ISBN 1-57076-219-8.
  2. ^ a b Clark, Anne Rogers; Andrew H. Brace (1995). The International Encyclopedia of Dogs (dalam bahasa Inggeris). Howell Book House. m/s. 214. ISBN 0-87605-624-9.
  3. ^ "Entlebuch Cattle Dog" (dalam bahasa Inggeris). Naturhistoriches Museum der Burgergemeinde Bern. Diarkibkan daripada yang asal pada 7 Julai 2011. Dicapai pada 9 Januari 2024.
  4. ^ "FCI - Standard Nr. 47 ENTLEBUCHER SENNENHUND" [Piawaian FCI No. 47 Anjing Gunung Entlebuch] (pdf). Persekutuan Kinologi Antarabangsa (dalam bahasa Jerman). 28 Jun 2002. Dicapai pada 9 Januari 2024.
  5. ^ "FCI-Standard N°47 ENTLEBUCHER SENNENHUND (Entlebuch Cattle Dog)" [Piawaian FCI No. 47 Anjing Gunung Entlebuch] (pdf). Persekutuan Kinologi Antarabangsa (dalam bahasa Inggeris). Diterjemahkan oleh C. Seidler. 28 Jun 2002. Dicapai pada 9 Januari 2024.CS1 maint: others (link)
  6. ^ AKC Entlebucher Mountain Dog News (Inggeris) Diarkibkan 22 Oktober 2010 di Wayback Machine, Dicapai pada 9 Januari 2024.
  7. ^ "Three New Breed Recognized by AKC]". The Globe and Mail (dalam bahasa Inggeris). 26 Januari 2011. Dicapai pada 9 Januari 2024.
  8. ^ "Breed – Entlebucher Mountain Dog Club of Great Britain" (dalam bahasa Inggeris). 5 Mac 2017. Dicapai pada 9 Januari 2024.
  9. ^ National Entlebucher Mountain Dog Association Objectives, http://nemda.org (Inggeris)

Pautan luar[sunting | sunting sumber]