Anjing pengutip keemasan

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Anjing pengutip keemasan
Negara asalScotland
Trait
Berat 25–34 kilogram (55–75 lb)
Tinggi Jantan 56–61 sentimeter (22–24 in)
Betina 51–56 sentimeter (20–22 in)
Bulu Lapis bulu ganda rata atau beralun dengan jumbai bagus, lapis bulu bawah padat kalis air
Warna Mana-mana cahaya warna emas atau krim
Saiz perinduk 7.2±2.7[1]:4
Jangka hayat 12–13 tahun
Anjing (Canis lupus familiaris)

Anjing pengutip keemasan[a] ialah satu baka anjing pengutip bersaiz sederhana Scotland. Ia bercirikan sifat lemah lembut dan penyayang dan lapis bulu keemasan ketara. Ia pada umumnya dibela sebagai anjing peliharaan dan merupakan antara baka paling kerap didaftarkan di beberapa buah negara Barat. Ia merupakan pesaing kerap dalam pertunjukan anjing dan ujian kepatuhan; ia juga digunakan sebagai gundog (sejenis anjing pemburu untuk pengutipan unggas dengan menggunakan mulut lembut) dan mungkin dilatih untuk kegunaan sebagai anjing pandu.

Baka ini dihasilkan oleh Sir Dudley Marjoribanks di estet beliau di Scotland, Guisachan, pada lewat abad kesembilan anjing. Beliau menyilangkan anjing pengutip berbulu rata dengan spaniel air Tweed, dengan penerapan lanjut seter merah, anjing pengutip Labrador, dan anjing pemburu darah. Baka ini diiktiraf oleh The Kennel Club pada tahun 1913 semasa tempoh antara perang tersebar ke banyak bahagian dunia.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Nous, yang duduk, di Guisachan, 1870-an

Anjing pengutip keemasan dikembangkan di Scotland pada abad kesembilan belas oleh Sir Dudley Marjoribanks (kemudian menjadi Baron Tweedmouth) daripada anjing pengutip berbulu rata yang disilangkan dengan bijaksana dengan spaniel air Tweed dan sesetengah baka anjing British lain.[2][3] Sebelum penerbitan buku pembaka sangat terperinci tahun 1952 yang telah diselenggara dengan teliti oleh Marjoribanks, sebilangan kisah romantis diterbitkan tentang asal usul baka ini.[2][3][4]

Pada tahun 1860-an, Marjoribanks berusaha untuk mewujudkan yang ada dalam fikirannya merupakan baka anjing pengutip muktamad di estet beliau di Scotland, Guisachan.[2][5] Beliau bermula dengan memperoleh seekor anjing pengutip berbulu rata jantan berwarna kuning yang dipanggil Nous;[note 1] Nous lahir pada Jun 1864 dan merupakan satu-satunya anak anjing kuning dalam perinduk yang selebihnya berwarna hitam sepenuhnya.[2][4] Walaupun jarang, kadang-kadang anak anjing pengutip berbulu rata baka tulen berwarna hati, perang, keemasan, atau kuning dilahirkan ikutan pengawanan dua ekor induk hitam.[3][6] Pedigri Nous-lah yang merupakan sumber untuk kisah romantis bagi warisan anjing pengutip keemasan.[2] Satu keterangan awal mendakwa bahawa Nous dibeli daripada seorang jurulatih sarkas Rusia di Brighton, satu lagi mendakwa bahawa ia dibeli daripada seorang tukang kasut, dan satu lagi mendakwa penglibatan seorang gipsi.[2] Buku pembaka menyatakan bahawa Nous ialah seekor anjing pengutip berbulu rata yang dibiakbakakan oleh Lord Chichester di estet beliau di Stanmer Park dekat dengan Brighton.[5][6][7]

Pada tahun 1868, Nous dikawankan dengan seekor spaniel air Tweed betina bernama Belle, yang direkodkan dalam buku pembaka sebagai anjing yang dilahirkan pada tahun 1863 sebagai anjing daripada "pembiakbakaan Ladykirk".[2][6] Perinduk daripada pengawanan ini terdiri daripada empat ekor anak anjing kuning, iaitu Primrose, Ada, Cowslip, dan Crocus.[7][8] Anjing betina terbaik daripada perinduk ini, Cowslip, dikawankan dengan seekor spaniel air Tweed yang dipanggil Tweed dengan pengawanan yang menghasilkan seekor anak anjing betina yang dipanggil Topsy.[5] Cowslip kemudiannya dikawankan dengan seekor seter merah yang dipanggil Sampson; pengawanan itu menghasilkan anak anjing jantan yang dipanggil Jack.[5] Topsy dikawankan dengan seekor anjing pengutip berbulu rata hitam yang dipanggil Sambo dan seekor anak anjing betina daripada perinduk itu, Zoe, dikawankan kembali dengan Jack dan dua ekor anak anjing daripada pengawanan itu dikekalkan, seekor anjing jantan bernama Nous II dan seekor anjing betina yang dipanggil Gill.[5] Gill dikawankan dengan seekor anjing pengutip Labrador hitam yang dipanggil Tracer dan seekor anak anjing betina daripada pengawanan itu, Queenie, dikawankan kembali dengan Nous II; semua anjing pengutip keemasan diturunkan daripada pengawanan ini.[5] Progeni daripada pelbagai pengawanan ini berbeza-beza dari segi warna daripada hitam legam kepada krim cerah, tetapi anjing berwarna keemasanlah yang dikekalkan dan dikawankan dengan satu sama lain, lalu membentuk ternakan asasi bagi baka anjing pengutip keemasan.[2] Marjoribanks juga diketahui telah menggunakan seekor anjing pemburu darah berwarna pasir dan seekor lagi labrador pada tahun-tahun kemudian dalam program pembiakbakaan.[4][5]

Pada tahun 1952, cucu saudara kepada Marjoribanks, Giles Fox-Strangways, Earl Ilchester ke-6, berpasukan dengan Elma Stonex dan bersama-sama mereka mengkaji buku pembaka Marjoribanks.[6] Pada tahun 1960, penyelidikan mereka diterbitkan, dengan mengemukakan semua bukti yang diperlukan untuk menentang semua kisah tentang keleluhuran Rusia.[6] Buku pembaka ini, yang merangkumi tempoh dari tahun 1868 hingga tahun 1890, dipulihara di perpustakaan The Kennel Club di London.[5]

Winifred Charlesworth dengan dua ekor anjing pengutip keemasan beliau, 1910-an

Pada zaman awal, anjing pengutip keemasan dipanggil Flat-coated Retriever, Golden ("anjing pengutip berbulu rata, keemasan"),[note 2] Pada mulanya, anjing pengutip keemasan dianggap sebagai keragaman warna bagi baka anjing pengutip berbulu rata.[2] Pada tahun 1903, The Kennel Club merekodkan contoh pertama dan menyenaraikannya dalam daftar sama dengan anjing pengutip berbulu rata.[2] Pada tahun 1904, seekor anjing pengutip keemasan memenangi ujian padang dan, pada tahun 1908, contoh pertama dipamerkan dalam pertunjukan pengakuran.[7] Pada tahun 1911, sebuah kelab baka dibentuk untuk baka ini di England, iaitu Golden Retriever Club, dan ia diberi nama baharu, iaitu Yellow atau Golden Retriever ("anjing pengutip kuning atau keemasan"); dari saat ini, ia semakin terlihat sebagai baka terpisah daripada anjing pengutip berbulu rata.[2] Hanya mulai tahun 1913, The Kennel Club mula merekodkannya dalam daftar baka terpisah daripada anjing pengutip berbulu rata dan, pada tahun 1920, "Yellow or" ("[...] kuning atau [...]") digugurkan daripada nama baka dan ia secara rasmi dipanggil Golden Retriever ("anjing pengutip keemasan").[2][6]

Seorang penggemar baka ini dari awal abad kedua puluh, Winifred Charlesworth, memainkan peranan penting dalam pengasasan kelab baka serta pengiktirafan terpisahnya daripada The Kennel Club.[6] Beliaulah yang merangka piawaian baka pertama, yang diterima pakai oleh The Kennel Club dan dengan hanya pindaan kecil dan sebahagian besarnya kekal tidak berubah.[6] Beliau membiakbakakan dan mempamerkan anjing pengutip keemasan Juara Pertunjukan pertama dan merupakan penyokong kuat untuk pengekakan naluri kerja baka ini. Beliau dikreditkan denan pempopularannya dalam ujian padang dan pengenalannya kepada ahli sukan tembak.[note 3][6]

Pada tahun-tahun selepas Perang Dunia Pertama, kepopularannya meningkat dengan ketara dan, pada tahun 1920-an dan tahun 1930-an, ia tersebar ke kebanyakan bahagian dunia Barat.[6] Canadian Kennel Club mengiktiraf baka ini pada tahun 1927, American Kennel Club pada tahun 1932; contoh pertama didaftarkan di Perancis pada tahun 1934 dan di Australia pada tahun 1937.[2] Kepopularan sedunia baka ini di bermakna bahawa ia tidak mengalami nasib malang yang dialami oleh banyak baka anjing British semasa Perang Dunia Kedua kerana sekatan zaman perang British terhadap pembiakbakaan anjing lebih besar dengan ternakan pembiakbakaan berkualiti mencukupi yang tersedia di seluruh dunia untuk memastikan tiada ciri-cirinya yang hilang.[6]

Sejak tahun 1940-an, kepopularannya terus meningkat dan ia telah menjadi salah satu baka anjing paling mudah cam dan paling kerap didaftarkan di dunia Barat.[2]

Perihal[sunting | sunting sumber]

Ciri-ciri muka
Perbezaan warna lapis bulu

Penampilan[sunting | sunting sumber]

Anjing pengutip keemasan ialah baka anjing bersaiz sederhana dengan binaan berkuasa; menurut piawaian baka The Kennel Club, jantan berdiri setinggi 56–61 sentimeter (22–24 in) dan betina setinggi 51–56 sentimeter (20–22 in).[6][9] Contoh dewasa sihat biasanya berukuran seberat 25–34 kilogram (55–75 lb).[10]

Anjing pengutip keemasan mempunyai kepala lebar dengan stop cukup jelas, dengan mata gelap cukup renggang, muncung lebar dan berkuasa, hidung hitam besar, flews berpigmen gelap dan sedikit terkulai, dan telinga bersaiz sederhana yang terletak tinggi-tinggi dan tergantung dengan sedikit lipatan.[10][11] Lehernya berotot dan agak panjang dengan kulit longgar, bahunya cukup santai dan berbelikat panjang, dan tubuhnya dalam melalui dada dengan rusuk cukup melengkung.[6][10][11] Belakangnya biasanya separas dari kelasa ke krup dan ekor panjang dan lurus biasanya terangkat secara merata, kira-kira segaris dengan belakang.[6][10][11] Tungkai hadapannya lurus dengan tulang bagus, tungkai belakangnya berkuasa dengan stifel cukup bengkok dan paha berotot, dan kakinya mirip kucing.[6][10][11]

Lapis bulu ganda ialah ciri mudah cam dan mencolok:[8] lapis bulu luarnya panjang, rata, atau beralun dan mempunyai jumbai bagus pada tungkai hadapan, manakala lapis bulu bawahnya padat dan menyediakan ketahanan terhadap cuaca.[10][11] Lapis bulunya dapat memilik sebarang cahaya warna krim, kuning, atau emas; lapis bulunya biasanya menjadi lebih pudat seiring dengan usia.[10][11] Piawaian baka The Kennel Club melarang lapis bulu berwarna merah atau mahogani, tetapi sedikit helaian bulu putih pada dada diizinkan.[9] Pada asalnya hanya contoh berwarna kuning atau keemasan diizinkan, ini mengecualikan banyak anjing cemerlang berwarna krim; untuk mengatasi ini, pada tahun 1936, piawaian The Kennel Club dipinda untuk menyertakan warna krim.[6] Warna krim, yang pada zaman lebih moden dapat menjadi hampir putih, telah menjadi warna dominan dan amat digemari oleh pempamer pertunjukan pengakuran.[12] Anjing pengutip keemasan yang dibiakbakakan untuk pertunjukan pengakuran cenderung untuk mempunyai lapis bulu lebih panjang dan lebih halus daripada yang dibiakbakakan untuk kerja sebagai gundog.[12]

Piawaian baka The Kennel Club diterima oleh setiap kelab kenel di dunia kecuali kelab kenel di Kanada dan di Amerika Syarikat.[6] Piawaian baka di Amerika Utara mensyaratkan anjing lebih tinggi sedikit[note 4] dan warna krim tidak diizinkan.[6]

Perangai[sunting | sunting sumber]

Anjing pengutip keemasan dianggap sebagai baka anjing cerdas, bersifat lemah lembut, dan sangat penyayang.[3][8] Seperti yang tipikal dengan baka anjing pengutip, baka ini pada umumnya tenang dan mudah patuh, kerana sangat mudah dilatih dan amat berminat untuk menggembirakan tuannya.[6][8] Baka ini terkenal sebagai anjing peliharaan dan anjing keluarga cemerlang kerana pada umumnya sangat bertolak ansur terhadap kanak-kanak dan berminat untuk menemani mana-mana anggota keluarga dalam pelbagai aktiviti.[4] Oleh sebab sifat mesranya, baka ini kerap tidak mempunyai naluri penjagaan.[4] Walau bagaimanapun, telah ada juga laporan tentang sesetengah anjing pengutip keemasan sangat agresif dalam susur galur tertentu. Telah ada cadangan bahawa variasi dari segi pencerobohan ini sebahagiannya disebabkan oleh faktor genetik.[14]

Baka ini biasanya mengekalkan banyak trait dan naluri gundog termasuk deria bau cemerlang dan naluri kuat untuk mengutip; walaupun sesama yang tidak terlatih sebagai gundog, ada kebiasaan untuk anjing pengutip keemasan menghadiahi pemiliknya mainan atau objek lain.[6][8] Berbanding dengan baka anjing pengutip lain, anjing pengutip keemasan biasanya agak lambat matang.[8][12]

Kepopularan dan kegunaan[sunting | sunting sumber]

Mengutip unggas buruan yang ditembak

Anjing pengutip keemasan ialah salah satu baka anjing pendamping yang paling lazim dibela di dunia Barat dan kerap menjadi antara sepuluh baka anjing teratas menurut bilangan pendaftaran di United Kingdom, di Amerika Syarikat, di Australia, dan di Kanada.[2][3][15][16][17][18] Ia merupakan petanding kerap dalam pertunjukan anjing; susur galur pertunjukan berasingan bagi baka ini telah dikembangkan.[3][8][12] Anjing ini dapat dilatih sebagai anjing pandu dan anjing terapi[3][4] dan boleh bertanding dalam ujian kepatuhan dan sukan anjing lain.[3][4]

Anjing pengutip keemasan masih digunakan sebagai gundog oleh ahli sukan sebagai teman perburuan di padang dan untuk bertanding dalam ujian padang.[3][8][12] Ia lebih banyak digunakan untuk pengutipan burung buruan darat seperti grouse dan partridge berbanding dengan untuk pemburuan unggas liar.[8] Yang digunakan sebagai gundog biasanya daripada susur galur pekerja yang dibiakbakakan khusus untuk kegunaan padang; anjing daripada susur galur anjing peliharaan atau pertunjukan jarang sesuai.[3][8][12] Anjing pengutip keemasan dengan lapis bulu ganda padat tradisional adalah sangat sesuai untuk kerja dalam keadaan sejuk dan basah, kerana lapis bulunya menyediakan rintangan air dan penebatan.[8][12] Berbanding dengan baka anjing pengutip lain, anjing pengutip keemasan bukan perenang kuat; lapis bulu panjangnya menyebabkannya terduduk rendah-rendah di dalam air semasa berenang.[8]

Anjing pengutip keemasan lebih jarang digunakan oleh ahli sukan sebagai teman perburuan berbanding dengan anjing pengutip Labrador.[8][12] Salah satu sebabnya ialah bahawa baka ini pada umumnya agak lambat matang, khususnya berbanding dengan labrador; kerap apabila anjing pengutip keemasan masih dalam latihan asasi, labrador pada usia sama telah pun menamatkan satu musim perburuan.[8][12] Satu lagi ialah lapis bulu panjangnya, yang memerlukan lebih banyak penyelenggaraan dan pendandanan daripada labrador, khususnya selepas bekerja dalam keadaan berlumpur atau di dalam semak tebal, kerana bulu panjangnya lebih cenderung untuk memungut kotoran dan gerigis.[8][12] Lebih banyak anjing pengutip keemasan dibiakbakakan sebagai anjing peliharaan atau untuk gelanggang pertunjukan berbanding dengan untuk perburuan. Oleh itu, ada kesukaran untuk ahli sukan mencari anak anjing yang dibiakbakakan daripada susur galur pekerja terbukti.[12]

Kesihatan[sunting | sunting sumber]

Anjing pengutip keemasan ialah baka yang pada umumnya sihat; ia mempunyai purata jangka hayat sebanyak 12 hingga 13 tahun.[10] Pembiakbakaan tidak bertanggungjawab untuk memenuhi permintaan tinggi telah membawa kepada prevalens masalah kesihatan terwaris pada sesetengah susur galur baka, termasuk keadaan kulit alahan, masalah mata, dan kadang-kadang kebengkengan.[10] Masalah ini jarang ditemukan pada anjing yang dibiakbakakan daripada pembiak baka bertanggungjawab.[10]

Baka ini terdedah secara luar biasa kepada kanser, dengan sebuah kajian Amerika Syarikat yang mendapati kanser sebagai punca kematian pada hampir-hampir 50% daripada populasi, angka kedua tertinggi dalam kajian itu. Beberapa buah kajian Eropah mendapati prevalens jauh lebih rendah (20–39%), yang mungkin mencerminkan pencapahan genetik ketara antara populasi Amerika dengan populasi Eropah. Ia terutamanya terdedah kepada hemangiosarkoma dan limfoma, dengan anggaran risiko seumur hidup satu daripada lima untuk hemangiosarkoma dan satu daripada lapan untuk limfoma. Prevalens tinggi bagi kematian akibat kanser sesama anjing pengutip keemasan mungkin sebahagiannya mewakili kekurangan penyakit kongenital lain.[19][20][21]

Anjing pengutip keemasan terkenal[sunting | sunting sumber]

Catatan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Jawi: انجيڠ ڤڠوتيڤ کأمسن; bahasa Inggeris: golden retriever

Catatan penjelasan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Keterangan berbeza-beza mengenai sama ada Sir Dudley Marjoribanks memperoleh Nous pada tahun 1865 atau tahun 1868.[2][6]
  2. ^ Pada abad ke-19, anjing pengutip berbulu rata kerap dipanggil Wavey-coated Retriever ("anjing pengutip berbulu beralun"), dan oleh itu anjing pengutip keemasan kerap dipanggil Wavy-coated Retriever, Golden ("anjing pengutip berbulu beralun, keemasan").[2][6]
  3. ^ Charlesworth masih mempamerkan dan memasukkan anjing-anjing beliau dalam ujian padang selepas Perang Dunia Kedua dan sangat terus terang dalam pandangan beliau bahawa anjing pengutip keemasan tidak patut ditunjukkan tanpa bertanding huga dalam ujian padang, memanggil mana-mana pengendali yang berbuat sedemikian "pelepak bangku pertunjukan".[6]
  4. ^ American Kennel Club menyatakan bahawa jantan patut berdiri setinggi 23–24 inci (58–61 cm) dan betina setinggi 21 1222 12 inci (55–57 cm).[13]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Schrank, Magdalena; Contiero, Barbara; Mollo, Antonio (2022). "Incidence and concomitant factors of cesarean sections in the bitch: A questionnaire study". Frontiers in Veterinary Science (dalam bahasa Inggeris). 9. doi:10.3389/fvets.2022.934273. PMC 9478343 Check |pmc= value (bantuan). PMID 36118330 Check |pmid= value (bantuan).
  2. ^ a b c d e f g h i j k l m n o p q Morris, Desmond (2001). Dogs: the ultimate dictionary of over 1,000 dog breeds (dalam bahasa Inggeris). North Pomfret, Vermont, Amerika Syarikat: Trafalgar Square Publishing. m/s. 288–289. ISBN 1-57076-219-8.
  3. ^ a b c d e f g h i j Hancock, David (2013). Gundogs: their past, their performance and their prospects (dalam bahasa Inggeris). Ramsbury, Marlborough, United Kingdom: The Crowood Press Ltd. m/s. 102–105 & 196–197. ISBN 978-1-84797-492-1.
  4. ^ a b c d e f g Wilcox, Bonnie; Walkowicz, Chris (1995). Atlas of dog breeds of the world (dalam bahasa Inggeris). Neptune City, New Jersey, Amerika Syarikat: TFH Publications. m/s. 450–452.
  5. ^ a b c d e f g h i Sampson, J.; Binns, M. M. (2006). "The Kennel Club and the early history of dog shows and breed clubs". Dalam Ostrander, Elaine A.; Giger, Urs; Lindblad-Toh, Kerstin (penyunting). The dog and its genome (dalam bahasa Inggeris). Cold Spring Harbor, Amerika Syarikat: Cold Spring Harbor Laboratory Press. m/s. 27–29. ISBN 0-87969-742-3.
  6. ^ a b c d e f g h i j k l m n o p q r s t u v w Jones, Arthur F.; Hamilton, Ferelith (1971). The world encyclopedia of dogs (dalam bahasa Inggeris). New York, Amerika Syarikat: Galahad Books. m/s. 233–237. ISBN 0-88365-302-8.
  7. ^ a b c Alderton, David (1987). The dog: the most complete, illustrated, practical guide to dogs and their world (dalam bahasa Inggeris). London, United Kingdom: New Burlington Books. m/s. 63–64. ISBN 0-948872-13-6.
  8. ^ a b c d e f g h i j k l m n o Douglas, James (2003). The complete gundog training manual (dalam bahasa Inggeris). Shrewsbury, United Kingdom: Swan Hill Press. m/s. 28–30. ISBN 978-1-904057-05-5.
  9. ^ a b "Retriever (Golden) breed standard". The Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). The Kennel Club Limited. Mac 1994. Dicapai pada 24 Januari 2024.
  10. ^ a b c d e f g h i j Fogle, Bruce (2009). The encyclopedia of the dog (dalam bahasa Inggeris). New York, Amerika Syarikat: DK Publishing. m/s. 217. ISBN 978-0-7566-6004-8.
  11. ^ a b c d e f Fiorone, Fiorenzo (1973). The encyclopedia of dogs: the canine breeds (dalam bahasa Inggeris). New York, Amerika Syarikat: Thomas Y. Cromwell Company. m/s. 338. ISBN 978-0-690-00056-6.
  12. ^ a b c d e f g h i j k Hudson, David (1995). The shooting man's dog: a complete guide to gundogs (dalam bahasa Inggeris). Shrewsbury, United Kingdom: Swan Hill Press. m/s. 32–34. ISBN 1-85310-560-0.
  13. ^ "Official Standard for the Golden Retriever" (PDF). American Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). The American Kennel Club, Inc. 13 Oktober 1981. Dicapai pada 24 Januari 2024.
  14. ^ Liinamo, Anna-Elisa; van den Berg, Linda; Leegwater, Peter A. J.; Schilder, Matthijs B. H.; van Arendonk, Johan A. M.; van Oost, Bernard A. (1 April 2007). "Genetic variation in aggression-related traits in Golden Retriever dogs". Applied Animal Behaviour Science (dalam bahasa Inggeris). 104 (1): 95–106. doi:10.1016/j.applanim.2006.04.025. hdl:1874/26152. ISSN 0168-1591. S2CID 83866889.
  15. ^ Hepburn, David (6 Januari 2022). "These are the 13 most popular breeds of adorable dog in the UK - according to the Kennel Club". The Scotsman (dalam bahasa Inggeris). Edinburgh, United Kingdom. Dicapai pada 9 Mac 2024.
  16. ^ "Most popular dog breeds – full ranking list". American Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). American Kennel Club. 28 Mac 2019. Dicapai pada 9 Mac 2024.
  17. ^ MacSmith, James (17 Ogos 2021). "Australia's most popular dog breeds". The Daily Telegraph (dalam bahasa Inggeris). Sydney, Australia. Dicapai pada 9 Mac 2024.
  18. ^ Vandertogt, Alysha (6 Julai 2020). "Canada's most popular dog breed of 2020 is…". Cottage Life (dalam bahasa Inggeris). Toronto, Kanada. Dicapai pada 9 Mac 2024.
  19. ^ Kent, Michael S.; Burton, Jenna H.; Dank, Gillian; Bannasch, Danika L.; Rebhun, Robert B. (6 Februari 2018). "Association of cancer-related mortality, age and gonadectomy in golden retriever dogs at a veterinary academic center (1989-2016)". PLOS ONE (dalam bahasa Inggeris). 13 (2): e0192578. Bibcode:2018PLoSO..1392578K. doi:10.1371/journal.pone.0192578. ISSN 1932-6203. PMC 5800597. PMID 29408871.
  20. ^ Dobson, Jane M. (17 Januari 2013). "Breed-Predispositions to Cancer in Pedigree Dogs". International Scholarly Research Notices (dalam bahasa Inggeris). 2013: e941275. doi:10.1155/2013/941275. PMC 3658424. PMID 23738139.
  21. ^ Hovan, Rhonda. "Understanding Cancer in Golden Retrievers" (PDF). Golden Retriever Club of America (dalam bahasa Inggeris).
  22. ^ Berkowitz, Bonnie (30 Januari 2021). "'Who pours the kibble?' And other answers about daily life for dogs in the White House". The Washington Post (dalam bahasa Inggeris). Washington, D.C., Amerika Syarikat. Dicapai pada 9 Mac 2024.
  23. ^ Behrmann, Savannah (5 Mac 2020). "'We are all Bailey': Elizabeth Warren's dog goes viral after stealing a burrito". USA Today (dalam bahasa Inggeris). McLean, Virginia, Amerika Syarikat. Dicapai pada 9 Mac 2024.
  24. ^ "PDSA Gold Medal - Dogs". People's Dispensary for Sick Animals (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 23 Januari 2021. Dicapai pada 9 Mac 2024.
  25. ^ "Office of the Mayor of Idyllwild" (Inggeris). (Dicapai pada 9 Mac 2024)

Bacaan lanjut[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]