Pergi ke kandungan

Anjing sekolah

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Anjing sekolah

Anjing sekolah ialah anjing yang dilatih atau dipilih secara khusus yang disepadukan dalam persekitaran pendidikan untuk menyokong kesejahteraan, penglibatan, dan hasil pembelajaran pelajar. Anjing ini mungkin memainkan peranan daripada teman membaca kepada haiwan sokongan terapi dan semakin banyak terdapat di sekolah rendah dan di sekolah menengah di seluruh dunia.[1]

Anjing sekolah kerap diperihalkan mempunyai kesan penenang semula jadi di dalam bilik darjah. Oleh sebab anjing adalah peka terhadap tenaga dan emosi manusia, kehadirannya dapat membantu meredakan ketegangan, menggalakkan suasana lebih tenang, dan menyokong kesantaian berkumpulan. Oleh itu, ia juga digunakan sebagai alat untuk pengawalaturan bilik darjah dan pengawalaturan bersama emosi.[2]

Gambaran keseluruhan

[sunting | sunting sumber]

Anjing sekolah biasanya merupakan sebahagian daripada campur tangan berbantu haiwan (AAI) yang lebih luas, termasuk terapi berbantu haiwan (AAT) dan pendidikan berbantu haiwan (AAE). Program-program ini memanfaatkan ikatan manusia–haiwan untuk meningkatkan kesudahan psikologi, sosial, dan akademik pada kanak-kanak, khususnya kanak-kanak dengan keperluan pendidikan khas.[3]

Anjing sekolah dapat menjadi anjing terapi tetapi tidak perlu diperakui sebagai anjing terapi. Terdapat program latihan spesifik untuk anjing sekolah.[4] Sesetengah anjing sekolah dilatih dan diperakui; walau bagaimanapun, terdapat juga sekolah yang bekerja dengan anjing yang tidak diperakui.[5]

Penyelidikan

[sunting | sunting sumber]

Penyelidikan tentang peranan dan impak bagi anjing sekolah dalam persekitaran pendidikan ialah bidang membangun. Kajian telah menerokai pelbagai kesudahan, termasuk dimensi emosi, dimensi sosial, dan dimensi akademik. Satu bidang penyelidikan yang amat menjanjikan ialah perkembangan membaca. Beberapa kajian menunjukkan bahawa kemahiran membaca kanak-kanak mungkin bertambah baik apabila mereka mempunyai kesempatan untuk membaca dengan kuat kepada anjing. Kesan ini mungkin terpaut dengan kehadiran anjing tanpa penghakiman, yang dapat mengurangkan keresahan prestasi dan mewujudkan persekitaran lebih santai untuk melatih kemahiran membaca.[6] Selain itu, kanak-kanak biasanya bebas untuk berkeputusan sama ada untuk berinteraksi dengan anjing atau tidak, lalu membolehkan mereka mendekati interaksi pada rentak dan tahap keselesaan sendiri.

Sokongan emosi dan tingkah laku

[sunting | sunting sumber]

Sebagai tambahan kepada kajian klinikal, laporan guru-pengamal juga memerihalkan kesudahan positif daripada program anjing sekolah. Guru memerhatikan bahawa anjing penenang sepenuh masa membantu pelajar dengan pengawalaturan emosi, khususnya semasa saat stres atau konflik. Pelajar juga memaparkan tingkah laku sosial lebih baik dan peningkatan penglibatan dengan rakan sebaya. Lebih-lebih lagi, kehadiran anjing menyumbang kepada iklim sekolah lebih inklusif dan terhubung, lalu menyokong hubungan merentasi pelajar, kakitangan, dan keluarga.[7]

Penyelidikan terkini yang menggunakan percubaan terkawal terawak telah menunjukkan bahawa campur tangan berbantu anjing dapat secara berkesan mengurangkan paras stres fisiologi dalam kalangan kanak-kanak sekolah. Sebuah kajian tahun 2022 yang dijalankan oleh Meints dll. mendapati bahawa kanak-kanak yang menyertai sesi berbantu anjing sebanyak dua kali seminggu selama empat minggu menunjukkan paras kortisol liur yang ketara lebih rendah berbanding dengan rakan sebaya dalam kumpulan kesantaian atau kumpulan tanpa rawatan. Kesan pengurangan stres ini diperhatikan pada kedua-dua kanak-kanak yang sedang berkembang secara tipikal dan kanak-kanak dengan keperluan pendidikan khas. Yang penting, kanak-kanak yang berinteraksi dengan anjing mengekalkan paras kortisol mantap sepanjang penggal persekolahan, sementara kanak-kanak yang berada dalam kumpulan kawalan mengalami peningkatan hormon stres.[8] Kanak-kanak dengan kecelaruan spektrum autisme (ASD) dan sindrom Down (DS) kerap mengalami peningkatan stres dan cabaran sosial. Dalam terapi berbantu haiwan (DAT), kanak-kanak yang berinteraksi dengan anjing terapi menunjukkan pengurangan stres fisiologi semasa sesi, seperti kortisol liur lebih rendah dan kebolehubahan kadar jantung (HRV) stabil. Sebuah kajian yang melibatkan kanak-kanak dengan ASD atau DS menunjukkan penurunan kortisol dengan ketara dalam sesi tunggal, lalu menunjukkan kesan pelega stres.[9]

Satu percubaan terkawal terawak tahun 2025 membandingkan kanak-kanak yang menerima DAT dengan kanak-kanak yang berada dalam kumpulan kawalan anjing robot dan kumpulan kawalan tanpa rawatan. Kumpulan DAT menunjukkan peningkatan yang ketara lebih besar dalam penyesuaian emosi dan pengawalaturan emosi berbanding dengan kumpulan-kumpulan kawalan.[10]

Sokongan akademik

[sunting | sunting sumber]

Program membaca dengan anjing digunakan untuk menyokong celik huruf, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak dengan kesukaran pembelajaran. Dalam sebuah program enam minggu untuk kanak-kanak berusia 8–12 tahun dalam pendidikan khas, kanak-kanak yang membaca dengan kuat kepada anjing menunjukkan peningkatan yang ketara lebih besar dalam skor ujian membaca terpiawai dan menunjukkan tingkah laku semasa tugas lebih lama dan ekspresi emosi lebih positif semasa sesi membaca.[2]

Garis panduan dan peristilahan etika dalam pendidikan berbantu haiwan

[sunting | sunting sumber]

International Association of Human–Animal Interaction Organizations (IAHAIO) telah membangunkan takrifan dan garis panduan yang diiktiraf di peringkat global untuk memastikan pelaksanaan beretika dan berkesan bagi campur tangan berbantu haiwan (AAI), termasuk pendidikan berbantu haiwan (AAE). AAE merujuk kegiatan pendidikan berstruktur dan berorientasikan matlamat yang dipimpin oleh golongan profesional terlatih yang melibatkan haiwan seperti anjing sekolah untuk menggalakkan perkembangan akademik, perkembangan sosial, dan perkembangan emosi. IAHAIO juga menekankan kepentingan kebajikan haiwan dan menyediakan panduan terperinci tentang pelatihan, pemilihan spesies, dan layanan beretika bagi haiwan peserta, dengan bertegas bahawa haiwan bukan alat tetapi peserta berperasaan yang layak mendapat penjagaan berkehormatan.[3]

Kebajikan anjing

[sunting | sunting sumber]

Kebajikan bagi anjing yang menyertai campur tangan berbantu haiwan berasaskan sekolah telah menjadi tumpuan semakin membesar dalam penyelidikan terkini. Semakan sistematik tahun 2024 oleh De Winkel dan rakan sekerja memeriksa 33 buah kajian tentang impak daripada program pendidikan dan program terapi terhadap anjing. Kebanyakan kajian melaporkan kesudahan neutral hingga agak positif, seperti paras kortisol stabil dan gerak balas tingkah laku tenang semasa sesi. Walau bagaimanapun, semakan tersebut juga bertegas bahawa kebanyakan penyelidikan sedia ada kekurangan kaedah, kumpulan kawalan, atau data jangka panjang yang tekal.

Kebimbangan kebajikan berpotensi yang dikenal pasti dalam semakan tersebut termasuk kerja berlebihan oleh anjing, komunikasi tidak tekal antara pengendali dengan anjing, dan ketidakbolehramalan tingkah laku kanak-kanak. Semakan tersebut menekankan bahawa faktor seperti bilangan kanak-kanak yang terlibat, tempoh sesi, dan pengalaman pengendali dapat mempengaruhi kesejahteraan anjing dengan ketara. Para pengarang mengesyorkan agar penyelidikan masa hadapan menerima pakai protokol pentaksiran terpiawai yang menyertakan langkah fisiologi dan langkah tingkah laku untuk menilai keadaan emosi anjing dengan lebih baik.[perlu rujukan]

Sebuah kajian tahun 2020 tentang 19 ekor anjing terapi mentaksir kadar jantung, HRV, kortisol liur dan oksitosin, dan suhu timpanum sebelum kegiatan berbantu haiwan (AAA) dan selepas AAA. Anjing berkenaan tidak menunjukkan tanda bagi distres; malah, kadar jantung dan suhu telinga pascasesi adalah sedikit lebih rendah, yang menunjukkan kemungkinan kesantaian.[11]

Garis panduan amalan terbaik daripada International Association of Human–Animal Interaction Organizations (IAHAIO), Pet Partners, dan Persatuan Perubatan Veterinar Amerika menekankan bahawa anjing bukan hanya patut bebas daripada stres tetapi patut menikmati penyertaan secara positif dalam persekitaran sekolah.[11]

Kesarjanaan terkini telah menekankan kepentingan pentaksiran kritikal bagi kebajikan anjing sekolah melangkaui tanggapan anekdot. Sebuah kajian rintis tahun 2023 oleh Pedersen dan Malm membangunkan kaedah rentas disiplin yang menggabungkan etologi dan etnografi untuk menilai kesejahteraan anjing semasa sesi pedagogi berbantu anjing. Dengan menggunakan alat seperti Pentaksiran Tingkah Laku Kualitatif (QBA), etogram, dan pemerhatian lapangan merentasi lima buah sekolah di Sweden, para penyelidik mendokumenkan kedua-dua tingkah laku anjing dan konteks sosial bagi interaksi. Dapatan menunjukkan bahawa walaupun pengendali kerap menanggap anjing menikmati peranan di sekolah, isyarat stres boleh perhati (sebagai contoh, tingkah laku penghindaran, skor kebolehgaulan rendah) kadang-kadang bercanggah dengan andaian tersebut. Para pengarang berhujah untuk kaedah pentaksiran lebih berstruktur dan segerak untuk sepastinya memahami pengalaman hidup anjing dan waspada terhadap tafsiran antroposentrik tentang semangat atau kesudian.[12]

Pelatihan dan pensijilan

[sunting | sunting sumber]

Anjing sekolah unggul adalah tenang, peramah, tidak reaktif terhadap bunyi bising, dan menikmati interaksi manusia. Pengendali biasanya menerima latihan tentang tingkah laku anjing, kawalan jangkitan, dan garis panduan etika. Sesi kerap distrukturkan berdasarkan protokol berasas dan dijalankan di bawah pengawasan orang dewasa atau oleh pendidik atau ahli terapi terlatih.[3]

Batasan dan hala tuju masa hadapan

[sunting | sunting sumber]

Walaupun dapatan kajian menggalakkan, lebih banyak kajian memanjang berskala besar diperlukan. Masih terdapat jurang dalam pemahaman kesan jangka panjang daripada anjing sekolah terhadap hasil kanak-kanak dan kesejahteraan anjing, serta amalan terbaik untuk menyepadukan program sedemikian secara mapan dalam kurikulum sekolah.[perlu rujukan]

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]
  1. ↑ "Schoolhond" [Anjing sekolah] (dalam bahasa Netherlands Dutch). Schoolhonden. 11 Ogos 2022. Dicapai pada 26 Januari 2025.
  2. 1 2 van der Steen, Steffie; Douma, Ivonne; Snippe, Ilse (23 Oktober 2023). "Effects of a reading dog programme on reading skills and task-related behaviour in special needs education" [Kesan-kesan daripada sebuah program membaca dengan anjing terhadap kemahiran membaca dan tingkah laku berkaitan dengan tugas dalam pendidikan keperluan khas]. European Journal of Special Needs Education (dalam bahasa Inggeris). 39 (4). Taylor & Francis: 648–657. doi:10.1080/08856257.2023.2273643. hdl:11370/409b5a0a-85d9-4e21-bd8c-9f350cc3013b. ISSN 1469-591X. S2CID 264481997.
  3. 1 2 3 "THE IAHAIO DEFINITIONS FOR ANIMAL ASSISTED INTERVENTION AND GUIDELINES FOR WELLNESS OF ANIMALS INVOLVED IN AAI" [TAKRIFAN IAHAIO UNTUK CAMPUR TANGAN BERBANTU HAIWAN DAN GARIS PANDUAN UNTUK KESEJAHTERAAN HAIWAN YANG TERLIBAT DALAM CAMPUR TANGAN BERBANTU HAIWAN] (pdf) (dalam bahasa Inggeris). International Association of Human–Animal Interaction Organizations. 2018. Dicapai pada 26 Januari 2025.
  4. ↑ "Opleidingen" [Pelatihan] (dalam bahasa Netherlands Dutch). DogsWork. Dicapai pada 26 Januari 2025.
  5. ↑ Hendrix, Steve (1 Oktober 2015). "Dogs in classrooms? At these private schools, pets are all over the place" [Anjing di dalam bilik darjah? Di sekolah-sekolah swasta ini, haiwan peliharaan ada di merata tempat.] (dalam bahasa Inggeris). The Washington Post. Dicapai pada 26 Januari 2025.
  6. ↑ Hall, Sophie Susannah; Gee, Nancy Renee; Mills, Daniel Simon (22 Februari 2016). Pavlova, Marina A. (penyunting). "Children Reading to Dogs: A Systematic Review of the Literature" [Kanak-kanak Membaca kepada Anjing: Semakan Sistematik Kesusasteraan]. PLOS One (dalam bahasa Inggeris). 11 (2) e0149759. PLOS. Bibcode:2016PLoSO..1149759H. doi:10.1371/journal.pone.0149759. hdl:10779/lincoln.24346072. ISSN 1932-6203. PMC 4763282. PMID 26901412. S2CID 25717164.
  7. ↑ Pachter, Jesse (1 Disember 2021). "3 Benefits of Having a Comfort Dog in School" [3 Manfaat Kehadiran Anjing Penenang di Sekolah] (dalam bahasa Inggeris). Edutopia. Dicapai pada 26 Januari 2025.
  8. ↑ Meints, Kerstin; Brelsford, Victoria Lisa; Dimolareva, Mirena; Maréchal, Laëtitia; Pennington, Kyla; Rowan, Elise; Gee, Nancy Renee (15 Jun 2022). Walsh, Carolyn J. (penyunting). "Can dogs reduce stress levels in school children? effects of dog-assisted interventions on salivary cortisol in children with and without special educational needs using randomized controlled trials" [Dapatkah anjing mengurangkan paras stres pada kanak-kanak sekolah? kesan daripada campur tangan berbantu anjing terhadap kortisol liur pada kanak-kanak dengan keperluan pendidikan khas dan tanpa keperluan pendidikan khas dengan menggunakan percubaan terkawal terawak]. PLOS One (dalam bahasa Inggeris). 17 (6) e0269333. PLOS. Bibcode:2022PLoSO..1769333M. doi:10.1371/journal.pone.0269333. hdl:10779/lincoln.24398935. ISSN 1932-6203. PMC 9200172. PMID 35704561. S2CID 249708858.
  9. ↑ Griffioen, Richard Eric; van Boxtel, Geert J. M.; Verheggen, Theo; Enders-Slegers, Marie-José; van der Steen, Steffie (11 Julai 2023). Peters-Scheffer, Nienke C.; Didden, Hubertus Caspar Maria (penyunting). "Group Changes in Cortisol and Heart Rate Variability of Children with Down Syndrome and Children with Autism Spectrum Disorder during Dog-Assisted Therapy" [Perubahan Kelompok dari Segi Kebolehubahan Kortisol dan Kadar Jantung bagi Kanak-kanak dengan Sindrom Down dan Kanak-kanak dengan Kecelaruan Spektrum Autisme semasa Terapi Berbantu Anjing]. Children (dalam bahasa Inggeris). 10 (7). MDPI: 1200. doi:10.3390/children10071200. hdl:11370/4ab15393-6f63-4d08-9f9e-d73d0f7fcbcd. ISSN 2227-9067. PMC 10378440. PMID 37508697. S2CID 259866609.
  10. ↑ van der Steen, Steffie; Kamphorst, Erica; Griffioen, Richard Eric (19 Mac 2025). Monteiro de Paiva Fernandes, Thiago (penyunting). "A randomized controlled trial of the effects of dog-assisted versus robot dog-assisted therapy for children with autism or Down syndrome" [Percubaan terkawal terawak bagi kesan terapi berbantu anjing berbanding dengan terapi berbantu anjing robot untuk kanak-kanak dengan autisme atau sindrom Down]. PLOS One (dalam bahasa Inggeris). 20 (3) e0319939. PLOS. Bibcode:2025PLoSO..2019939V. doi:10.1371/journal.pone.0319939. hdl:11370/1c7d00fd-cb3f-4a19-8463-f8f79e05c13c. ISSN 1932-6203. PMC 11922239. PMID 40106503. S2CID 277147112.
  11. 1 2 Clark, Stephanie D.; Martin, François; McGowan, Ragen Trudelle-Schwarz; Smidt, Jessica M.; Anderson, Rachel E.; Wang, Lei; Turpin, Tricia; Langenfeld-McCoy, Natalie; Bauer, Brent Andrew; Mohabbat, Arya Bahram (9 Mei 2020). "Physiological State of Therapy Dogs during Animal-Assisted Activities in an Outpatient Setting" [Keadaan Fisiologi bagi Anjing Terapi semasa Kegiatan Berbantu Haiwan di Dalam Persekitaran Pesakit Luar]. Animals (dalam bahasa Inggeris). 10 (5). MDPI: 819. doi:10.3390/ani10050819. ISSN 2076-2615. PMC 7277909. PMID 32397366. S2CID 218620284.
  12. ↑ Pedersen, Helena; Malm, Kerstin (12 Mei 2023). "Cross-disciplinary method development for assessing dog welfare in canine-assisted pedagogical work: a pilot study" [Pembangunan kaedah rentas disiplin untuk pentaksiran kebajikan anjing dalam kerja pedagogi berbantu anjing: kajian rintis]. Journal of Applied Animal Welfare Science (dalam bahasa Inggeris). 28 (1). Routledge: 90–103. doi:10.1080/10888705.2023.2211205. ISSN 1532-7604. PMID 37171280. S2CID 258637572.