Ankh

Ankh atau kunci kehidupan (Jawi: عنخ) ialah lambang hieroglif Mesir purba yang digunakan untuk mewakili perkataan "hidup" dan, secara tidak langsung, ialah simbol kehidupan.
Ankh mempunyai bentuk T yang ditutup dengan gelung berbentuk titisan. Ia digunakan dalam penulisan sebagai tanda triliteral, mewakili urutan tiga konsonan, Ꜥ-n-ḫ. Urutan ini ditemui dalam beberapa perkataan Mesir, antaranya perkataan untuk "cermin", "jambangan" dan "kehidupan". Lambang ini sering digunakan dalam seni Mesir sebagai objek fizikal yang mewakili kehidupan atau bahan-bahan pemberi kehidupan yang berkaitan, seperti udara atau air. Sering digambarkan di tangan dewa-dewi Mesir purba dan kadangkala diberikan oleh mereka kepada firaun, ia melambangkan kuasa para dewa untuk mengekalkan kehidupan dan menghidupkan semula jiwa manusia di alam akhirat.
Ankh merupakan motif hiasan yang meluas di Mesir purba, serta digunakan sebagai hiasan oleh budaya-budaya jiran. Kaum Qibti menyesuaikannya menjadi crux ansata, bentuk dengan gelung bulat yang menggantikan titisan, dan menggunakannya sebagai kelainan salib Kristian. Ankh mula digunakan secara meluas dalam budaya Barat pada 1960-an sebagai simbol identiti budaya Afrika, sistem kepercayaan Neopagan, dan kemudiannya, subbudaya goth.
Penggunaan dalam penulisan
[sunting | sunting sumber]
| |||||||||
| Ꜥnḫ dalam hieroglif Mesir | |||||||||
|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
Dalam tulisan hieroglif Mesir purba, ankh ialah tanda triliteral: satu tanda yang mewakili urutan tiga bunyi konsonan. Ankh mewakili urutan Ꜥ-n-ḫ, yang mana n disebut seperti huruf Melayu n, Ꜥ ialah geseran farinks bersuara seperti huruf Arab 'ain, dan ḫ ialah geseran velar tak bersuara atau bersuara seperti kh dalam perkataan akhbar.[2] Dalam bahasa Mesir, konsonan-konsonan ini terdapat dalam kata kerja yang bermaksud "hidup", kata nama yang bermaksud "kehidupan, hayat", dan kosa perkataan yang berasal daripadanya, seperti sꜤnḫ, yang bermaksud "menghidupkan" atau "menyuburkan";[1] Ꜥnḫ berkembang menjadi ⲱⲛϩ (onh) setelah berevolusi menjadi bahasa Qibti.[3] Tanda ini dikenali dalam bahasa Inggeris sebagai "ankh", berdasarkan sebutan hipotetikal perkataan Mesirnya, atau sebagai "kunci kehidupan", berdasarkan maksudnya.[4]
Salah satu kegunaan lazim perkataan Ꜥnḫ adalah untuk mendoakan seseorang hidup. Contohnya, frasa yang bermaksud lebih kurang seperti "semoga kamu sihat dan hidup" digunakan dalam ungkapan sopan, serupa dengan kata silaan seperti "jemput" atau "sila". Tambahan itu, frasa Ꜥnḫ wḏꜣ snb, yang bermaksud "hidup, sihat, dan sejahtera", digunakan sebagai gelaran hormat untuk firaun apabila baginda disebut dalam penulisan. Perkataan Mesir untuk "sumpah" juga Ꜥnḫ, kerana sumpah di Mesir purba bermula dengan bentuk perkataan "hidup".[5]
Konsonan yang sama ditemui dalam perkataan untuk "cermin" dan perkataan untuk jambangan, maka tanda ini juga digunakan dalam menulis perkataan-perkataan ini.[6] Tiga konsonan ini juga membentuk perkataan untuk objek seperti tali bergelung yang ditemui dalam ilustrasi di banyak keranda dari Kerajaan Pertengahan[4] (sekitar 2050 – 1650 SM).[7] Ahli Mesirologi Battiscombe Gunn dan Alan Gardiner, pada awal abad ke-20, percaya objek ini tali sandal, kerana ia digambarkan berpasangan di kaki keranda dan teks-teksnya menyatakan objek-objek itu "di atas tanah di bawah kakinya".[4]
Asal-usul
[sunting | sunting sumber]
Contoh-contoh awal tanda ankh berasal dari Dinasti Pertama[9] (sekitar abad ke-30 hingga ke-29 SM).[7] Objek fizikal apa yang tanda ini asalnya mewakili masih belum disepakati.[10] Ramai sarjana percaya tanda ini sejenis simpulan daripada bahan fleksibel seperti kain atau mensiang,[10] kerana versi-versi awal tanda ini menunjukkan palang bawah ankh sebagai dua jalur fleksibel yang berasingan yang sepadan dengan dua hujung ikatan.[6] Versi-versi awal ini menyerupai lambang tyet, tanda yang mewakili konsep "perlindungan". Atas sebab-sebab ini, ahli Mesirologi Heinrich Schäfer dan Henry Fischer berpendapat kedua-dua tanda ini mempunyai asal usul yang sama,[11] dan mereka menganggap ankh ialah simpulan yang digunakan sebagai azimat dan bukannya untuk tujuan praktikal.[10][12]
Tulisan hieroglif menggunakan tanda bergambar untuk mewakili bunyi supaya, sebagai contoh hieroglif untuk rumah, boleh mewakili bunyi p-r, yang ditemui dalam perkataan Mesir untuk "rumah". Hal ini, yang dipanggil prinsip rebus, membolehkan orang Mesir menulis perkataan untuk perkara-perkara yang tidak boleh digambarkan, seperti konsep abstrak.[13] Gardiner percaya ankh berasal daripada kaedah ini. Beliau menyatakan bahawa ilustrasi tali sandal pada keranda-keranda zaman Kerajaan Pertengahan menyerupai hieroglif ankh, dan beliau berhujah bahawa tanda itu asalnya mewakili simpulan seperti ini dan mula digunakan dalam menulis semua perkataan lain yang mengandungi konsonan Ꜥ-n-ḫ.[4] Senarai tanda hieroglif Gardiner melabelkan ankh sebagai S34, meletakkannya dalam kategori pakaian dan tepat selepas S33, hieroglif untuk sandal.[14] Hipotesis Gardiner kekal; James P. Allen, dalam buku pengantar bahasa Mesir yang diterbitkan pada 2014, menganggap tanda itu asalnya bermaksud "tali sandal" dan menggunakannya sebagai contoh prinsip rebus dalam tulisan hieroglif.[1]
Pelbagai pengarang telah berhujah bahawa tanda itu asalnya mewakili sesuatu selain simpulan. Ada yang mencadangkan ia ada maksud seksual.[15] Misalnya, Thomas Inman, seorang ahli mitologi amatur pada abad ke-19, berpendapat tanda itu mewakili organ pembiakan lelaki dan perempuan, digabungkan menjadi satu tanda.[16] Victor Loret, seorang ahli Mesirologi abad ke-19, berhujah bahawa "cermin" ialah makna asal tanda itu. Masalah dengan hujah ini, yang diakui oleh Loret, ialah dewa-dewi sering ditunjukkan memegang gelung ankh, dan tangan mereka menembusi tempat gelung di mana kaca cermin ankh itu sepatutnya berada. Andrew Gordon, seorang ahli Mesirologi, dan Calvin Schwabe, seorang doktor haiwan, berhujah bahawa asal usul ankh berkaitan dengan dua tanda lain yang asal usulnya tidak pasti yang sering muncul bersamanya: cokmar was, mewakili "kuasa" atau "kekuasaan", dan tiang djed, mewakili "kestabilan". Menurut hipotesis ini, bentuk setiap tanda berasal daripada anggota tubuh lembu jantan, seperti beberapa tanda hieroglif lain yang diketahui datang daripada tubuh haiwan. Dalam kepercayaan Mesir, air mani dikaitkan dengan kehidupan dan, hingga tahap tertentu, dengan "kuasa" atau "kekuasaan", dan beberapa teks menunjukkan orang Mesir percaya air mani berasal daripada dalam tulang. Oleh itu, Gordon dan Schwabe mencadangkan tanda-tanda ini ialah anggota lembu jantan yang dipercayai melalukan air mani: ankh ialah vertebra toraks, djed ialah sakrum dan vertebra lumbar, dan was ialah zakar kering lembu jantan.[17]
Penggunaan dalam agama dan seni
[sunting | sunting sumber]Dalam kepercayaan Mesir, hayat ialah daya yang tersebar di seluruh dunia. Setiap makhluk hidup, termasuk manusia, ialah manifestasi daya ini dan terikat kepadanya.[18] Kehidupan lahir semasa penciptaan dunia, dan peristiwa-peristiwa berkitaran seperti terbit dan terbenam matahari dianggap sebagai pengulangan kejadian penciptaan yang mengekalkan dan memperbaharui kehidupan di alam semesta. Dengan itu, memelihara kehidupan ialah fungsi utama dewa-dewi yang berkuasa ke atas kitaran alamiah ini. Oleh itu, ankh sering digambarkan dipegang di tangan dewa-dewi, mewakili kuasa mereka untuk memberi kehidupan.
Orang Mesir juga percaya maut bukannya penamat hidup seseorang. Sama seperti hidup berterusan dan diperbaharui dalam alam, hidup seseorang itu boleh diperbaharui selepas mati—dengan daya penghidup yang disimbolkan oleh ankh. Atas sebab ini, para dewa sering digambarkan dalam makam memberikan tanda ankh kepada manusia, biasanya firaun.[19] Kerana tanda tersebut melambangkan kuasa untuk menganugerahkan kehidupan, orang selain firaun jarang ditunjukkan menerima atau memegang ankh sebelum akhir Kerajaan Pertengahan, tetapi ini kurang lazim selepas itu. Firaun pada hingga tahap tertentu mewakili seluruh Mesir, jadi dengan memberikan ankh kepadanya, dewa-dewi memberikan hidup kepada seluruh negara.[20]
Meluaskan konsep "kehidupan", ankh boleh melambangkan udara atau air. Dalam seni, dewa-dewi memegang ankh ke hidung raja: memberinya nafas kehidupan. Kipas tangan ialah satu lagi simbol udara dalam ikonografi Mesir, dan hamba-hamba yang biasanya membawa kipas di belakang raja kadangkala digantikan dalam karya seni oleh tanda ankh yang dipersonifikasikan dengan lengan. Dalam gambaran upacara penyucian, apabila air dituangkan ke atas raja atau orang biasa yang telah meninggal, garis bengkang-bengkok yang biasanya mewakili air boleh digantikan dengan rantai tanda ankh.[21]
Ankh mungkin tanda hieroglif yang paling banyak digunakan sebagai hiasan. Cermin, sarung cermin, dan jambak bunga dibuat dalam bentuknya, kerana tanda itu digunakan untuk menulis nama semua objek ini. Beberapa objek lain, seperti bekas curahan dan sistrum, juga berbentuk seperti tanda itu. Tanda itu biasa digunakan dalam hiasan bentuk seni bina seperti dinding dan keramat dalam kuil-kuil.[6] Dalam konteks begini, tanda itu sering hadir dengan tanda was dan djed, yang bersama-sama melambangkan "kehidupan, kekuasaan dan kestabilan". Dalam beberapa friz hiasan di kuil, ketiga-tiga tanda, atau ankh dan was sahaja, diletakkan di atas hieroglif untuk bakul yang mewakili perkataan "semua": "semua kehidupan dan kuasa" atau "semua kehidupan, kuasa, dan kestabilan". Sesetengah dewa, seperti Ptah dan Osiris, boleh digambarkan memegang cokmar was yang menggabungkan ankh dan djed.[22]
Azimat yang dibuat dalam bentuk hieroglif bertujuan untuk memberikan pemakainya sifat-sifat tanda itu. Orang Mesir memakai azimat dalam hidup seharian dan meletakkannya dalam makam untuk memastikan si mati sejahtera di akhirat. Azimat berbentuk ankh kali pertama muncul pada hujung zaman Kerajaan Lama (s. 2700 hingga 2200 SM) dan digunakan sehingga akhir alaf pertama SM. Namun, ia jarang ditemui walaupun simbol itu penting. Azimat yang menggabungkan tanda-tanda ankh, was dan djed lebih meluas ditemui.[23]
Tanda ankh dalam seni dua dimensi biasanya dicat biru atau hitam.[24] Azimat ankh terawal selalunya dibuat daripada emas atau suasa, aloi emas dan perak. Faience Mesir, seramik yang biasanya biru atau hijau, ialah bahan paling lazim untuk azimat ankh pada zaman lewat, mungkin kerana warnanya mewakili kehidupan dan penjanaan semula.[25]
-
Ankh yang diperbuat daripada Faience Mesir
-
Dewa Horus menyuarkan hayat kepada raja, Ramesses II.
-
Sarung cermin berbentuk ankh dari makam Tutankhamun
-
Friz tanda ankh, djed dan was di atas hieroglif untuk "semua"
-
Rincian ankh yang dipegang dari KV2
-
Tulisan hieroglif di Deir el-Bahari menampilkan ankh
Budaya purba lain
[sunting | sunting sumber]
Orang Syam dan Kanaan menyerap banyak motif seni Mesir semasa Zaman Gangsa Pertengahan (s. 1950–1500 SM), termasuk hieroglif, dengan ankh yang paling lazim. Ia sering diletakkan di sebelah pelbagai figura dalam seni atau ditunjukkan dipegang oleh dewa-dewi Mesir yang mula disembah di Timur Dekat purba. Ia kadangkala digunakan untuk mewakili air atau kesuburan.[26] Di tempat lain di Timur Dekat, tanda itu dimasukkan ke dalam hieroglif Anatolia untuk mewakili perkataan untuk "kehidupan", dan digunakan dalam karya seni tamadun Minos yang berpusat di Crete. Karya seni Minoa kadangkala menggabungkan ankh, atau tanda tyet yang berkaitan, dengan lambang kapak berganda Minos.[27]
Karya seni di Kerajaan Meroitik, yang terletak di selatan Mesir dan banyak dipengaruhi agamanya, menampilkan ankh dengan ketara. Ia ada di kuil dan seni pengebumian dalam banyak konteks yang sama seperti di Mesir. Ia juga salah satu motif yang paling lazim dalam hiasan tembikar Meroitik.[28]
Penggunaan ankh berterusan di Israel hingga Zaman Besi. Pada tahun 2015, meterai tanah liat milik Raja Hezekiah dari Judah (s. 700 SM) ditemui di Baitulmuqaddis, yang menggambarkan ankh mengapit matahari bersayap.[29]
Agama Kristian
[sunting | sunting sumber]
Ankh antara motif seni Mesir purba yang terus digunakan selepas pengkristianan Mesir pada abad ke-4 dan ke-5 Masihi.[30] Tanda itu menyerupai staurogram, tanda yang menyerupai salib Kristian dengan gelung di sebelah kanan palang atas dan digunakan oleh orang Kristian awal sebagai monogram untuk Jesus,[31] serta crux ansata, atau "salib berpegang", yang berbentuk seperti ankh dengan gelung bulat, bukannya bujur atau berbentuk titisan air mata.[32] Simbol staurogram dicadangkan dipengaruhi simbol ankh, tetapi Kristian terawal menggunakannya sekitar 200 Masihi, lama sebelum orang Kristian mengguna pakai ankh.[33] Contoh terawal crux ansata yang diketahui datang daripada salinan Injil Yudas dari abad ke-3 atau awal ke-4 Masihi. Penggunapakaian tanda ini mungkin dipengaruhi oleh staurogram, ankh, atau kedua-duanya.[32]
Menurut Socrates dari Constantinople, ketika orang Kristian membongkarkan kuil terbesar Alexandria, Serapeum, pada 391 Masihi, mereka perasan tanda seperti salib tertera pada blok-blok batu. Orang pagan yang hadir mengatakan tanda itu bermaksud "kehidupan akan datang", petunjuk bahawa tanda yang Socrates maksudkan ialah ankh; orang Kristian menjadikan tanda itu milik mereka, menunjukkan bahawa mereka mudah menganggap ankh sebagai crux ansata.[34]
Terdapat sedikit bukti untuk penggunaan crux ansata di bahagian barat Empayar Rom,[35] tetapi orang Kristian Qibti Mesir menggunakannya dalam banyak media, terutamanya dalam hiasan tekstil.[30]
Beberapa tafsiran moden menyatakan bahawa ankh tetap digunakan dalam konteks-konteks Qibti di Mesir, disesuaikan gambarnya dalam seni dan budaya material Kristian, terutamanya dalam bentuk hiasan yang menggema simbolisme lama Mesirnya.[36]
Penggunaan moden
[sunting | sunting sumber]Lebih kini, ankh telah menjadi simbol popular dalam budaya Barat moden, terutamanya sebagai barang kemas dan tatu.[16] Kebangkitannya bermula apabila kontrakebudayaan 1960-an membangkitkan minat terhadap agama-agama purba. Pada abad ke-21, ia simbol yang berasal dari Afrika yang paling luas dikenali di dunia Barat, dan kadangkala digunakan oleh orang berketurunan Afrika di Amerika Syarikat dan Eropah sebagai simbol identiti budaya Afrika. Ankh juga melambangkan Kemetisme, kumpulan gerakan agama berdasarkan agama Mesir purba.[37]
Tanda ini juga popular dalam subbudaya goth, dikaitkan terutamanya dengan vampir, kerana loket ankh banyak muncul dalam filem vampir 1983, The Hunger.[38]
Tanda ini digabungkan dua kali dalam piawaian Unicode untuk pengekodan teks dan simbol dalam pengkomputeran. Ia muncul sebagai U+2625 (☥) dalam blok Simbol Pelbagai,[39] dan sebagai U+132F9 (𓋹) dalam blok Hieroglif Mesir.[40]
| Pratonton | ☥ | 𓋹 | ||
|---|---|---|---|---|
| Nama Unicode | ANKH | EGYPTIAN HIEROGLYPH S034 | ||
| Pengekodan | decimal | hex | dec | hex |
| Unicode | 9765 | U+2625 | 78585 | U+132F9 |
| UTF-8 | 226 152 165 | E2 98 A5 | 240 147 139 185 | F0 93 8B B9 |
| UTF-16 | 9765 | 2625 | 55308 57081 | D80C DEF9 |
| Rujukan aksara berangka | ☥ |
☥ |
𓋹 |
𓋹 |
Petikan
[sunting | sunting sumber]- ^ a b c Allen 2014, m/s. 30.
- ^ Allen 2014, m/s. 18–19, 30.
- ^ Gardiner 1915, m/s. 20.
- ^ a b c d Gardiner 1915, m/s. 20–21.
- ^ Allen 2014, m/s. 34, 317–318.
- ^ a b c Wilkinson 1992, m/s. 177.
- ^ a b Wilkinson 1992, m/s. 13.
- ^ Fischer 1972, m/s. 5.
- ^ Fischer 1972, m/s. 12–13.
- ^ a b c Gordon & Schwabe 2004, m/s. 102–103.
- ^ Fischer 1972, m/s. 13.
- ^ Baines 1975, m/s. 1.
- ^ Allen 2014, m/s. 3–4.
- ^ Allen 2014, m/s. 496.
- ^ Gordon & Schwabe 2004, m/s. 104.
- ^ a b Webb 2018, m/s. 86.
- ^ Gordon & Schwabe 2004, m/s. 104, 127–129.
- ^ Finnestad 1989, m/s. 31–32.
- ^ Tobin 1989, m/s. 197–198, 206–208.
- ^ Hill 2010, m/s. 240, 242.
- ^ Wilkinson 1992, m/s. 177–179.
- ^ Wilkinson 1992, m/s. 181, 199.
- ^ Andrews 1994, m/s. 6, 86, 107.
- ^ Baines 1975, m/s. 18–19.
- ^ Andrews 1994, m/s. 86–87.
- ^ Teissier 1996, m/s. 12, 104–107.
- ^ Marinatos 2010, m/s. 122–123.
- ^ Elhassan 2004, m/s. 11–12.
- ^ Fridman, Julia (4 January 2016). "Meterai Hezekiah Membuktikan Jerusalem Purba Adalah Ibu Kota Judah yang Utama". Haaretz (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 22 September 2023.
- ^ a b Du Bourguet 1991, m/s. 1.
- ^ Hurtado 2006, m/s. 136.
- ^ a b Bardill 2012, m/s. 166–167.
- ^ Hurtado 2006, m/s. 140, 143–144.
- ^ Bardill 2012, m/s. 167–168.
- ^ Bardill 2012, m/s. 168.
- ^ "The Ankh – The Key of Life in Ancient Egypt", Egyptra Travel, https://egyptra.com/the-ankh-the-key-of-life-in-ancient-egypt/ .
- ^ Issitt & Main 2014, m/s. 328.
- ^ Ladouceur 2011, m/s. 7.
- ^ Unicode 2020b.
- ^ Unicode 2020a.
Karya dirujuk
[sunting | sunting sumber]- Allen, James P. (2014). Middle Egyptian: An Introduction to the Language and Culture of Hieroglyphs, Third Edition. Cambridge University Press. ISBN 978-1-107-05364-9.
- Andrews, Carol (1994). Amulets of Ancient Egypt. University of Texas Press. ISBN 978-0-292-70464-0.
- Baines, John (1975). "Ankh-Sign, Belt and Penis Sheath". Studien zur Altägyptischen Kultur. 3: 1–24. JSTOR 25149982.
- Bardill, Jonathan (2012). Constantine, Divine Emperor of the Christian Golden Age. Cambridge University Press. ISBN 978-0-521-76423-0.
- Du Bourguet, Pierre (1991). "Art Survivals from Ancient Egypt". Dalam Atiya, Aziz Suryal (penyunting). The Coptic Encyclopedia. I. Macmillan. ISBN 978-0-02-897025-7.
- Elhassan, Ahmed Abuelgasim (2004). Religious Motifs in Meroitic Painted and Stamped Pottery. Archaeopress. ISBN 978-1-84171-377-9.
- Finnestad, Ragnhild Bjerre (1989). "Egyptian Thought about Life as a Problem of Translation". Dalam Englund, Gertie (penyunting). The Religion of the Ancient Egyptians: Cognitive Structures and Popular Expressions. S. Academiae Upsaliensis. m/s. 29–38. ISBN 978-91-554-2433-6.
- Fischer, Henry G. (1972). "Some Emblematic Uses of Hieroglyphs with Particular Reference to an Archaic Ritual Vessel". Metropolitan Museum Journal. 5: 5–23. doi:10.2307/1512625. JSTOR 1512625. S2CID 191367344.
- Gardiner, Alan (1915). "Life and Death (Egyptian)". Dalam Hastings, James (penyunting). The Encyclopedia of Religion and Ethics. VIII. m/s. 19–25.
- Gordon, Andrew H.; Schwabe, Calvin (2004). The Quick and the Dead: Biomedical Theory in Ancient Egypt. Brill / Styx. ISBN 978-90-04-12391-5.
- Hill, Jane A. (2010). "Window between Worlds: The Ankh as a Dominant Theme in Five Middle Kingdom Funerary Monuments". Dalam Hawass, Zahi; Houser Wegner, Jennifer (penyunting). Millions of Jubilees: Studies in Honor of David P. Silverman. American University in Cairo Press. m/s. 227–247. ISBN 978-977-704-084-6.
- Hurtado, Larry W. (2006). The Earliest Christian Artifacts: Manuscripts and Christian Origins. Eerdmans. ISBN 978-0-8028-2895-8.
- Issitt, Micah L.; Main, Carlyn (2014). Hidden Religion: The Greatest Mysteries and Symbols of the World's Religious Beliefs. ABC-CLIO. ISBN 978-1-61069-477-3.
- Ladouceur, Liisa (2011). Encyclopedia Gothica. Ilustrasi oleh Gary Pullin. ECW Press. ISBN 978-1-77041-024-4.
- Marinatos, Nanno (2010). Minoan Kingship and the Solar Goddess: A Near Eastern Koine. University of Illinois Press. ISBN 978-0-252-03392-6.
- Teissier, Beatrice (1996). Egyptian Iconography on Syro-Palestinian Cylinder Seals of the Middle Bronze Age. Academic Press Fribourg / Vandenhoeck & Ruprecht Göttingen. ISBN 978-3-7278-1039-8 / ISBN 978-3-525-53892-0
- Tobin, Vincent Arieh (1989). Theological Principles of Egyptian Religion. P. Lang. ISBN 978-0-8204-1082-1.
- "Unicode 13.0 Character Code Charts: Egyptian Hieroglyphs" (PDF). Unicode Consortium. 2020a. Dicapai pada 28 March 2020.
- "Unicode 13.0 Character Code Charts: Miscellaneous Symbols" (PDF). Unicode Consortium. 2020b. Dicapai pada 28 March 2020.
- Webb, Stephen (2018). Clash of Symbols: A Ride Through the Riches of Glyphs. Springer. ISBN 978-3-319-71350-2.
- Wilkinson, Richard H. (1992). Reading Egyptian Art: A Hieroglyphic Guide to Ancient Egyptian Painting and Sculpture. Thames & Hudson. ISBN 978-0-500-05064-4.
Bacaan lanjut
[sunting | sunting sumber]- Fischer, Henry G. (1973). "An Eleventh Dynasty Couple Holding the Sign of Life". Zeitschrift für Ägyptische Sprache und Altertumskunde. 99 (2): 16–28. doi:10.1524/zaes.1973.99.2.16. S2CID 195039128. (langganan diperlukan)
Pautan luar
[sunting | sunting sumber]
Kategori berkaitan Ankh di Wikimedia Commons
- Laman yang menggunakan sambungan WikiHiero
- Pautan kategori Commons ditakrifkan sebagai nama halaman
- Lambang Mesir purba
- Perkataan dan frasa Mesir purba
- Salib Kristian
- Simbol salib
- Salib dalam heraldik
- Azimat Mesir
- Jenis artifak Mesir
- Hieroglif Mesir: mahkota-pakaian-tongkat
- Mitos Mesir
- Simbol magis
- Simbol keagamaan