Annapurna (Dewi)

Annapurna (IAST: Annapūrṇā), Annapurneshwari, Annada atau Annapoorna ialah suatu rupa Dewi Parvati dan disanjung sebagai dewi untuk makanan. Jika Tuhan adalah pencipta alam semesta ini, kuasa-Nya yang digunakan untuk mencipta digambarkan sebagai dewi, pasangannya, yang biasanya dikenali sebagai Sakti. Kebanyakan dewi dalam panteon Hindu merupakan aspek-aspek Parvati, pasangan Siva, dewa ketiga dalam Trimurti Hindu yang bertanggungjawab atas kemusnahan dan peleraian alam semesta.[1]
Annapurna, pemilik dan pemberi makanan, merupakan salah satu aspek penting Parvati. Beliau mendapat nama ini kerana pernah memberi makanan atau anna kepada Tuhan Siva sendiri ketika ia mengembara sebagai seorang pertapa. Annapurna digambarkan sedang menyajikan makanan dari sebuah bekas yang diperbuat daripada delima merah.
Etimologi
[sunting | sunting sumber]Nama Annapurna berasal daripada bahasa Sanskrit yang bermaksud "pemberi makanan dan zat." Perkataan anna bermaksud "makanan" atau "bijirin", manakala purna bermaksud "penuh, lengkap dan sempurna."
Gunung Annapurna di Himalaya dipercayai dinamakan sempena namanya, kerana dewi ini dipercayai merupakan salah seorang puteri Himavat, raja pergunungan. Di dunia Barat, dewi ini digelar sebagai "Tuhan Hindu bagi masakan" kerana kaitannya dengan makanan dan pemakanan.
Nama-nama lain bagi Annapurna termasuk:
- Visalakshi – yang bermata besar.
- Visvasakti – kuasa alam semesta.
- Visvamata – ibu kepada seluruh dunia.
- Sristihetukavaradani – yang mengurniakan anugerah demi kebaikan dunia.
- Bhuvanesvari – dewi bumi.
- Renu – dewi zarah atom.
- Annada – penderma makanan.
Ikonografi
[sunting | sunting sumber]Dari segi ikonografi, dewi juga mungkin digambarkan dengan empat tangan, dua tangan memegang pasa (tali) dan parasu (kapak perang), manakala dua tangan lagi menunjukkan varada mudra (isyarat pemberian anugerah) dan abhaya mudra (isyarat perlindungan daripada ketakutan).
Pemujaan Annapurna dipercayai dapat memastikan sesebuah rumah tangga tidak akan kekurangan makanan. Perayaannya biasanya disambut pada bulan Caitra (April), terutamanya di Bengal.
Kuil Annapurna di Kashi (Varanasi atau Banaras di Uttar Pradesh) amat terkenal.
Mantera
[sunting | sunting sumber]annapurnae sadápurnae
shañkarapránaavallabhe
jòánavarágyasiddyartham[2]
bhikshám dehi ca párvati
Maksud: “Wahai Dewi Parvati, Annapurna yang senantiasa melimpah anugerah, permaisuri mulia bagi Sankara, kurniakanlah kami rezeki-Mu sebagai bekal menuju ilmu yang sejati dan hati yang bebas daripada keterikatan dunia.”
Lihat juga
[sunting | sunting sumber]Pautan luar
[sunting | sunting sumber]Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ Swami Harshananda, A Concise Encyclopaedia of Hinduism
- ^ https://www.kamakoti.org/shlokas/kshlok13.htm