Aparteid

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Aparteid (daripada Afrikaans: apartheid bermaksud "keadaan yang menyisihkan", "penyisihan"[1][2] diakar kata Belanda apart "mengasingkan") merujuk kepada suatu sistem politik yang memisahkan penduduk kaum kulit putih dari kaum bukan kulit putih di Afrika Selatan dari tahun 1948 sehingga tahun 1990-an. Dasar-dasar pemisahan ini dibentuk dilaksanakan sewaktu pemerintahan Hendrik Verwoerd, Perdana Menteri negara tersebut ke-7.

Dalam dasar Aparteid, kaum bukan kulit putih (terutamanya kaum kulit hitam) dianggap sebagai lebih rendah dan diberi layanan kelas kedua dari segi politik, ekonomi, sosial, pendidikan dan kebudayaan. Semua bentuk diskriminasi perkauman adalah sah dari segi undang-undang dan undang-undang telah disalahgunakan oleh pihak pemerintah kulit putih untuk memastikan kekuasaan atau dominasi mereka ke atas kaum majoriti iaitu kaum kulit hitam.

Gambaran awam[sunting | sunting sumber]

Dasar ini telah dilaksanakan dalam beberapa siri undang-undang perkauman di Afrika Selatan antara tahun 1948 hingga 1991. Dibawah dasar ini, rasisme telah dibenarkan dan ia menyentuh segala aspek kehidupan termasuklah larangan perkahwinan antara kulit putih dengan bukan kulit putih, tempat larangan untuk bangsa bukan kulit putih[3] dan pekerjaan yang dikhaskan untuk orang berkulit putih sahaja. Kaum kulit hitam telah dipindahkan secara beramai-ramai ke beberapa buah "negara" yang dipanggil bantustan atau "homelands", lalu kehilangan hak mengundi dan hak kerakyatan yang lain. Tindak-tanduk regim Aparteid jelas sekali bertentangan dengan prinsip-prinsip hak asasi manusia.

Undang-undang aparteid pertama yang dikenakan ke atas penduduk negara ialah Akta Pengharaman Kahwin Campur 1949 yang melarang kebanyakan penduduk berkahwin campur mahupun melakukan hubungan seks antara kaum-kaum berbeza.[3] Pada 1950, Akta Pendaftaran Penduduk menghendaki semua penduduk Afrika Selatan untuk diklasifikasikan kepada tiga kumpulan berdasarkan rupa, status sosioekonomi dan gaya hidup budaya iaitu: kelompok putih (berketurunan Eropah}, hitam (orang Afrika), atau "berwarna" (coloured, berdarah campuran yang termasuk kumpulan India dan Asia).[4] Jabatan Dalam Negeri adalah bertanggungjawab dalam menentukan klasifikasi ini dilaksanakan. Mereka yang menentang undang-undang perkauman akan dikenakan hukuman yang teruk. Semua penduduk kulit hitam diwajibkan membawa "buku pas" iaitu sejenis kad pengenalan yang mengandungi cap jari, foto dan maklumat lain untuk memasuki kawasan kulit putih.

Dasar-dasar dalam sistem ini mencetuskan penetangan dalam kalangan rakyat,[5] terutamanya dalam bentuk tunjuk perasaan aman, penentangan secara pasif serta juga pergolakan bersenjata. Tindakan pemerintah Afrika Selatan ke atas pemberontakan dan rusuhan besar-besaran melalui keganasan polis menjadikan sokongan setempat terhadap pergerakan penentnag bersenjata semakin kuat.[6] Peristiwa berdarah di Sharpeville pada Mac, 1960 adalah disebabkan penentangan warga kulit hitam terhadap undang-undang tersebut. Lebih kurang 69 pemberontak terkorban sewaktu rusuhan itu.

Dasar aparteid akhirnya dimansuhkan pada 1994 apabila Nelson Mandela menjadi presiden kulit hitam pertama di Afrika Selatan. Namun demikian sehingga ke hari ini, kesannya telah mengakibatkan jurang pendapatan yang sangat ketara di antara kaum-kaum kulit putih dan kulit hitam di negara ini.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Shore, Megan. Religion and Conflict Resolution: Christianity and South Africa's Truth and Reconciliation Commission. Ashgate Publishing, 2009. p.36
  2. ^ Nancy L. Clarkson & William H. Worger. South Africa: The Rise and Fall of . Routledge, 2013. Chapter 3: The Basis of Apartheid.
  3. ^ a b Walton, F. Carl; Udayakumar, S.P.; Muck, William; McIlwain, Charlton; Kramer, Eric; Jensen, Robert; Ibrahim, Vivian; Caliendo, Stephen Maynard; Asher, Nhia (2011). The Routledge Companion to Race and Ethnicity. New York: Routledge Books. m/s. 103–105. ISBN 978-0415777070.
  4. ^ Baldwin-Ragaven, Laurel; London, Lesley; du Gruchy, Jeanelle (1999). An ambulance of the wrong colour: health professionals, human rights and ethics in South Africa. Juta and Company Limited. p. 18
  5. ^ Lodge, Tom (1983). Black Politics in South Africa Since 1945. New York: Longman.
  6. ^ Kongres Kebangsaan Afrika (1987). "Armed Struggle and Umkhonto / Morogoro". Diarkibkan daripada yang asal pada 16 Disember 2007. Dicapai pada 28 Disember 2007. Unknown parameter |deadurl= ignored (bantuan)