Ini adalah rencana baik. Klik di sini untuk maklumat lanjut.

Apokalips X

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search

Apokalips X
APOKALIPS X.jpg
Poster keluaran tayangan
PengarahMamat Khalid
PenerbitGayatri Su-Lin Pillai
PenulisMamat Khalid
Lakon layar olehMamat Khalid
Dibintangi oleh
Muzik olehReza Ramsey
SinematografiRaja Mukhriz
Disunting olehZaffa Khalid
Syarikat
penerbitan
Mula ditayangkan
3 April 2014 (2014-04-03)
Tempoh tayangan
104 minit
NegaraMalaysia
BahasaBahasa Melayu
PerbelanjaanRM 1,500,000
Pecah panggungRM 253,446[1]

Apokalips X merupakan sebuah filem cereka sains aksi fantasi Malaysia 2014 arahan Mamat Khalid terbitan bersama Tayangan Unggul, Astro Shaw dan Naga VXS, ditayangkan pada 3 April 2014. Filem ini dibintangi oleh Farid Kamil, Jehan Miskin, Peter Davis, Zoee Tan, Vassan, Adam AF, Iqram Dinzly, Pekin Ibrahim, Miera Leyana, Dazrin Kamarudin, Nur Hazwani, XY Zakaria, Zappa Khalid, Amen Khalid, Azwan Kaswi, Dayana Anak Wayang dan Pyan Habib serta penampilan istimewa Sarimah Ibrahim. Filem ini merupakan filem pertama bergenre manga di Malaysia dan kedua (selepas Kapoww!!) yang mengambil pendekatan seni grafik buku komik.[2]

Plot[sunting | sunting sumber]

Apokalips X mengisahkan peradaban manusia yang hidup selepas Perang Nuklear meletus pada tahun 2047. Saki-baki manusia yang terselamat daripada perang itu hidup dalam keadaan kacau-bilau, hilang arah tujuan dan menjadi ganas. Lalu, muncul beberapa puak yang berbalah dan berbunuhan antara satu sama lain demi kelangsungan hidup dan gelaran ketua. Manusia ketika ini terbahagi kepada lima puak iaitu Merah Putih diketuai X (Farid Kamil), Taring Led yang dipimpin Sri Gala (Peter Davies), Flora diketuai oleh Kulat (Zoe Tan), Teratai diketuai Melur (Vasanth) dan Jengking diketuai oleh Y (Jehan Miskin) daripada 30 buah puak pada asalnya.

Puak-puak tersebut berusaha menegakkan keamanan melalui perjanjian damai yang diasaskan oleh Pendita walaupun wujudnya rasa dendam dan benci antara mereka. X yang digeruni pada zaman kegemilangannya dahulu bertekad untuk tidak berperang lagi sampai bila-bila. Tetapi perjanjian damai yang telah memberhentikan pertempuran maut satu ketika dahulu menjadi semakin terancam apabila Aman Chai (Adam), pengikut utama X jatuh cinta kepada anak kesayangan Sri Gala iaitu QiQi (Miera Leyana). Pergelutan yang tercetus akibat daripada hubungan cinta tersebut dan juga hasutan Kala menyebabkan QiQi tercedera parah. Sri Gala yang meradang dengan kejadian itu bertekad mahu keluar daripada perjanjian damai yang telah termeterai bertahun lamanya.

Apabila ketegangan antara X dan Sri Gala semakin memuncak, Kala yang gila kuasa pula mengambil kesempatan dengan merancang tindakannya untuk menjatuhkan kedua-dua geng tersebut. Kala berjaya menambahkan bilangan pengikutnya di samping bersiap sedia untuk membuat serangan.

Pelakon[sunting | sunting sumber]

Farid Kamil memegang watak sebagai X dalam filem ini.

Penerbitan[sunting | sunting sumber]

Mamat Khalid bertindak sebagai pengarah, pengarang dan penulis lakon layar bagi filem ini.

Filem ini dihasilkan oleh Mamat Khalid untuk menghasilkan sesuatu yang berlainan daripada filem-filem biasa Melayu Malaysia[3] serta menerapkan hampir 70 peratus unsur teknologi imej janaan berkomputer (CGI) oleh Chain FX dan beberapa imejan visual yang direka khas oleh Glue Studios. Filem ini mengambil masa empat tahun[4] untuk disiapkan secara menyeluruh dan hasilnya ditontonkan pada majlis tayangan media di Cathay Cineleisure, Damansara. Mamat yakin filem ini akan mendapat tempat, terutama di stesen televisyen untuk jangka masa panjang.[5]

“Mengenai jalan cerita, ia [i]alah idea daripada anak yang suka melihat novel grafik Jepun yang juga dipanggil Manga dan dari situ, saya mula mengkaji sehingga terhasilnya Apokalips X,” katanya.

Untuk mempertingkatkan kesan realistik pada setiap lakonan yang dipaparkan, Mamat memberikan tempoh selama dua minggu kepada barisan pelakonnya mempelajari seni pertarungan. Lebih 27 babak telah dipotong oleh LPF dan antara babaknya ialah yang menjurus kepada paparan mengenai dadah, gengster dan beberapa elemen lain yang tidak dirasakan perlu oleh pihak LPF. Mamat juga mengakui filem ini mendapat inspirasi daripada minat anaknya terhadap filem Crows Zero.

Miera Leyana pernah dikejarkan ketika produksi ke Unit Rawatan Rapi (ICU) gara-gara dihempap lebih 10 orang pelakon tambahan. Beliau berkata: "Ketika penggambaran satu babak di dalam bilik kosong, keadaan hiruk-pikuk yang tidak terkawal telah menyebabkan saya terjatuh.Tidak cukup dengan itu saya dihempap pula lebih 10 orang pelakon tambahan yang kebanyakannya lelaki. Akibat dihempap, saya pengsan dan akhirnya terpaksa dikejarkan ke sebuah hospital swasta di Subang Jaya. Doktor mengesahkan tisu kaki saya terkoyak dan saya pengsan kerana tidak cukup oksigen."[6]

Tayangan perdana filem ini pula telah dilakukan secara tidak rasmi di Wangsawalk Mall pada 8 April 2014.[7] Sebuah peranti permainan untuk telefon pintar dan tablet telah dilancarkan pada 23 April 2014 dan dikenali sebagai Apokalpis X – Larian Maut.[8]

Ulasan kritis[sunting | sunting sumber]

Ulasan filem ini bercampur di kalangan pengkritik filem. Amirul Haswendy Ashari daripada Harian Metro mengatakan filem ini "...serius berbanding filemnya (Mamat Khalid) sebelum ini. Malah, ia jauh lebih gelap dari segi bahasa filem, kritikan sosial, penciptaan watak dan perkembangan plot." Beliau turut menyatakan satu-satunya kelemahan filem ini ialah ia terlalu banyak berkarya.[9] Mohd Al Qayum Azizi daripada mStar mendefinisikan filem ini sebagai "...mengejutkan...".[10] Portal hiburan Murai.com.my pula memuji kejayaan Mamat Khalid menggunakan jalan cerita untuk mengaburi mata penonton terhadap kelompongan filem.[11] Hassan Abd Muthalib daripada Utusan Malaysia pula mengatakan filem ini sebagai "...tanda-tanda kebangkitan sinema Malaysia yang memberangsangkan yang boleh membanggakan negara di persada dunia."[12] Filem ini mendapat rating 5.0 per 10 dalam portal perfileman IMDb.[13]

Kesinambungan[sunting | sunting sumber]

Walaupun filem ini gagal mendapat sambutan, pengarah, Mamat Khalid tetap merancang untuk menghasilkan filem prekuel Apokalips X. Jalan cerita yang akan dimuatkan nanti dijangkakan lebih menjurus kepada kehendak pe­nonton.[14]

Anugerah[sunting | sunting sumber]

Tahun Anugerah Kategori Penerima Keputusan
2015 Festival Filem Malaysia ke-27[15] Penataan Seni Terbaik Rosli Mahmud, Anuar John Paharuddin & Pathullah Luqman Dicalonkan
Busana Terbaik Roshada Abdul Hamid Dicalonkan

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]