Pergi ke kandungan

Aranyaka

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Teks Hindu
Śruti

Smriti

Aranyaka (Sanskrit: आरण्यक, IAST: āraṇyaka) merupakan himpunan teks suci Hindu kuno dalam bahasa Sanskrit. Aranyaka memberi tumpuan kepada makna dan falsafah di sebalik upacara korban. Ia biasanya dianggap sebagai bahagian ketiga dalam Veda, dan merupakan salah satu lapisan dalam struktur berbilang lapisan teks Veda.

Bahagian lain dalam Veda merangkumi Samhita (doa dan nyanyian puji-pujian), Brahmana (huraian dan tafsiran ritual), serta Upanishad (ajaran kerohanian dan falsafah abstrak).

Āraṇyaka berperanan sebagai penghubung antara keritualan dalam Brahmana dan falsafah dalam Upanishad. Namun, sukar untuk dipastikan sama ada ia benar-benar mewakili satu tahap peralihan dalam cara berfikir, memandangkan kandungan Aranyaka dan Upanishad hampir-hampir bercantum antara satu sama lain.

Tradisi Hindu mengaitkan empat Asrama (tahap kehidupan) dengan empat bahagian utama dalam Veda. Seorang brahmacārin (pelajar Veda) diharapkan menghafal Saṁhitā dan memahami penggunaan mantra yang terkandung di dalamnya dalam pelbagai upacara dan ritual. Seorang gṛhastha (ketua keluarga) pula dibimbing oleh Brāhmaṇa dalam melaksanakan pelbagai korban dan upacara. Bagi vānaprasthin (petapa hutan), beliau digalakkan untuk merenungkan ritual sebagai lambang kepada kebenaran falsafah yang lebih tinggi. Manakala saṁnyāsin (pertapa atau rahib) dituntut untuk bermeditasi terhadap kebenaran kerohanian yang paling asas sehingga ia dapat mengalaminya secara langsung.

Hubungan tradisional antara empat āśrama (tahap kehidupan) dengan empat bahagian utama Veda boleh memberikan kita gambaran tentang asas pemikiran dalam Āraṇyaka. Oleh sebab faktor usia tua yang melemahkan tubuh dan kesukaran memperoleh alat-alat serta bahan yang diperlukan untuk melaksanakan ritual Veda di dalam hutan, seseorang vanaprasthin menghadapi kesukaran untuk meneruskan amalan-amalan tersebut.

Tambahan pula, pengalaman hidup yang penuh cabaran dan perubahan telah mengasah kebijaksanaan dan kematangan dirinya, menjadikannya lebih terbuka terhadap renungan falsafah. Namun begitu, keterikatan kepada upacara serta keinginan untuk memperoleh hasil yang dijanjikan masih wujud dalam benaknya, akibat bertahun-tahun terlibat dengan ritual-ritual itu.

Justeru, renungan terhadap pelbagai aspek dan tahap-tahap dalam upacara tersebut sebagai lambang kepada kebenaran sejagat merupakan latihan batin yang paling sesuai bagi dirinya, demi kesejahteraan rohani yang terakhir. Inilah sebenarnya peranan bahagian Aranyaka. Malah, Brihadaranyaka Upanishad yang terkenal itu sendiri bermula dengan bentuk renungan sebegini.

Oleh itu, Aranyaka sering diklasifikasikan sebagai Upasanakanda — iaitu bahagian yang berkaitan dengan amalan renungan atau meditasi — yang berbeza daripada Karmakanda (bahagian ritual seperti Samhita dan Brahmana), dan secara berperingkat mengarah kepada Jnanakanda (bahagian yang berkaitan dengan pengetahuan rohani, iaitu Upanishad).

Etimologi

[sunting | sunting sumber]

Istilah "Aranyaka" berasal daripada perkataan "Aranya" bermaksud hutan. Teks-teks ini diwujudkan untuk tujuan bacaan di hutan semasa tahap kehidupan Vanaprastha Asrama. Sayana dalam Taittiriya Aranyaka menjelaskan:

Aranyadhyayanad etad aranyakam itiryate (Kerana ilmu ini dipelajari di hutan, maka ia dinamakan Araṇyaka).

Sarjana Winternitz memanggilnya sebagai "forest text" (teks rimba) untuk pengajian pertapa-pertapa di hutan.

Penjelasan lain yang diberikan ialah kerana teks-teks ini diberikan oleh golongan resi yang tinggal di hutan dan memikirkan tentang rahsia ritual-ritual korban (Yajna). Aranyaka menghuraikan tindakan dalam kehidupan dan juga pencapaian ilmu. Teks-teks ini menjadi asas rahsia yang dibincangkan dalam Upanishad. Oleh itu, Aranyaka juga mendapat nama "Rahasya" (rahsia). Nama ini disebut dalam Gopatha Brahmana dan Manu Smrti.

Klasifikasi

[sunting | sunting sumber]

Pada masa ini, hanya terdapat lapan Aranyaka[1] dalamVeda seperti berikut:

Rigveda:

  • Aitareya Aranyaka
  • Sankhyana Aranyaka (juga kadang-kadang dikenali sebagai Kausitaki Aranyaka)

Yajurveda

  • Taittiriya Aranyaka
  • Maitrayaniya Aranyaka

Samaveda:

  • Bahagian akhir Tandya-maha-brahmaṇa (juga dikenali sebagai Pancavimsa-brahmana)
  • Talavakara Aranyaka

Atharvaveda:

  • Atharvaveda tidak mempunyai sebarang Aranyaka yang masih wujud hingga hari ini. Namun begitu, Gopatha Brahmana sering dianggap sebagai Aranyaka bagi Atharvaveda. Ia dipercayai sebagai tinggalan terakhir daripada satu karya Brahmana Atharva yang lebih besar, yang kini telah hilang, khususnya yang berkaitan dengan aliran Paippalada dalam tradisi Atharvaveda.

Rumusan Kandungan

[sunting | sunting sumber]

Kandungan utama Aranyaka ialah teosofi (Brahmavidya), meditasi (Upasana), dan ilmu prana (Pranavidya). Ia juga menjelaskan maksud tersembunyi ritual korban dan konsep Brahman. Ciptaan alam semesta, kuasa Tuhan, Om, Atman, kitaran kelahiran dan kematian (samsara) juga disentuh dalam Aranyaka.

Setiap Aranyaka yang terkandung dalam tiga Veda boleh dirumuskan seperti berikut:

Aitareya Aranyaka

[sunting | sunting sumber]

Aitareya Aranyaka (sekitar 2500 S.M.) merupakan salah satu daripada dua Āraṇyaka yang tergolong dalam Rigveda. Ia terbahagi kepada lima bahagian utama, dan setiap satu bahagian ini juga dikenali dengan gelaran ‘āraṇyaka’. Contohnya, bahagian pertama dinamakan prathamāraṇyaka (āraṇyaka pertama), bahagian kedua dvitīyāraṇyaka (āraṇyaka kedua), dan seterusnya.

Secara keseluruhan, teks ini mengandungi lapan belas adhyaya atau bab. Setiap adhyāya pula dibahagikan lagi kepada beberapa khaṇḍa, iaitu bahagian-bahagian kecil.

Āraṇyaka pertama menghuraikan tentang mahāvrata, iaitu sebahagian daripada Sattra-yāga yang dikenali sebagai Gavāmayana. Bahagian ini memberi tumpuan kepada aspek-aspek penting dalam upacara besar tersebut. Menariknya, bahagian akhir āraṇyaka ini—yakni adhyāya keempat, kelima, dan keenam—merangkumi kandungan Aitareya Upanishad yang masyhur.

Āraṇyaka ketiga pula membincangkan tentang upasana khas—yakni bentuk-bentuk renungan atau kontemplasi rohani—serta ganjarannya, yang berkaitan dengan pelbagai cara pembacaan teks Veda seperti saṁhitā-pāṭha, padapāṭha dan kramapāṭha (cara-cara sistematik untuk membaca, menghafal, dan menafsirkan mantra Veda). Ia juga menyentuh tentang ariṣṭa, iaitu petanda malang yang dipercayai membawa maksud kematian, seperti melihat matahari menyerupai bulan, tidak dapat melihat kepala sendiri dalam cermin, atau bermimpi melihat lelaki berkulit hitam. Tokoh-tokoh resi purba seperti Śākalya, Māṇḍūkeya, Pāñcālacaṇḍa, dan Tārkṣya disebut sebagai perintis kepada amalan upāsanā ini.

Āraṇyaka keempat, yang sangat ringkas, memberi tumpuan kepada mahānāmnī mantra daripada Samaveda yang perlu dinyanyikan pada hari kelima dalam upacara mahāvrata.

Āraṇyaka kelima, yang merupakan bahagian terakhir, mengandungi pelbagai butiran ritual berkaitan mahāvrata secara terperinci.

Menurut tradisi Hindu, hanya tiga Āraṇyaka pertama yang dikaitkan dengan Aitareya, manakala āraṇyaka keempat dan kelima disandarkan kepada Asvalayana dan gurunya Saunaka.

Sankhayana Aranyaka

[sunting | sunting sumber]

Teks ini merupakan sebahagian daripada Sankhayana Brahmana, yang lebih dikenali sebagai Kausitaki Brahmana.

Āraṇyaka ini mengikuti struktur dan kandungan Aitareya Āraṇyaka dengan agak rapat.

Ia mengandungi 15 adhyāya atau bab, yang seterusnya dibahagikan kepada 137 khaṇḍa atau seksyen kecil.

Dua adhyāya yang pertama membincangkan tentang upacara Veda yang dikenali sebagai mahavrata.

Adhyaya ketiga hingga keenam dikenali sebagai Kaushitaki Upanishad.

Adhyāya keenam menyebut beberapa wilayah atau kawasan seperti Usinara, Matsya, Kasi, Videha dan Kurupancala.

Adhyāya ketiga belas pula mengandungi banyak kandungan yang diambil daripada Brihadaranyaka Upanishad.

Senarai panjang guru yang disebut dalam teks ini termasuk tokoh-tokoh seperti Kahola Kausitaki, Uddalaka Aruni, Soma Prativesya, dan lain-lain — yang juga dikenali dalam Upaniṣad-Upaniṣad.

Taittiriya Aranyaka

[sunting | sunting sumber]

Taittiriya Aranyaka merupakan sebahagian daripada Krishna Yajurveda dan mengandungi sepuluh bahagian yang dikenali sebagai prapathaka, yang juga dipanggil araṇa atau prasna.

Antara topik dalam aranyaka ini ialah seperti:[2]

  • Svadhyaya atau pengajian Veda secara individu;
  • Panca-mahayajna (lima korban agung);
  • Kaedah mengenal sesuatu seperti pratyakṣa (pemerhatian langsung) dan anumana (inferens atau penalaran);
  • Aspek-aspek Dewa Surya (Surya);
  • Vishnu sebagai asas atau pendukung alam semesta;
  • Idea-idea falsafah yang seiras dengan yang terdapat dalam Upanishad;
  • Peraturan berkenaan mandi suci dan berpuasa;
  • Asura (makhluk anti-Tuhan) juga melakukan korban;
  • Meditasi terhadap Aditya (Dewa Surya);
  • Korban simbolik;
  • Purusha Sukta (nyanyian pujian terhadap Roh Kosmik);
  • Amalan abhicara atau sihir hitam.

Daripada kandungannya, jelas bahawa Aranyaka ini bukan sahaja ditujukan kepada golongan vanaprasthin (mereka yang hidup di hutan dalam fasa kehidupan ketiga), tetapi kepada semua orang.

Talavakara Aranyaka

[sunting | sunting sumber]

Talavakara Aranyaka ialah salah satu Āraṇyaka yang berkaitan dengan Samaveda, dan sering dikaitkan secara langsung dengan bahagian akhir Tāṇḍya Mahābrāhmaṇa (juga dikenali sebagai Pañcaviṁśa Brāhmaṇa). Ia dianggap sebagai teks yang menjadi jambatan antara ritualisme Brāhmaṇa dan renungan falsafah dalam Upaniṣad.

Yang paling terkenal dalam Talavakāra Āraṇyaka ialah Talavakara Upanishad, lebih dikenali sebagai Chandogya Upanishad, salah satu Upaniṣad terpenting dalam tradisi Vedanta.

Teks ini mengandungi unsur-unsur:

  • Meditatif dan simbolik, terutamanya dalam tafsiran terhadap nyanyian-nyanyian Saman sebagai perlambangan kebenaran kosmik.
  • Ajaran rohani, termasuk perbincangan mendalam tentang Om, Brahman, dan hubungan antara bunyi, nyanyian, dan realiti mutlak.
  • Asal usul mantra, yang mengaitkan bunyi dengan penciptaan dan transformasi kesedaran.

Talavakara Aranyaka mencerminkan peralihan dari pelaksanaan upacara ritual kepada upasana — renungan batin yang membawa kepada pengetahuan diri dan pencerahan rohani.

  1. Indira Gandhi National Centre for the Arts, Ministry of Culture, Government of India
  2. Swami Harshananda, A Concise Encyclopaedia of Hinduism