Askar Timbalan Setia

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Askar Timbalan Setia Negeri Johor
عسكر تيمبالن ستيا نڬري جوهر
Royal Johor Military Force
Ditubuhkan pada11 Mei 1886; 137 tahun yang lalu (1886-05-11)
Negara Malaysia
Kesetiaan Sultan Johor
JenisTentera persendirian, Pengawal diraja, Foot guards
Peranan
PangkalanKem Sultan Ibrahim, Jalan Datin Halimah, Tasek Utara, Johor Bahru (sejak 2016)
Nama samaran"Sultan's Own Bodyguards"[1]
"Trup Sultan"[2]
PenaungSultan Johor
MotoTaat dengan setia ('Obey faithfully')
Warna
Peringatan11 Mei
Pertempuran
Komander
KomandanSultan Ibrahim, Sultan Yang Di-Pertuan Bagi Negeri Johor Darul Ta’zim
Pegawai PemerintahDuli Yang Amat Mulia Mejar Jeneral Tunku Ismail Idris Abdul Majid Abu Bakar Iskandar ibni Sultan Ibrahim Ismail, Tunku Mahkota Johor
Naib Pegawai PemerintahMejar Ahmad Hamdan Libar[3]
Tanda kebesaran
Bendera
Pesawat terbang
HelikopterSikorsky 76 B
Sultan Ibrahim mengetuai perarakan pasukan Askar Timbalan Setia

Askar Timbalan Setia atau rasminya Askar Timbalan Setia Negeri Johor (JMF) ialah satu pasukan tentera yang ditubuhkan semasa pemerintahan Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar (Sultan Temenggung Johor ke-2), Sultan bagi jajahan takluk Johor Darul Ta'zim. Sultan Ibrahim Al-Masyhur ibni Al-Marhum Sultan Sir Abu Bakar seorang berfikiran jauh dan telah berjaya memodenkan Negeri Johor. Baginda juga telah berbaik-baik dengan Ratu Kerajaan Great Britain; Ratu Victoria ketika itu sebagai helah untuk mengelakkan campur tangan dan penjajahan Inggeris di negeri Johor dan menghalang cita-cita British untuk menjajah negeri Johor.

Johor ialah negeri dalam Tanah Melayu yang pertama memiliki pasukan tentera modennya sendiri dan satu-satunya institusi pasukan askar yang tertua dalam Malaysia dibiayai oleh kerajaan negeri yang masih kekal hingga kini dan peranannya sekarang hanya sebagai pengawal keselamatan peribadi kepada DYMM Sultan Johor serta keluarga dan asetnya.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Pasukan Askar Timbalan Setia Negeri Johor ditubuhkan pada tahun 1886 dengan kompeni percubaan 60 anak Melayu Johor dan 20 orang askar Punjabi. Anggota Melayu dilatih sebagai askar Infantri sementara anggota Punjabi dilatih sebagai anggota pasukan artileri. Seorang pegawai tentera Inggeris bernama Kapten Newland dilantik sebagai pemerintah pasukan. Orang Melayu yang pertama sekali diberikan tauliah sebagai pegawai ialah Kapten Daud bin Sulaiman. Askar Timbalan Setia Negeri telah diberi panji-panji DiRaja pada 11 Mei 1916.

Perang Dunia Pertama[sunting | sunting sumber]

Askar Timbalan Setia Johor terlibat dalam mematahkan pemberontakan oleh askar-askar India dari pasukan 5th Light Infantry di Singapura pada tahun 1915. Askar Timbalan Setia menangkap askar-askar yang memberontak yang menyeberang ke Johor merentasi Selat Johor semasa melarikan diri daripada buruan pihak berkuasa British.

Semasa Perang Dunia Pertama, pasukan Askar Timbalan Setia Negeri Johor menghantar kontinjen seramai 2 orang pegawai berserta 100 orang anggota ke Berek Tanglin di Singapura untuk membantu mengawal keselamatan di Singapura. Pasukan Askar Timbalan Setia Negeri juga membuat tugas-tugas membantu kawalan tawanan perang ke atas tahanan Jerman di Singapura. Pasukan ini juga memberi bantuan menjaga keselamatan kawasan di Pulau Belakang Mati (kini Pulau Sentosa), Singapura hingga tamat Perang Dunia Pertama.

Selain memberikan bantuan kawalan keselamatan di Singapura, Pasukan Askar timbalan Setia Johor juga memberikan kawalan keselamatan laluan perhubungan di kawasan-kawasan Mersing, Kluang dan Batu Pahat termasuk pangkalan udara di Kluang (kini menjadi pangkalan utama Pasukan Udara Tentera Darat Malaysia).

Perang Dunia Kedua[sunting | sunting sumber]

Askar Timbalan Setia Johor tidak dikerahkan oleh Markas Gerakan Tanah Melayu di bawah pimpinan Lt. Jen. A. E. Percival sebagai sebahagian daripada pasukan pertahanan Semenanjung Tanah Melayu. Apabila pasukan Tentera Jepun memasuki negeri Johor, khususnya bandar Johor Bahru, pasukan Askar Timbalan Setia tidak memberikan sebarang tentangan atau terlibat dalam pertempuran menentang Tentera Jepun.

Cadangan Pemansuhan Askar Timbalan Setia[sunting | sunting sumber]

Kerajaan pusat Malaysia pernah pada tahun 1994 mencadangkan pembubaran pasukan Askar Timbalan Setia berikutan krisis berkaitan isu Kekebalan Raja-Raja Melayu dan satu Rang Undang-Undang di panggil Johore Military Forces (Disbandment And Repeal) Bill 1994 telah digubal untuk dibahaskan di Parlimen.

Tetapi Tun Salleh Abbas, bekas Ketua Hakim negara ketika itu menasihatkan Sultan Johor Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail di Istana Bukit Serene bahawa Askar Timbalan Setia Negeri Johor diwujudkan jauh lebih dahulu daripada Rejimen Askar Melayu Diraja dan penubuhan serta pengekalan pasukan Askar Timbalan Setia Negeri Johor adalah sebahagian daripada hak dan keistimewaan Sultan dan rakyat Negeri Johor. Dengan demikian, Tun Salleh Abbas berpendapat bahawa Kerajaan Persekutuan Malaysia tidak mempunyai hak untuk membatalkan keistimewaan hak tersebut tanpa persetujuan Sultan Johor. Pandangan Tun Salleh Abbas disokong oleh Neil Lawson, Q.C. yang menjadi Penasihat Perundangan kepada Raja-Raja Melayu semasa perbincangan menuntut kemerdekaan. Sehubungan itu, rang undang-undang ini tidak diambil tindakan dan terkubur begitu sahaja.

Pengkhidmat Ternama[sunting | sunting sumber]

Antara mereka yang telah berkhidmat dalam pasukan Askar Timbalan Setia Negeri Johor adalah:[4]

  • Almarhum Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail, Sultan Johor
    Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail menerima latihan ketenteraan dalam pasukan Askar Timbalan Setia Negeri Johor. Baginda juga merupakan penyandang jawatan Panglima Askar Timbalan Setia Negeri Johor.
  • Jeneral (B) Tun Ibrahim bin Ismail - bekas Panglima ATM
    Jeneral (B) Tun Ibrahim Bin Ismail pernah menyertai dan berkhidmat sebagai kadet dalam Askar Timbalan Setia Negeri Johor sebelum dihantar pada awal tahun 1941 ke Akademi Tentera di Dehra Dun, India dan menerima tauliah pada tahun 1942. Selepas itu beliau menyertai Rejimen Hyderabad ke-19 di India.
  • Ungku Ahmad bin Abdul Rahman
    Salah seorang daripada tiga orang yang dihantar pada awal tahun 1941 ke Akademi Tentera di Dehra Dun, India

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Ralat petik: Tag <ref> tidak sah; teks bagi rujukan :3 tidak disediakan
  2. ^ Ralat petik: Tag <ref> tidak sah; teks bagi rujukan :8 tidak disediakan
  3. ^ Ralat petik: Tag <ref> tidak sah; teks bagi rujukan media1 tidak disediakan
  4. ^ Fakta Menarik Negeri Johor: Askar Timbalan Setia[pautan mati kekal], dicapai pada Januari 17, 2009

Pautan Luar[sunting | sunting sumber]